
Warna air tidak mempengaruhi tangkapan ikan secara mutlak. Bagaimana pun sedikit sebanyak ia mempengaruhi beberapa jenis ikan serta cara kita memancingnya.
Misalnya, jika ikan sasaran yang kita pancing ialah ikan sebarau dan tiba-tiba arus membawa air keruh ke kawasan kita memancing, maka sekiranya pada masa itu kita
mengguna gewang yang berkilau, kilauan yang menjadi tarikan pada sebarau tidak dapat dilihat dengan baik oleh ikan tersebut disebabkan oleh air yang keruh.
Jadi kita perlulah menukar gewang ke gewang yang akan menarik perhatian ikan tersebut seperti gewang popper atau gewang yang mengeluarkan bunyi untuk menarik perhatian ikan tersebut.
Pada amnya sekiranya air bertukar menjadi keruh maka ikan bersesungut (seperti ikan baung, keli, sembilang) akan aktif di mana ia menggunakan sesungutnya untuk mencari
makanan dengan menghidu makanan sebab deria penglihatan ikan sedikit terjejas disebabkan air keruh.
Sebenarnya, hasil tangkapan yang berkurang bukanlah disebabkan kekeruhan air, sebaliknya disebabkan penurunan suhu air.
Disebabkan hujan atau perubahan cuaca (sama ada panas atau sejuk secara mengejut) ia akan mempengaruhi aktiviti ikan.
Bila ikan menjadi tidak aktif secara tidak langsung ia tidak buka mulut atau mencari makanan.
Baca juga cara cangkuk katak hidup
Apa pendapat anda? Teruskan klik & share artikel kami ini. Terima kasih!
Jangan lupa LIKE, FOLLOW & SEE FIRST Facebook Majalah Umpan
Sudah subscribe channel Youtube umpan? Klik sekarang Youtube Umpan
Trip Retro – Menjejak Pusat Asuhan Tengas!!

Lokasi pertama yang saya kunjungi tidak lama dahulu adalah Sungai Hulu Berakit. Lokasinya nun jauh di dalam hutan di Mukim Lepar Utara, Pahang bersempadankan daerah Maran/Kuantan. Trip ini boleh dikatakan trip terjah, bila mensasarkan 100% casting.
Di mukim ini, terdapat banyak sungai-sungai pergunungan. Ada yang masih bertaraf anak dara dan ada juga bertaraf bohsia, bila mana ia telah dikaran, tuba, pedih mata oleh orang yang singkat akal fikirannya
Kami memilih Sungai Hulu Berakit, kerana destinasinya jauh dan perlu trekking hampir lima jam ke sini. Malah ujar Chilid, rakan yang juga merangkap sebagai guide kami, lokasi ini terlalu jarang dikunjungi pemancing, melainkan pemburu dan juga pencari kayu gaharu dan damar.
Selain beg, khemah, saya hanya membawa sekotak kecil perkakasan memancing yang diisi dengan gewang dan sesudu dan dengan ditemani 3 orang rakan dan bermalam satu malam di sini.
Bertolak dengan menaiki motosikal sekitar jam 9 pagi, perjalanan kami meredah laluan estet kelapa sawit, lombong besi, jalan balak sebelum tiba di rumah kongsi balak untuk menumpang letak motosikal. Kemudiannya kami berjalan kaki ke hulu sungai dan tiba sekitar jam 3 petang.
Amat mengujakan bagi saya, kerana sungai yang pada mulanya nampak biasa di bahagian hilir, semakin memukau pandangan mata bila mana sampai ke bahagian hulunya. Daripada pemandangan sungai biasa di bahagian hilir, di bahagian hulu terbentuk kolam-kolam sekali gus membentuk lubuk yang dalam dan airnya berwarna hijau kehitaman.
Pada saya memang ia lubuk terbaik memancing bottom. Tetapi, memandangkan tiada perancangan untuk pancingan dasar, kami terus sahaja casting dan terus casting. Hasilnya beberapa ekor tengas bersaiz lengan budak berjaya diperolehi.
Untuk casting, di kawasan sungai berarus laju ini, sesudu atau gewang kecil perlu dilontarkan di celah atau tepi batu yang dalam airnya. Kemudian karau laju dan cuba berulang-ulang kali. Tengas bersaiz kasar biasanya ada di celahan batu dan jika ada objek melayang (disangka makanan) akan keluar dan mengejar.
Menjelang malam, sedang kami merancang apa yang ingin dilakukan esok hari di dalam khemah, tiba-tiba sahaja angin menderu dan tidak lama kemudian hujan lebat turun mencurah hinggalah ke pagi.
Sekali gus menyebabkan pemandangan indah yang kami nikmati pagi tadi bertukar menjadi keruh dan deras menyebabkan malam itu kami tidak tidur malam, bimbang-bimbang berlaku kepala air turun.
Awal pagi, air sungai bukan setakat keruh, tetapi juga meningkatkan paras sungai yang telah membantutkan usaha kami meneroka sungai ini. Oleh sebab paras air masih tinggi, kami mengambil keputusan menamatkan dan pulang. Tiada gunanya terus menunggu.
Untuk pulang, kami terpaksa memanjat beberapa buah bukit, menebas semak samun kerana laluan semalam tidak boleh dilalui lagi. Puas berjalan hampir empat jam barulah kami tiba di rumah kongsi balak.
Saya percaya, jika dapat berkunjung semula ke sini pada musim panas kering dan mempraktikkan pancingan dasar, pasti mampu memberikan hasil yang lebih menggembirakan. Ini kerana tengas bersaiz kasar aktif mencari makan pada waktu malam.
Trip Retro – Pencarian Ikan Sungai Pegunungan!!

Sekitar jam 7 pagi, konvoi sudah pun berada di kemuncak tertinggi di hutan simpan Hulu Lepar. Namun ia baru separuh perjalanan jalan balak sejauh 60 km.
Cuaca yang amat baik melancarkan perjalanan konvoi. Trek hardcore hanya akan ditempuhi apabila memasuki simpang ke Sanka 4 atau hulu Sungai Tekai.
Namun, perancangan memasuki hutan seawal jam 4 pagi yang disangka satu langkah bijak ternyata terkebelakang juga. Kesan-kesan tayar yang masih baru di persimpangan ke Sanka 4 menunjukkan ada grup lain yang masuk lebih awal dari kami.
Umpama casting dengan menggunakan bot, apabila sesatu suak atau lubuk itu telah ada bot lain maka wajiblah beredar mencari suak lain pula.
Begitulah juga hukumnya apabila Sanka 4 sudah dimasuki oleh grup lain maka tidaklah boleh kami redah juga.
Meskipun secara rohaninya trip ini berakhir, tapi alang-alang sudah jauh ke tengah hutan belantara, kami meneruskan perjalanan ke Sanka 3. Trek ke Sanka 3 merupakan jalan balak yang masih aktif.
Meskipun kongsi balak di pinggir sungai utama iaitu Sungai Tekai sudah ditinggalkan namun kerja-kerja mengeluarkan kayu balak masih dilangsungkan.
Namun ketua konvoi memutuskan tidak mendirikan campsite di situ sebaliknya meneruskan lagi perjalanan sehinggalah menemui anak Sungai Tekai dan di anak sungai dengan paras air setakat tulang kering itulah campsite didirikan!
Setelah mendirikan khemah dan mengalas perut, kurang satu perempat dari ahli trip yang merupakan ‘pemancing’ terpaksa kembali ke Sungai Tekai untuk ekspedisi memancing.
Hazani, anak jati Lepar Utara yang merupakan guide kami meranduk ke hulu sungai manakala kami berlima meranduk mengikut arus sungai paling dalam separas paha ke hilir.
Hampir setengah hari mudik dan kemudian meranduk arus kembali tempat asal tanpa tidur pada malam sebelumnya maka dapatlah seekor kelah kurang dari setengah kilo, kejor dan
tengas sebesar empat jari dan beberapa ekor sikang dan sebarau yang kesemuanya dilepas dan terlepas kembali ke habitat asalnya.
Namun Hazani yang meranduk ke hulu seorang diri hampir 5 kilometer memperolehi hasil yang baik juga selamat dijadikan juadah kami pada senja tersebut.
Hasil yang diperolehi oleh Hazani itu membuatkan kami sepakat untuk mendesak ketua konvoi bertukar campsite ke Sungai Tekai.
Namun apabila kami tiba di campsite, hasrat itu berkubur begitu saja apabila ditayangkan hasil menjala berdekatan campsite di anak sungai Tekai.
Macam tak percaya juga ada kelah merah yang agak kasar juga di anak sungai tersebut. Mahu tak mahu, sungai separas tulang kering itu akan diranduk hingga ke hulunya pada keesokan harinya.
Walaupun ada ahli trip yang sudah putus harap namun ada pula ahli baru menyertai ekspedisi meranduk ke hulu anak Sungai Tekai. Bergerak secara berkelompok dan berperingkat, saya bersama seorang rakan bergerak dalam kelompok kedua terakhir.
Meranduk melawan arus sememangnya memenatkan apatah lagi jika hanya memakai sandal. Namun lebih memenatkan setelah setengah meranduk, tiada satu spot pun yang berpotensi untuk melontar gewang.
Sungainya terlalu mendatar tanpa lubuk dalam. Akhirnya setelah satu jam meranduk sungai dan menyusur tebing, saya mula hilang harapan untuk bertemu lubuk dan memutuskan untuk tidak meneruskan perjalanan.
Ternyata keputusan yang diambil adalah tepat berikutan laporan memberangsangkan selain kekecewaan yang dibawa pulang oleh kelompok pertama yang meranduk sehingga ke punca air anak sungai tersebut.
Hampir 10 kilometer mereka redah namun tidak ketemui lubuk yang diimpi-impikan selain terkapar kepenatan.
Trip Retro – Memburu Kepala Ular Borneo!!

Cerita bab ikan spesies snakehead (ikan berkepala ular) memang biasa jika di semenanjung Malaysia.
Tetapi haruan (channa striatus), bujuk (channa lucius) jika diamati ia semakin sukar dicari terutama sekali jika berdekatan dengan kawasan penempatan terutama di semenanjung.
Walaupun haruan dianggap masih mudah diperolehi di sesetengah tempat, tetapi kebanyakan kaki pancing semenanjung kini terpaksa menjelajah jauh ke pelosok kebun-kebun kelapa sawit, parit, paya dan sebagainya untuk mencari haruan.
Bujuk pula memang sudah semakin sukar diperolehi, hingga terpaksa meranduk masuk ke ceruk kawasan pembalakan, paya gambut dan sebagainya.
Pengalaman saya berkunjung ke daerah kecil Matu-Daro yang terletak di dalam bahagian Mukah, Sarawak bersama Lai Malie, rakan dari Mukah Caster Group cukup mengujakan.
Ini kerana, rakan saya ini membawa saya ke wilayah di mana terletaknya port yang saya simpulkan ia sebagai kandang bujuk.
Ikan bujuknya cukup banyak, sehingga nak cari haruan pun susah!.
Dalam nisbah 10 kali strike, 6-7 ekor adalah bujuk, selebihnya barulah ikan runtu dan haruan.
Dalam komplot tersebut, ia turut disertai oleh beberapa orang caster dari Mukah Anglers Grup dan Matu- Daro Anglers Group yang lain iaitu Ruzain Narumy, Lai Sacs, Lanang Anglers, Mann Levi’s dan Cikgu Ismith.
Menariknya sebelum komplot ini diaturkan, saya belum pernah berjumpa dengan mereka. Hanya bersembang di laman sosial Facebook sahaja.
LUBUK BUJUK
Komplot bermula sebaik sahaja saya, Lai Malie dan Ruzain tiba dari Mukah yang mengambil masa hampir 2 jam perjalanan untuk tiba ke Matu Daro ini.
Mujurlah semasa tiba di Batang (Sungai) Igan, feri ‘ngam-ngam’ sampai dan kereta kami tidak perlu tunggu lama untuk menyeberang ke sana.
Sebaik tiba di Dewan Serbaguna Kampung Tian, Matu, kami kemudiannya bergerak menaiki kereta ke lokasi.
Konsep pencarian spesies ikan berkepala ular ini amat mudah. Hanya memancing di pinggir jalan raya menuju ke Daro sambil secara ‘Touch n Go’, iaitu beralih tempat ke hadapan jika tiada mendapat sambutan.
Ada beberapa perkara yang merangsang keterujaan pada diri saya ketika di sana. Setiap kali berhenti di satu-satu lokasi, mendapatkan strike cukup mudah.
Sudahlah tepi jalan raya, keluar sahaja dari kereta, lontarkan umpan di parit sebelah kiri dan kanan jalan, karau beberapa kali dan strike!
Paling best pakai apa sahaja umpan tipu semua bujuk kat sini hentam. Amboi senangnya kata saya!
Menariknya lagi, bujuk adalah spesies snakehead yang paling banyak dinaikkan, sesekali runtu yang akan mengena dan kemudian barulah haruan.
Wah… Memang seronok sangatlah. Jauh bezanya jika dibandingkan trip saya mencari snakehead di semenanjung.
Menurut Lai Malie, Matu-Daro adalah antara daerah paling banyak spesies snakehead ini, berbanding di kawasan-kawasan lain di Sarawak.
Terdapat beberapa faktor mengapa di daerah kecil ini populasi spesies snakeheadnya amat banyak berbanding di kawasan lain.
Pertama, masyarakat Melanau di sini memang tidak makan langsung sebarang ikan berkepala ular ini, mereka hanya makan ikan laut, kerana ikan laut murah dan mudah diperolehi memandangkan penempatan di sini berdekatan dengan laut.
Kedua, faktor geografi Matu-Daro yang dikelilingi kebun, hutan pokok sagu dan banyak dikelilingi oleh sungai, parit dan tiada aktiviti pertanian yang ekstrem menggunakan racun perosak menyebabkan ikan di sini membiak dengan baik.
Dan ketiga adalah, tidak ada kaki pancing yang ekstrem memancing spesies-spesies ini. Jika ada pun boleh dibilang dengan jari.
Bujuk, runtu, haruan di sini juga masih belum kenal apa itu gewang.
Bagi geng-geng Matu-Daro Anglers sendiri pun mereka sebenarnya lebih gemar casting dan mencari ‘Mak Janda’ (gelaran popular untuk siakap merah atau mangrove jack), siakap putih, bulan yang banyak menghuni sistem-sistem sungai muara di sini serta trip ke laut.
Ujar Mann Levi’s yang berasal dari daerah ini, memang sukar nak tengok orang Melanau makan ikan darat, kecuali orang Iban ataupun pekerja-pekerja kontrak ladang, buruh asing yang mengeluarkan dan membersihkan batang-batang pokok sagu.
Jika mereka memancing pun, hanyalah memancing ikan puyu menggunakan batang buluh menggunakan umpan cacing.
Jika bujuk, runtu atau haruan yang mengena, ikan tersebut akan dilepaskan kembali. Bahkan tidak kurang juga yang melemparkannya ke darat kerana faktor ‘geram’ kerana asyik ikan ni sahaja yang mencuri umpan.
Patutlah ikan-ikan di sini hidup aman tenteram, rupa-rupanya tiada gangguan. Warna air sungai, paritnya yang gelap kehitaman tetapi bersih (air tanah gambut) antara faktor,
mengapa bujuk, haruan ataupun runtu yang banyak kami perolehi bentuk yang sihat dan warna yang menarik.
TIKAM TEBING
Sepanjang trip sehari tersebut, saya perhatikan kadar sambaran bujuk, haruan ataupun runtu yang lebih kasar lebih mencakup di kawasan yang bereba seperti ranting-ranting
pokok yang tumbang dan samai di kawasan teduh, terutama di bawah dahan-dahan pokok yang menimbuni tepi tebing.
Rakan-rakan di sini menggelarnya ‘tikam tebing’ dan juga ‘kamikaze’ iaitu istilah gewang mesti dilontar tepat ke lubuk berpotensi di celah-celah dahan pokok yang merimbun hampir di gigi air.
Jadi, kes tersangkut memang tinggi kerana bukan mudah untuk menghantar tepat gewang ke kawasan tersebut.
Mujurlah sebelum datang ke sini, mereka sudah pesan awal-awal bawa banyak-banyak froggie (katak getah), katak rambutan (katak kayu/ buyun), soft plastic dan sebagainya sebagai insurans.
Banyaknya tangkapan bujuk di sini juga membuatkan kami ada kalanya tidak bergerak dan lama di satu-satu tempat. Kesemua tangkapan dilepaskan kembali.