Lebih SEJUTA benih udang galah dilepaskan!

Share

Jabatan Perikanan Negeri Sembilan, diterajui pengarahnya, Halimi Hanip, 8 Ogos lalu mencatat sejarah paling manis dalam Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi usaha pelepasan lebih sejuta benih udang galah bernilai RM120,000 ke sistem Sungai Timun, Rembau.

Majlis simbolik pelepasan benih udang galah (baka udang galah mega atau jenggo) kira-kira 1,139, 472 itu disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan di Pengkalan Nelayan Sungai Timun.

Sijil MBOR berkenaan disampaikan sendiri wakil MBOR, Muhammad Shukri kepada Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Ismail Abu Hassan. Menurut Ismail, Negeri Sembilan telah menyumbang pengeluaran udang galah sebanyak 86 tan metrik bersamaan 32.12 peratus  pengeluaran udang galah di negara ini bernilai RM4.2 juta dan menjadi negeri kedua terbesar selepas negeri Perak bagi sumbangan hasil berkenaan.

Muhammad (dua, kiri) menyerahkan sijil MBOR kepada Ismail

“Terdapat pengurangan trend pendaratan udang galah bermula pada tahun 2011 iaitu sebanyak 3.52 tan metrik kepada 0.61 tan metrik pada tahun 2015.  Oleh itu,  menjadi tanggungjawab Jabatan Perikanan bagi memulihara dan meningkatkan sumber udang galah di Sungai Timun ini.

Dalam program ini, pihak Syarikat Tg. Utara sudi menyumbang benih udang galah sebanyak 1 juta ekor dan sekiranya 10% kadar hidup, dianggarkan hasil sebanyak 3.3 tan metrik dengan nilai RM 233 ribu akan dihasilkan,” katanya sempena Majlis Pelepasan Benih Udang Galah Mega di Pengakalan Nelayan Sungai Timun,

Ismail berkata, di Negeri Sembilan terdapat tiga buah hatcheri udang galah aktif dan bilangan penternak udang galah di negeri ini adalah sebanyak 35 orang. Menurutnya, untuk rekod tahun lalu sahaja, Sungai Timun berjaya menarik hampir 680 pemancing rekreasi dan purata sebulan seramai 50 orang.

Pengarah Perikanan Negeri, Halimi Hanip (kanan) turut sama melebihkan benih udang

Sementara itu Pengarah Jabatan Perikanan Negeri, Halimi Hanip berkata, program pelepasan 1 juta benih udang galah ini merupakan rekod terbanyak yang pertama kali dalam sejarah negara dan telah mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Recods.

Jabatan berharap dengan pelepasan ini di kawasan Pengkalan Nelayan Sg. Timun (iaitu Sg. Rembau yg mengalir ke Sg. Linggi), ia akan meningkatkan sumber udang galah dan seterusnya dapat dinikmati hasilnya oleh pemancing rekreasi serta meningkatkan sosio ekonomi penduduk kampung setempat.

IKLAN