Boleh tak ikan seriding dibuat umpan memancing? Ikan seriding ni yang banyak tersangkut pada mata apollo bila nak cari umpan ketika memancing di kelong.
JAWAPAN:
Ikan seriding atau cardinalfish, adalah sejenis ikan kecil yang tergolong di dalam keluarga Apogonidae.
Ia senang ditemui di kawasan muka kuala dan pesisir pantai terutamanya Kawasan berkarang.
Ads
Ia turut mudah ditemui di persekitaran kelong pesisir pantai terutamanya ketika arus laju untuk berteduh dan berlindung dari pemangsa.
Ikan seriding dikenali memiliki sirip berduri yang tajam tetapi tidak berbisa. Sirip berduri itu merupakan antara asset yang ada sebagai senjata mempertahankan dirinya dari pemangsa.
Ekoran dari sifat biologinya itu, kebanyakan pemancing beranggapan ikan seriding tidak sesuai dijadikan umpan untuk memancing ikan-ikan lain.
Ads
Tidak dinafikan ikan seriding agak kurang digunakan sebagai umpan bukanlah disebabkan tiada ikan yang mahu memakannya.
Ikan seriding turut berada dalam rantaian makanan sebagai mangsa namun di kawasan yang banyak pilihan makanan, ikan seriding menduduki carta bawahan sebagai pilihan pemangsa.
Ads
Justeru itulah jika ikan seriding dijadikan umpan bersama umpan lain, joran yang menggunakan umpan seriding hampir sepenuhnya tiada sebarang getuan berlaku.
Namun di kawasan yang agak terbatas pilihan makanan, ikan seriding dikatakan menjadi umpan popular untuk memancing ikan pemangsa seperti selangat.
Oleh yang demikian, sekiranya anda memancing di kawasan yang dipercayai hadirnya selangat, boleh anda cuba menggunakan umpan ikan seriding.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
SOALAN: Berapa lama jangka hayat tali sulam dan tali tangsi yang boleh digunakan oleh kaki pancing? Adakah setiap bulan atau setahun sekali?
JAWAPAN: Jangka hayat pada tali sulam atau tali tangsi bergantung kepada beberapa aspek. Pertamanya tentu sahaja cara penggunaan, kawasan padang pancing, cara penyimpanan, tempoh pengunaannya dan jenama tali tersebut turut sama memainkan peranannya.
Menurut pemerhatian saya, tali sulam atau tali tangsi tiada tamat tempoh selagi ia disimpan dengan kaedah yang betul. Contohnya saya masih menggunakan tali-tali tersebut yang sudah melebihi usia 10 tahun (berdasarkan tarikh pengeluaran tali tersebut) dan berfungsi dengan sempurna. Apa yang pentung ialah mengetahui cara penjagaan serta cara mengesan masalah pada tali pancing yang perlu ditukar.
Cara mengesan bila perlu tukar tali pancing:
Bila ia tidak licin dan berbulu. Perubahan ini kita dapat perhati dan rasa dengan sentuhan pada tali tersebut.
Bila ia mudah putus apabila direntap, menandakan ia sudah rapuh dan tidak sesuai digunakan lagi.
Bila ia bertukar warna atau warna asal luntur dengan begitu ketara.
Bila ia mempunyai kesan calar dan tahap kerinting yang ketara khususnya pada tali tangsi atau mono.
Cara penjagaan tali pancing:
Bila atau basuh dengan air tawar dengan bersih selepas digunakan. Tidak kiralah sama ada digunakan untuk pancingan air masin atau air tawar.
Keringkan ia di kawasan berbumbung (contoh mudah di dalam rumah) dan tidak kena secara langsung cahaya matahari yang terik.
Jauhi dari lampu ultra ungu (lampu di dalam akuarium atau lampu untuk menyinarkan jig) serta bahan petroleum.
Keluarkan semua tali dari kekili sekurang-kurangnya setahun sekali dan cuci tali (khususnya tali sulam) dan apabila nak digunakan masukkan semula ke dalam gelendong kekili dengan cara masukkan dahulu bahagian tali yang telah digunakan.
Sebaiknya jangan simpan kekili di dalam kenderaan kerana bahang panas kenderaan yang terjemur di tengah panas boleh menjejaskan kualiti tali.
Sekiranya kita menjaga tali pancing dengan baik saya percaya kita boleh menggunakannya antara 5 hingga 10 tahun.
Pesanan khidmat masyarakat: Buang tali pancing dengan sempurna, jangan buang di perairan atau tinggalkan ia begitu sahaja di atas tanah kerana ia mungkin akan memudaratkan hidupan liar lain di habitat air ataupun daratan.
Assalamualaikum admin, saya ingin bertanya mengenai tali sulam untuk pancingan pantai. Sesuai atau tidak saya menggunakan tali berkuatan 60lb jenis tiga empat sulam dan dipadankan dengan joran 12 kaki panjang?
JAWAPAN:
Waalaikumussalam… Pancingan pantai atau surfcasting merupakan salah satu teknik pancingan di kawasan pantai. Secara amnya, teknik ini amat mementingkan jarak lontaran umpan jauh ke tengah. Terutamanya di kawasan pantai yang landai dan cetek. Justeru jarak lontaran umpan jauh ke tengah amat penting bagi membolehkan umpan sampai ke lubuk atau kawasan ikan.
Untuk membolehkan lontaran umpan sampai ke kawasan sasaran, faktor panjang joran amat memainkan peranan untuk tujahan balingan serta meminimumkan tolakan ombak ke arah daratan pada tali utama. Oleh yang demikian penggunaan joran panjang melebihi 12 kaki amat membantu. Bahkan semakin panjang joran maka semakin jauh jarak lontaran umpan dapat dilakukan.
Selain faktor panjang joran, diameter tali pancing juga turut memainkan peranan. Selalunya penggunaan tali sulam atau benang (braided) sering digunakan membolehkan lontaran umpan yang sempurna. Namun tali benang kekuatan 60lb jenis empat sulaman sebenarnya agak besar/kasar dari segi diameter. Kekuatan tali tiada masalah pada asasnya namun saya mengesyorkan anda menggunakan tali berdiameter lebih kecil untuk memaksimumkan jarak lontaran anda.
Saya berminat sangat nak pancing ikan-ikan liar terutamanya patin di sungai, tasik serta lombong. Masalahnya saya tak tau umpan apa yang boleh digunakan. Jadi boleh tak admin beri tips sikit umpan yang sesuai digunakan kat tempat macam ni.
JAWAPAN:
Ikan patin memang merupakan salah satu ikan yang popular di Malaysia terutama di Pahang, Perak dan juga negeri-negeri lain. Malah, boleh dikatakan patin merupakan ikan yang paling banyak dipancing di negara kita. Sama ada di habitat liar atau kurungan, ia adalah pancingan yang menghiburkan.
Walau bagaimana pun, memancing ikan patin di sungai lebih sukar berbanding pancingan patin kolam kerana faktor arus sungai. Jadi, kebanyakan umpan yang digunakan di kolam pancing berbayar tidak boleh digunakan kerana dibawa arus.
Biasanya pancingan spesies ikan liar dalam habitat semula jadi lebih tertumpu pada umpan semula jadi. Umpan seperti buah ara dan buah berembang merupakan antara pilihan, namun ramai juga pemancing menjadikan organ dalaman ayam sebagai umpan patin seperti hati ayam dan perutnya.
Selain itu, penggunaan umpan roti, pelet dan dedak sebenarnya boleh digunakan namun pastikan bancuhan umpan tidak peroi kerana mudah hilang dibawa arus sungai. Jika menggunakan campuran dedak dan pelet, pastikan lebih pekat dan gunakan teknik mata bom. Anda juga boleh bereksperimen dengan menggunakan roti canai atau bancuhan tepung.
Selain umpan, teknik persembahan umpan juga amat penting. Umpan perlu dipersembahkan seolah-olah makanan semulajadi yang hanyut di dalam sungai.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...