
SOALAN:
Saya gemar mengikuti perkembangan pertandingan memancing di tepi pantai tetapi belum pernah menyertainya.
Jadi, saya ingin meminta sedikit tip untuk menaikkan ikan terberat dan umpan paling sesuai untuk sajian ikan di tepi pantai.
JAWAPAN:
Sememangnya pancingan pantai tidak semudah membaling umpan ke tengah laut semata-mata.
Malah, teknik membuat balingan dengan betul dan tepat itu turut dipelajari sebelum menyertai mana-mana pertandingan memancing pantai.
Memancing di pantai perlu mengambil kira banyak aspek seperti kawasan paloh atau parit, kawasan terdapat batu atau reba, di kawasan untuk memancing.
Kalau saya memancing di pantai saya selalu akan ke tempat itu semasa air surut untuk mencari tempat yang ikan mungkin berada semasa pasang nanti.
Umpan pula bergantung pada ikan yang diburu, untuk umpan universal atau antara bangsa kita boleh pakai umpun, udang, hirisan isi ikan dan sotong.
Tapi sekiranya kita nak pancing ikan duri atau ikan bersesungut (bermisai) cuba pakai isi kerang atau umpan yang sedikit berbau.
Kalau berhajat nak tarik ikan pari boleh cuba guna isi ikan belacak.
Satu lagi yang penting apabila memancing di pantai adalah penggunaan batu ladung yang dibuat khusus untuk pancing pantai atau berbentuk empat segi atau 3 segi supaya batu ladung tersebut tidak bergolek dipukul ombak.
Teknik Berani Kumpau Laluan Kapal

Pancingan dasar secara berhanyut adalah teknik pancingan paling efektif di perairan Zeezone kerana kebanyakan lubuk adalah di celahan laluan kapal dagang yang mundar mandir sepanjang Selat Melaka.
Istilah menotok (pancingan dasar secara berhanyut) lebih banyak diguna pakai oleh pemancing otai di perairan ini kerana ia lebih menjurus kepada situasi dasar berbanding berhanyut yang berkisar di permukaan.
Kini bertambah ramai yang sanggup meredah gelombang dan alun kapal semata-mata ingin merasai keperitan menarik jenahak, merah, kerapu dan ibu gelama dari dasar manakala talang, haruan tasik, gerepoh, tenggiri pula pasti turut mendapat habuan jika umpan dilepaskan tanpa ladung.
Dalam trip ke sekian kalinya, cuaca begitu menyebelahi kami kerana beberapa trip sebelumnya terpaksa menempuh alun menggila di pintu keluar kawasan merah yang dikenali Pintu Air Pulau Pintu Gedung. Laut yang sedikit beralun membolehkan proses mencari umpan hidup. Umpan hidup dari hasil apollo lebih mudah diperoleh namun ia sekadar umpan pilihan kedua.
Pilihan pertama sotong kurita menjadi pertaruhan terbaik namun permintaan tinggi dan bekalan sering tidak mencukupi memaksa ramai pemancing mencari umpan alternatif.
Penjimatan masa ke lubuk amat ketara ketika bergerak dalam kelajuan hampir penuh di kala laut mendatar. 15 hingga 30 minit diperlukan setiap kali berpindah lubuk. Ikan tidak mendiami lubuk yang sama dan jumlahnya agak menurun.
Kalau disebut kawanan ikan tentu ratusan dan puluhan ekor, tapi di kawasan Zee Selat Melaka ini kawanan ikan biasanya kurang dari 10 ekor mengikut pemerhatian hasil yang dibawa pulang oleh kumpulan pemancing.
Kami bergerak ke lokasi dengan penuh semangat kerana kedua-dua jenis umpan iaitu sotong kurita dan ikan selar hidup serta tamban yang nyawa-nyawa ikan sudah tersedia untuk digunakan.
Lubuk pertama menjadi persinggahan kira-kira 11 batu nautika dari Pintu Gedung atau lebih dikenali Lubuk 190 darjah berpandukan bacaan kompas dari kuala Pintu Gedung. Kalau 230 darjah akan melepasi Rumah Api Permatang Sedepa.
Kedudukan lubuk hampir melepasi Paloh 3 di mana kawasan laluan kapal melintasi Pelabuhan Klang menuju ke arah Selatan. Memandangkan umpan selar dan tamban masih lagi segar hidup, kami mengunjungi lubuk biasa yang banyak menerima strike oleh talang.
Umpan selar amat mudah menjerat talang manakala tamban pula menjadi taruhan untuk ikan dasar. Dalam keadaan laut agak selesa, muka baru yang pertama kali turun nampaknya masih tetap tidak tahan.
Mabuk membawa sehingga seharian di dalam sampan dengan baring sambil melihat rakan-rakan memancing. Lama-lama nanti pasti akan biasa dengan alun dan akhirnya boleh mengikuti trip di kemudian hari.
Zon penantian bermula beberapa minit selepas semua peralatan pancing ditugaskan melabuhkan umpan selesai. Pertaruhan umpan selar hidup, sotong kurita dan tamban yang nyawa-nyawa ikan pasti dinilai keberkesanannya merujuk kepada umpan mana yang disambar terlebih dahulu.
Bunyi hon kapal kedengaran apabila dari kejauhan menandakan ada sampan lain yang ketika itu terlalu hampir dengan laluan mereka. Perkara yang dah biasa buat kami kerana tumpuan utama ke arah hujung joran, menanti lenturan dengan penuh harapan.
Umpan tamban segar menjadi korban pertama untuk sang jenahak remaja. Strike kedua di kawasan yang sama turut mengorbankan umpan tamban apabila seekor lagi jenahak tewas dengan joran buatan tangan dengan pasangannya kekili elektrik Shimano Beastmaster 9000.
Larian ikan bermasalah – sang cobia, itulah gelaran yang diberi kepada aruan tasik. Apabila ia kena sahaja, pasti ia akan mengelilingi sampan apabila muncul di permukaan. Kekuatan yang dimiliki spesies ini walaupun di permukaan air tidak terdaya lagi ditangani apabila larian kedua begitu kuat sehingga perambut 80 lb putus.
Suasana menyepi selepas kehilangan aruan tasik. Beberapa kali lubuk pertama diulangi namun tiada sentuhan kasar. Hanya tengkerong dan ikan mengkerong pasir yang mencuri umpan yang semakin mahal harganya.
Waktu puncak pertama sudah lepas terpaksa menunggu waktu puncak berikutnya dalam masa 5 jam lagi. Sesi berhanyut sambil merehatkan badan seketika.
Memasuki waktu puncak kedua kami berpindah ke lokasi lain yang terletak kira-kira 6 batu nautika. Dengan pecutan 24 knot, dalam masa 15 minit akan sampai kerana alun selat semakin mendatar menjelang waktu petang. Percaturan yang sama seperti sesi sebelah pagi.
Cuma tinggal beberapa ekor selar dan kurita sahaja. Umpan tamban semuanya mati kerana spesies ini perlukan kitaran air yang baik untuk kekal hidup.
Apabila arus semakin melemah, sambutan ikan dasar semakin kerap jika berada di kawasan lubuknya. Petang itu agak menceriakan kami apabila ikan lebih galak. Semakin lewat petang semakin menjadi pula jenahak menyambar. Walapun tidak kesemua strike berhasil sekurang-kurangnya ada juga kepuasan yang diperoleh.
Lewat petang itu kami pulang dalam keceriaan sambil menyusun perancangan untuk kembali lagi. Jadi pemancing mana pernah puas tidak kira menggasak atau digasak. Kumpau itu sesuatu yang indah dikenang walaupun pahit untuk ditelan.
Trip Retro – Melayan Sikang Sungai Lepar

Sungai Lepar merupakan sebatang sungai yang merentasi banjaran tengah semenanjung Malaysia.
Bermula dari hulu sungainya yang terletak bersempadan dengan Hulu Sungai Lembing, aliran sungai ini terus sahaja merentasi mukim Lepar Utara sehinggalah aliran hilirnya bertemu di Sungai Pahang di bahagian selatan.
Dahulu sungai ini kaya dengan pelbagai spesies seperti kelah, tengas, sebarau, kenerak, kerai kunyit.
Namun berlakunya tekanan aktiviti mencari ikan secara haram oleh masyarakat sekitar secara senyap-senyap seperti menuba dan arus elektrik, spesies kelah dan kerai terutamanya sudah semakin sukar diperolehi.
Namun, setiap kali berlakunya bah besar, rantaian sistem Sungai Lepar kembali pulih. Stok ikan masih lagi ada, tetapi tetap sukar berjumpa spesies bersaiz besar.
Apa yang menariknya, di dalam rantaian pelbagai jenis ikan yang ada di sungai ini, terselit spesies sikang yang boleh dianggap masih banyak di sungai ini, terutama di bahagian hulunya yang berpasir landai dan berbatu.
Semasa kecil saya kerap juga ke sungai ini. Serius, dahulu saya tidak pernah pedulikan ikan ini. Badannya pipih, panjang, berlendir dan paling penting ia bermulut luas.
Sebab itulah, saya dan rakan-rakan menggelarnya sebagai ikan mulut luas. Malah saya turut menggelarnya ikan racing, kerana ikan ini begitu pantas di dalam air.
Cuma saya teringat, ikan ini banyak saya perolehi dengan cara memancing menggunakan batang pelepah sawit yang dikeringkan yang panjangnya 7 kaki, tali cap nelayan 4 lb, panjang tali hampir sama panjang dengan batang pelepah sawit dan mata kail udang.
Menggunakan umpan cacing tanah, saya membiarkan umpan hanyut di kawasan lata cetek yang berarus laju.
Bila terasa umpan diragut, tanda sikang sedang menjamah dan melarikan umpan, terus sahaja joran disentap ke belakang dan sikang sebesar 1-2 jari yang meragut umpan jatuh ke atas pasir.
Begitulah rutin saya dan rakan-rakan kalau pergi ke sungai ini semasa musim cuti sekolah.
Selepas lebih 20 tahun berlalu, sungai yang tak pernah jemu mengalirkan air walaupun landskapnya berubah setiap kali banjir berlaku, ikan sikang ini masih banyak dan kekal menjadi penghuni sungai bernama Lepar ini.
CASTING SIKANG SUNGAI LEPAR
Disebabkan memori lama itulah saya merancang trip untuk casting sikang bersama rakan-rakan.
Pada awalnya, kami bercadang untuk casting sikang di lubuk hulu Kuala Berakit, salah satu cabang anak Sungai Lepar, tetapi disebabkan hujan lebat yang turun tidak henti-henti
seharian pada semalamnya menyebabkan air keruh sekali gus membantutkan aktiviti casting.
Hanya beberapa ekor sahaja strike yang kami perolehi. Itu pun bersaiz kecil. Lubuk dalam yang kami jangkakan ada potensi, kosong!
Mungkin disebabkan air keruh yang berlumpur, ia membatasi keaktifan sikang menyambar gewang dan spoon.
Keesokan harinya, kami merancang pergi ke lokasi lain. Kali ini, kami betul-betul ke bahagian hulu Sungai Lepar yang hanya boleh diakses dengan menaiki motosikal.
Di hulu sungai yang bersempadankan ladang kelapa sawit dan hutan simpan, kami berjalan menyusuri sungai yang cetek airnya. Mujur air telah pun jernih dan tidak keruh.
Sekali pandang, memang tidak percaya ada banyak sikang. Tetapi setiap kali lontaran di zon lata dan air yang sedikit dalam, bertalu-talu sikang tanpa malu mengejar sama ada spoon atau gewang kecil yang kami lontarkan.
Walaupun bersaiz kecil, ia cukup menghiburkan kami.
Hasan antara yang paling gembira kerana lesen sikang pertama diperolehinya di sini. Kerana itulah juga dia sanggup mengambil cuti dan sanggup datang dari Shah Alam.
Mungkin sudah tuah agaknya, dia turun memperoleh saiz sikang yang boleh tahan juga saiznya. Ini semua ‘racun’ katanya!
KOMPLOT KEDUA
Selepas komplot pertama, saya merancang bertandang lagi ke sungai untuk mencari sikang.
Berbeza dengan trip kali dahulu yang airnya jernih, trip kali kedua ini airnya sedikit keruh, kerana berlakunya hujan agak kerap dan lebat.
Atas dasar percayakan tuah pada trip pertama dahulu, kami kembali ke lokasi yang sama.
Terdapat perbezaan landskap, terutama lubuk-lubuk yang dalam airnya telah berubah, dahulunya dalam telah menjadi cetek, yang cetek menjadi dalam (istilah dalam di bahagian hulu Sungai Lepar, hanyalah setakat pinggang sahaja).
Ketika kami berjalan berpecah sambil menyusuri dan menyeberangi sungai mencari spot-spot berpotensi, Pachai yang berjalan paling hadapan sekali berteriak kuat memberitahu berjaya memperoleh sikang bersaiz besar.
Sikang berkenaan berjaya diperdayakan menggunakan Rapala CD3 Fire Tiger UV series.
Ikan berkenaan diperolehi di satu lubuk airnya yang dalam, berarus dan berdekatan dengan gigi lata.
Pada pengamatan saya, sikang tersebut memang menghendap sumber makanan, terutama anak ikan kecil atau serangga yang hanyut.
Lontaran gewang berkenaan di kawasan lata sebelum ia memasuki ke tempat air yang dalam segera disergap oleh sikang yang menyangka ia habuan makanannya.
Melihat saiz sikang berkenaan, terbit rasa kagum dalam diri saya kerana sudah lama tidak melihat saiz sikang sebesar anggaran lengan kanak-kanak dan memiliki perut besar.
Cepat-cepat ikan berkenaan dilepaskan semula selepas diambil gambar.
Satu kepuasan bukan sahaja pada raut wajah Pachai, tetapi kami semua juga kerana berjaya mendapatkan sikang bersaiz begini dengan teknik casting.
Tidak lama kemudian, dia juga berjaya memperoleh seekor lampam sungai.
Cikgu Sofian yang baru belajar menggunakan baitcaster juga turut bertuah. Lontaran gewang pada saat kami ingin mengakhiri komplot berjaya memperoleh seekor kelah juvenil.
Amri pula, yang juga kali pertama cuba-cuba belajar casting turut berjaya memperoleh seekor sikang.
Walaupun bersaiz kecil, saya memberitahunya, tidak mengapa kerana bukan semua orang ada lesen ikan ini.
Agaknya inilah dikatakan orang baru memang selalu bertuah atau sebenarnya ia adalah `racun`permulaan kepada hobi memancing.
(Catatan: Mohd Hazrizal)
Wacana : Tips untuk tekong!!

Amalan pemberian tips kepada tekong dan awak-awak dikatakan menjadi salah satu punca tekong bersikap memilih bulu.
Memilih bulu yang dimaksudkan ialah, tekong akan bawa pemancing yang beri tips ke lubuk-lubuk yang lebih berpotensi.
Sementara pemancing yang tidak pernah beri tips pula dibawa ke lubuk yang seadanya sahaja.
Gejala ini dikatakan bukan berlaku pada trip pancingan dasar semata-mata, ia turut menular terhadap trip jigging dan pancingan sukan seperti pancingan spesies ikan berparuh atau billfish juga.
Sementara bentuk tips pula tidak terhad kepada wang tunai sahaja. Ada juga pemancing yang menghadiahkan alatan pancing seperti gewang atau jig.
Malah ada juga yang menghadiahkan peralatan memancing utama seperti joran dan kekili.
Pada pandangan anda… apa baik buruknya amalan pemberian tips ini? Patutkah diamalkan atau dihapuskan sebelum ia menjadi wabak yang sukar untuk dibendung.
Apa kata netizen:
“Kalau kita puas hati dengan servis tekong, tak salah kalau kita nak bagi tips. Mungkin kali kedua kita langgan servis dengan tekong sama, layanan mungkin lebih baik.
Tiada istilah pilih bulu bagi saya, sebab itu sumber pendapatan mereka. Mereka akan rugi kalau bersikap double standard dengan pelanggan sendiri.”
➡ MOHD SUFIAN AHMAD
“Saya hanya akan bagi tips selepas habis trip… depends. Kadang tekong tu sangat rajin dan baik. So rasanya tak salah bagi sedikit penghargaan.
Bukan bagi sebelum trip… kalau bagi sebelum trip maknanya dia rajin sebab kita bagi tips tu. Tu dah tak jadi penghargaan… dah jadi macam bagi extra bayaran untuk extra service pulak.”
➡ NORMALA ABD RAHMAN
“Pada saya, tak perlu kot rasanya… kita dah bayar duit trip tu termasuk segala keperluan pemancing.
Sebagai tekong kena la ikhlas dalam kerjanya… tekong mantap nanti orang repeat lagi dan hebahkan kemantapan diorang tu.”
➡ TAIB AZIZAN
“Memang patut sangat dihapuskan. Entah siapa la yang pandai-pandai bagi tips. Bukan apa, takut nanti next trip awak-awak jadi pemalas.
Baru naik dah mintak rokok sorang sekotak. Barang masak yang kita punya dia simpan… bila komplen kata owner bot kata kita ni kedekut pulak.”
➡ PAING FAIZ
“Tips… bahasa halus bagi rasuah. Pasal itulah Islam haramkan amalan ini kerana akibatnya. Walaupun dah digaji… tap kalau tak dibagi tips, lebih kurang je servisnya tapi bila dialas ‘tips’ tetiba ada energy macam minum extrajoss!”
➡ MOHAMMAD NASIR
“Apa pulak tips ni? Yang bagi duit sewa tu tak cukup ka? Kalau tekong bawa tempat yang takda ikan atau sebagainya boikot jelah. Pemancing dan tekong berpisah tiada saling perlu memerlukan dan juga perlu diingatkan iaitu customers always right…”
➡ FENDI YUSOF
“Pada pendapat saya laa… tak salah malah wajar sebenarnya kalau kita nak bagi hadiah atau tips sebab berpuas hati kepada tekong yang jujur, rajin, mesra, sudi beri tunjuk ajar
dan tidak kedekut ilmu, sentiasa menjaga keselamatan kita sehingga kita sampai ke jeti. Ia lebih kepada penghargaan dan terima kasih kepada tekong tersebut atas jasa dan servis yang terbaik yang diberikan kepada kita.”
➡ NAZIBJ JAMAIN
“Saya tak pernah bagi tips kat tekong… bayar seperti yg dijanjikan. Tapi hasil pancing saya offer untuk tekong kalau nak buat lauk kat rumah. Selebihnya baru bagi sama rata.”
➡ AKIRA ESPIE
“Saya selalu akan bagi tips kalau servis cantik. Bayar ribu-ribu pun takpe janji dia ikhlas tolong kita. Lepas tu dapat tips pulak.”
➡ ZAID EDRIEKA
“Ada pemancing beri tips pada tekong sebagai tanda puas hati dengan servis yang diterima. Tapi jika tekong minta tips sebelum bagi servis itu yang patut dielakkan.”
➡ MOZA MOHKTAR