SOALAN:
Salam admin… boleh tak teknik micro jigging dilakukan di pot memancing seperti di kelong atau rumah rakit?
JAWAPAN:
Teknik jigging kini semakin tempat di kalangan kaki pancing Malaysia. Ada pelbagai teknik yang sering digunakan seperti jig cast, slow pitch jigging dan micro jigging. Meskipun teknik ini biasanya diaplikasikan di atas bot, tetapi tahukah anda teknik seperti micro jigging boleh juga diaplikasikan di rumah rakit atau kelong.
Micro jig merupakan teknik yang menggunakan kepingan besi yang mempunyai renangan seperti ikan di dalam air. Kepingan besi itu biasanya bersaiz 3-30gram sebab itulah ia digelar micro jig.
Untuk mengaplikasikan teknik micro jig ini padanan joran dan kekili juga haruslah seimbang. Joran dari PE 0.6 hinggalah 1.0/1.5 dengan hujungnya yang sensitif adalah yang terbaik untuk digunakan. Kekili pula yang biasa digunakan ialah bersaiz 1000 – 2500 yang dipadankan dengan tali braided 6 – 10lb.
Untuk menggunakan teknik ini, pemancing harus tahu menggayakan micro jig anda. Saiz jig yang perlu digunakan haruslah bergantung kepada arus pada waktu itu. Jika arus agak laju, gunakanlah jig yang lebih berat dan begitulah sebaliknya.
Untuk teknik micro jig di rumah rakit / kelong, pemancing haruslah mengetahui kawasan yang berpotensi (karang atau tukun) untuk menurunkan jig anda. Caranya mudah saja, dengan hanya melepaskan jig hingga ke dasar, dan unjun jig tersebut beberapa kali (2-3 kali). Dan kemudian gulung sedikit dan mainkan kembali jig itu.
Selepas beberapa gulungan, jika tiada sambaran, lepaskan kembali jig itu ke dasar dan ulang semula permainan jig berkenaan. Jika kena pada tempat dan waktunya, pasti ada sambaran yang anda dapat.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
SOALAN:
Selain dijadikan umpan hidup, boleh tak ikan tersebut (contoh macam ikan tamban) atau ikan lain dijadikan umpan apabila ia sudah mati?
JAWAPAN:
Boleh… selain anak ikan dijadikan umpan hidup, ikan-ikan kecil atau ikan yang tidak diperlukan untuk hidangan juga boleh dijadikan umpan.
Namun cara penggunaanya tidaklah sama dengan cara menggunakannya ketika ia hidup.
Caranya buangkan sisik dan kemudiannya hiris badan ikan berkenaan untuk ambil isinya. Kemudian potong kecil mengikut saiz mata kail anda.
Kemudian lontarkan sahaja ke lubuk. Jika ingin dapatkan kilauan, sisik ikan umpan tidaklah perlu dibuang.
Berbeza dengan pancingan air tawar yang majoritinya boleh menggunakan apa sahaja jenis isi ikan (terbaik gunakan ikan terbul), namun di laut tidak semua isi ikan sesuai digunakan sebagai umpan atas sebab tertentu.
Umpan isi ikan yang paling sesuai digunakan adalah ikan belanak, tongkol, kembong.
Kerana ia cukup liat dan tidak mudah di getu ikan kecil berbanding isi udang pasar yang bukan sahaja cepat habis, tetapi juga mahal harganya.
Caranya sama sahaja, buang sisik, hiris, potong dan cangkuk pada mata kail. Selamat mencuba!.
SOALAN:
Perlu atau tidak kabel disambung pada perambut apabila casting? Tidak kiralah casting di sungai, muara, laut serta ketika trolling? Sekiranya perlu, berapakah saiz kabel dan berapakah panjang kabel yang perlu digunakan?
JAWAPAN:
Tidak kiralah penggunaan di sungai, muara, laut atau trolling, penggunaan kabel atau dawai sebenarnya sebagai insuran terhadap kebimbangan spesies bergigi tajam seperti toman dan tenggiri yang bakal membaham gewang.
Oleh yang demikian, penggunaan kabel ini lebih kepada sasaran ikan yang ingin diburu. Tidak kiralah sama ada di sungai, muara atau laut.
Sekiranya target bukanlah ikan bergigi tajam maka tidak perlulah menggunakan dawai. Malah, bagi casting di sungai khususnya yang tidak terdapat spesies bergigi tajam maka tidak perlulah menggunakan kabel.
Penggunaan kabel akan menjejaskan prestasi renangan gewang. Sebaiknya tidak perlulah menggunakan kabel walau untuk casting toman sekalipun.
Berlainan pula jika anda trolling di lautan. Penggunaan perambut kabel amat penting kerana kita tidak dapat menjangka apakah spesies yang akan menyambar gewang.
Tambah pula potensi spesies yang bakal menyambar terdiri dari spesies bergigi tajam seperti tenggiri dan alu-alu.
Panjang perambut kabel memadai dalam anggaran sejengkal. Sementara saiz kabel bergantung kepada set pancing yang anda gunakan.
Namun disarankan anda menggunakan kabel saiz 30-50lb.
SOALAN:
Mohon penjelasan sikit tentang konsep sebenar tangkap dan lepas (CnR). Saya ada mendengar konsep tangkap dan lepas ni kena lepaskan ikan yang besar saja. Betul tak admin?
JAWAPAN:
Betul, betul dan memang betul apa yang anda dengar tersebut. Cuma mungkin anda tak dengar habis saja.
Jika dinamakan konsep tangkap dan lepas sepatutnya bukan ikan yang besar sajalah yang wajib dilepaskan, ikan yang kecil pun kena lepaskan jugak.
Katakanlah seorang pengamal konsep tangkap dan lepas dapat ikan kecil (biasanya memang dapat kecil pun) takkan ikan tersebut nak tapau sedangkan hukum tapau adalah ‘HARAM’ bagi seorang pengamal konsep tangkap dan lepas?
Yang sebenarnya dalam konsep tangkap dan lepas, melepaskan ikan yang besar atau matang merupakan langkah yang lebih berkesan berbanding melepaskan ikan kecil.
Ini kerana, secara saintifiknya, melepaskan induk matang akan meningkatkan peratusan untuk induk itu melahirkan ribuan malah jutaan anak ikan kecil, sedangkan ikan yang kecil belum tentu akan dapat membesar menjadi induk yang baik.
Tapi apa yang berlaku kat Malaysia ni kebanyakannya terbalik. Boleh dikatakan kebanyakan ikan yang kecil dilepaskan semula walaupun oleh bukan pengamal tangkap dan lepas.
Alasannya mudah, ikan kecil buat apa nak ambik. Atau untuk beri peluang ikan tersebut membesar dan akan bertarung lagi bila dah besar nanti.