
Berdasarkan soalan saudara ini, saya merasakan pengalaman saudara memancing di bawah Jambatan Pulau Pinang itu sudah mengatasi pengalaman saya. Oleh yang demikian, saya memilih untuk menjelaskan teknik memancing todak atau banang untuk dijadikan umpan alu-alu, yang merupakan ikan sasaran saudara.
Saya tidak pasti teknik ini berkesan untuk memancing todak di bawah jambatan itu tetapi ia sangat berkesan sewaktu saya memancing di beberapa kelong. Perkara pertama yang anda perlu cari dahulu ialah umpan untuk todak itu sendiri. Biasanya saya akan akan cari ikan bilis atau tamban kecil dengan menggunakan apollo.
Sebaiknya guna mata apollo saiz 4. Selepas itu saya hanyutkan umpan bilis atau tamban dengan teknik apungan. Pastikan umpan terapung di permukaan air kerana todak sememangnya gemar menyambar mangsa di permukaan air. Mata kail pula pilihlah mata kail bersaiz kecil, ringan dan tajam.
Sekiranya tiada umpan hidup, ikan tamban yang sudah mati juga boleh digunakan. Ikan tamban tersebut dibersihkan sisiknya terlebih dahulu. Kemudian ikan tamban itu dibelah dua (hiris memanjang pada tulangnya) dan ambil isinya sahaja sebagai umpan.
Gunalah sekurang-kurangnya 2 mata kail bersaiz kecil bagi mencangkuk umpan ikan itu kekalkan teknik yang sama sebagaimana menggunakan umpan hidup.
Trip Retro – Terjah Sungai Kinta

Sungai Kinta merupakan salah satu cabang sungai yang mengalir ke Sungai Perak yang puncanya mengalir dari Gunung Korbu di Ulu Kinta , Tanjung Rambutan.
Sungai Kinta ini mengalir dan melalui beberapa buah bandar dan pekan antaranya Ipoh, Pasir Putih, Pengkalan Pegoh, Pusing, Batu Gajah, Tanjung Tualang dan Kampung Gajah.
Kuala Sungai Kinta ini pula terletak di selatan Kampung Gajah yang terletak kira-kira 75 km di barat bandaraya Ipoh.
Dahulu warna air sungai ini jernih kini sangat keruh kerana dicemari oleh aktiviti perlombongan dan pengorekan pasir.
Lokasi pancingan & spesies
Sasaran di Sungai Kinta lebih-lebih lagi di sekitar kawasan Sungai Galah, terdapat banyak spot pancingan menarik yang menjadi pilihan kaki-kaki pancing dasar dan pengilat khususnya.
Banyak juga terdapat taburan lombong pecah di sepanjang aliran sungai ini terutamanya dari Tronoh Mines.
Antara spesies ikan buruan yang terdapat di sini adalah sebarau, baung, jelawat, patin, toman, lampam, tapah, belida dan juga udang galah.
Bagi saya yang gemar memburu sebarau sungai, di sinilah antara spot kegemaran saya di sekitar negeri Perak selain Sungai Kampar serta Hulu Belum.
Jarak perjalanan ke sini juga tidaklah begitu jauh, hanya mengambil masa lebih kurang 30 hingga 40 minit dari pekan Tapah yang melalui Tapah Road, Chenderong Balai dan Ladang Rakyat.
Kaedah Pancingan & Faktor Pemilihan Air
Sebarau yang bersifat pelagik sudah pastinya mudah diburu dengan mengaplikasikan teknik mengilat gewang.
Kebiasaannya waktu yang paling efektif bagi menduga sebarau di sini adalah dari seawal pagi dan lewat petang kerana spesies ini akan aktif mencari makan pada dua waktu ini.
Gewang-gewang yang lazim kami gunakan di sini adalah Rapala Shallow Shad Rap SSR5, Rapala Countdown CD5 dan Rapala Flat Rap 8cm berwarna natural seperti ‘Bleak’ dan
‘chrome’ serta skema warna terang seperti ‘Goldfish’, ‘Hot Tiger’, ‘Fire Tiger’ dan ‘Perch’ sekiranya kondisi air agak keruh.
Jika paras airnya sedikit tinggi, kami akan menggunakan gewang selaman dalam seperti Rapala Tail Dancer TD7 dan Rapala Shad Rap SR7.
Kunjungan Semasa kunjungan saya dan seorang rakan ke sini, kami mencuba dengan kaedah boating menggunakan enjin 5 kuasa kuda bermula dari jambatan kayu di Sungai Galah menghulu sehingga ke kawasan lombong pecah di Tronoh Mines.
Paras air ketika itu adalah normal dan keadaan air tidaklah begitu keruh seperti kelazimannya.
Pada masa inilah yang dikatakan amat sesuai untuk mencuba nasib di Sungai Kinta.
Awalnya kami mengambil pendekatan untuk membuat balingan ke arah tebing sungai yang bereba namun tiada sambutan.
Kemudian kami mengambil keputusan untuk mencuba pula di kawasan berjeram kecil yang kami temui di sepanjang laluan.
Bot kami tambat betul-betul di kawasan ekor lubuk dan membuat balingan ke arah kawasan air tenang selepas arus ekor lubuk.
Tidak sampai beberapa balingan sahaja kami telah menerima banyak strike.
Gewang selaman cetek bersaiz 5-7cm kami gunakan dan hasilnya beberapa ekor sebarau remaja berjaya didaratkan.
Begitulah seterusnya yang kami praktikkan dengan mencari jeram kecil bereba. Kawasan air tenang selepas arus adalah spot yang sering mendapat sambaran.
Pada sebelah petang pula, semasa menghilir pulang kami membuat mencuba ke arah tebing berpasir yang landai kerana sering ternampak kelibat anak ikan seakan-akan dihambat pemangsa.
Telahan kami tepat kerana sebaraulah pemangsa yang meligan anak ikan di sekitar tebing pada sebelah petang.
Kunjungan seterusnya kami mencuba dari tebing pula. Spot terbaik adalah di sekitar tiang jambatan Sungai Galah dan kawasan tebing berdekatan.
Menurut sumber dari rakan-rakan, waktu yang paling sesuai adalah semasa banyak sampah yang terperangkap di sekitar tiang jambatan tersebut kerana pada ketika itu
banyak pemangsa yang gemar mengendap di sekitar timbunan sampah hanyut tersebut terutamanya pada awal pagi dan lewat petang.
Hasilnya? Anda harus mencubanya sendiri.
Kegembiraan bersama rakan
Tidak kira di mana sahaja lokasi kita memancing, keseronokan utamanya adalah dapat bersama rakan-rakan yang berkongsi minat yang sama. Sekiranya memperoleh strike itu adalah bonus yang sememangnya diidam-idamkan sebagai seorang pemancing dan pengilat khususnya.
Jadi, sama-samalah kita mendisiplinkan diri dengan mematuhi etika pemancing demi menjamin alam sekitar dan perairan awam terpelihara.
Dalam masa yang sama, hak pemancing lain perlulah kita hormati dan kita seharusnya ada inisiatif dalam membangunkan sukan memancing serta meningkatkan ilmu sambil menyebarkan ilmu pengetahuan yang ada dalam diri kita agar dapat dikongsi bersama.
Senantiasalah mengamalkan ‘Tangkap dan Lepas’ (CnR) ataupun menghadkan pengambilan ikan (selected harvest / bag limit).
Semoga usaha yang kita amalkan ini turut dipraktikkan oleh pemancing-pemancing lain demi memastikan stok ikan di perairan kita terutamanya spesies-spesies tempatan sentiasa terjamin demi kesinambungan pancingan pada masa hadapan.
(Catatan: Pemancing Marhaen)
Soal Jawab Mancing – Waktu Bila Tenggiri Sambar Jig?

SOALAN:
Saya ada satu perkara nak tanya pendapat admin. Betul ke tenggiri hanya menyambar gewang atau jig yang dikarau laju sahaja? Jika betul, kenapa teknik slow jigging yang mengarau jig secara perlahan pun boleh dapat tenggiri? Mohon admin jelaskan kekeliruan ini.
JAWAPAN:
Saya tidak menafikan malah bersetuju dengan apa yang saudara kemukakan iaitu tenggiri menyambar gewang atau jig yang dikarau laju, dan slow jigging juga boleh dapat tenggiri. Dalam erti kata lain, tenggiri akan menyambar gewang atau jig sama ada dikayuh laju ataupun perlahan. Ia jelas menunjukkan bahawa tenggiri menyambar umpan yang bergerak, bukannya umpan yang pegun.
Selain menyambar ketika gewang sedang dikarau, tenggiri turut menyambar gewang yang sedang jatuh di dalam air. Tentu saja gerakan gewang atau jig yang menjatuh adalah jauh lebih perlahan berbanding gerakan menaik.
Faktor inilah yang kebanyakannya berlaku dalam teknik jigging perlahan. Boleh dikatakan kebanyakan jig disambar ketika ia sedang membuai jatuh ke dasar. Perkara yang sama turut berlaku dalam teknik speed jigging. Yang pastinya tenggiri boleh diperoleh sama ada melalui teknik jigging perlahan atau laju.
Apa saja yang berbentuk atau menyerupai diet makanan yang memasuki kawasan atau lalu di hadapan mata pasti akan disambar tanpa mengira tahap kelajuannya. Hanya hasil dari jenis karauan itu saja yang berbeza. Jika gewang dikarau lebih laju dari renangan ikan maka sambarannya akan kesasar dan singgah tepat pada gewang.
Jika dikarau perlahan dan renangannya lebih laju maka hasilnya tali perambut akan menjadi sasaran gigi tajamnya.
Soal Jawab Mancing – Tutorial Teknik Casting Yang Padu?

SOALAN:
Boleh tak admin bagi tutorial ringkas tentang teknik balingan overhead cast? Saya baru belajar casting ni admin.
JAWAPAN:
Teknik overhead casting double handed meruapakan teknik yang paling asas apabila kita baru belajar menggunakan baitcasting reel. Ia tidak banyak menggunakan ruang kawasan kiri dan kanan korang, cuma para atas kepala sahaja.
Keberkesanan teknik ini bergantung kepada cara memegang dan mengenakan kekuatan yang seimbang pada pergelangan tangan serta kedudukan joran sebelum membuat balingan hingga ke penghabisan.
Buat permulaan, anda digalakkan mengguna kedua-dua belah tangan untuk memegang joran. Teknik ini dapat membuat balingan jauh tetapi ia senang dipengaruhi oleh angin.
Cara aplikasi teknik ini:
Kedudukan joran berada pada 90 darjah atau 120 darjah di belakang kepala untuk balingan maksimum. Ambil perhatian kepada cara memegang joran. Fungsi tangan kiri sebagai brek. Kekili dalam keadaan freespool dan ibu jari menahan tali.
Ketika balingan dibuat, ibu jari dilepaskan namun tekanan ibu jari ke atas tali pada spool tetap dikenakan bagi mengawal kelajuan putaran spool. Kuasa balingan dari pergelangan tangan kanan.
Tangan kiri masih mengawal kedudukan joran agar tidak terlajak ke bawah. Untuk balingan yang cantik dan jauh, momentum balingan tertumpu pada kedudukan joran 45darjah. Perhatikan jua arah gewang.
Hujung joran berhenti pada arah sasaran. Tumpukan fokus pada setiap pergerakan gewang. Hentikan putaran spool sebelum gewang jatuh ke permukaan air. Setiap balingan overhead casting harus diakhiri dengan kedudukan begini.
Jangan lakukan balingan dengan menggunakan paksaan dan gopoh. Bertenang dan lakukan dengan lembut.