Nama Team Lan Lubuk (TLL) satu nama besar dalam industri dunia pemancingan kolam di Malaysia.
Walaupun sering bertukar ahli namun semangat untuk terus berbakti dan menabur ilmu buat para pemancing baru khasnya dalam mempelajari tektik dan teknik untuk memujuk si
penghuni kolam maka dengan itu saudara Mohd Mazlan atau dikenali dengan nama Lan Lubuk terus mengorak langkah menyahut cabaran.
Bertempat di kolam pancing Man Ampang Batu 18 Hulu Langat, satu acara komplot telah diadakan untuk memberi semangat di samping memberi peluang kepada para sahabat lain mempelajari serta memantapkan ilmu dalam menjinakkan ikan.
Ads
Dengan adanya acara sebegini maka tak hairanlah, para pemancing nampak cukup gembira seperti adik beradik dengan gelak tawa. Inilah silaturahim yang diterapkan.
Dengan mendapat tajaan dari Kedai Umpan Pacak selaku penganjur bersama Kolam Pancing Man Ampang dan para sponsor seperti kedai pancing Joran Kita, Abg Mie Catering dan lain-lain.
Ads
Seawal jam 8.00 pagi seramai hampir 60 peserta sudah berkumpul dan mendengar taklimat ringkas mengenai acara yang bakal berlangsung. Satu demontrasi menyediakan umpan memancing juga diadakan.
Dan jam 9. 30 pagi bermulalah mini game bagi merebut hadiah wang tunai, barangan pancing dan satu rod custom CRS dari air tangan saudara Ikan Darat.
Ads
Nampaknya komplot kali ini puluhan spesies patin berjaya didaratkan. Ini membuktikan Kolam Man Ampang mempunyai ikan yang mencukupi di mana semua peserta berjaya mendaratkan ikan. Game ini ditamatkan jam 4.30 petang.
Rezeki TLL dinobatkan sebagai juara dengan tangkapan Patin 8.45 kg. Tempat kedua saudara Asrol patin 8.1 kg dan ketiga saudara Road Runner patin 7.3 kg.
Seterusnya sesi penyampaian hadiah diadakan dan sesi bergambar utk dijadikan kenangan sebelum kami berangkat pulang.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Jeti Kemasin yang terletak di kawasan Jajahan Bachok, Kelantan ini memang terkenal bagi kaki-kaki pancing tempatan mahupun dari luar. Tidak hairanlah jika saban minggu ada sahaja muka baru atau orang luar muncul untuk mencuba nasib menduga perairan Laut China Selatan.
Kali ini wakil dari Penang Anglers Club (PAC) ingin mencuba nasib di perairan ini setelah puas bermain dan bertarung dengan ikan-ikan di sebelah utara Selat Melaka. Seramai 18 orang yang menyertai misi ini dan dibahagikan kepada dua kumpulan dan bot. Kapten pilihan kami ialah tekong Pok Din (bot #1) yang di ‘organise’ oleh saya dan tekong Pok Pa (bot #2 yang di ‘organise’ oleh Faizul.
Tempat sasaran kami adalah sekitar perairan Pulau Redang, Terengganu dan tempoh pancingan yang dipilih adalah 3 hari 2 malam.
Selepas Asar kami menyusur membelah ombak mencari spot sotong untuk dijadikan umpan hidup di Redang pada keesokan hari nanti. Spot sotong mengambil masa kira-kira 2 jam untuk sampai dari jeti. Ketika bot menuju spot sempat kami membuat perambut candat dan melelapkan mata seketika untuk berehat.
Kelibat bot #2 sudah tidak kelihatan, masing-masing mencari spot sendiri mana la tahu dapat kandang sotong boleh la ‘calling-calling’ untuk sama-sama mencari umpan.
Ternyata malam itu sotong tidak seberapa mewah. Hanya yang hidup ada 30 ekor sahaja. Tekong Din menghubungi tekong bot #2. Hasil sotong hidup bot #2 pun kurang pada malam tersebut. Memandangkan jam sudah menunjukkan 1 pagi, satu perbincangan kecil antara saya dengan Tekong Din agar meneruskan perjalanan menuju ke Redang. Perjalanan ke Redang membolehkan kami tidur sepuasnya.
Pukul 7 pagi kami sampai satu spot kapal karam. Bayang Pulau Redang sudah kelihatan tetapi masih jauh nak dituju. Labuh dulu umpan mana tahu ada rezeki kami.
Balan, selaku orang baru yang mengikuti trip ini menggigil mengarau kudrat jenahak. First strike dengan spesimen 7 kg membuatkan beliau tersenyum lebar dan membuatkan rakan lain berasa geram, tercabar dan tak senang duduk. Lantas, kemudiannya, seekor demi seekor pelbagai spesies dinaikkan daripada rakan lain. Ada juga mencuba nasib dengan kaedah jigging.
Faez berjaya mendaratkan sagai berskala 2 kg dengan menggunakan setup light jig. Padanan rod Major Craft Go Emotion PE#0.4-0.8 dengan kekili Shimano Stradic CI4 – 2500FA, serta tali sulam Extreme Spectra 10 lb memang karan melayan.
Pindah lubuk
Jam 9 pagi kami berpindah menuju ke karang Redang. Kelihatan bot #2 baru sampai mencari spot karang dan lopak. Set yang sama digunakan, umpan sotong hidup menjadi taruhan. Strike!!! Hanya menekan button ON kemudian bertahan dengan batang rod sahaja.
Mudah dengan adanya khidmat ‘bangla’. Kudrat Miya command X6 memang tidak dinafikan akan kekuatannya. Jangan putus perambut sudah. Spesimen 4 kg ebek berjaya didaratkan oleh saya.
“Gancu…! Gancu…! Dia mai dah,” jerit Didi yang menjadi DJ di atas bot #1. Ada sahaja celoteh beliau di atas bot yang membuatkan kami tidak sunyi. Tahniah, ebek seberat 6 kg berjaya menjadi milik Shahrul Amin.
Petang kami masih di karang Redang. Melayan karenah ikan bersaiz 500 gram sehingga 2 kg. Saiz sebegini memang sedap untuk lauk. Hari semakin senja, umpan hirisan sotong dipertaruhkan.
Tiba-tiba isyarat loceng berbunyi, lenturan joran kelihatan. Spesies apakah ini? Skrin Miya Command X6 menunjukkan bacaan 54 meter terus memuntahkan tali hingga 70 meter. Drag diperketat sedikit lagi agar tali tidak terus keluar. Sedang asyik melayan kudrat yang tidak tahu spesies apakah ini, ada juga rakan lain sudah berjaya mendaratkan ikan. Pertarungan masih berlaku, akhirnya muncul jua memperkenalkan diri. Satu spesies yang diberi nama yu kemejan.
Memang spesies ini kuat kudratnya sehinggakan memerlukan dua batang gancu untuk menaikkannya di atas bot. Satu kepuasan bagi saya kerana dapat menjinakkan yu kemejan ini yang berskala 13 kg.
Sebelah malamnya, kami masih dengan seisi bottom menggunakan hirisan juraian sotong. Teknik jig juga dipertaruhkan. Dengan menggunakan jig luminous pasti dapat menarik perhatian spesies pelagik.
Cupak bersaiz remaja banyak terpedaya dengan aksi unjunan jig luminous ini. Sesekali alu-alu juga membaham jig ini yang membuatkan putus tali perambut. Geram juga jika spesies ini menyerang. Tetapi hendak buat macam mana memang itu rezeki kita. Layan je la.
(Bot #2)
Dikendalikan oleh tekong Pok Pa dan seorang pembantu bernama Meso. Para pemancing terdiri daripada Faizul (penganjur), Zarmali, angah, Asu, Jett, Amirul Yusrizal, Remy dan Hj Kasim. Saya mendapat maklumat daripada organiser iaitu Faizul, mereka mencari umpan sotong sehingga jam 4 pagi kemudian baru meneruskan perjalanan ke perairan Redang.
Bekalan sotong hidup mereka juga agak kekurangan. Pada malam pertama pencarian sotong lebih gemarkan memakan umpan ikan. Mujur mereka ada membawa sedikit umpan ikan yang dibeli di pasar.
Jam 9 setengah pagi baru mereka sampai di Redang. Bermulalah misi mereka mencari spesies monster. Ada yang mengunjun jig dan bottom sebagai teknik untuk mendapatkan hasil tangkapan. Spot mereka berjaya mendapat 4 ekor jemuduk, 4 ekor ebek, dan pelbagai spesies ikan lauk.
Difahamkan Jett mendapat ragutan kasar oleh sang layaran. Hanya mendapat melihat aksi akrobatik layaran sahaja. Tetapi apakan daya set ringan jignya tidak mampu menahan kudrat sang layaran sehinggakan beliau terpaksa memotong tali set pancingnya.
Pada sebelah petang Faizul mendapat strike seekor tenggiri seberat hampir 5kg dengan teknik drift. Set yang digunakan terdiri daripada kekili Shimano Aernos 8000, rod Asuka 10-20lb, tali utama 25lb Power Pro sudah cukup untuk membuatkan sang tenggiri menyerah kalah.
Misi Selesai
Keesokan hari kami memancing sehingga pukul 10 pagi sahaja memandangkan perjalanan pulang ke jeti yang masih jauh. Bot mula meninggalkan lubuk menuju ke daratan yang mengambil masa 7 jam untuk sampai ke jeti.
Dikatakan pernah terdapat tujuh tempayan emas di atas gunung tersebut, namun ianya telah jatuh ke dalam Sungai Semantan akibat bah besar melanda. Begitulah penjelasan Abang Chik, guide kami menceritakan kisah di sebalik Lubuk Tujuh, destinasi memancing kami.
Lubuk Tujuh menurut cerita lisan, merupakan sebuah gunung yang tinggi. Kini telah menjadi rata dan mempunyai alur sungai hasil daripada penggabungan anak-anak sungai seperti Sungai Krau, Sungai Bentong, Gapoi dan lain-lain mengalirkan airnya terus ke Sungai Pahang.
Perjalanan menaiki bot dari jeti Kampung Pekan Lanchang mengambil masa sekitar 30 minit untuk sampai ke Lubuk Tujuh dengan buah bot fiber menggunakan enjin sangkut 9.9 kuasa kuda dan 15 kuasa kuda.
Sebelum tiba di lokasi, Abang Chik, sempat singgah di beberapa lokasi di tebing sungai, terutama di bawah akar-akar pokok yang menjalar ke gigi air untuk menyauk udang sungai untuk dijadikan umpan. Kami menjadikan beting sisir sungai sebagai lokasi tempat bermalam dengan mendirikan dua khemah.
Waktu malam hanya dipenuhi dengan aktiviti ‘sembang’ dan aktiviti memancing menggunakan teknik rendaman dasar menggunakan umpan anak ikan di kawasan hadapan khemah. Pemandangan yang terhad pada waktu malam menyukarkan sesi memancing sekiranya kami menggunakan bot.
Kayu dan sampah hanyut di sepanjang sungai dikhuatiri akan menyebabkan bot boleh terbalik. Malam itu, beberapa ekor baung berjaya didaratkan pada sesi pancingan malam menggunakan anak ikan.
Ridzuan yang bangun awal pagi cuba casting menggunakan gewang. Lontaran demi lontaran dibuat di sekitar tebing sungai yang berumput. Beberapa kali melontar gewang, akhirnya satu sambaran diterima sebaik sahaja gewang betul-betul melalui satu rumpun kangkung yang berada di tepi sungai.
Lantas Ridzuan menyentap dan mengangkat joran ke posisi yang lebih tinggi bagi mengelakkan lariannya ke kawasan yang berumput. Tewas sang haruan dalam skala 1 kg.
Sesi pancingan diteruskan. Tumpuan sudah tentulah balingan ke arah lubuk yang dalam. Namun, balingan tepat ke lubuk banyak diakhiri dengan episod duka iaitu mudah sangkut di celah ranting dan reba kayu yang terperangkap di dasar.
Kerap kali ragutan diterima dan jika lambat sahaja saja, alamatnya leburlah mata kail dan batu ladung. Situasi sukar diduga ini amat memerlukan ketangkasan dalam mengawal larian ikan.
Asri yang menggunakan umpan cacing ketika itu membuat lontaran kebahagiaan sisi lubuk dan memegang joran tidak mengambil masa yang lama untuk mendarat seekor spesies baung berat sekitar 1.2 kilogram.
Saya turut tidak ketinggalan, cuba untuk casting, sambil-sambil menunggu umpan pancingan dasar di getu sang ikan. Tiba-tiba terlihat riak air di sekitar reba kayu, menandakan ada ikan pemangsa yang sedang cari makan.
Dengan menggunakan gewang Rapala shad rad- redhead saya cuba casting sebaik mungkin ke sport tersebut. Lantas satu deburan kuat dan serentak itu juga, gewang yang dilontarkan ditarik kuat oleh ikan. Dek kerana air yang keruh, pada awalnya sukar untuk memastikan apakah ikan yang terjerat.
Walaupun sangkaan saya badong, kerana ia kuat melawan, belida yang saya anggarkan melebihi berat 1 kg ini cukup memuaskan hati saya.
Memandangkan Sungai Semantan, adalah salah satu cabang sungai yang bertemu dengan Sungai Pahang, patin adalah satu lagi spesies yang kami idamkan. Berbekalkan umpan buah ara sebiji dan dicangkukkan di mata kail, saya melabuhkan umpan di lubuk kedua yang tidak jauh dari pokok buah ara yang sedang gugur.
Saya menggunakan buah ara yang masak ranum dan mempunyai bau yang sangat harum. Bau yang kuat akan menarik sang patin untuk menjamah umpan. Selain patin, buah ara juga adalah umpan terbaik untuk memancing kelah.
Caranya, mata kail perlu dicucuk ke dalam buah ara dan hanya sedikit hujung mata kail terkeluar. Gunakan batu ladung bentuk buah kana sebagai pemberat. Saiz batu ladung pula perlu mengikut arus sungai.
Di lubuk ini saya berjaya mendaratkan seekor patin sungai skala 1.8kilogram setelah hampir satu jam menunggu. Ternyata percaturan pemasangan umpan dan pemilihan lubuk yang tepat menjanjikan hasil dan kepuasan yang maksima.
Lewat petang, kami bersiap pulang. Ternyata walaupun air Sungai Semantan sentiasa keruh, ia sebenarnya kaya dengan pelbagai spesies hidupan di dalamnya. Pendek kata kesabaran adalah kunci kejayaan jika berhasrat ingin menaikkan spesies rare Sungai Pahang.
Belida merupakan satu spesies ikan buruan yang menjadi idaman ramai pemancing untuk mendapatkan pengalaman sensasi.
Cara memancing ikan belida ini agak unik kerana spesies ini hidup di pinggiran sungai tidak berkumpulan.
Belida biasanya bersembunyi di tunggul-tunggul kayu di tepian sungai dan akar-akar pokok.
Kelebihannya, belida tidak akan berpindah tempat apabila sudah selesa berada di sarangnya. Apa yang sukar ialah untuk mengesan posisi tepat ikan ini bersarang.
Satu-satunya cara untuk mengetahui ikan belida berada di sarangnya adalah dengan cara duduk diam menunggu ia muncul di permukaan dan melibaskan ekornya sambil menghirup udara.
Pergerakan inilah menandakan ikan belida bersarang di kawasan sekitarnya. Walaupun hidup di air tawar dan berada di permukaan pada musim kemarau, namun pada musim hujan ikan belida akan kembali hidup di dasar tasik atau sungai.
Cara memancing belida memerlukan beberapa tip dan trik seperti:
Cari spot yang tepat.
Taburan ikan belida terutamanya belida sungai agak terhad berbanding belida bintik. Oleh yang demikian ada baiknya pemancing mencari informasi dari penduduk setempat di mana biasanya ikan belida ini muncul di permukaan. Pilihlah area tepi sungai yang banyak batu-batuan, rawa, akan atau bangkai pokok.
Waktu yang tepat
Waktu yang tepat untuk memancing ikan belida adalah lewat petang atau malam hari dan juga pada awal pagi. Biasanya ikan belida mencari makan pada waktu-waktu tersebut. Selebihnya ia banyak berdiam diri di dalam sarangnya.
Umpat yang tepat
Umpan hidup merupakan umpan terbaik untuk menjerat belida. Pemancing boleh gunakan udang atau anak ikan. Selain itu gunakan mata kail yang kecil agar umpan dapat bergerak dengan bebas dan biarkan umpan sampai ke dasar sambil sesekali diangkat sekitar 30-50cm.
Selain itu umpan tiruan juga boleh boleh digunakan. Namun peratusan untuk menjeratnya agar rendah kecuali gewang memasuki kawasan sarangnya dan berlenggang-lengguk di hadapan matanya.
Strike yang tepat
Pada kebiasaannya ikan belida menangkap mangsa adalah dengan cara menggonggongnya dan menghempaskannya berulang kali sehingga pengsan barulah ditelan sekaligus.
Jadi, ketika strike biarkan umpan dibawa terlebih dahulu oleh ikan belida ini sampai ke dasar sunga. Setelah tali keluar 3 hingga 5 meter barulah tegangkan tali dan lakukan strike yang kemas.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...