Boleh tak admin beritahu saiz mata kail dan perambut yang sesuai untuk memancing udang galah?
JAWAPAN:
Pada kebiasaannya, perambut udang galah ialah menggunakan perambut tangsi atau monofilament line. Perambut fluorocarbon juga boleh digunakan namun ramai yang lebih gemar menggunakan perambut tangsi saja. Kekuatan perambut biasa digunakan dari 6lb hingga 12lb.
Ads
Ini sudah memadai dengan berat udang itu sendiri. Kekuatan 12lb boleh menampung dan mengangkat beban maksimum 5.5kilogram sudah terlalu besar untuk udang galah sungai yang purata 50gram hingga 500gram.
Panjang perambut yang biasa digunakan sekitar 15cm atau lebih kurang sejengkal jari orang dewasa. Jenis perambut tangsi biarlah yang lembut supaya udang galah tidak begitu terasa beban ketika mengunyah umpan.
Ads
Kelebihan perambut tangsi juga ia dapat membuai di dalam air. Ada sesetengah pemancing udang berpengalaman menggunakan perambut yang lebih panjang sehingga 50cm. Namun ia lebih sesuai ketika arus laju dan mudah berpintal jika tidak cekap membuat lontaran.
Sama ada perambut satu mata kail atau dua mata kail boleh digunakan bergantung kepada struktur lubuk.
Mata kail udang banyak jenis dan saiz mengikut tempat, jenis lapangan pancing dan saiz udang. Saya biasanya menggunakan mata kail no 2 hingga no 6 kerana saiz ini paling sesuai.
Ads
Banyak jenis dan saiz mata udang yang boleh di temui di pasaran tempatan. Mata kail berduri pandan adalah lebih baik daripada tanpa duri pandan.
Saya amat meminati pancingan di muara dan gemar memburu ikan-ikan bersengat seperti sembilang. Baru-baru ini akibat kurang berhati-hati saya telah terkena sengat ikan sembilang ini dan bisanya terpaksa saya tanggung selama beberapa hari.
Bolehkah admin kongsi bersama saya dan pemancing yang lain antara petua untuk menghilangkan bisa akibat sengatan ikan bersengat ini?
JAWAPAN:
Ikan bersengat ni ada bermacam-macam jenis. Sembilang, duri, pari, usat-usat dan belukang antara ikan bersengat yang perlu dikendalikan dengan berhati-hati bila menaikkannya. Bisa akibat sengatan ini memang boleh memakan masa untuk sembuh dan ada juga kes yang boleh membawa maut. Cara moden yang biasa digunakan ialah mendapatkan suntikan di klinik mahupun hospital.
Namun, ada juga petua orang-orang lama yang boleh kita gunakan jika terkena sengatan ikan bersengat seperti sembilang ini. Antara petua yang paling popular digunakan ialah dengan meletakkan asam jawa pada tempat yang terkena sengatan tersebut dan biarkan untuk beberapa minit. Insyaallah kesakitan akan beransur hilang.
Cara lain yang boleh digunakan ialah gunakan 2 atau 3 sudu serbuk kopi dan campurkan air panas yang mendidih. Kemudian, ambil kain dan sapukan di tempat yang disengat. Jika kesakitan masih berterusan, cepat-cepatlah dapatkan rawatan selanjutnya di klinik ataupun hospital.
Boleh tak admin hurai sedikit bagaimana atau sejarah penghasilan mata kail dalam dunia moden. Dari mana ia bermula dan negara mana yang menjadi pengeluar mata kail pertama di dunia?
JAWAPAN:
Sukan memancing di England bermula setelah Dame Juliana menulis `The Bake of St. Albans’ pada 1486. Kita dapat berspekulasi bahawa dengan meningkatnya minat dalam
sukan memancing, ia menjadi permintaan yang lebih besar untuk pembekal mata kail untuk memenuhi pasaran yang sedang berkembang.
Pengusaha yang mampu menghasilkan jumlah besar mata kail pada waktu itu adalah pembuat jarum. Pada dasarnya mata kail adalah jarum bengkok yang dilengkapi dengan duri pandan.
Produksi mata kail skala besar pertama kali dimulai dan kemudian didominasi oleh pengilang Inggeris dan Skandinavia. Ini dimulai ketika mesin pencetak pertama yang melubangi cincin mata kail beroperasi di England pada tahun 1826.
Pengusaha mata kail Norwegian dan Swedian, yang bekerja di England sekitar waktu itu, kemudian kembali ke tanah asal mereka dengan kemahiran mereka. Pada tahun 1832, Mustad Company yang terkenal didirikan di Oslo.
Banyak proses yang telah dilakukan dengan tangan di kilang-kilang England mula dilakukan oleh mesin yang kemudian dikembangkan di Skandinavia.
Admin, boleh tak jelaskan maksud bearing yang biasanya tertulis pada reel atau kekili? Ada yang 3 bearing, ada yang 6 sampai 10 pun ada.
JAWAPAN:
Boleh dikatakan ramai pemancing yang tidak mengendahkan jumlah bearing atau ball bearing yang digunakan dalam sistem kekili yang mereka beli. Kebanyakannya lebih memikirkan soal drag atau ratio sahaja.
Admin sendiri, semenjak menggunakan kekili yang sekadar ada 1 bearing hinggalah berbelas-belas bearing sekarang ini sendiri tidak kisah sangat soal bearing ni. Walau bagaimana pun tidaklah bermakna spesifikasi bearing itu tidak penting. Untuk menjadi pemancing yang berilmu, soal bearing ini eloklah kita faham juga.
Bearing yang dimaksudkan ialah jumlah alas bebola yang digunakan dalam sesebuah reel atau kekili. Contohnya jika pada reel itu tertera 5 ball bearing ia membawa maksud terdapat 5 alas bebola yang digunakan dalam kekili.
Bearing tu untuk apa? Bearing atau alas bebola adalah bertujuan untuk melancarkan pergerakan objek yang berpusing dengan mengurangkan rintangan di antara dua objek. Semakin banyak alas bebola yang digunakan maka semakin ringanlah rintangan tersebut sekaligus menyebabkan kayuhan terasa lebih lancar dan ringan.
Terdapat kekili yang dipasang dengan belasan alas bebola keluli tahan karat. Semakin banyak terdapat alas bebola semakin mahal kekili terbabit. Namun terdapat masalah lain pula di sebalik terlalu banyak alas bebola, jika tidak dijaga akan menyebabkan pergerakan kekili tersangkut-sangkut dan mengeluarkan bunyi yang tidak disenangi. Begitu pun, bearing atau alas bebola ini boleh diganti apabila sudah rosak atau pecah.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...