Komplot ke-3 Team Joran URS

Share

Bermula dengan memancing di kolam komersial air tawar menggunakan umpan berjenama URS, para pengguna umpan termasuklah wakil pengedar umpan tersebut menubuhkan kumpulan pemancing dengan judul Team Joran URS. Semenjak ditubuhkan pada 21 April 2016 yang lalu, dan saling berinteraksi menerusi aplikasi WhatsApp, jumlah ahli kelab kian bertambah sehingga melebihi seratus orang.

Dan untuk lebih mengenali antara sama lain, bukan sekadar berhubung dan berkomunikasi di grup WhatsApp, Team Joran URS mengadakan sesi memancing bersama atau komplot memancing.

Setelah berjaya mengadakan komplot sulong pada 15 Oktober 2016 di Kolam Seri Bayu Tekala, menyusul komplot kedua pada 6 Mei yang lalu di Kolam Sebare, dan komplot terbaharu berlangsung dengan jayanya pada Sabtu yang lalu (5 Ogos) bertempat di Kolam Pancing Safirus, Kuala Pilah.

Menurut jurucakap Team Joran URS, Khairul Anuar, komplot ini dijayakan sepenuhnya oleh ahli dan mendapat kerjasama sepenuhnya dari pihak kolam.

Menurut beliau lagi, Kolam Pancing Safirus dipilih berikutan ia merupakan salah sebuah kolam pancing terbaik di Negeri Sembilan. Selain pengurusannya yang bersifat mesra pemancing, kolam tersebut turut dihuni ikan-ikan bersaiz mega yang tidak serik untuk memakan umpan. Dan ia terbukti apabila ikan patin seberat 13 kilogram berjaya didaratkan sekali gus menobatkan ahli yang mendaratkannya muncul sebagai juara Komplot Team Joran URS kali ketiga.

 

IKLAN