UMPAN: Ceritakan bagaimana boleh terlibat dan sejak bila memancing?
ISABELLA: Saya menceburi bidang memancing secara serius bermula pada tahun 2016, tetapi sememangnya sudah ada minat sejak dari kecil lagi.
Dan bonus untuk saya apabila suami juga mempunyai hobi dan minat yang sama.
UMPAN: Kenapa anda memilih hobi ini?
ISABELLA: Saya memilih hobi memancing ini adalah kerana saya merasakan hobi ini unik dan memerlukan kesabaran yang tinggi.
Ads
Selain daripada itu juga hobi ini agak mencabar sebenarnya. Memancing juga membantu saya meningkatkan keyakinan diri saya yang jika sebelum ini saya seorang yang kurang
yakin pada diri dan takut serta malu untuk berhadapan dengan orang ramai. Dan dengan memancing saya dapat mengatasi masalah tersebut sedikit demi sedikit.
UMPAN: Apa rintangan dan harapan anda dalam meneruskan hobi ini?
ISABELLA: Rintangan yang saya hadapi sepanjang memancing adalah sukar untuk mencari port yang berpotensi di area tempat tinggal saya, dan terpaksa selalu keluar mencari port yang agak jauh hanya untuk hobi ini.
Pernah menaiki motosikal selama 3 jam lebih untuk ke lokasi yang berpotensi strike. Alhamdulillah… ada rezeki kami. Hehe…
Ads
Harapan saya adalah supaya lebih ramai golongan wanita yang menceburi bidang memancing ini dan berharap masyarakat berhenti berfikir bahawa memancing ini hanya sesuai untuk kaum lelaki sahaja.
UMPAN: Pengalaman memancing yang manis atau pahit?
ISABELLA: Pengalaman manis adalah apabila dapat mengikuti event ataupun komplot yang mengumpulkan caster daripada banyak tempat selain dapat berkenalan dengan ramai kawan dari bidang yang sama.
Pengalaman pahit pula pernah terjatuh Dari tempat tinggi ketika hendak menuju ke port memancing. Kesan daripada jatuh tersebut saya mengalami kesakitan pada bahagian perut dan belakang badan selama sebulan.
Ads
UMPAN: Pencapaian membanggakan yang pernah anda peroleh?
ISABELLA: Pencapaian membanggakan saya buat masa ini masih belum ada kerana spesies target yang saya inginkan masih belum berjaya diperolehi lagi… hehehe.
Sasaran saya selepas ini, hobi ini tidak akan menjadi sekadar hobi saja kerana saya dan suami dalam proses mengeluarkan soft frog jenama sendiri.
Di seluruh dunia, ekosistem air tawar sebenarnya telah sekian lama menyokong beribu spesies unik dan beratus juta manusia.
Melalui projek Megafishes, pakar ekologi akuatik Zeb Hogan mengembara ke serata pelusuk dunia dalam usaha menyelamatkan spesies ikan terancam dan masyarakat sekeliling yang turut sama berkongsi habitat.
Melalui siri televisyen terkenal iaitu Monster Fish, kita dapat melihat kegigihan usaha yang dilakukan oleh Zeb Hogan untuk menyelamatkan spesies ikan terancam dan ekosistemnya.
“Konservasi biodiversiti air tawar termasuk patin Mekong, ikan pari air tawar atau memerang sama pentingnya dengan konservasi haiwan seperti harimau atau ikan paus, mungkin lebih penting lagi.
Jadi marilah kita menjaga ekosistem air tawar ini seperti kita menjaga hutan hujan dan terumbu karang,” memetik antara kata-kata lelaki Amerika ini.
SAINS, PENDIDIKAN DAN OUTREACH
Hogan percaya pendekatan baharu, pelaburan dan kajian menawarkan harapan baru untuk komuniti perikanan dan ikan itu sendiri.
Seperti contoh, di Kemboja, apabila spesies terancam ditangkap, Hogan akan membeli ikan tersebut hidup-hidup sebelum mengambil data kajian dan melakukan proses tagging sebelum dilepaskan kembali.
Pendekatan ini secara tidak langsung mampu menyelamatkan spesies terancam dan membolehkan para saintis mendapatkan data seperti paten migrasi, kegunaan habitat dan pengetahuan tentang kadar kematian.
Menurut Hogan, sains bukanlah satu-satunya elemen penting. Pendidikan dan outreach juga sangat kritikal kerana di kebanyakan tempat, konservasi spesies ikan terancam seakan-akan konsep yang terlalu janggal. Maka ia perlu diperkenalkan sehingga menjadi relevan.
Untuk menggambarkan elemen tersebut, Hogan menerangkan berkaitan sebuah buku tentang konservasi ikan yang diterbitkannya sendiri bersama rakan kajian dan diberikan kepada kanak-kanak di Kemboja.
Dengan tambahan elemen fotografi, jelas kanak-kanak itu menikmati bahan bacaan tersebut dan berebut untuk mengenal pasti spesies ikan yang ada.
Selain Kemboja, Hogan juga terlibat dalam projek di Mongolia yang terkenal dengan salmon gergasi.
Dengan bantuan internasional, masyarakat tempatan akan diperkenalkan dengan sistem konsesi di mana syarikat eko-tourism akan mempromosi dan membayar untuk trip fly fishing tangkap dan lepas.
Jadi, salmon akan kembali dilepaskan dan komuniti tempatan mendapat insentif ekonomi di samping mengekalkan konservasi sumber.
TERUJA KEMUNGKINAN PENEMUAN BAHARU
Kebanyakan gergasi air tawar mempunyai berat lebih 200 lb dan spesies inilah yang paling terancam. Oleh sebab itu, Hogan melakukan bancian global berkaitan ikan gergasi air tawar.
Dapatannya menunjukkan kebanyakan tempat yang mahu dijelajahinya masih belum terusik oleh kajian saintifik.
“Ini merupakan peluang untuk membuat penemuan baharu tentang biodiversiti tempatan, perbandingan ekologi dengan sistem sungai lain, pemerhatian baharu kepada sikap haiwan dan mungkin membuat penemuan spesies baharu,” tambah Hogan lagi.
“Misteri penemuan baharu seperti ini menambahkan lagi keterujaan saya untuk menjelajah. Dengan kerjasama pakar lain, saya harap kami dapat mencipta satu badan maklumat yang baharu tentang perbandingan ekologi dan konservasi ikan gergasi ini.”
“Seingat saya, saya memang sejak sekian lama teruja dengan ikan, sungai dan sistemnya,” Hogan menyambung.
“Saya juga meminati bidang kajian, sains dan penjelajahan. Projek-projek ini tidak langsung membolehkan saya menggabungkan kesemua minat saya dan menyalurkannya kepada orang lain, yang saya harap akan turut mengambil tindakan yang betul untuk mempertahankan tempat-tempat yang menakjubkan ini.”
Profil
Nama : Dr. Zeb Hogan
Asal : Arizona, USA
Pendidikan : Research Assistant Professor
Kerjaya : Ahli Ekologi Perikanan/Photographer/ Hos Rancangan Monster Fish
Siri dokumenteri River Monster terbitan Animal Planet, bukan saja mendapat perhatian para pemancing seluruh dunia, bahkan turut sama menorbatkan pengacaranya, Jeremy Wade sebagai ikon dunia pancing masa kini.
Jeremy Wade merupakan seorang ahli biologi, pemancing ekstrem dan hos bagi rancangan yang tidak asing lagi iaitu River Monsters.
Selama 25 tahun, Jeremy telah menghabiskan masanya menjelajah ke sungai-sungai paling terpencil di seluruh dunia.
Sepanjang perjalanan kariernya, dia telah berhadapan dengan pelbagai kejadian yang pelik ketika memancing selain risiko yang boleh mengundang maut.
Kesemua risiko terpaksa dilalui oleh Jeremy dalam mendokumentasikan beratus-ratus kisah ikan dan budaya setempat setiap lokasi kunjungannya.
Pada tahun 1992, Jeremy menjadi penulis bersama dalam penghasilan buku yang dianggap penulisan klasik untuk pemancing iaitu Somewhere Down the Crazy River.
Dia juga mendokumentasikan sejarah semula jadi dalam pengembaraannya dalam buku terbarunya bertajuk River Monsters: True Stories of the One That Didn’t Get Away yang dihasilkan pada tahun 2011.
KUNJUNGAN KE MALAYSIA
Dalam jelajah mempromosikan siri River Monsters musim ke-6 lalu, Jeremy sempat singgah di Kuala Lumpur pada 24 Mei 2014 yang lepas.
Bertempat di Sunway Hotel, beliau sempat meluangkan masa bertemu peminatnya. Jeremy juga berkongsi cerita pengembaraan terbaru berkaitan River Monsters musim ke-6,
pertarungannya dengan gergasi air tawar Asia serta tip dalam menjinakkan spesies gergasi.
Figura yang dibesarkan di Suffolk Stour, England ini menjelaskan keghairahannya terhadap gergasi air tawar bermula sejak tahun 1982 ketika tripnya di India.
Sejak itu, dia terus menghabiskan masanya menjejaki ikan gergasi yang mempunyai maklumat yang minimum di seluruh dunia terutama di Congo dan hutan hujan Amazon.
Menurut Jeremy, dia tidak melihat dirinya sebagai pemancing yang handal, tetapi dia mempunyai peluang untuk menjejak lokasi-lokasi terpencil yang sangat jarang dikunjungi.
“Mengumpul maklumat daripada penduduk setempat tentang tip dan teknik sangat penting dalam untuk mendaratkan ikan gergasi dan melalui cara ini anda dapat melihat dan mempelajari diversiti budaya setempat,” tambah Jeremy lagi.
PENGALAMAN SEPANJANG RIVER MONSTERS
Musim terbaru, Jeremy lebih tertumpu kepada lokasi Sungai Amazon dengan lokasi yang lebih terpencil selain beberapa lokasi lain di seluruh dunia.
Jeremy menjelaskan, selama berdekad dia memancing, Sungai Amazon merupakan lokasi yang tidak pernah puas dikunjunginya.
Selain itu, sepanjang pengembaraan dalam menyiapkan siri River Monsters, pelbagai pengalaman telah dilaluinya.
Antaranya termasuklah dijangkiti malaria, disyaki sebagai agen penyamaran, hampir lemas serta mengalami pengalaman pesawat terhempas.
Pada musim terakhir, River Monster S09E06 : Malaysian Lake Monster, Jeremy mengakhiri `sumpahan tapah’ apabila berjaya menjinakkan spesies yang dipercayai menjadi punca kematian misteri di tasik negara kita.
Tapah yang beliau jinakkan di Taman Negara Pahang itu sekaligus menebus kekecewaan beliau setelah gagal mendaratkan spesies yang ketika di India.
BIOGRAFI RINGKAS
Nama : Jeremy John Wade
Tarikh Lahir : 23 Mac 1956
Asal : Suffolk Stour, England
Kelayakan : Ijazah Zoology dari Bristol University
– Sijil kelayakan mengajar bidang Sains Biology dari University of Kent
Bagi sesetengah kaki pancing baru, tidak berapa mengenalinya. Ini kerana orang yang berbadan kurus dan sederhana tinggi ini cukup merendah diri. Tetapi bagi mereka yang gemarkan pancingan teknik casting dan juga trekking ke hulu-hulu sungai, nama tekong Karim tidak perlu dikenalkan lagi, kerana dia adalah salah seorang tekong tersohor di Tasik Kenyir.
Apa yang menarik tentang dirinya, adalah dia mengenali semua ceruk tasik buatan manusia terbesar di rantau Asia Tenggara ini. Dia mula bergelumang dengan hutan banat di Hulu Terengganu ini sejak berumur 16 tahun dengan bekerja sebagai buruh Jabatan Penyiasatan Kaji Bumi (kini Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia).
Bahkan, dia begitu arif mengenali nama puncak-puncak gunung yang pernah dia jejaki dahulu di seluruh Tasik Kenyir. Selain hutan di Hulu Terengganu, dia juga pernah bekerja dan tinggal di dalam hutan berminggu-minggu lamanya di hutan negeri Kelantan, Pahang, Perak dan Kedah.
Tekong Karim atau nama sebenarnya Abdul Karim Satar, 53 berkata dia sedikit pun tidak menyangka bahawa suatu hari nanti kawasan tempat dia membesar dan juga tempatnya mencari rezeki semasa usia muda akan ditenggelami oleh air bagi memberi laluan pembinaan Stesen Janakuasa Elektrik Sultan Mahmud.
“Untuk pengetahuan, lokasi seperti Terenggan, Cacing, Mentong, Bewah, Kerbat, Petuang, Belimbing, Petang, Melor dan banyak sebenarnya berasal dari nama-nama perkampungan tradisional di Hulu Terengganu satu ketika dahulu.
“Hanya nama-nama ini sahaja kekal, sedangkan semua kampung-kampung ini berada di dasar Tasik Kenyir,” katanya ketika ditemui semasa kunjungan penulis ke Tasik Kenyir baru-baru ini.
Menurut anak jati Kampung Dura, Kuala Berang ini lagi, dia mengambil keputusan berhenti sebagai buruh lantaran sudah puas bermain dengan hutan. Sebaik sahaja tamat pekerjaan tersebut, dia bekerja sendiri sebagai seorang nelayan sungai dengan menjual hasil tangkapan ikan di pekan Kuala Berang selain mencari anak ikan kelisa dan kelah untuk dijual. Ada kalanya dia mencari kayu gaharu dan madu lebah di sekitar hutan Tasik Kenyir.
Bercakap soal ikan, Tekong Karim memberitahu, ikan di Tasik Kenyir cukup banyak, sehinggakan suatu ketika dulu ikan lain tidak begitu dihiraukan melainkan ikan kelah. “Boleh dikatakan, semua hulu sungai utama di Tasik Kenyir ikan kelah amat banyak, saiznya juga besar-besar. Saya sendiri pernah mendapat kelah hampir 20 kg seekor.
“Masa dulu bukan ada ais macam sekarang. Kalau dapat kelah pun kebanyakannya dijual secara salai kerana jarak perjalanan yang jauh,” katanya yang pernah memperolehi ikan tilan sebesar paha orang dewasa.
Selepas beberapa tahun menjadi nelayan sungai, pada tahun 2005, Tekong Karim mula beralih membawa boathouse selepas diminta oleh rakannya, seorang pesara Perhililitan, Pok Par, juga seorang tekong terkenal di Tasik Kenyir.
“Selepas dua setengah tahun bekerja membawa boathouse Pok Par, saya mengambil keputusan mengikut jejaknya dengan membina sebuah boathouse (no pendaftaran TKP 51) berkongsi modal dengan seorang saudara hasil dari wang simpanan masing-masing serta hasil jualan kayu gaharu,” katanya.
URUSKAN TRIP SENDIRI
Di saat ramai tekong yang sama usianya tidak lagi kerap turun membawa sendiri boathouse ataupun trip trekking, Tekong Karim antara segelintir ‘tekong lama’ yang masih lagi kuat mengerah kudrat membawa sendiri boathouse miliknya selain bertindak sebagai guide untuk trip trekking terutama ke Hulu Sungai Terenggan.
Untungnya, dia kini telah pun ada pewaris untuk meneruskan pekerjaannya membawa boathouse, iaitu anaknya Mohd Nazrul Hidayat (Yo) yang bertindak sebagai pembantunya setiap kali ada trip memancing.
Ujar ayah kepada enam cahaya mata ini, sukar untuknya meninggalkan pekerjaan yang diminatinya buat masa kini, lebih-lebih lagi dia akan berpeluang untuk turun casting bersama kaki pancing setiap kali khidmatnya ditempah pelanggan.
“Dahulu saya memang tak suka langsung casting, tetapi bila Baharom (Tekong Siam) ajak saya sama-sama casting, terus ia melekat hingga ke hari ini. Bila sebarau, badong atau toman besar menyambar gewang, itulah saat yang paling menyeronokkan bagi diri saya.
“Untuk trip trekking pula mencari kelah, setidak-tidaknya ia dapat mengimbau kenangan saya tinggal berminggu-minggu di dalam hutan semasa usia muda dahulu,” katanya yang bergelar datuk kepada dua orang cucu.
Ceritanya lagi, pernah satu ketika dia dan lima orang rakannya sekerjanya terputus bekalan makanan sehingga terpaksa keluar berjalan kaki 2 hari menuju ke Sungai Sephia, Hulu Tembeling, Pahang untuk mendapatkan bekalan makanan sebelum berjalan kaki 2 hari lagi menuju semula ke Hulu Terenggan.
Mengimbau kenangan pahitnya sepanjang dia bergelumang dengan Tasik Kenyir, Tekong Karim memberitahu dia pernah membawa boathouse tengah malam pulang ke Jeti Jenagor gara-gara ada seorang kaki pancing sakit asma yang teruk.
“Bukan perkara mudah membawa boathouse bergerak pada waktu malam, ia cukup berisiko tinggi kerana tidak nampak benda di hadapan, terutama tunggul atau balak hanyut. Syukurlah, segalanya selamat dan dua kali kes tersebut berlaku,” jelasnya lanjut.
Perkara yang paling tidak dapat dilupakannya sehingga ke hari ini adalah, dia pernah menyelam ke dasar Tasik Kenyir sedalam 150 kaki menggunakan tong gas bersendirian gara-gara untuk mencari dan mengambil semula enjin bot sangkutnya yang terjatuh.
Disebabkan keberaniannya itu jugalah, Tekong Karim kini orang yang akan dipanggil untuk mendapatkan khidmatnya oleh rakan-rakannya jika berlaku kes seperti itu.
“Sebagai seorang tekong, saya harus sentiasa bersedia berhadapan risiko dan mesti berani. Dalam masa yang sama, kepuasan hati pelanggan perlu dijaga. Ada masanya trip memancing dapat ikan banyak, ada masanya kurang. Itu semua rezeki datangnya dari Allah,” katanya lagi.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...