Perlulah diingatkan agar mata tiga asal gewang ditukarkan kepada jenis yang lebih kukuh kerana kudrat biasa MJ mampu meluruskan mata tiga. Saya suka gunakan keluaran VMC yang setakat ini masih terbukti keutuhannya pada mulut ikan.
Jika khuatir mata tiga terkangkang, gunalah mata tunggal atau single hook, tambahan pula ia kalis sangkut ketika tarikan gewang beroperasi.
Penggunaan mata tunggal ini telah saya uji dan terbukti keberkesannya dalam memastikan MJ tidak terlucut, sedangkan kes rabut selalu terjadi jika menggunakan mata tiga.
Bagi mendapatkan MJ, apa yang paling mudah ialah mengenal pasti terlebih dahulu kawasan berstruktur yang ditenggelami air. Itulah sebabnya saya lebih suka mengilat ketika air surut. Reba mudah dilihat dan memudahkan kita melontar gewang dengan lebih baik. Dan yang paling penting, di kawasan inilah MJ bersembunyi, lebih-lebih lagi pada waktu matahari terik.
Ads
Ketika air pasang penuh pula, spot yang paling popular ialah tepian tebing sungai saja. Arus yang laju membawa MJ ke tepian sungai. Lebih-lebih lagi kebanyakan anak-anak ikan akan berada di tepi tebing pada waktu air pasang.
Ketika mengilat, rajin-rajinlah melihat kawasan sungai. Kenal pastilah kawasan-kawasan yang terdapatnya sambaran ke atas anak-anak ikan.
Spot ini adalah spot ketiga yang pasti untuk kita memerangkap MJ. Kebiasaannya selepas menyambar anak-anak ikan, MJ masih lagi berada di kawasan tersebut. Lontaran pertama gewang yang tepat kebiasaannya akan membawa naik seekor MJ bersaiz sederhana.
Ads
Spot di bawah jambatan pun jangan diketepikan, kawasan bertiang ini biasanya sangat berpotensi.
Waktu paling elok yang saya cadangkan untuk menjerat MJ ialah pada waktu air surut habis.
Ads
Logik saya berpegang pada waktu ini ialah kerana kebanyakan MJ dan juga kerapu yang saya peroleh tumpas pada waktu ini.
Kebanyakan MJ tidak akan pergi jauh pada waktu air surut. Jadi, bila ia tak ke mana-mana, mudahlah kita mendapatkannya.
Berlainan pula ketika air pasang penuh yang menyukarkan kita mengesan MJ. Kebanyakan MJ kurang diperoleh pada waktu air pasang penuh.
Satu sebab yang penting adalah kerana arus yang deras menyebabkan MJ akan berlindung di kawasan tepian sungai atau tebing.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Perairan Bintulu, sememangnya spot terbaik menduga penghuni laut dalam di negeri Sarawak selain spot di perairan Miri, Kuching, Mukah dan sebagainya.
Tidak hairanlah, ia sentiasa menggamit kehadiran ramai pemancing luar termasuk dari Semenanjung untuk menduga perairan yang berlatarbelakangkan pelantar minyak .
Untuk tidak mengecewakan peserta yang berkeinginan menyertai program memancing di Bintulu ini, satu trip memancing telah dilaksanakan.
Badrolhisham sebagai ketua kumpulan Jurangan Anglers terpaksa berusaha mendapatkan 2 buah bot berserta tekongnya iaitu Jamal dan Jasmin Julaihi.
Tiba pada hari kejadian, kami bergerak secara berasingan. Bot pertama dengan peserta seramai 14 orang yang dikendalikan oleh Jamal Julaihi menuju ke kawasan Pelantar Minyak Lucornia, bagi mereka yang mengambil pakej selama 4 hari 3 malam.
Manakala kumpulan penulis seramai 14 orang menyertai trip 3 hari 2 malam sahaja.
Dalam perjalanan penulis sempat bersembang dengan pemilik bot iaitu Jasmin Julaihi, yang bertindak sebagai pemandu bot atau lebih tepat juragan bot.
Orangnya kelihatan tenang mengemudi bot sepanjang 66’ x 13’ yang menggunakan enjin Cummin yang berkuasa 350 kuasa kuda.
Kami tiba di kawasan D35 jam 10.50 malam setelah mengharungi perjalanan dari jeti berhadapan Hotel Riverfront Bintulu.
Pemancing yang telah bersedia semenjak mula perjalanan bot bagaikan tidak sabar untuk melepaskan umpan ke dasar dan perasaan meluap-meluap untuk menjadi peserta pertama yang mendapat tarikan ikan.
Tanpa disangka dan tak pernah terjadi pada diri penulis, menjadi peserta pertama mendapat tarikan ikan merah walaupun dalam kategori merah hingusan.
Selepas itu penulis melihat Hasfiszal Haris @ Ijat bersama Gunasegaran menaikkan ikan merah berskala 2 kg diikuti pula Anuar Yusof dengan tenggiri seberat 3.375kg.
Sebaik sahaja Anuar melantaikan tenggiri tersebut terdengar suara sumbang secara bergurau yang mengatakan ikan tenggiri buta memakan umpan bolehlah dapat kata Jefry Ali.
Manakala Dr Raof, Dr Ikhram, Melvin Saw, yang berposisi di hadapan bot juga mendapat rentapan dari ibu kerisi, kerapu, dan cermin.
Di bahagian kiri bot pula Fauzi Edros, Zul Ah Chong mendapat ikan merah dan Kapas Batu. Di sebelah kanan bot pula Thambyrajah, dan Uma Kanthan dengan tarikan ibu kerisi dan kaci.
Hari Kedua
Keesokan harinya kami berpindah ke kawasan D18. Di lubuk ini kaedah pemancingan secara apollo lebih efektif berbanding kaedah satu mata kail.
Penggunaan kaedah apollo dengan 5 mata berumpankan cebisan sotong mati dan potongan ikan tongkol menjadikan hasil tangkapan meningkat 5 kali ganda malah ia menjimatkan masa.
Purata ikan yang berjaya diapollokan melebihi berat 700gram ke atas seekor, malah pembantu tekong bot Mahli Melana yang juga chef bersama Abdul Talib Sidi @ Lobo tidak akan mengarau apollonya selagi merasakan 5 mata kailnya tidak dipenuhi dengan ikan.
Dengan kedalaman yang mencecah sehingga 120 meter, ketika ini penggunaan kekili elektrik dilihat lebih praktikal berbanding penggunaan mesin manual.
Faktor kepantasan menjadi senjata utama dalam merebut peluang yang terhad sewaktu ikan dasar sedang galak membaham umpan.
Bagi yang suka akan cabaran, kaedah unjunan jig boleh memberikan kepuasan kerana ikan makan di tangan.
Pemancing perlu pandai menggayakan kaedah renangan, agar jig kelihatan seperti anak ikan yang tercedera bagi menarik pemangsa membahamnya, namun kaedah jigging ini amat memenatkan jika anda tidak mempunyai stamina yang kuat.
Malamnya kami berada di lubuk yang lain, dan kami masih digasak dengan ikan dari pelbagai spesies. Pendek kata tiada istilah bosan bagi pemancing melayan tarikan ikan, hanya keletihan dan mengantuk sahaja yang tak dapat dielakkan.
Dan malam itu juga menyaksikan Thambyrajah dinobatkan sebagai juara kerana beliau berjaya mendaratkan kerapu berstatus boron seberat 11.11 kg yang berumpan kan ikan
kunyit terbuang dengan joran Lemax 50-100 lb padanan mesin bertuahnya Banax Kaigen 1100 dengan tali Ichiban berkekuatan 100lb.
Hari ketiga kami mula bergerak pulang, dalam perjalanan tekong bot Jasmin berhenti di beberapa buah lubuk pilihan untuk memberi kepuasan kami memancing dengan menyasarkan spesies yang bergred A.
Hasilnya boleh dibanggakan sehingga masing-masing tersenyum lebar kepuasan, lebih-lebih lagi mendapat tahu rakan kami dari bot 1 yang dihubungi melalui radio dua hala memperoleh banyak spesies merah gadang berserta GT gergasi .
Dalam perjalanan pulang kami dihidangkan masakan mee rebus hasil sentuhan tangan Dr Raof dan sebelum tiba ke jeti kami membahagi bahagikan ikan sama rata dan diasingkan
ke dalam plastik dan dimasukkan ke dalam kotak polistrene yang bertulis nama sendiri untuk dibawa ke tempat pembekuan agar proses untuk membawa pulang ikan ke semenanjung tidak mendatangkan sebarang masalah ketika dalam penerbangan nanti.
Kami menaiki sebuah bot pancing antara yang terbesar di Kota Kinabalu yang boleh memuatkan seramai 14 kaki pancing dengan selasa. Bot besar dengan kabin berhawa dingin memudahkan kami berehat sewaktu 6 jam perjalanan menuju destinasi. Sasaran utama trip kali ini ialah ikan amberjack. Masing-masing ingin mencatat personal best untuk ikan amberjack yang terkenal di Sabah.
Tiba di lokasi, jig segera diturunkan sehingga mencecah dasar. Lantas henjutan demi henjutan dilakukan untuk menarik minat amberjack di bawah laut sana. Pelbagai jenis, warna dan saiz jig dihenjut namun sambutan adalah suram sekali. Mungkin masih awal petang lagi kami membuat andaian.
Di sudut lain, beberapa ekor kerapu dan merah kecil menjadi hiburan kaki dasar. Cuma Zul lebih beruntung apabila seekor kerapu dewasa menelan umpan sotong. Kagum melihat geng Sabah ini yang boleh jigging berterusan tanpa menunjukkan tanda-tanda keletihan atau kehampaan apabila tiada sambaran.
Amberjack pertama anggaran 3 kg memulihkan kembali kekuatan yang kian pudar untuk ramai kaki jig kembali beraksi. Serangan amberjack tidak lama mungkin ia menyambar ketika laluan amberjack tepat dengan unjun jig.
Joran Jigging Master PE3-PE6 yang dipadankan dengan Shimano Stella 10000 menerima sambaran amberjack kedua. Itupun setelah tuannya beberapa jenis dan warna jig ditukar ganti. Kegelisahan akhirnya terpadam tatkala saat matahari mula hampir terbenam apabila beberapa ekor amberjack mula tumpas di tangan kaki jigging yang rajin mengunjun jig.
Kami berhenti memancing sambil bersembang ketika menikmati makan malam. Bertukar cerita dan merangka pelan aktiviti memancing untuk keesokan hari. Ada yang memilih untuk berehat di kabin dan sebahagian kami memilih untuk sambung aktiviti memancing.
Letih jigging kami menukar tumpuan memancing dasar pula. Memancing dasar pada waktu yang tiada arus membuatkan pemancing lebih banyak termenung, terduduk, terperosok mencari tempat redup daripada tiupan angin, setiap getuan terjadi pada selang masa agak lama.
Saat mata hampir terlelap terganggu apabila satu kekili menjerit. Rupanya umpan selayang yang dihanyutkan menerima sambaran. Hasilnya seekor tenggiri 5 kg tumpas. Menyedari kehadiran tenggiri kami mula tukar strategi dari memancing dasar ke pertengahan dan bawah permukaan air. Pada saat itu masing-masing semuanya merasa sambaran tenggiri.
Menjelang awal pagi tenggiri mula menyepi, tapi geng Sabah ini pulih kembali tenaga untuk kembali jigging. Syam membuka tirai awal pagi kedua apabila menerima sambaran padu sebaik sahaja jig dihenjut dari dasar.
Menyedari apa spesies yang membaham jig tersebut, joran jigging yang tersadai semalaman dicapai kembali. Sah amberjack dikesan berlegar di bawah bot kami pada kedalaman 120 meter.
Tatkala Syam masih lagi melayan kerenah amberjack, Plabuk dan Zul turut mengena sasaran. Ketiga-tiga beradik kaki pancing tegar dari Ranau ini bagai enggan mahu mengalah. Saiz amberjack kali ini lebih besar daripada petang hari pertama.
Bot berpindah spot apabila amberjack kembali sunyi sebaik sahaja matahari meninggi. Yang berjaga malam masuk beradu dan yang masuk shift siang membuat persiapan memulakan sesi hari kedua.
Bila waktu petang tiba, masing-masing mula mengambil tempat. Joran dasar rata-ratanya sudah disimpan kerana sambutan yang diterima hanyalah anak-anak ikan sahaja. Aktiviti jigging sahaja ditumpukan berdasarkan ikan lebih berminat menyambar objek yang bergerak tatkala air kekat.
Seperti kebiasaan tiga beradik Sabah ini terlebih dahulu strike. Kerajinan mereka menjadi titik tolak yang lain untuk turut sama berjigging. Bunyi kekili berteriak kasar memeriahkan lagi suasana untuk merasai kepuasan dengan membuat masalah dengan amberjack. Semua ini tidak berpanjangan kerana serangan amberjack hanya seketika dan sepi bila perubahan pasang surut terjadi.
Waktu malam kami sekali lagi menyasarkan tenggiri namun hanya lewat maam gerombolan tenggiri mula menyambar umpan. Ramai ketika itu sudah dibuai mimpi. Untungnya penggunaan umpan dan jig kedua-duanya berkesan ketika itu.
Tapi masalah timbul waktu ini kerana sewaktu semuanya strike serentak, tiada siapa yang membantu menggancu ikan. Disebabkan kedudukan bot yang tinggi, banyak tenggiri lucut dan putus sewaktu ingin dinaikkan. Ikan semakin galak dan ramai yang turut menyertai sesi pancing menjelang masuk Subuh.
Hari ketiga masih ada yang belum menemui sentuhan turut mencuba nasib terakhir. Lazimnya Syam akan membuka tirai diikuti oleh Zul dan Labuk. Masing-masing tahu waktu amberjack bakal hentam jig.
Akhirnya barulah peserta terakhir tersenyum apabila amberjack idamannya tewas. Bila semua merasai ikan buruan, kami memberi isyarat pada tekong untuk menamatkan misi trip Sabah kali ini.
Kedatangan kami kali ini di Pulau Bidan dan Pulau Telor yang terletak di daerah Yan, Kedah didukung dengan keazaman yang tinggi untuk menjinakkan barracuda. Teknik pancingan barracuda atau turut dikenali sebagai ikan alu-alu bukanlah seperti yang selalu dibayangkan iaitu melepaskan gewang di belakang bot, sambil bot bergerak dan tunggu sehingga isyarat dari kekili.
Pertembungan Epik!
Setelah hampir 15 minit menunggu strike yang pertama, gewang Strike Pro Titan yang ditunda akhirnya disambar rakus spesies yang turut terkenal dengan bergigi tajam ini. Sebaik sahaja ia mengena, Samson Khor berjaya mengawal karauan kekili dengan baik dan selang beberapa minit, barracuda pertama akhirnya terkulai di tepi bot.
Tundaan kemudiannya diteruskan di lokasi yang sama, kerana dipercayai terdapat kawanan spesies ini sedang berkeliaran. Ternyata telahan kami tepat, apabila selang beberapa minit seekor lagi barracuda bersaiz gadang berjaya diperdaya. Kali ini boleh dikatakan agak memenatkan kerana terpaksa melayan corak agresif ikan ini sehinggalah ia naik ke permukaan air.
Bonus! Tangkapan kerapu
Ketika kami sedang trolling, tiba-tiba kami dikejutkan dengan sergapan kuat. Paling mengejutkan adalah gewang berkenaan terkena ikan kerapu besar. Berkemungkinan ketika kami sedang menunda berhampiran pulau yang airnya tidak terlalu dalam, gewang berkenaan melalui rumah sang kerapu. Ia memang satu bonus kerapu diperdaya dengan teknik trolling.
Tiada Lagi Barracuda
Pada sebelah lewat petang, kami sedikit hampa kerana tiada lagi barracuda yang berjaya diperdaya oleh kami meskipun banyak kali tundaan dilakukan di lokasi yang berbeza. Lantas, kami sebulat hati untuk mencuba casting dan mikro jigging di sekitar pulau-pulau di sini.
Khabarnya, pada lewat petang terdapat GT yang mencari makan di kawasan kami di antara Pulau Bidan dan Pulau Telor. Menunaikan hasrat yang terpendam sekian lama untuk mencuba, akhirnya tidak memerlukan durasi masa yang panjang untuk menjumpai saiz GT sederhana yang terjerat dengan mikro jig Bakau.
Memanglah seronok sekali, apabila tertancap sahaja mata kail pada gewang di mulut GT. Larian yang tajam dan kencang memberi sedikit sebanyak perasaan keterujaan lebih-lebih jika kekili yang digunakan berkategori sederhana ringan di antara 3000 hingga 3500.
Cuba-Cuba Apollo
Menuju penghujung trip, kami sempat mencuba-cuba memancing teknik pancing appolo. Menyedari potensi pancingan appollo di kawasan ini agak tinggi dengan tidaklah berhadapan kesukaran begitu ketara.
Kami dihadiahkan dengan saat-saat pancingan yang indah sekali apabila selang beberapa minit mencuba akhirnya beberapa ikan sasaran yang kami hajati naik ke permukaan. Kami akui pancingan teknik appolo tidak membosankan jika mencubanya.
Durasi masa yang hendak ditunggu untuk ikan sasaran menjelma ke permukaan tidaklah begitu lama. Walau bagaimanapun, bergantung pada keadaan air laut dan cuaca, jika segalanya baik dan air tidaklah begitu bergelora pastinya pancingan appolo hasilnya lebih baik di sini.
Kesimpulan Trip
Apa yang boleh kami simpulkan sepanjang trip di Pulau Telor dan Pulau Bidan untuk trolling boleh disifatkan memberangsangkan. Walaupun pada mulanya, kami berhasrat untuk melihat beberapa lagi strike dari barracuda yang bersaiz gadang tidak kesampaian.
Namun begitu, kepuasan apabila setiap kali tancapannya paling bakal kami tagih jika berkesempatan datang ke sini semula. Melihatkan pemilihan warna gewang juga memainkan peranan yang besar.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...