Hai admin… apa khabar? Saya dan team saya baru masih baru dalam hobi memancing dan kami ada memancing ke Pulau Jarak (trip pancingan bottom). Kami menggunakan tanduk besi. Hasilnya agak kurang.
Bila balik, rakan lain ada beritahu, jangan guna tanduk besi/tembaga… sepatutnya guna tanduk plastik kerana besi berkilat di dalam air. Tapi saya musykil, kerana rakan yang mengesyorkan guna tanduk besi kerap pulang dengan hasil lumayan.
Ads
JAWAPAN:
Kenyataan seumpama itu sebenarnya bukanlah sesuatu yang baru dalam dunia memancing ini. Kenyataan yang dibuat tanpa sebarang fakta sebaiknya diabaikan saja kerana sedikit ia akan mempengaruhi pemikiran setiap pemancing terutamanya pemancing yang masih baru dalam hobi ini.
Ads
Apa yang perlu anda faham adalah fungsi utama kegunaan tanduk tersebut. Tanduk atau Spreader bertujuan untuk mengelakkan tali perambut berbelit dengan tali utama apabila ia diturunkan ke dasar laut.
Saya sama sekali tidak boleh terima hakikat bahawa warna tanduk tersebut boleh mempengaruhi tangkapan ikan anda. Malah sifat berkilat tanduk besi yang dinyatakan itu agak bercanggah.
Sedangkan gewang, spoon atau jig direka khas bagi menghasilkan kilatan untuk menarik perhatian ikan, bukan untuk menjauhkannya.
Ads
Seperkara lain yang perlu anda fikir, pada asasnya umpan yang dicangkukkan pada mata kail tidak diikat terus pada tanduk. Ada ke orang ikat mata kail pada tanduk? Jika ada mungkin logik juga ikan tak ambil umpan sebab pengaruh dari tanduk tersebut.
Saya telah lama menggunakan tanduk dari beberapa jenis dan warna dan saya tidak pernah mempunyai masalah ini. Saya rasa perambut saudara mungkin tak cukup panjang. Saya syorkan saudara ikat perambut sepanjang sekurang kurangnya 1.5 meter.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Saya mohon admin buatkan satu segmen perihal joran sebab saya nak tahu bagaimana hendak memastikan kekuatan aksi pada setiap joran? Saya masih baru lagi dalam dunia memancing ni… takut nanti terbeli joran yang tak sepadan dengan ikan yang nak pancing.
JAWAPAN:
Kekuatan sesebatang joran boleh diketahui daripada label yang dicetak pada joran. Biasanya label ini tertulis pada pangkal joran.
Daripada nombor kekuatan yang diberikan, kita boleh mengagak jenis aksi joran terbabit. Contoh, jika joran memaparkan kekuatan 20Ib-30Ib maknanya kekuatan joran adalah dari 20lb pada bahagian hujung (tip) hingga maksimum 30lb pada pangkal joran.
Kalau perbezaan kekuatan tidak ketara antara 20lb hingga 30lb, joran ini adalah joran aksi perlahan dengan lenturan parabolik. Sebaliknya, jika kekuatan dipaparkan ialah 8Ib – 30Ib maknanya joran ini adalah aksi cepat dengan lenturan tertumpu pada bahagian hujung terlebih dulu.
Semakin besar jurang perbezaan kekuatan yang dipamerkan pada sebatang joran bermakna joran berkenaan memiliki aksi cepat dan sebaliknya.
Aksi ‘ultra light’ pula merujuk kepada joran kecil seperti joran udang yang kekuatannya daripada 2lb hingga 6lb. Status ‘heavy action’ pula merujuk kepada joran berkekuatan melebihi 80lb atau minimum aksi hujung dengan 50lb.
Saya ada satu kemusykilan tentang ikan PB (peacock bass). Saya tengok kebanyakan pemancing ada yang tak suka ikan PB sampai kat orang yang mancing PB pun diorang tak suka jugak. Apa sebenarnya masalah ikan PB ni admin?
JAWAPAN:
Untuk pengetahuan anda, ikan PB merupakan ikan pemangsa berstatus pendatang. Sebagaimana sifat ikan pemangsa, sedikit sebanyak ia akan menjejaskan populasi ikan tempatan serta ekosistem perairan itu sendiri.
Anda juga perlu tahu setiap spesies mempunyai sifat dan habitat semula jadi (tempat tinggal) yang tersendiri dan ia telah pun dijelaskan secara saintifik. Habitat semula jadi ini merangkumi keseluruhan ekosistem sesebuah kawasan termasuk rantaian makanan, mangsa dan juga pemangsa.
Kesemua inilah yang akan mengekalkan kestabilan dalam sesebuah ekosistem. Spesies pendatang pula ialah apabila satu spesies dari habitat atau ekosistem lain masuk atau menumpang ke dalam habitat yang lain.
Spesies ikan peacock bass dikategorikan sebagai ikan pemangsa. Jadi, ia akan mengganggu kitaran asal sesebuah rantaian makanan di sesebuah habitat kerana keperluan dan nalurinya untuk hidup. Bila pertambahan spesies pemangsa dalam sesebuah habitat, ini akan mengecilkan jumlah mangsa dan tidak keseimbangan akan berlaku.
Ikan spesies pendatang ini bukan hanya berisiko memakan spesies asal sahaja, namun boleh berlaku kepada perebutan sumber makanan. Jika tidak dibendung, maka berkemungkinan spesies asal akan berkurangan dan hilang dari habitatnya adalah amat besar. Mungkin di atas sebab inilah kenapa ikan PB dibenci oleh sesetengah kaki pancing.
Apakah monsun atau musim tengkujuh juga merupakan faktor dan mempengaruhi tabiat ikan di perairan yang berhadapan musim ini. Sebabnya jarang kedengaran aktiviti memancing di laut pada musim monsun.
JAWAPAN:
Terdapat dua musim tengkujuh atau monsun utama di Malaysia iaitu Monsun Timur Laut dan Monsun Barat Daya selain dua inter-monsun yang berlaku di antara dua monsun utama tadi. Monsun Timur Laut yang berlaku sekitar November–Januari merupakan monsun yang memberi kesan besarterutama industri nelayan dan memancing di Pantai Timur Semenanjung.
Monsun atau musim tengkujuh ini juga mempengaruhi spesies di perairan terbabit. Permulaan musim, spesies ikan daripada kumpulan mackerel (tenggiri, alu-alu), threadfin (senangin, kurau dan lain-lain) dan juga croaker (gelama) lebih banyak sementara grouper (kerapu) akan berkurang kerana akan bergerak lebih jauh ke tengah laut.
Waktu terbaik untuk memancing akan kembali sekitar April selepas inter-monsun. Waktu ini spesies grouper dan snapper akan kembali menghampiri ke kawasan pantai dan pemancing boleh menikmati aktiviti memancing sehingga Oktober.
Atau dalam erti kata lain, perubahan musim sedikit sebanyak turut merubah tabiat dan habitat ikan. Apabila habitat dan tabiat berubah, maka untuk memancingnya juga kita perlu berubah spot, taktik dan teknik pancingan.
Walaupun berubah habitat dan tabiat, ikan-ikan tersebut tidaklah bermigrasi atau berhijrah jauh dari habitat asal. Cuma, apabila ia berganjak lebih jauh ke tengah laut maka peluang untuk memancingnya tentulah sukar berikutan kesukaran untuk turun ke laut ekoran laut bergelora pada musim tengkujuh.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...