Malam itu suasananya agak sepi. Hutan simpan Ulu Gerdong disungkup oleh kepekatan malam tanpa ditemani oleh cahaya bulan. Hanya bunyi unggas dan cengkerik yang menghidupkan malam di hutan simpan ini. Bersatu bersama nyanyian arus sungai yang mengalir laju dicelah-celah bongkah batu besar yang berceratuk di tebing dan tengah sungai.

 

Aku menggeliat seketika. Badan yang letih dan mata yang mengantuk, membuatkan aku terasa tubuh seperti mahu melayang-layang. Perjalanan ke sini tadi mengambil masa hampir empat jam lamanya. Tiga jam perjalanan berkereta dan sejam berjalan kaki meredah belukar lalang setinggi pinggang orang dewasa. Kalau diikutkan badan memang penat tetapi apabila aku melihat Ipin dan Nordin masih segar melayan joran masing-masing yang agak galak dimakan ikan, aku kuatkan semangat untuk mencontohi kerajinan mereka berdua. Manalah tahu kalau-kalau mala mini aku mendapat ikan kelisa yang menjadi idamanku sejak digelar kaki pancing Pantai Dalam.

 

Aku mula memancing. Di tepi khemah berbentuk A itu, Asri dan Nizam masih rancak berbual sambil menghirup kopi panas. Aku tidak tahu apa topik yang mereka bualkan kerana kebisingan arus sungai yang bagaikan tiada berpenghujung.

 

Malam semakin larut. Mataku terasa semakin berat. Aku benar-benar mengantuk kini. Akhirnya aku mengalah. Malam itu aku Cuma mendapat dua ekor ikan baung seberat 500 gram. Umpan yang aku gunakan bagai tidak dapat memikat hati penghuni di dasar sungai untuk memakannya. Aku mengerling ke arah Ipin dan Nordin. Mereka masih lagi setia menjadi penunggu di tebing sungai.

 

Asri dan Nizam juga masih lagi rancak berbual. Kali ini aku dapat menangkap topik perbualan mereka. Semuanya berkisar tentang bola dan jualan rumah yang semakin mencecah tinggi di Kuala Lumpur.

 

IKLAN

Aku berjalan masuk ke khemah. Merebahkan badan di atas kanvas biru yang dijadikan alas perbaringan. Bantalku hanyalah beg galas yang berisi pakaian dan sehelai kain pelikat. Tidak sampai beberapa minit, aku sudah terlena.

 

Ketika tidur itulah, aku didatangi oleh dua orang wanita yang sungguh cantik. Mereka memanggil daripada sebelah kanan pokok balak tinggi yang menjulang berhampiran khemah yang aku dirikan. Aku katakan mereka cantik kerana seumur hidupku dua puluh tiga tahun ini, inilah kali pertama aku memandang wanita yang paras rupanya bagaikan bidadari.

 

Kulit mereka putih, alis mata melentik dan terbentuk indah, hidung mancung. Bibir pula kemerah-merahan. Mata mereka sangat indah bagaikan bulan yang bersinar penuh. Jujur aku katakana, aku sudah jatuh cinta pada mereka berdua!

 

IKLAN

“Saudara Nasrul, dari tadi kami asyik memandang saudara. Sejak saudara melalui perkampungan kami siang tadi. Saudara tak seperti sahabat saudara yang lain. Kami suka melihat saudara solat dan berwirid selepas itu. Suara saudara membaca surah Al Fatihah sungguh mendayu-dayu dan menarik perhatian kami untuk bersahabat dengan saudara. Sudikah saudara menjadikan kami berdua sahabat?” tanya seorang wanita cantik itu sambil tersenyum padaku. Ya Allah, mereka tahu namaku rupanya.

 

“Siapakah saudari berdua?” suaraku akhirnya terkeluar setelah rasa terkejutku hilang. “Nama saya Putri Galuh Cendana. Ini pula adinda saya, namanya Putri Cendaluh Dewi. Kami sebenarnya merupakan anak penghulu yang menjaga perkampungan di sini,” jawab salah seorang puteri itu sambil tersenyum dan menampakkan susunan giginya yang putih dan bersih.

 

Otak warasku sempat juga berfikir. Mana ada perkampungan di dalam hutan simpan yang tebal ini. setakat perkampungan orang asli itu mungkin ada tetapi daripada paras rupa dan pakaian kebaya yang mereka pakai, aku percaya kedua-dua beradik ini datang daripada keturunan orang yang berada. Siapakah mereka yang sebenarnya?

IKLAN

 

Kami terus berbual-bual hinggalah bunyi kokokan ayam jantan kedengaran bersahut-sahutan. Ini menandakan waktu subuh hampir masuk. Sebelum mereka minta diri untuk beredar, aku memaklumkan kepada mereka keinginan hatiku untuk memancing ikan idamanku iaitu kelisa atau kelah emas. Mereka berdua hanya ketawa sambil mengatakan itu perkara yang sangat mudah!

 

Aku hanya tersedar apabila dering handphone yang telah aku set berbunyi. Berat sungguh untuk aku membuka kelopak mata. Peristiwa yang aku alami tadi aku anggap hanyalah satu mainan mimpi yang berlaku akibat badan letih dan tidur di dalam hutan yang asing bagiku. Selesai solat subuh dan berwirid, aku menyambung aktiviti memancing dengan misiku untuk memburu kelisa atau ikan kelah. Dan tanpa diduga, pagi itu sesuatu yang luar biasa berlaku. Setiap kali aku melabuhkan joran, pasti kelah idaman akan tersungkur pada mata kailku.

 

Peristiwa itu membuatkan rakan-rakanku terasa amat pelik. Hanya aku daripada kami berlima yang berjaya mendaratkan kelah sebesar lengan lelaki dewasa. Mereka berempat hanya mendapat ikan yang ‘biasa biasa’ saja seperti baung dan sebarau.

 

Sehingga kini, aku masih lagi ‘bersahabat’ dengan kedua orang puteri yang jelita itu. Kini aku faham. Mereka sebenarnya berasal daripada perkampungan bunian Islam yang ada di situ. Mungkin kerana kami berlima berniat baik dan mengerjakan suruhan Allah dengan taat seperti bersolat lima waktu, maka kami tidaklah diganggu dengan peristiwa yang aneh atau menakutkan. Hingga kini, setiap kali aku memancing di sini, ikan kelas gred A pasti menjadi kepunyaanku dan peristiwa ini kekal rahsia yang tidak diketahui oleh sesiapa!

 

Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI