SOALAN:
Sekadar bertanya pendapat…..selain udang hidup, umpan apa yang sesuai untuk kelong air masin? Harap jangan la ada yang jawab merapu……sekurang-kurangnya sama-sama dapat kongsi ilmu.
JAWAPAN:
Admin mengutip soalan ini di halaman Facebook Majalah Umpan segmen visitor post yang tidak menerima sebarang respon dari pengikut Majalah Umpan.
Admin sendiri agak kurang memantau posting di segmen ini berbanding di inbox messenger. Rupanya sudah agak lama soalan ini dikemukakan.
Pada awalnya admin ingin beri maklum balas secara langsung di segmen tersebut, tetapi berubah fikiran untuk berkongsi di ruangan ini agar ia dapat disebarkan dengan lebih meluas.
Admin beranggapan soalan ini tidak mendapat respon dari pengikut lain bukanlah ia sukar untuk dijawab, sebaliknya kerana ia sedikit mengelirukan.
Admin tidak pasti dengan kelong air masin yang dimaksudkan sama ada kelong atau kolam air masin.
Ini kerana lazimnya orang hanya menyebut kelong sahaja kerana kelong adalah binaan di perairan air masin. Walaubagaimana pun admin jawab bagi kedua-duanya sekali.
Sekiranya kelong, maka banyak umpan lain yang boleh digunakan selain udang hidup. Pada kebiasaannya, anak-anak ikan yang boleh didapati di sekitar kelong seperti tamban atau bilis amat berkesan.
Begitu juga dengan perumpun, hirisan ikan, udang dan sotong.
Sebaliknya jika di kolam air masin maka umpan yang sesuai digunakan selain udang hidup adalah umpan yang tertakluk kepada syarat yang ditetapkan oleh pihak kolam.
Umpan lain yang lazim dibenarkan ialah ikan belanak dan juga hirisan ikan.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
SOALAN:
Bolehkah kita melakukan teknik apungan pada waktu malam? Contohnya menggunakan ikan hidup seperti selar dan kembung? Bolehkah kita jigging waktu malam? Atau ada teknik lain yang sesuai untuk pancingan malam?
JAWAPAN:
Memancing pada waktu malam merupakan satu kaedah yang amat saya gemari kerana lazimnya ikan-ikan monster lebih aktif pada waktu malam dan seperkara lagi, cuaca pada waktu malam lebih nyaman berbanding waktu siang. Begitu pun, ada empat kaedah atau teknik yang boleh dipraktikan untuk pancingan malam.
Satu, memancing dengan menggunakan teknik apungan iaitu dengan penggunaan belon, styrofoam atau pelampung komersial. Memancing cara ini di laut dengan menggunakan ikan atau sotong selalunya kita akan dapat ikan seperti ikan aruan tasik, alu-alu, tenggiri, gerepoh dan banyak lagi terutamanya sekiranya kita melepaskan umpan anda lebih kurang 3 – 5 meter di luar kawasan cahaya lampu bot anda.
Dua, memancing dengan menggunakan teknik layang (drift), di mana sebiji batu ladung kecil bersaiz nombor 2 atau 3 dipasang lebih kurang 3 – 4 meter dari umpan sekor ikan atau sotong. Tali utama kemudian di lepas lebih kurang 30 – 40 meter ke dasar laut. Cara ini adalah untuk memancing di kawasan pertengahan air untuk mencari ikan gerepoh, tenggiri, ebek dan pelbagai lagi ikan sukan berada di pertengahan air.
Tiga, teknik jigging sememangnya efektif pada waktu malam. Saya juga suka jigging pada waktu malam di mana saya selalu menggunakan jig jenis lut sinar atau luminous . Cara pergerakan mengarau perlulah pantas atau separa pantas.
Empat, satu lagi cara memancing adalah memancing dasar dengan menggunakan tanduk di mana ladung dibiarkan mencecah dasar laut dan diangkat lebih kurang 1 ke 2 kaki dari dasar. Sekiranya memancing ikan jenahak saya selalunya membiarkan batu ladung mencecah dasar terus. Tali perambut pula lebih kurang 1 – 2 meter panjang.
SOALAN:
Benarkah lebih baik mengikat gewang secara terus pada leader lebih baik daripada menggunakan kili? Dan apakah kili yang sesuai untuk disambungkan kepada gewang?
JAWAPAN:
Memang tepat sekali mengikat terus gewang pada leader lebih baik daripada menyambungkannya pada kili.
Namun ia akan menimbulkan kesulitan dalam proses penukaran gewang. Ini kerana setiap kali ingin menukar gewang, ikatan perambut perlu dipotong dan dibuat yang baru.
Ia bukan saja memakan masa malah ia akan menyebabkan leader perlu dipotong akan menjadi semakin pendek. Semakin banyak gewang ditukar maka semakin pendek leader jadinya.
Masalah ini boleh diatasi dengan menggunakan kili yang bersesuaian. Penggunaan kili yang besar akan menyebabkan renangan gewang akan terjejas kerana ia mengjalang pergerakan air menerusi lidah terhalang.
Sekaligus menyebabkan gewang tidak berenang dengan cantik. Jadi, gunalah kili yang lebih kecil tetapi kuat dan tahan lasak.
Sebenarnya banyak terdapat kili yang kecil dan kuat terjual di pasaran. Anda boleh mencarinya dengan mudah atau tanyalah pekedai untuk khidmat nasihat bagi mendapatkan kili yang sesuai untuk gewang.
Begitu pun, saya lebih menyukai kili dari jenis coastlock snap swivel yang bersaiz kecil kerana ia tidak banyak menjejaskan aksi renangan gewang dan tahan lasak.
SOALAN:
Antara teknik casting menggunakan gewang pintail dan jigging menggunakan jig, teknik manakah yang lebih berkesan dan seronok apabila memancing tenggiri?
JAWAPAN:
Ikan tenggiri merupakan antara ikan yang boleh dipancing dengan pelbagai cara. Selain teknik konvensional menggunakan umpan ikan hidup, ia juga boleh dipancing dengan umpan tiruan. Dari aspek keberkesanan ternyata penggunaan umpan ikan hidup yang merupakan diet sebenar ikan ternyata lebih efektif berbanding penggunaan umpan tiruan.
Sebaliknya jika inginkan sesi pancingan yang berbeza maka pancingan tenggiri menggunakan umpan tiruan adalah lebih mencabar dan menyeronokkan. Terdapat empat teknik menggunakan gewang tiruan bagi memancing tenggiri iaitu casting, popping, jigging dan trolling.
Apabila ditanya teknik manakah yang lebih syok atau seronok, tentu saja setiap teknik itu ada cabaran dan keseronokan tersendiri. Begitu jugalah jawapan pada perbezaan keseronokan antara jigging dan casting.
Secara peribadi pulak, admin lebih menggemari teknik popping kerana melalui ini kita akan dapat menyaksikan secara langsung tenggiri menghentam popper. Aksi tenggiri terbang keluar dari aksi sewaktu menyambar popper, sama ada tersangkut pada mata kail atau tidak, ia tetap satu keseronokan yang tidak dapat disaksikan melalui teknik.
Namun keseronokan sebenar ialah berjaya memperoleh hasil. Sekiranya kumpau, apa saja teknik yang dilakukan sama ada jigging, casting, popping, trolling atau menggunakan umpan ikan hidup, semuanya langsung tidak menyeronokkan.