Korang Tanya Umpan Jawab -S10S02- Perbezaan gewang selaman cetek dan dalam?

Share

 

SOALAN:

Saya ingin tahu apa perbezaan gewang selaman dalam dan cetek? Bagaimana hendak mengenalinya dan ikan apa yang makan gewang selam cetek dan selam dalam?

JAWAPAN:

Dari segi istilah, gewang selaman cetek membawa makna gewang tersebut mampu berenang pada kedalaman yang cetek.

Lazimnya gewang selaman cetek tidak menyelam melebihi kedalaman 2meter. Sementara gewang selaman dalam pula mampu berenang dan menyelam melebihi kedalaman 2meter.

Kebanyakan gewang selaman dalam mampu menyelam sehingga 3-5meter. Lazimnya spesifikasi kedalaman gewang menyelam tertera pada kotak gewang.

 

Jenis selaman gewang bergantung kepada reka bentuk lidah gewang. Jika lidah gewang besar dan menirus 30 darjah ke bawah bermakna ia adalah selaman dalam.

Bagi selaman cetek, saiz lidah adalah kecil dan menegak ke bawah sehingga 80 darjah.

 

Sama ada gewang selaman dalam atau cetek, ia tidak dikhususkan untuk ikan tertentu.

Sebagai contoh, gewang selaman dalam dan selaman cetek dari model yang sama boleh digunakan untuk mengumpan ikan sebarau.

Apa yang membezakannya adalah paras kedalaman air lokasi padang pancing. Gewang selaman cetek digunakan untuk padang pancing berkedalaman cetek dan begitulah sebaliknya.

 

Di kawasan yang dalam, kedua-dua jenis gewang ini boleh digunakan. Jika spesies sasaran bermain di paras beberapa kaki dari permukaan, maka gunalah gewang selaman cetek dan jika ia bermain di kawasan berhampiran dasar maka gunalah gewang selaman dalam.

Cuma gewang selaman dalam tidak sesuai dimainkan di kawasan cetek kerana renangan atau selamannya akan mencecah dasar sekaligus berisiko akan tersangkut.

IKLAN