
SOALAN:
Boleh tak teknik memancing menggunakan soft plastic digunakan di kawasan unjam?
JAWAPAN:
Tidak dinafikan kegunaan soft plastic (SP) banyak diaplikasikan dari tebing (landbase) terutamanya di kawasan persisiran pantai bertebing berbatu.
Namun ia juga boleh diaplikasikan di kawasan perairan yang lebih dalam dengan pendekatan dan teknik berbeza.
Bagi kes pancingan di kawasan unjam berkedalaman 30 hingga 50 kaki, penggunaan pemberat (jighead) adalah perlu untuk memastikan SP dapat jatuh ke dasar dan tidak dihanyutkan jauh oleh arus.
Jatuhan semula jadi tanpa jighead mungkin lebih efektif namun ia terlalu perlahan bagi kawasan unjam.
Manakala pemberat yang keterlaluan akan menyebabkan SP jatuh ke lubuk tanpa aksi yang menarik sekaligus menyebabkan ia tidak menerima perhatian daripada ikan.
Oleh yang demikian pemberat yang bersesuai amat penting untuk mempamerkan persembahan jatuhan yang lebih realistik.
Harus diingat, persembahan jatuhan SP ini amat penting kerana waktu jatuhan SP ke dasar inilah peratusan sambaran lebih tinggi.
Faktor bau dan perisa turut membantu SP menarik perhatian ikan.
Jadi, disamping perlu menggayakan persembahan SP secara semulajadi, SP turut perlu diperisakan dengan bau-bauan yang sewajarnya ketika mengaplikasikan SP di kawasan unjam.
Perisa bauan untuk disapu pada SP kini mudah dicari di pasaran dengan kepelbagaian bau.
Korang Tanya UMPAN Jawab (S3S6) – Apa Itu Gewang?

SOALAN:
Boleh tak tuan admin jelaskan apa maksud GEWANG yang sebenarnya? Sehingga sekarang saya masih keliru antara gewang, jig dan juga spoon.
JAWAPAN:
Gewang adalah umpan tiruan yang diperbuat dari kayu, besi,logam, plastik, bulu binatang atau bulu unggas, benang, kain, getah dan lain lain yang bertujuan untuk mensimulasi dan mengalakkan ikan menyambar untuk makan atau pun untuk mempertahankan diri. Di bawah badan, di bahagian ekor atau yang tersembunyi terdapat mata kail untuk menacapkan ke badan ikan. Ianya dicipta untuk menjadikan ikan tidak mampu menahan godaan atau sekurang-kurangnya secara mental.
Ikan menyambar gewang dengan sebab ia lapar, marah, cemburu, menjaga anak-anaknya atau menjaga wilayahnya. Oleh itu kebanyakan gewang yang dicipta mengambil bentuk ikan atau silauan ikan atau pergerakan sebagai nilai utama penciptaannya. Terdapat berbagai jenis gewang di pasaran yang dipecahkan kepada beberapa kategori seperti plug, spinner, spoon dan pelbagai lagi.
SPINNER
Mempunyai satu atau dua blade atau kipas yang berputar sekeliling wire shaft. Setengah spinner mempunyai ekor yang diperbuat dari bulu binatang atau plastik lembut (soft plastic).
PLUG
Plug mempunyai badan yang diperbuat dari kayu atau plastik dan dicipta untuk digunakan dipermukaan air atau di bawah permukaan air. Topwater atau plug timbul dicipta untuk timbul dipermukaan air sementara plug menyelam dicipta untuk menyelam kekedalaman yang dikehendaki dengan adanya bibir atau lips yang diperbuat dari plastik atau logam.
SPOON
Spoon atau sesudu adalah gewang yang diperbuat dari logam dan menyerupai anak ikan atau ikan yang bergerak.
FLY
Fly adalah gewang kecil yang ringgan dan diperbuat dari bulu binatang atau ayam, benang dan cork atau cebisan kayu dan plastik yang menyerupai umpan hidup seperti serangga, ikan, udang dan ketam.
SOFT PLASTIC
Gewang soft plastic diperbuat dari sejenis plastik yang lembut dan menyerupai umpan semulajadi seperti cacing, ulat, ikan, udang, lintah, dan lain lain. Pengunaan umpan dari jenis ini boleh digunakan begitu sahaja atau dengan penggunaan mata kail jari jenis jig head. Umpan dari jenis ini juga ada mempunyai bau-bauan yang disemadikan bersamanya.
JIG
Jig adalah kepingan logam (tungsten, timah dan sebagainya lagi) yang dibentuk menyerupai replika berbentuk atau menyamai aksi ikan. Lazimnya ia digunakan dalam teknik mengunjun atau jigging yang kini menjadi trend memancing.
JIG HEAD
Jig mempunyai pemberat pada badannya atau menpunyai kepala logam yang berat dengan ekor yang diperbuat dari bulu binatang atau bulu ayam, soft plastic, getah atau benang.
Kepaduan Sebarau Kolong

Memancing dengan teknik mengilat adalah salah satu seni dalam teknik memancing masa kini. Kelebihan teknik ini tentunya pemancing tidak perlu bersusah payah mencari atau membeli umpan hidup, cukup sekadar memiliki gewang atau sesudu untuk tujuan ini. Selebihnya perlu rajin mencari dan mengkaji lokasi sasaran, keadaan air, waktu yang tepat dan keseimbangan peralatan dengan ikan buruan.
Selepas beberapa siri perbincangan, saya, adik saya Mat Salleh, Asri dan adiknya Ayim, bercadang ke lokasi kegemaran kami yang digelar ‘Lubuk Bawah Kolong’ untuk menduga penghuninya.
Awal pagi tatkala matahari baru menjengah memancarkan sinarnya, kami berempat menyusuri laluan estet getah dan kelapa sawit ke lokasi yang terletak kira-kira 8 km dari rumah saya dengan motosikal masing-masing.
Sampai sahaja di lubuk yang dikenal pasti, peralatan segera dipersiapkan sambil mata meliar mengesan sebarang atau cakupan daripada sebarau yang menyambar anak-anak ikan. Lantas bersimpang siurlah gewang dan besi sesudu menerjah spot yang difikirkan berpotensi menghasilkan sesuatu.
Selepas beberapa percubaan, rezeki pertama berpihak kepada Ayim apabila lontaran sesudu Seahawk nya disambut sebaik sahaja mencecah air. Gandingan set mengilat kelas sederhana ringannya tiada masalah untuk mengekang larian mangsa dan beberapa minit kemudian seekor sebarau berskala 1.2 kilogram berjaya didaratkan.
Dalam pada itu lontaran gewang saya dan juga sesudu Salleh disergap sesuatu hampir serentak. Walau bagaimanapun mangsa di hujung tali saya berjaya melepaskan diri dan meninggalkan mata tiga yang terkangkang dikerjakannya.
Manakala Salleh terus melayan tarikan seekor lagi sebarau yang akhirnya berjaya dihela naik. Agak kecil sedikit kira-kira 600 gram yang kemudiannya dilepaskan kembali.
Tiba-tiba kedengaran drag kekili Asri berbunyi akibat sambaran sesuatu di bawah air. Asakan yang diterima agak hebat juga menyebabkan hujung jorannya melengkung menyentuh permukaan sungai.
Dengan berhati-hati Asri mengawal larian mangsa agar tidak terus membawa tali ke struktur berkayu di dasar sungai.
Salleh segera menghulurkan bantuan mendapatkan sebarau berskala 1.8 kilogram yang akhirnya terdampar kepenatan di gigi air. Terpancar senyuman kepuasan pemancingnya dengan hasil yang agak kasar ini.
Walaupun jam baru pukul 9.30 pagi, kami membuat keputusan menghentikan pemburuan kerana keadaan air sungai yang mulai bertukar kepada warna teh susu akibat kerja-kerja mengorek pasir haram di bahagian hulu sungai.
Kami pulang selepas tiada lagi minat sebarau mengejar sesudu atau gelekan gewang yang dipersembahkan. Walau bagaimanapun, kami bersyukur dengan rezeki yang diperolehi.
Korang Tanya Umpan Jawab – S9S29- Panduan nak memancing hulu sungai?

SOALAN:
Saya berminat untuk cuba memancing di kawasan hulu sungai pergunungan. Boleh tak admin berikan sedikit tip untuk memancing di kawasan sebegini?
JAWAPAN:
Aktiviti memancing di hulu sungai pergunungan merupakan satu cabang memancing yang menyeronokkan.
Malah, dalam kategori pancingan air tawar ia merupakan pancingan yang paling mencabar. Oleh yang demikian, tidak semua pemancing mampu untuk mengaplikasikannya.
Dalam keseronokan memancing di lokasi yang paling mencabar ini, maka keselamatan diri jangan sesekali diketepikan.
Malah ia merupakan disiplin nombor satu dalam pancingan hulu sungai pergunungan ini. Pertama sekali pastikan anda mengambil langkah keselamatan.
Contohnya menggunakan kasut yang sesuai. Bawa bekal ubat-ubatan, mesti ada guide atau pergi secara berkumpulan, tidak berkhemah terlalu dekat dengan gigi air.
Pilih waktu yang sesuai untuk berkhemah dan patuhi pantang larang di dalam hutan.
Jika memancing pada waktu malam, pastikan anda meminimakan cahaya seperti lampu suluh atau unggun api di kawasan anda memancing.
Elakkan menggunakan loceng pada waktu malam pada hujung joran, sebaliknya gantikan dengan stik cahaya kerana ikan kawasan sungai pergunungan lebih sensitif dan sukar dipancing.
Untuk umpan, ia tidaklah sukar. Selain umpan sawit yang sangat sesuai untuk memancing kelah, anda juga boleh menggunakan umpan cacing dan juga hirisan isi ikan.
Saya juga gemar menyarankan wisel dibawa ke mana-mana kerana, jika tersesat, anda boleh gunakan ketika kecemasan.
Dan yang paling penting untuk mengawal populasi ikan yang semakin terancam seperti kelah atau tengas, ambillah sekadar perlu sahaja. Amalkan konsep bag limit.