
SOALAN:
Admin, boleh share costing mancing di Banglang Dam nih? Lepas tu macam mana nak buat trip ke sana?
JAWAPAN:
Untuk pengetahuan anda, trip casting ke Banglang Dam yang admin hadiri bersama 13 rakan lain merupakan trip sulong kebanyakan dari kami. Hanya beberapa orang saja yang pernah pergi dari sekali.
Setakat ini belum ada lagi orang perseorangan atau agensi khas yang menyediakan pakej standard memancing di Banglang Dam. Oleh yang demikian agak sukar untuk kami
nyatakan berapakah kos standard apatah lagi ia melibatkan beberapa pengusaha rumah bot dan bot pancung di negara jiran yang juga tiada kos tetap.
Yang telah ditetapkan hanya caj sewaan bot pancung sehari untuk 2 orang pemancing ialah TB1,500.00.
Namun, berpandukan trip kami tempoh hari (2 hari 1 malam, 14 orang pemancing, 7 buah bot pancung dan sebuah boathouse sebagai tempat kediaman), yang diuruskan oleh Neo Narul Ezam Omar, setiap orang perlu membayar RM300 sahaja.
Namun pakej ini tidaklah termasuk kos pengangkutan dan makan minum dalam perjalanan.
Untuk mengadakan trip memancing ke Banglang Dam ini kami tidak pasti berapa jumlah minima dan maksima peserta.
Yang pastinya, anda perlu memandu atau berkongsi kenderaan sehingga ke pangkalan rumah bot di tasik ini. Oleh yang demikian beberapa urusan dokumentasi perlu dilakukan
bagi membolehkan kenderaan anda memasuki pintu sempadan di Pengkalan Hulu – Betong ini.
Trip Retro Raya – Komplot Lombong Seri Iskandar!!

Difahamkan di kawasan Seri Iskandar ini memang kaya dengan lombong-lombong tinggal yang dihuni pelbagai spesies ikan. Biarpun begitu, penulis memang tidak meletakkan sebarang harapan untuk misi ini berjaya mendapatkan hasil yang memuaskan. Cukuplah sekadar merasai ‘karen’ ikan-ikan kecil yang mungkin sudi menjamah umpan nanti.
Dengan berumpankan campuran dedak pandan dan dedak ayam kami terus melabuhkan umpan. Tidak perlu menunggu lama untuk memujuk ikan di lombong ini untuk buka mulut. Adik saya menjadi yang pertama mendaratkan spesies pendatang yang dikatakan semakin memonopoli lombong ini.
Tidak lama selepas itu bersilih ganti kami melayan pelbagai jenis ikan yang saiznya tidaklah begitu membanggakan. Biarpun saiz hanya sebesar tapak tangan namun bila melayani tarikannya dengan set ringan dapat memberi satu rasa yang hanya difahami oleh kaki pancing sahaja.
Sebelum senja, kami mengambil keputusan untuk menamatkan sesi pancingan di sini memandangkan penulis perlu berkemas untuk pulang semula ke Melaka keesokan harinya.
Biarpun tidak mendapat hasil dengan saiz membanggakan, namun penulis tetap berpuas hati kerana sempat juga melepaskan gian di kampung yang hanya dapat penulis kunjungi dua tahun sekali, itu pun pada musim perayaan!
Trip Retro: Kembara Solo Blue Mahseer

Tepat pukul 10.30 pagi pesawat Air Asia selamat mendarat di Airport Cochin, India selepas penerbangan selama empat jam setengah dari KLIA 2.
Saya dijemput oleh dua pemancing tempatan dengan kenderaan 4×4 yang disewa untuk trip ini.
Perjalanan kami ke hutan simpan Malakkapara mengambil masa selama 14 jam setelah mendapat kebenaran dari checkpost kawalan hutan.
Walaupun perjalanan tersebut amat memenatkan namun keindahan alam sungai berbatu bata sepanjang jalan dan air terjun setinggi lebih 100 meter amat mempersonakan .
Pada hari kedua perjalanan kami mengambil masa 3 jam dari homestay untuk sampai ke lokasi memancing.
Hati saya semakin girang apabila melihat percikan air dihasilkan oleh ikan. Tanpa membuang masa gewang spinnerbait 24g dipasang apabila sampai di seberang sungai.
Teknik karauan laju di dasar amat berkesan menurut pemancing tempatan. Balingan keempat saya disambat rakus dan tali mencurah keluar dari BC walaupun drag BC Weebass Star telah diketatkan 70%.
Renangan ikan memotong arus sungai dan mengarah ke reba pokok tumbang amat membimbangkan saya. Nasib baik rod Weebass Tsubasa 10-20lbs saya membantu mengawal renangan ikan dengan baik.
Selain kelah biru sungai ini juga dihuni oleh siakap air tawar, Malabar snakehead dan cobra snakehead.
Selepas 5 minit pam ikan tersebut menunjukkan diri dengan satu libasan di permukaan air. Kawan di sebelah menjerit ‘blue mahseer’ apabila ekor biru sang kelah jelas kelihatan.
Hati saya semakin berdebar-debar kerana ikan masih kuat melawan dan membuat beberapa libasan kuat dipermukaan air.
Selepas 7 minit ikan mula menjadi lemah walaupun enggan mengalah. Apabila ikan tersadai di tebing tanpa melengah masa kawan saya terus memegang ikan berskala 4.5kg itu.
Riang kegembiraan dapat dilihat di muka setiap orang di sana. Ikan tersebut Berjaya dilepaskan kembali dengan selamat selepas sesi bergambar. Mengikut orang tempatan saiz begini adalah saiz normal kelah biru di sungai ini.
Sesi memancing bersambung selepas 10 minit. Lontaran demi lontaran dilakukan selepas 30 minit satu lagi sambaran diterima apabila spinner 5 meter dari tebing.
Renangan ikan amat berbeza dengan sang kelah biru tadi. Rupa-rupanya kerandang kerala atau cobra snakehead telah menerkam gewang spinnerbait saya.
Boleh tahan juga tarikannya walaupun dapat dipujuk dalam masa 2 minit. Selepas sejam, rakan saya disebelah terkena sambaran yang amat padu tetapi sayang ikan terlucut.
Apabila melihat gewang, rupa rupanya mata kail Decoy telah terkangkang. Terkejut juga melihat angkara kelah itu.
Selepas menukar ke sesudu Weebass, lontaran kedua rakan saya disambar rakus lagi tetapi kali ini mata kail pula yang terpatah.
Dugaan demi dugaan melanda rakan saya yang tidak sabar untuk mendapatkan lesen ikan kelah.
Pada hari seterusnya, usaha pemburuan ikan kelah kami bermula dari kawasan hulu sungai.
Aliran sungai di kawasan tersebut agak perlahan dan mempunyai lubuk-lubuk yang dalam. Lontaran sesudu Weebass ditujukan ke arah kawasan bereba dan karauan laju terus disambar.
Kali ini saya terus mengetatkan drag penuh dan berjaya mengeluarkan ikan dari kawasan bereba dan saya tidak memberi sebarang peluang kepada ikan sehingga ikan tersebut sampai ke tebing.
Kawan saya memeluk ikan kelah 3 kg ke darat. Semasa sesi bergambar, seorang kawan saya juga berjaya mendaratkan kelah dalam lingkungan saiz yang sama.
Kami trekking selama 30 minit untuk sampai ke lubuk seterusnya . Apabila sampai di spot, saya terkejut melihat kelah dalam lingkungan 3 hingga 15 kg berenang melepasi jeram.
Tetapi, lontaran sesudu hanya diikuti oleh sang kelah tetapi tiada sambaran. Kami merentasi sungai memasuki kawasan pedalaman.
Salah seorang kawan saya mendapat sambaran dan melawan ikan selama 15 minit, walaupun drag telah diketatkan tali masih lagi mencurah keluar. Malangnya ikan tersebut berjaya meloloskan diri.
Rakan saya dari Kerala tersebut, pernah Berjaya mendaratkan kelah seberat 10 kg di tempat yang sama dan menurut beliau, kekuatan ikan tadi lebih kuat daripada ikan yang seberat 10kg itu.
Dengan duka citanya, kami terpaksa berangkat kerana hari telah lewat. Saya pasti akan datang kembali untuk memburu kelah monster.
(Catatan pengalaman Naresh Ratnam)
Soal Jawab Mancing – Cara Mendaratkan Pari Yang Selamat Untuk Dibebaskan Semula?

SOALAN:
Suatu hari saya terpancing ikan pari seorang diri. Masalahnya, saya tak nak tapau ikan ni. Jadi, boleh tak admin beritahu cara-cara bagaimana untuk mengendalikan pari yang telah didaratkan supaya ia dapat dilepaskan kembali tanpa mengalami sebarang kecederaan?
JAWAPAN:
Cara paling baik dan selamat untuk mengendali atau mendaratkan ikan pari ialah dengan menggunakan tangguk atau sauk. Jangan pula menggunakan pencangkuk kerana ia jelas akan mencederakan fizikal pari tersebut.
Namun penggunaan tangguk akan berisiko pula kepada anda. Apatah lagi jika tangguk yang dibawa kecil sementara saiz pari pula besar. Pasti sukar untuk memasukkan pari tersebut ke dalam tangguk. Oleh yang demikian, berhati-hatilah jangan sampai ada anggota badan anda tertusuk dek sengat pari.
Jika tiada tangguk dan anda memancing di pantai, anda boleh mengheret pari tersebut ke pantai dengan memegang bahagian ekornya. Pastikan pari tersebut betul-betul berada di atas darat atau gigi air. Kemudian terbalikkan pari tersebut, keluarkan mata kail yang tercangkuk pada mulutnya dan bolehlah bebaskannya dengan selamat.
Jika mata kail berada jauh di dalam tekaknya dan sukar untuk dikeluarkan, potong sahaja perambut di bahagian paling dekat dengan mulutnya. Kebanyakan mata kail boleh terurai dengan cepat di dalam air masin dan terdapat ujian yang menunjukkan bahawa ikan yang dilepaskan dengan cara ini menjamin kelangsungan hidup mereka.
Seperkara lagi jangan sesekali mematahkan duri sengatnya jika ingin dilepaskan kembali. Sengat itu merupakan senjatanya untuk memburu dan juga mempertahankan diri dari pemangsa. Perbuatan ini sering dilakukan oleh pemancing apabila mendaratkan pari meskipun tidak berhajat untuk membawanya pulang.