
SOALAN:
Hai admin… saya masih seorang nubis dalam teknik casting. Baru-baru ini saya ada try casting sebarau.
Memang ada nampak kelibat sebarau boiling tapi bila saya baling gewang, sebarau tu langsung tak layan gewang saya tu. Kenapa eh admin?
JAWAPAN:
Ada beberapa kemungkin yang mungkin menyebabkan sebarau tidak mengendahkan gewang yang anda lontarkan tersebut.
Pertama, mungkin gewang yang anda gunakan tidak menepati ciri-ciri mangsa semula jadi yang menyebabkan sebarau tidak mengendahkannya.
Atau mungkin sebarau tersebut berstatus juvenil (sebarau kecil), sedangkan gewang yang anda gunakan bersaiz besar.
Tentu saja sebarau tersebut tidak ghairah untuk mengejar mangsa yang tidak sepadan dengan saiz dietnya.
Untuk cubaan akan datang, sebaiknya anda cari gewang yang lebih kecil atau hampir menyamai saiz mangsa yang diburu oleh sebarau-sebarau tersebut.
Lazimnya gewang yang lebih kecil dan mirip dengan saiz dan bentuk mangsa akan lebih berpeluang disambar pemangsa.
Seperkara lain, aksi renangan gewang yang anda gunakan juga mempengaruhi pemangsa atau sebarau untuk menyambarnya.
Dalam menggayakan aksi renangan gewang ini anda perlulah menguasai dengan melakukan latihan yang kerap.
Sebagai nota tambahan, sekiranya gewang yang digunakan tidak dilayan oleh pemangsa, mungkin anda perlu menukarnya kepada sesudu atau spoon.
Oleh yang demikian sesudu pelbagai saiz dan bentuk harus ada di dalam kotak pancing anda sekiranya pergi casting.
Korang Tanya Umpan Jawab – S9S18- Ikan bersengat pancingan muara??

SOALAN:
Salam admin, ada dua solan nak tanya. Satu, selain ikan sembilang, duri, belukang dan ketuka apakah spesies lain mempunyai sengat di kawasan muara?
Kedua, betul ke air pasang besar dan arus laju ikan tidak makan umpan?
JAWAPAN:
Banyak lagi spesies muara yang bersengat ikan depu, baji, dengkis, kitang, dengkis dan pelbagai jenis ikan yang jarang dijumpai mempunyai sengat sama ada yang jelas kelihatan atau tersembunyi di sebalik sirip dan badan.
Ikan semilang, duri, belukang atau jahan memiliki sengat keras terserlah di atas badan, sisi kiri dan kanan.
Sengat pari dan ketuka pula terdapat di bahagian ekor sama ada di pangkal, tengah atau hujung ekor.
Ada juga spesies pari seperti pari kebas atau pari serban tidak memiliki sengat tetapi senjata utama ialah getaran arus elektrik dialirkan ke badan yang menyentuhnya.
Terdapat juga pari memiliki hanya satu sengat keras dan ada yang mempunyai dua sengat keras di ekor.
Ikan lain yang dikategorikan berbisa memiliki sengat atau duri kecil yang tajam di badan (depu dan baji) selain sengat antara sirip dorsal dan sirip pelvik.
Sengat yang berbisa ini tersembunyi merbahaya jika terkena tangan. Pari umpamanya perlu dikendalikan dengan betul.
Pastikan sengat dibuang terlebih dulu jika ingin bergambar.
Bagi soalan kedua pula, kebanyakan ikan aktif ketika air pasang dan kawasan yang berarus.
Kawasan yang tenang kurang didiami ikan pemangsa kerana sukar mendapat mangsa buruan.
Di kawasan terdapat alun atau ombak (bukan jenis yang terlalu besar hingga puluhan kaki) selain anak ikan turut bermain ombak, kumpulan ikan pemangsa (predator) turut mengikuti dari belakang.
Trip Retro – Ceramin-Ceramin Pelantar Haji Richard (part 2)

Penat jigging dan ikan juga tidak galak jig, saya bertukar kepada pancingan dasar pula. Lagipun jam sudah menunjukkan jam 1.48 petang. Kami semua sepakat untuk makan dahulu dan masing-masing membiarkan pancing berumpankan udang hidup dilabuh.
Sedang asyik menjamah bekal yang isteri saya sediakan dari rumah tadi, tiba-tiba joran Exori dipadankan kekili Abu Garcia Cardinal terpelanting dari tempat saya sandarkan, nasib
baik saya sempat menyambar dari terus jatuh ke laut akibat di heret dek sang ikan yang ganas dan rakus ini.
Saya membiarkan saja ikan tadi mengheret keluar tali dari spool Abu Garcia Cardinal sehingga tiba masa saya pam dan karau seupaya mungkin!
Ternyata tarikan ikan ini sungguh luar biasa, semakin saya cuba pam semakin ikan memecut sehingga saya hampir kehabisan tali.
Menyedari akan kehabisan tali, saya pun membuat beberapa henjutan kasar dengan harapan ikan tersebut berhenti memecut lagi jauh.
Ternyata teknik saya berkesan, ikan mula mengalah biar pun ada kalanya ikan tersebut membuat larian susulan. Di pertengahan perlawanan itu, di sinilah kesilapan berlaku bila mana ikan yang disangka sudah tidak bertenaga itu membuat pecutannya sekali lagi.
Tali yang dirasakan tegang tadi tiba-tiba jadi kendur. Arggghhhh… ikan lepas lagi. Saya merasa hampa namun tidak berputus asa.
Umpan dilabuh kembali dengan harapan menebus kehampaan tadi sambil menyambung kembali bekal nasi yang baru separuh dijamah tadi.
Pesta Ikan Ceramin-Ceramin
Selesai saja makan, saya berehat sambil cuba melelapkan mata sekejap memandangkan ikan kurang aktif menyambar umpan yang kami persembahkan. Si Nam dan cikgu Ali sudah dahulu dibuai mimpi. Mungkin kepenatan jigging agaknya.
Lebih kurang 15 minit terlelap, kami tiba-tiba terjaga apabila terdengar jeritan kekili Banax 5000 seperti loceng sekolah dari arah belakang bot.
Kali ni joran Riki pula mengena! Terbongkok-bongkok joran Superstar berkekuatan PE3 ditarik rakus. Kami segera menumpukan gelagat aksi Riki bertarung dengan ikan itu.
Memang Riki kaya dengan pengalamannya, dengan bersahaja dia melayan seterunya. Perlawanan tidak lebih 5 minit, ceramin-ceramin berskala 4.4 kg berjaya digancu dan didaratkan.
Kami terus kembali bersemangat untuk memburu ikan masing-masing. Seperti yang diharapkan,ikan mula aktif menjamah umpan dan kali ni joran Cikgu Alai pula. Biarpun hanya bersaiz 2 kg, namun itu sudah memuaskan hati.
Diikuti Cikgu Aim, Tekong Riki, saya, Si Nam dan Cikgu Ali masing-masing berpesta kerana berjaya menaikkan ceramin-ceramin bersaiz 1 kg hingga 3 kg.
Tetapi selepas itu, keadaan kembali suram tanpa sambaran ikan mungkin disebabkan oleh sebuah kapal pengangkut barang yang singgah berlabuh di Pelantar Minyak Haji Richard ini.
Ribut Melanda
Jam menunjukkan pukul 4.30 petang, Cuaca nampak cerah dan matahari terik masih lagi memancar membuatkan kami masing-masing dengan pelindung bagi mengelak dari panas terik yang seakan-akan berada dalam microwave.
Tiba-tiba Riki memberitahu agar kami berkemas kerana trip pelantar minyak Haji Richard terpaksa dihentikan dengan alasan hujan ribut akan melanda.
Kami berpandangan sesama sendiri kebingungan kerana cuaca panas terik pada masa itu, awan cerah tanpa menunjukkan sebarang tanda-tanda hujan, tiba-tiba hujan ribut akan melanda adalah mustahil!.
Seperti dapat membaca apa yang ada di fikiran kami, Riki lantas menjelaskan dan menunjukkan yang di daratan sudah ada kepulan awan hitam membentuk menandakan
ribut akan terjadi jika kami masih lagi bertahan. Akur dengan keadaan tersebut, kami pun menurut apa yang dia arahkan.
Tepat jam 5 petang, bot kami pun memecut meninggalkan Pelantar Minyak Haji Richard. Namun tidak sampai 15 minit perjalanan, keadaan telah bertukar mendung dan gelap. Ini membuatkan kami sedikit gusar kerana perjalanan pulang ke jeti masih jauh.
Tiba-tiba angin bertiup kencang dan diikuti hujan lebat membuatkan kami basah kuyup dan pandangan terjejas dek cuaca tersebut.
Namun Riki memberitahu kami agar tidak berasa panik dan cuba untuk meredah ribut teruk. Sesekali saya berdoa agar dijauhi mala petaka dan teringat orang rumah!
Bak kata pepatah orang tua-tua alah bisa tegal biasa. Begitu lah perumpamaan yang boleh dijelaskan kepada Riki. Dalam suasana yang gelap, angin dan hujan kami pun selamat tiba di muara Weston.
Tabik hormat dengan Riki biar pun pada kebiasaannya perjalanan yang hanya memakan masa 45 minit menjadi 2 jam setengah. Ternyata kami tidak salah memilih tekong bot, pengalaman dan ilmu laut Riki memang tidak boleh dipertikaikan lagi.
Lebih kurang jam 7 malam, kami selamat sampai ke jeti Weston Wetland Park. Selesai memunggah semua barang-barang dari bot, kami sempat berborak-borak kosong. Masing-masing bercerita tentang pengalaman meredah ribut tadi.
Riki hanya tersenyum mendengar cerita kami. Selesai sahaja, kami pun bergerak pulang ke rumah dengan pengalaman meredah ribut masih teringat-ingat dan menjadi bualan kami di dalam kereta masa perjalanan pulang.
Trip Pelantar Minyak Haji Richard ini banyak memberi pengalaman buat saya yang pertama kali turun untuk menduga lautan dalam.
Banyak perkara baru yang saya pelajari dan ternyata pepatah Melayu mengatakan luas perjalanan, banyak pengalaman ada kebenarannya. Justeru itu, saya berharap akan ada lagi trip-trip menduga lautan dalam yang akan saya sertai lagi.
Info pelantar
Nama sebenar Pelantar Minyak Haji Richard ialah Richardson Transection. Namun ia lebih dikenali sebagai Pelantar Minyak Haji Richard di kalangan penduduk tempatan dan merupakan pelantar minyak gas.
Korang Tanya Umpan Jawab -S10S06- Beza perikanan rekreasi dan pancingan rekreasi?

SOALAN:
Boleh tak admin bagi pencerahan sedikit tentang istilah perikanan rekreasi dengan memancing rekreasi?
Saya agak keliru dengan istilah ini sama ada ia adalah perkara yang sama atau sebaliknya.
JAWAPAN:
Perikanan rekreasi bermaksud semua aktiviti menangkap ikan atau haiwan akuatik yang dilakukan bukan untuk tujuan komersil.
Perikanan rekreasi tidaklah membawa makna hanya memancing sahaja dan tidak pula hanya melibatkan ikan semata-mata.
Udang, ketam, sotong atau apa sahaja haiwan akuatik lain yang boleh ditangkap sama ada menggunakan peralatan pancing atau sebaliknya, dan tidak diperdagangkan maka ia tergolong dalam perikanan rekreasi.
Manakala memancing rekreasi ini lebih menjurus kepada aktiviti memancing bukan untuk tujuan komersial atau untuk lebih mudah fahamnya memancing sekadar suka-suka demi kepuasan hobi.
Hasil pancingan tidak dijual bagi menyara hidup sebaliknya diambil untuk kegunaan sendiri atau dilepaskan kembali.
Secara kasarnya perikanan rekreasi dan memancing rekreasi adalah dalam rumpun yang sama di mana kesemua hasil tangkapan tidaklah diperdagangkan dan ia bukanlah satu kerjaya sebagaimana nelayan.
Perbezaannya pula, jika seseorang individu itu menangkap ikan atau haiwan akuatik menggunakan joran dan kekili maka ia adalah pemancing rekreasi yang melakukan aktiviti perikanan rekreasi.
Dan dalam perikanan rekreasi ini lazimnya tiada amalan tangkap dan lepas yang dipraktikan sebagaimana dalam memancing rekreasi.
Tentu saja ia sesuatu yang pelik apabila setelah bersusah memasing jaring atau pukat, hasil yang tersangkut pada jaring atau pukat itu dilepaskan kembali, dan dilakukan hanya untuk hobi menjaring semata-mata.