Kami berempat bertolak dari Gombak dan tiba di majlis sekitar jam 2.00 petang. Selesai makan kenduri, kami tidak bercadang untuk terus pulang ke Gombak.
Rugi pulak pergi jauh-jauh ke kampung orang kalau tidak cuba melontar gewang di mana-mana padang pancing berdekatan.
Berbekalkan maklumat dari sahabat yang baru menamat zaman bujangnya, kami meredah padang pancing sekitar Senggarang.
Tujuan asal kami adalah untuk casting siakap. Namun tidak temui spot siakap yang dipetakan. Padang pancing yang kami temui agar menarik juga. Kawasan pantai bertebing tinggi yang memanjang dan bersebelahan pula dengan parit yang juga panjang.
Berikutan sukar untuk menuruni tebing tinggi, kami mengambil keputusan untuk mencuba nasib mengilat haruan di sepanjang parit yang menjadi sumber pengairan kebun sawit.
Saya percaya parit itu menjadi padang pancing kepada pengilat tempatan yang kerap kelihatan meronda dengan motosikal bersama joran dan softfrog mini pada hujung joran.
Setelah meninjau dan berjalan di sepanjang tebing parit itu saya temui satu spot yang kelihatan agak berpotensi.
Ada kelibat seperti haruan meneguk udara di kawasan lapang yang dipenuhi rumpair. Lontaran soft plastic (SP) yang pertama segera disambut namun sambarannya tidak lekat.
Menyedari keinginan seorang sahabat yang kepingin lesen haruan, saya segera memberi ruang tersebut kepada beliau.
Saya yakinkan beliau ada haruan yang menunggu di spot tersebut dan perlu memujuknya berikutan kes rabut tadi. Malah saya beri beliau guna SP yang gunakan tadi.
Beberapa minit memujuk, haruan tadi kembali menyambar namun tidak mengenai tepat pada sasaran. Karan pertama yang beliau rasai itu membuatkan adrenalinnya melonjak.
Saya yakinkan beliau lagi haruan tersebut akan kembali menyambar. Beliau terus tekun melontar dan memujuk dan akhirnya… sukses!
Seekor haruan anggaran 1kg didaratkan dengan selamat. Selesai sesi bergambar, haruan tersebut kami lepaskan semula ke habitatnya.
Kejayaan itu mendorong rakan lain untuk merasai tarikan haruan Senggarang. Sehinggakan ada yang sanggup meredah lebih jauh parit tersebut. Hasilnya, seorang lagi sahabat berjaya juga memperolehnya walaupun bersaiz curut.
Jika tidak kerana hari semakin senja dan kami perlu pulang ke Gombak, mungkin seorang lagi sahabat atau saya sendiri turut sama dapat merasai karan haruan parit Senggarang.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Mengambil nama sempena nama Kerajaan Melayu Melaka ketika pada zaman kegemilangannya, Selat Melaka muncul sebagai laluan perkapalan tersibuk dan terpanjang di dunia.
Di kalangan kaki pancing pula, Selat Melaka adalah lubuk terbaik menjengah jenahak, kerapu dan ikan lain melalui kaedah moden slow jigging.
Di negeri melaka sendiri, telah muncul beberapa tekong bot yang menyediakan pakej memancing secara fully jigging, antaranya Jimmy chen.
Cuaca cukup cantik sebaik sahaja saya tiba lewat petang sehari lebih awal di Melaka untuk trip slow jigging.
Dua minggu sebelum itu, saya menerima ajakan daripada Chong Kitsoon, tauke kedai Fishmax Tackle, Bukit Tinggi, Klang, untuk slow jigging di perairan negeri Melaka.
Malam harinya sementara menantikan Chong yang lewat tiba, saya bersama dua rakan terlebih dahulu pekena asam pedas tidak jauh dari hotel penginapan.
Memang rugilah, kalau datang ke sini, kalau tak rasa asam pedas original Melaka ni.
Angin padu
Awal pagi, kami bertemu Chong Kitsoon di lobi hotel, termasuklah Peter, Felmon Soon dan tekong Jimmy Chen.
Sebelum bertolak ke jeti, kami bersarapan terlebih dahulu di kedai makan berhampiran hotel selain tapau bekalan makan tengah hari serta kudapan untuk mengisi perut ketika di atas bot nanti.
Sebaik sahaja keluar jeti, laut agak beralun disebabkan angin yang agak kuat. Nun di atas, awan hitam kelihatan tanda hujan akan turun.
Mujurlah situasi ini tidak lama. Angin yang bertiup telah menurunkan hujan di kawasan daratan.
Selepas 2 – 3 kali bertukar lubuk, akhirnya strike pertama diperolehi. Unjunan jig dari seorang diragut selepas dia yang berhasrat mahu menaikkan jig untuk menukar kepada jig lain.
Sayangnya ketika mahu menaikkan ke atas, talang besar berjaya melepaskan diri. Mungkin disebabkan jig berkenaan hanya terlekat sedikit sahaja pada mulut talang berkenaan.
Ujar Jimy, dia menyasarkan spot karang sahaja pada sebelah pagi sebelum ke spot kapal karam.
Ini kerana beberapa tompok karang dan kawah telah banyak ditemuinya dan dia berhasrat mahu kami mencuba di spot-spot berkenaan.
Selain itu, beberapa spot karang tinggi juga kami uji, di mana di satu lubuk ini Chong yang berada di belakang menerima satu sambaran dan keputusannya, tiada masalah untuk dia menaikkan seekor alu-alu.
Felmon Soon yang berada di belakang turut berjaya menaikkan kerapu saiz hidangan.
Walaupun trip slow jigging tidak menetapkan sebarang ikan sasaran, janji ikan makan jig, tetapi dalam list utama kebanyakan kaki slow jigging perairan Pantai Barat Semenanjung sudah pastilah si ikan jenahak, kerapu mahupun tenggiri menjadi sasaran.
Begitu jugalah dengan kami. Bonus sekiranya berjaya menaikkan saiz mama dan ‘tong gas’.
Begitu juga bonus tambahan sekiranya berjaya menaikkan GT, merah, sagai, alu-alu dan sebagainya.
Semuanya bergantung pada kepakaran tekong mencari spot dan kerajinan si pemancing mengaplikasikan jigging serta tuah sama ada naik atau tidak ikan berkenaan.
Pada pengamatan saya, tekong Jimmy memang memiliki banyak spot. Dia juga rajin dan cepat menukar lubuk, sekiranya di sesuatu spot berkenaan tidak berhasil.
5-10 minit jika tiada sebarang sambaran, dia akan segera menukar lubuk. Kerap juga Jimmy bercerita tentang pengalaman mereka menduga lubuk-lubuk sekitar Melaka dalam trip-trip terdahulu.
Chong pula, meskipun terkenal dengan mulut becoknya bila berada di atas bot, dia sering memberi tunjuk ajar kepada rakan yang lain, terutama cara jigging serta bertindak sebagai
skipper memberi petunjuk kepada rakan lain terutama yang berada di depan bilamana timing yang betul menurunkan jig.
Sedekah jig
Menghampiri jam 4 petang, cuaca masih lagi terik, walaupun Jimmy mengatakan dua hari sebelumnya, Melaka asyik hujan berserta angin kuat sebelah petang.
Cuaca pada waktu itu cukup terik memaksa sebotol demi sebotol air mineral dingin yang dicampurkan dengan pati oren Sunquick diambil untuk menghilangkan tenaga.
Tidak terkecuali sambil berjigging, buah tembikai menjadi pemanis mulut yang wajib dibawa setiap kali turun ke laut.
Seperti yang dijanjikan, Jimmy membawa kami ke spot kapal karam. Ujarnya, terdapat enam spot koordinat kapal karam berselerakan sekitar perairan Melaka berada dalam simpanannya.
Awal-awal lagi, Jimmy berkata spot ini kerap menghampakan ramai para jigger kerana kerap kali kes tersangkut jig berlaku.
Memang tidak dinafikan, spot kapal karam memang lubuk ikan, tetapi jika tidak tepat jatuhan ataupun unjunan jig sudah tersasar memang 99.99 peratus jig akan sangkut di bawah sana.
Nasib kami, petang arus sudah bertukar agak laju. Sukar untuk meletakkan jig dengan tepat ketika bot sedang drift. Akibatnya beberapa ketul jig menjadi tukun di bawah sana.
Dalam situasi tersebut, masih ada strike dan habuan buat kami, apabila beberapa ekor kerapu berjaya didaratkan. 3 ekor jenahak juga berjaya dinaikkan.
Penulis pula hanya memperoleh seekor talang menjelang senja, pengubat kumpau sebelum trip sehari jigging di Melaka berakhir sekitar jam 7.50 malam.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Dalam kenyataan akhbar Dewan Bandaraya Kota Kinabalu bertarikh 5 Ogos (kelmarin) mengesahkan seekor ikan bersaiz monster atau nama saintifiknya Arapaima gigas ditemui mati terapung di tepi Tasik Taman Tun Fuad Stephens, Kota Kinabalu.
Ikan arapaima merupakan antara ikan air tawar terbesar dunia berasal dari Lembangan Amazon. Ikan gergasi spesis ini ditemui mati di Bukit Padang, Kota Kinabalu Sabah.
Dipercayai ia adalah ikan jenis Arapaima yang biasanya hidup di perairan Amazon Brazil. Ikan sepanjang 7kaki dan seberat 108kg itu ditemui mati oleh anggota Bahagian Taman
Awam, Jabatan Landskap Dewan Bandaraya Kota Kinabalu sekitar jam 8.00 pagi semasa kerja-kerja pembersihan di tepi tasik Taman Tuan Fuad Stephens (Bukit Padang).
Pihak DBKK menafikan ikan tersebut dipelihara oleh DBKK, berkemungkinan ikan itu dilepaskan oleh pemilik ke Tasik Taman Tun Fuad Stephens kerana tidak mampu menjaganya.
Institut Penyelidikan Marin Borneo, UMS telah membawa ikan tersebut ke makmal untuk mengenal pasti punca kematian.
Berita yang turut dipaparkan di Facebook Persatuan Haiwan Malaysia – Malaysia Animal Associations itu ternyata mendapat pelbagai respon dari netizen.
Ramai yang menzahirkan kebimbangan spesies ikan invasive yang dari negara luar yang kini berada di perairan Malaysia mengganggu ekologi dan mengancam spesies ikan tempatan.
Kemusnahan spesies ikan tempatan akan berlaku sekiranya peminat ikan membawa ikan spesies ganas dan pemangsa dari luar dan tidak bertanggungjawab melepaskan ikan
pemangsa sebegini ke sungai, tasik dan lombong dinegara ini apabila sudah tidak mampu memeliharanya lagi.
Lebih dibimbangi jika ikan ini membesar ke saiz yang maksimum membahayakan bot kecil pemancing dan mampu menterbalikkan bot pemancing yang sedang berada di tasik atau sungai tanpa mengetahui spesies pengancam ini telah lama berada di tasik tersebut.
Antara lain komen netizen:
“Dari tahun 90-an ikan arapaima ni sudah ada di tasik tu (Taman Tun Fuad Bukit Padang). Bukan 1-2 ekor tapi banyak… labi-labi saiz meja bulat pun pernah dijumpai di taman ini.” – Marc Jude MJ
“Sama jugak dengan ikan peacock bass (ikan raja). Sekarang populasi dia dah meningkat dan populasi haruan berkurangan sebab peacock bass ni suka makan anak-anak haruan. Boleh dikatakan hampir semua kolam ada ikan raja ni.” – Naan Tamizhan
“Aritu sy ade tgk discovery channel, x silap sy yg berlaku di US dan di UK sampai rosak ekosistem sg, tasik disebabkan kepercayaan penganut Buddha yg menganggap dgn
melepaskan ikan atau kura2 dapat menghapuskan dosa mereka dan mendatangkan karma yg baik. Ikan yg bawak karma elok tu kebanyakkan nya jenis invasive. Teruk jugak impact ekosistem sg tasik depa. Habis ikan lain kena makan.” – Khairiah Ali-Carr
“Antara spesies yg gila bela, lepas tu lepaskan kt perairan negara… peacock bass, flower horn, cherax (yg diorg panggil lobster air tawar tu…jadahnye lobster), keli afrika… waima
talapia tu pun bukan asal negara kita…tngok bersepah talapia kat sungai dan lombong negara kita.” – Selamanya Jex
Sekitar jam 7 pagi, konvoi sudah pun berada di kemuncak tertinggi di hutan simpan Hulu Lepar. Namun ia baru separuh perjalanan jalan balak sejauh 60 km. Cuaca yang amat baik melancarkan perjalanan konvoi. Trek hardcore hanya akan ditempuh apabila memasuki simpang ke Sanka 4 atau hulu Sungai Tekai.
Namun, perancangan memasuki hutan seawal jam 4 pagi yang disangka satu langkah bijak ternyata ke belakang juga. Kesan-kesan tayar yang masih baru di persimpangan ke Sanka 4 menunjukkan ada grup lain yang masuk lebih awal dari kami.
Umpama casting dengan menggunakan bot, apabila satu suak atau lubuk itu telah ada bot lain maka wajiblah beredar mencari suak lain pula. Begitulah juga hukumnya apabila Sanka 4 sudah dimasuki oleh grup lain maka tidaklah boleh kami redah juga.
Biarpun secara rohaninya trip ini berakhir, tapi alang-alang sudah jauh ke tengah hutan belantara, kami meneruskan perjalanan ke Sanka 3. Trek ke Sanka 3 merupakan jalan balak yang masih aktif. Meskipun kongsi balak di pinggir sungai utama iaitu Sungai Tekai sudah ditinggalkan namun kerja-kerja mengeluarkan kayu balak masih dilangsungkan.
Namun ketua konvoi memutuskan tidak mendirikan campsite di situ sebaliknya meneruskan lagi perjalanan sehinggalah menemui anak Sungai Tekai dan di anak sungai dengan paras air setakat tulang kering itulah campsite didirikan!
Setelah mendirikan khemah dan mengalas perut, kurang satu perempat dari ahli trip yang merupakan ‘pemancing’ terpaksa kembali ke Sungai Tekai untuk ekspedisi memancing. Hazani, anak jati Lepar Utara yang merupakan guide kami meranduk ke hulu sungai manakala kami berlima meranduk mengikut arus sungai paling dalam separas paha ke hilir.
Hampir setengah hari mudik dan kemudian meranduk arus kembali tempat asal tanpa tidur pada malam sebelumnya maka dapatlah seekor kelah kurang dari setengah kg, kejor dan tengas sebesar empat jari dan beberapa ekor sikang dan sebarau dilepas dan terlepas kembali ke habitat asalnya.
Namun Hazani yang meranduk ke hulu seorang diri hampir 5 kilometer memperoleh hasil yang baik juga selamat dijadikan juadah kami pada senja tersebut. Hasil yang diperolehi oleh Hazani itu membuatkan kami sepakat untuk mendesak ketua konvoi bertukar campsite ke Sungai Tekai.
Namun apabila kami tiba di campsite, hasrat itu berkubur begitu saja apabila ditayangkan hasil menjala berdekatan campsite di anak sungai Tekai. Macam tak percaya juga ada kelah merah yang agak kasar juga di anak sungai tersebut. Mahu tak mahu, sungai separas tulang kering itu akan diranduk hingga ke hulunya pada keesokan harinya.
Walaupun ada ahli trip yang sudah putus harap namun ada pula ahli baru menyertai ekspedisi meranduk ke hulu anak Sungai Tekai. Bergerak secara berkelompok dan berperingkat, saya bersama seorang rakan bergerak dalam kelompok kedua terakhir.
Meranduk melawan arus sememangnya memenatkan apatah lagi jika hanya memakai sandal. Namun lebih memenatkan setelah setengah meranduk, tiada satu spot pun yang berpotensi untuk melontar gewang.
Sungainya terlalu mendatar tanpa lubuk dalam. Akhirnya setelah satu jam meranduk sungai dan menyusur tebing, saya mula hilang harapan untuk bertemu lubuk dan memutuskan untuk tidak meneruskan perjalanan.
Ternyata keputusan yang diambil adalah tepat berikutan laporan memberangsangkan selain kekecewaan yang dibawa pulang oleh kelompok pertama yang meranduk sehingga ke punca air anak sungai tersebut. Hampir 10 kilometer mereka redah namun tidak ketemu lubuk yang diimpi-impikan selain terkapar kepenatan.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...