
SOALAN:
Saya masih keliru sama ada nak guna perambut dawai atau tidak jika casting tenggiri dan spesies bergigi tajam lain jika menggunakan gewang pintail?
Saya pernah dengar orang kata kalau pakai perambut dawai ni tenggiri boleh nampak dan tak akan sambar pintail tu. Tapi kalau tak pakai perambut dawai, takut pulak pintail tu lebuh kena cukai. Apa pendapat admin?
JAWAPAN:
Memang tidak dinafikan penggunaan perambut dawai atau kabel adalah satu KEMESTIAN jika ingin memburu spesies bergigi tajam seperti tenggiri, alu-alu, toman atau pacu.
Faktor utama kenapa perambut dawai ini digunakan kerana bimbang pemangsa-pemangsa bergigi tajam ini akan menelan umpan atau gewang hingga boleh memutuskan tali perambut.
Oleh yang demikian penggunaan perambut dawai adalah kemestian terutamanya bagi pancingan menggunakan umpan alami ataupun umpan tiruan seperti pintail dan sebagainya lagi.
Ia juga perlu digunakan untuk casting dan trolling di laut kerana tidak pasti spesies apa yang bakal menyambar gewang tersebut.
Tidak dinafikan juga perambut dawai lebih mudah dilihat berbanding leader fluorocarbon tetapi ia masih boleh diatasi dengan menggunakan perambut dawai yang lebih halus diameter.
Saya mencadangkan perambut dawai berkuatan 40lb ke bawah. Perambut dawai juga tidak perlu panjang, memadai 10cm ke bawah.
Seperkara yang perlu anda ingat, pintail biasanya dimainkan dengan karauan yang laju. Dengan karauan yang laju, saya tidak fikir tenggiri berkesempatan untuk melihat dan menilai perambut yang digunakan. Apa yang jelas kelihatan hanyalah aksi renangan pintail tersebut.
baca juga Korang Tanya Umpan Jawab – Tali Pancing Sesuai Untuk Pancingan Pantai?
Apa pendapat anda? Teruskan klik & share artikel kami ini. Terima kasih!
Jangan lupa LIKE, FOLLOW & SEE FIRST Facebook Majalah Umpan
Sudah subscribe channel Youtube umpan? Klik sekarang Youtube Umpan
Jelajah Pancing 2 Taman Negara

Walaupun sudah banyak tahun saya meninggalkan sahabat-sahabat di Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), namun ikatan persahabatan kami masih kuat di atas nama satu minat dan hobi iaitu ‘berkemping’.
Saban tahun saya mengikuti trip Geng Bregol kerana kumpulan ini lebih gemar bersantai dan hanya menjadikan aktiviti memancing hanya perkara sampingan.
Saudara Bregol yang cukup aktif di usia muda meneroka seluruh pelosok gunung-ganang di Malaysia dan kini masih aktif berbasikal dan menjadikan trip ‘berkemping’ sebagai percutian untuk grup ini dua kali setahun menyasarkan Taman-Taman Negara yang ada di Malaysia seperti Royal Belum, Tasik Kenyir, Kuala Tahan dan Taman Negara Endau Rompin.
Taman Negara Endau Rompin
Setelah sekian lama berehat, Bregol menghubungi saya untuk mengatur trip ke Endau Rompin tatkala cuti panjang yang berturut pada hari pekerja. Urusan permit masuk ke Taman negeri telah diuruskan saya sendiri 2 minggu sebelum trip berlangsung.
Cuaca yang sering hujan pada sebelah petang seminggu sebelum trip menggusarkan perasaan saya, namun itulah cabaran yang sering kami hadapi apabila kita bermain dengan alam semula jadi. Dalam hati berkata juga kalau air keruh maka baung lah sasaran utama dan spesies kelah serta sebarau ditolak ke tepi.
Sesi mencari sawit ranum 3 hari sebelum trip dan membiarkan ia lebih ‘masak’ di dalam plastik sebagai persediaan sesi memburu kelah, tengas atau spesies yang memakan umpan ini. Saya yang lebih gemar memburu spesies sebarau hanya membawa set casting dengan peluru-peluru sesudu dan gewang yang sesuai dengan lokasi sungai yang berjeram.
Apabila hari yang ditunggu telah tiba Geng Bregol memulakan perjalanan dari Ampang terus ke Kuala Pilah dan terus ke Kuala Rompin yang mengambil masa 6 jam perjalanan. Disebabkan ini kali pertama kunjungan ke Taman Negeri Endau Rompin, maka perjalanan agak perlahan kerana perjalanan waktu malam memendekkan jarak penglihatan apatah lagi melalui banyak laluan berliku.
Usai menunaikan kewajipan di Pekan Rompin, kami singgah ke pasar membeli sedikit lagi bahan makanan basah. Tema kumpulan ini adalah ‘ makan biar lebih, cakap biar kurang’ membuatkan tukang masak telah tahu tugasannya. Abang Kamis memang tukang masak yang setia dan sentiasa memberikan yang terbaik. Jadual makan tepat pada masanya dan disediakan 5 kali sehari.
Sebenarnya bila difikirkan, jika terlalu banyak membawa makanan boleh menyebabkan pertambahan beban semasa trekking. Tapi dek kerana memikirkan perut dan tekak yang perlu merasai nikmatnya berada di hutan kami gagahkan jua. Sampaikan lesung batu pun tukang masak bawa!. Senang nak buat sambal belacan katanya.
Tiba di pondok kawalan Pejabat Hutan kami mendaftar nama pesertamanakala permit bagi memasuki Taman Negara telah diselesaikan awal-awal lagi. Jam di tangan menunjukkan pukul 10.30 pagi menandakan kami sebenarnya tersasar daripada jadual perjalanan asal untuk masuk jam 7 pagi.
Mengikut maklumat daripada renjer hutan, campsite di sebelah bawah masih kosong manakala bahagian ke hulu terdapat 3 kumpulan yang telah memulakan perjalanan seawal pagi. Setengah jam pertama memasuki hutan berpuluh ekor pacat hinggap di kaki sehinggakan darah tidak berhenti mengalir.
Ada di kalangan rakan trekking yang menggunakan selipar jenis terbuka sekali gus menyebabkan pacat dengan mudah menghidu darah manusia. Sampaikan bila terlalu banyak yang melekat pada kaki langsung tidak kami endahkan.
Setelah menyusuri denai hutan dan melalui 13 batang anak sungai yang penuh mencabar dan mengusung beg yang rata-rata seberat 30 kg, akhirnya kami tiba juga di tapak perkhemahan. Sesi gotong-royong memasang khemah dan menyediakan dapur untuk keselesaan tukang masak memang menjadi perkara yang diutamakan.
Apa yang menyebabkan saya seronok mengikuti kumpulan ini adalah, ada sahaja idea-idea baru yang kreatif membuat sesuatu untuk kemudahan di hutan. Para dapur yang selesa, tempat meletak pinggan mangkuk yang sesuai dan semua alat-alat yang dibuat daripada bahan hutan.
Acara memancing hanya sekitar kawasan jeram di tapak perkhemahan kerana cuaca kelihatan suram dan kebiasaannya hujan pada sebelah petang. Pada hari pertama hujan seketika namun warna air sungai berubah menjadi agak keruh. Dalam hati berkata alamatnya baung sajelah lauk kita.
Pada sebelah malam sesi pancingan dasar di tapak perkhemahan, rakan saya Jemer banyak mendaratkan spesies baung seperti yang dijangka. Walaunya saiz tidaklah sekasar mana namun kuantiti yang diperoleh cukup dijadikan untuk esok tengah hari.
Hanya 3 ekor sebarau yang berjaya didaratkan pada awal pagi hari kedua ketika warna air beransur pulih. Percubaan demi percubaan dilakukan tetapi misi untuk mencari spesies kelah dan sebarau bersaiz kasar gagal sehinggalah hari ketiga hujan lebat melanda dan air keruh sehingga membawa ke masa untuk pulang. Walaupun spesies sasaran ikan kelah tidak berjaya dijadikan santapan namun kami masih mempunyai impian untuk hadir ke sini lagi.
Galeri:
Taman Negara Royal Belum
Telah menjadi kebisaan Royal Belum menjadi salah satu lokasi perkhemahan sahabat MPAJ. Kali ini perjalanan menggunakan bot sehingga ke tapak perkhemahan memudahkan kami membawa kelengkapan lebih dari kebiasaan. Dengan tema yang sama ‘makan biar lebih’ bahan basah dibeli di pekan Grik pada awal pagi.
Dengan 2 buah bot kami terus memasuki Taman Neara selepas membuat pendaftaran di pondok kawalan Jabatan Perhutanan. Sesi pemasangan khemah dan juga penyediaan meja dapur dari bahan-bahan hutan disediakan secara rapi untuk keselesaan tukang masak kami. Sesi memancing dipecahkan kepada dua buah bot pemburu spesies toman dan manakala saya menyertai bot memburu spesies sebarau.
Suak demi suak kami masuki, namun pada hari pertama hanya 2 ekor sebarau yang sudi meligan gewang Rapala Shad Rap Goldfish manakala bot pemburu toman gagal mendaratkan spesies itu kerana semuanya berakhir dengan putus semasa bertarung.
Pada hari kedua sebelah pagi juga tiada hasil yang berjaya ditawan dan tiada spesies yang sudi bergambar dengan kami. Pada sebelah petang kami keluar dengan menggunakan speedboat pada pukul 4 petang dan tekong menemui satu suak di mana terdapat air dari anak sungai mengalir ke tasik.
Di sini kami berpesta apabila seekor demi seekor berjaya didaratkan dengan gewang yang berwarna terang. Hanya yang bersaiz dewasa dibawa pulang ke khemah untuk dijadikan santapan manakala yang bersaiz kecil dilepaskan semula.
Skill bagi penggunaan gewang di tasik agak berbeza dengan penggunaan gewang atau sesudu di kawasan sungai yang berjeram. Di sini kami lebih banyak menggunakan sesudu yang dilontar jauh hingga mencecah dasar dan di karau secara laju ataupun menggunakan gewang ‘sinking’.
Trip tahunan ini akan sentiasa berubah mengikut giliran bagi merasai kenikmatan berada di hutan belantara. Ahli tetap seramai 15 orang sudah cukup untuk memenuhkan kuota bagi sesuatu trip dan perancangan rapi daripada ketua misi, Lan Bregol adalah trip yang sentiasa saya nantikan.
Galeri:
(Oleh: Mohd Fadzil Adenan)
Korang Tanya Umpan Jawab – Kenapa Ikan Black Bass Hanya Ada Sabah?

Korang Tanya Umpan Jawab – Kenapa Ikan Black Bass Hanya Ada Sabah?
SOALAN:
Boleh tak admin jelaskan kenapa ikan black bass hanya terdapat di Sabah sahaja. Tidak terdapat di Sarawak apatah lagi di Semenanjung Malaysia. Letih la nak kena pergi ke Sabah semata-mata nak dapat lesen ikan black bass ni.
JAWAPAN:
Di Malaysia, ikan black bass atau Papuan black snapper (dipanggil tembaring, kanai di Sabah) memang terkenal di Sabah. Status spesies Lutjanus goldiei ini sebenarnya tergolong dalam kumpulan ikan snapper dan merupakan spesies endemik di Papua New Guinea serta spesies natif di Pulau Ryukyu, Jepun.
Spesies endemik (endemic) agak unik kerana hanya boleh ditemui di lokasi tertentu sahaja walaupun dalam perairan yang sama manakala spesies natif (native) bermaksud spesies asal sesebuah negara atau tempat tetapi masih boleh ditemui dalam banyak perairan.
Selain Papua New Guinea dan Jepun, hanya terdapat dua lagi negara yang direkodkan kehadiran spesies ini iaitu Indonesia (kebanyakannya di Borneo) dan Malaysia. Status kehadiran L. goldiei ini di Indonesia masih lagi status persoalan (questionable) manakala di Malaysia pula dengan status berkeliaran (stray).
Pengkaji cenderung mengatakan kanai di Indonesia kemungkinan merupakan spesies yang dibawa masuk (introduced) dan kehadiran spesies ini di Sabah kerana berkongsi jajaran perairan yang sama.
Jadi persoalan status pembiakan spesies kanai di Semenanjung Malaysia pada dasarnya memang tiada kecuali jika spesies ini dibawa masuk dan dilepaskan di perairan Semenanjung sebagai ‘introduced species’.
Mungkin juga, ribuan atau ratusan tahun dahulu, ikan ini berada di perairan Semenanjung, namun akhirnya tidak lagi ditemui, tanpa sebarang bukti atau kajian spesifik dapat dilakukan.
Trip Pari Hari-Hari Mau (VIDEO)!!

Trip memancing ikan pari bukanlah trip eksklusif sebagaimana trip memancing ikan tengiri, jenahak mahupun ikan-ikan bernilai tinggi lain.
Malah trip khusus pancingan pari turut jarang kedengaran kecuali sesi pancingan pantai yang menjadikan pari sebagai subjek sasaran utama.
Namun sesuatu trip memancing yang ada mendaratkan pari tidak pernah tidak menarik perhatian saya.
Apatah lagi apabila melihat para tekong memuat turun deretan tangkapan pari di laman sosial.
Hati segera berkata kenapalah bukan aku yang berada di atas bot berkenaan dan merakam pengalaman tersebut.
Apabila tekong memancing tersohor perairan Pelabuhan Klang di pangkalan Persatuan Pengail Selangor (Pengail) yang lebih dikenali dengan nama timangan Pokmud mencari
teman untuk memancing secara santai, saya segera menawarkan diri dan mencadangkan pari sebagai spesies sasaran sesi pancingan santai tersebut.

Berikutan pada tarikh tersebut pasang surut air laut dalam keadaan menyorong laju dan kurang sesuai untuk memancing pari maka kami mulakan sesi awal pagi dengan pancingan utama memburu ikan jenahak.
Sambil menotok atau pancingan dasar sambil berhanyut, saya turut berjigging.
Namun arus laju ditambah dengan angin kencang menyebabkan sesi tersebut kurang praktikal.
Lalu kami mengambil keputusan mengikat bot pada boya dan memancing ikan-ikan pelagik seperti cencaru dan pelata dengan menggunakan apollo hingga penuh satu tong.
Menjelang tengah hari kami berlabuh pula di suatu lubuk berpotensi. Dalam pada menanti pemangsa mengambil umpan sotong kurita dan pelata hidup, kami turut mengunjun umpan besi atau jigging.
Penat memancing kami berehat dan melelapkan mata seketika. Sedang asyik dibuai alun dan angin, salah satu joran Pokmud mengena dan seekor jenahak anggaran berat hampir dua kilogram berjaya didaratkan.
Apabila tiupan angin mula berkurang kami kembali menyambung sesi menotok. Setelah hampir tiga jam kami menghabiskan masa tanpa sebarang hasil, akhirnya kami sepakat hati menamatkan pemburuan.
Berbaki masa sedikit masa sebelum pulang ke pangkalan, berlabuh pula di kawasan cetek pinggir selat bagi menghabiskan saki baki umpan sotong kurita memancing sembilang dan saudara maranya yang bersengat.
Dalam pada ikan duri dan gelama yang didaratkan bersilih ganti, tiba-tiba salah satu joran milik Pokmud dihenjut kuat.Pari! Ujar Pokmud sejurus memegang joran yang dihenjut kasar tersebut.
Secara spontan saya bersorak riang kerana hasrat saya tercapai juga walaupun Pokmud belum habis bertarung dan kelibat mangsa sama ada pari atau spesies lain belum dapat dipastikan.

Setelah hampir sepuluh minit bertarung akhirnya mangsa memperlihatkan kelibatnya di permukaan.
Ternyata ia sememangnya pari malah lebih manis ia adalah seekor pari harimau seberat 14 kilogram.
(Video mendaratkan pari)