Boleh tak admin ceritakan sikit apa kelebihan gewang rattling berbanding gewang yang lain?
JAWAPAN:
Ads
Gewang rattling atau rattlebaits merupakan gewang jenis tanpa bibir (lipless rattlebaits). Gewang jenis ini tidak terlalu fokus pada gaya renangan sebaliknya lebih kepada sistem getaran.
Gewang rattlin juga mempunyai prinsip yang sama seperti blade, sejenis gewang seakan sesudu namun diposisikan dan memberikan impak seperti gewang rattling.
Ads
Kelebihan gewang rattlin ialah getaran yang menghasilkan bunyi gemerincing yang mampu menarik perhatian ikan.
Malah gabungan goyangan yang menggoda dan bunyi gemerincing dalam frekuensi tinggi mampu menarik perhatian ikan berbanding gewang renangan biasa.
Ads
Gewang rattlebaits dianggap gewang yang versatil kerana selain faktor goyangan, getaran dan bunyi gemerincing, ia turut hadir dengan pilihan warna yang bukan saja menarik perhatian ikan malah mata pengilat untuk memilikinya.
Saya sendiri meminati gewang rattling ini kerana ia boleh menghasilkan balingan yang.
Apabila ingin mencari pemangsa yang bersembunyi jauh ke dalam lubuk, gewang rattling dari jenis tenggelam ini akan mudah disuakan di depan pemangsa.
Lantaran ia mampu beraksi dengan baik baik dalam variasi kelajuan maka peluang untuk merasai strike itu lebih cerah.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Saya ada satu perkara nak tanya pendapat admin. Betul ke tenggiri hanya menyambar gewang atau jig yang dikarau laju sahaja? Jika betul, kenapa teknik slow jigging yang mengarau jig secara perlahan pun boleh dapat tenggiri? Mohon admin jelaskan kekeliruan ini.
JAWAPAN:
Saya tidak menafikan malah bersetuju dengan apa yang saudara kemukakan iaitu tenggiri menyambar gewang atau jig yang dikarau laju, dan slow jigging juga boleh dapat tenggiri. Dalam erti kata lain, tenggiri akan menyambar gewang atau jig sama ada dikayuh laju ataupun perlahan. Ia jelas menunjukkan bahawa tenggiri menyambar umpan yang bergerak, bukannya umpan yang pegun.
Selain menyambar ketika gewang sedang dikarau, tenggiri turut menyambar gewang yang sedang jatuh di dalam air. Tentu saja gerakan gewang atau jig yang menjatuh adalah jauh lebih perlahan berbanding gerakan menaik.
Faktor inilah yang kebanyakannya berlaku dalam teknik jigging perlahan. Boleh dikatakan kebanyakan jig disambar ketika ia sedang membuai jatuh ke dasar. Perkara yang sama turut berlaku dalam teknik speed jigging. Yang pastinya tenggiri boleh diperoleh sama ada melalui teknik jigging perlahan atau laju.
Apa saja yang berbentuk atau menyerupai diet makanan yang memasuki kawasan atau lalu di hadapan mata pasti akan disambar tanpa mengira tahap kelajuannya. Hanya hasil dari jenis karauan itu saja yang berbeza. Jika gewang dikarau lebih laju dari renangan ikan maka sambarannya akan kesasar dan singgah tepat pada gewang.
Jika dikarau perlahan dan renangannya lebih laju maka hasilnya tali perambut akan menjadi sasaran gigi tajamnya.
Saya pernah mendengar pasal jig tengkorak atau bahasa rasminya madai… kalau tak salah la. Boleh tak admin jelaskan sedikit apa itu jig madai dan bagaimana cara untuk memainkannya?
JAWAPAN:
Madai jigging merupakan satu teknik memancing (jigging) yang mana jig yang digunakan adalah meniru aksi renangan sotong.
Teknik pancingan yang berasal dari negara Jepun ini mula popular di negara kita sekitar lebih 10 tahun yang lalu. Jig yang berupa kepala sotong dengan rambu-ramba ini turut dikenali sebagai jig tengkorak.
Madai jigging juga adalah satu cara yang bagus untuk menjerat ikan dasar. Cara menggunakan madai ialah dengan perlahan sekali tetapi tidak perlu menghenjutkan joran kita.
Selepas madai diturunkan dan sampai ke dasar, kita hanya perlu mengangkat joran kita naik ke atas dengan cara yang paling perlahan sekali dan turunkan joran untuk madai sampai ke dasar dan mengetuk dasar.
Cara ini perlu dimainkan dengan cara yang paling perlahan dan mengetuk dasar.
Selaku jig yang dimainkan di dasar, tentu saja ikan sasaran adalah dari spesies bersisik terutamanya jenahak dan kerapu.
Hari ini, madai jigging sudah kurang dipraktikkan setelah ditenggelami oleh populariti jigging perlahan yang mana ia ternyata jauh lebih berkesan memburu spesies demersal berbanding madai.
Terkini, teknik tai rubber yang diadaptasi dari madai jigging terbukti lebih berkesan berbanding madai jigging sekaligus seperti menutup ruang sepenuhnya ke atas madai jigging.
Boleh tak kalau kita mengikat terus tali pancing atau perambut pada gewang yang ingin digunakan tanpa menggunakan kili atau snap? Dan apa kelebihan dan kekurangan ikatan terus ini berbanding mengikat snap terlebih dahulu?
JAWAPAN:
Sebenarnya boleh sahaja anda mengikat terus gewang sama ada dengan menggunakan leader atau ikat terus pada tali utama tanpa menggunakan swivel atau snap. Malah, suatu ketika dahulu ikatan terus perambut ke gewang ini amat popular penggunaannya sehingga terciptanya ikatan khusus. Ikatan ini ada istilahnya tersendiri dan salah satunya dikenali sebagai Rapala knot.
Hakikatnya, menggunakan gewang dengan ikatan langsung tanpa sambungan swivel ada kelebihan dan kelemahan tersendiri. Antara kelebihannya ialah ia akan menyebabkan persembahan gewang ketika beraksi lebih realistik.
Ini kerana sedikit sebanyak penggunaan snap atau snap swivel terutama bersaiz besar akan menjadi rintangan air dan gelombang yang dihasilkan itu akan menjejaskan renangan gewang pula. Namun teknik ini ada kelemahannya tersendiri. Ia hanya sesuai sekiranya anda menggunakan sebutir atau seketul sahaja gewang dan tidak akan tukar-tukar gewang.
Sebabnya? Jika ingin menukar gewang yang baru maka ikatan rapala knot ini perlu diputuskan dan kemudian perlu melakukan ikatan yang baharu pula pada gewang yang lain.
Majoriti hari ini, pemancing terutamanya kaki-kaki casting akan menggunakan snap kerana boleh menukar pelbagai gewang dengan pantas sekiranya gewang yang digunakan tidak berjaya memikat ikan.
Selain itu penggunaan snap swivel ini juga dapat mengelakkan tali utama (terutamanya tali sulam) akan berpintal sekiranya menggunakan gewang yang beraksi secara berpusing. Untuk menghasilkan renangan gewang yang realistik, sila gunakan snap yang bersesuaian dengan tali perambut, berat dan saiz gewang. Pastikan juga swivel yang anda beli itu kecil, ringan tetapi cukup berkualiti.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...