
Bagi para lelaki, sangat disarankan memakan ikan ketutu. Kerana ikan ini mempunyai manfaat untuk meningkatkan vitalitas. Hal tersebut disebabkan dalam ikan ketutu banyak mengandung enzim dan juga hormon yang dapat membantu meningkatkan vitaliti bagi lelaki.
Salah satu manfaat ikan ketutu lainnya ubat alami dalam penyembuhan pasca pembedahan. Dengan pengambilan ikan ketutu secara rutin dalam jumlah yang cukup, maka akan mempercepatkan proses penyembuhan pasca pembedahan.
Rawatan pesakit patah tulang dengan menggunakan atau pengambilan ikan ketutu merupakan cara yang tepat. Hal tersebut disebabkan kadar albumin yang tinggi dalam ikan ketutu sangat bermanfaat dalam pemulihan sel-sel tubuh yang rosak serta juga terbelah (pesakit patah tulang akan mempunyai sel yang terbelah). Untuk memperbaiki dan juga memulihkan sel tubuh yang telah terbelah tersebut dengan menggunakan albumin yang di dalam ikan ketutu.
Albumin merupakan protein yang diproduksi oleh hati, kekurangan albumin membuat seseorang mudah terkena infeksi hepatitis. Orang yang mempunyai kadar albumin yang rendah terdedah terinfeksi dengan pelbagai penyakit hati seperti liver, hepatitis bahkan sirosis hati.
Manfaat albumin yang lainnya adalah untuk meningkatkan sistem imun tubuh. Kalau sistem imun meningkat, tubuh anda akan kebal terhadap pelbagai macam penyakit yang dapat masuk ke dalam tubuh.
Saat terkena luka terbakar, ada beberapa sel yang rosak. Kandungan albumin yang terdapat dalam ikan ketutu dapat memulihkan sel yang rosak akibat luka bakar tersebut. Kalau sel rosak tersebut dapat dipulihkan maka penyembuhan pada luka terbakar pun akan semakin cepat.
Salah satu khasiat albumin lain ialah mengubati penyakit hepatitis. Hepatitis terjadi disebabkan oleh hati yang tidak mampu memproduksi albumin yang sangat bermanfaat bagi kesihatan hati. Oleh kerana itulah pengambilan daging ketutu dapat bermanfaat.
Dengan pengambilan daging ikan ketutu secara rutin dalam jumlah yang tepat dipercayai dapat mengurangi risiko terkena penyakit serangan jantung.
8 Ikan Pembunuh Manusia!!

DALAM DIVERSITI SPESIES IKAN YANG MELUAS, TERDAPAT PELBAGAI JENIS DAN RUPA BENTUK YANG UNIK DAN MENARIK. BIASANYA SPESIES YANG SANGAT AGRESIF DAN GANAS MEMPUNYAI SIFAT LUARAN YANG LEBIH MENAKUTKAN, NAMUN TERDAPAT JUGA SEBALIKNYA. SPEKULASI DAN MITOS TIDAK DAPAT DIELAKKAN BILA BERCERITA TENTANG IKAN GERGASI YANG AGRESIF DAN KEMAMPUANNYA UNTUK MENYERANG MANUSIA. KADANGKALA MANGSA MAMPU BERTUKAR MENJADI PEMANGSA!
BELUT ELEKTRIK
Belut elektrik merupakan pemangsa terkenal di Amazon dan menggunakan renjatan elektrik sebagai sistem pertahanan dirinya. Aliran elektrik sekuat 600 volt yang dihasilkan oleh spesies ini mampu membunuh seekor kuda dan tidak terkecuali manusia yang boleh mati akibat serangan ini. Belut elektrik mampu membesar sepanjang 8 kaki dan seberat 50lbs. Biasanya penggunaan peralatan berunsur getah bagi mengelakkan serangan belut elektrik. Terdapat rekod menunjukkan kematian akibat serangan renjatan elektrik oleh spesies ini.
MUSKELLUNGE
Muskellunge merupakan seekor spesies ikan air tawar dan sebenarnya masih belum ada catatan rasmi serangan ke atas manusia. Namun berdasarkan kepada keupayaannya, banyak spekulasi terhadap spesies ini dalam potensinya menyerang manusia. Muskellunge mampu membesar sehingga 7 kaki dan mempunyai barisan gigi yang tajam dan boleh dikatakan sebagai jelmaan Barracuda air tawar. Spekulasi mengatakan terdapat serangan ke atas seorang kanak-kanak dan nelayan oleh spesies ini namun mangsa selamat walaupun terdapat kesan yang agak teruk.
KELI WELS
Keadaan perairan di Eropah seperti Tasik Berlin dan Sungai Volga sepanjang masa seakan tenang dan selamat sehinggalah kemunculan pemangsa raksasa ini. Keli Wels ini mampu mencapai 13 kaki panjang dan seberat mencecah 400lbs dan itu sudah cukup menjadikannya sebagai raksasa yang menggerunkan. Keli Wels merupakan pemangsa agresif dan menurut catatan sejarah ikan ini mampu membesar sehingga 20 kaki panjang. Seekor keli Wels yang ditangkap di Russia mempunyai sisa manusia di perutnya sementara serangan terhadap manusia dilaporkan di Jerman.
PARI AIR TAWAR GERGASI
Raksasa ini sering menyembunyikan dirinya di perairan air tawar yang keruh, berpasir dan berselut di Asia Tenggara. Ikan pari air tawar ini mungkin merupakan spesies ikan air tawar yang terbesar dengan panjang mencecah 16 kaki dan seberat hampir 2000lbs. Sengat sepanjang 8 inci pada pangkal ekornya mampu menyerang seperti seekor kala jengking dan sengatannya diakui amat berbisa dan mampu membunuh. Jadi berhati-hati jika tiba-tiba anda berasakan dasar sungai yang anda pijak bergerak!
GOONCH
Sungai Kali di antara Nepal dan India telah dihantui oleh siri kematian dan insiden lemas yang misteri. Misteri ini berlarutan sehinggalah raksasa perang sepanjang 7 kaki dengan gigi yang tajam ini ditangkap. Ia seekor ikan keli Goonch seberat 300lbs. Ikan ini dikatakan menarik mangsanya dan melemaskannya sebelum ditelan. Spekulasi juga mengatakan selera ikan Goonch terhadap manusia mungkin disebabkan pembuangan abu mayat ke Sungai Kali yang diamalkan di sana.
PIRAIBA
Dengan warna biru kehitaman, Piraiba ini mampu mencecah sepanjang 9 kaki dan merupakan antara gergasi air tawar. Spesies ini merupakan spesies keli terbesar dan dikatakan berpotensi sebagai pemakan manusia. Gigi ikan raksasa ini tidak kelihatan menakutkan memandangkan tiada taring terkeluar, namun gigi ikan ini tersusun rapi menghala ke bahagian dalam mulut ikan. Keadaan ini menjadikan mangsanya tidak akan terlepas jika sudah dalam cengkaman mulutnya.
GOLIATH TIGERFISH
Spesies Goliath Tigerfish merupakan salah satu spesies yang dahsyat dan mengerikan. Spesies ini membuatkan spesies pemangsa rakus seperti Piranha seakan-akan ikan kecil untuk hiasan. Spesies ini mampu mencapai berat sehingga 70lbs dan lebih enam kaki panjang. Spesies ganas ini berlegar di perairan Afrika berkumpulan dan mampu mencarik-carik daging mangsa yang lebih besar dalam beberapa saat. Mulut gergasi bermata kuning ini tersemat gigi taring seakan pisau yang lebih daripada dua inci. Pemancing terkenal, Jeremy Wade percaya spesies ini bertanggungjawab terhadap beberapa siri kematian manusia di Sungai Congo yang sebelum itu dikatakan berpunca daripada semangat ghaib menurut kepercayaan masyarakat tempatan.
BULL SHARK
Senarai ikan terakhir untuk kali ini, secara teknikalnya merupakan seekor jerung iaitu Bull Shark. Spesies ini mempunyai keupayaan yang luar biasa dan dikatakan lebih ganas berbanding jerung lain. Dengan saiznya yang mampu mencapai panjang sehingga 12 kaki dan seberat 600lbs, spesies ini mampu berenang ke perairan air tawar seperti tasik dan sungai di Missouri, Illinois dan Kentucky. Rekod menunjukkan banyak serangan oleh spesies ini terhadap manusia di perairan air tawar. Selain merupakan spesies yang paling agresif antara jerung, Bull Shark juga mempunyai kuasa gigitan yang paling kuat berbanding semua spesies ikan di dunia.
Penunggu Lubuk Ikut Pulang Rumah

Berdekatan dengan rumah keluarga saya di Mersing, terdapat sebatang sungai yang masih jernih airnya. Di sinilah setiap kali ada masa terluang apabila pulang bercuti ke kampung, saya akan menggunakan peluang keemasan yang ada untuk memancing sang jenggo.
Biasanya saya menggunakan umpun-umpun sebagai umpan jenggo yang paling mujarab. Atau paling tidak saya gunakan anak udang air payau sebagai umpan.
Malam itu bertemankan abang sepupu saya, Matros, kami mendayung sampan perlahan-lahan menuju ke lubuk yang terletak berhampiran perdu pokok nipah. Malam itu cuaca agak indah dengan bulan mengambang penuh.
Kami tidak perlu menggunakan lampu suluh untuk sampai ke lubuk yang dituju. Cukup dengan panduan cahaya bulan yang memantul indah di atas permukaan air sungai yang beriak tenang.
“Sunyi pulak malam ini Mie,” kata Matros kepada saya. Saya hanya mengangguk namun pandangan saya lemparkan pada barisan pokok nipah yang hidup subur di tebing sungai. Kata orang-orang tua, di mana berkumpulnya udang galah yang banyak, di situ pasti ada buaya besar kerana udang galah suka ‘melepak’ di atas badan buaya.
Sama ada kata-kata ini ada benarnya, saya tidak pasti. Namun saya berpegang teguh kepada prinsip, saya memancing udang galah ini hanya sekadar untuk mencari lauk bagi keluarga. Saya tidak mengganggu ‘kehidupan’ makhluk lain yang tidak kelihatan pada mata kasar!
Setelah mendapat spot yang sesuai untuk melabuhkan sampan, saya dan abang Matros terus membaling umpan ke tengah sungai. Sambil menunggu umpan direnggut oleh sang mangsa, saya menghisap sebatang rokok yang asapnya saya niatkan untuk menghalau nyamuk yang galak berkeliaran malam itu.
Alhamdulillah, tidak sampai sepuluh minit menunggu, umpan saya mula mengena. Udang galah yang dianggap jenggo dengan anggaran berat 250 gram berjaya dinaikkan.
Selepas itu, saya dan Abang Matros bagaikan tidak cukup tangan melayan aksi penghuni sungai yang lain seperti duri, bagok dan baung. Malam itu kami bagaikan berpesta di tengah sungai.
Menjelang jam dua pagi, suasana mulai sejuk. Gerimis turun dan bulan yang tadinya indah di dada langit sudah mula ditutupi awan hitam yang tebal. Sesekali terlihat guruh di langit.
Abang Matros memberi isyarat supaya saya mengemas semua joran dan bersedia mendayung untuk balik ke jeti semula apatah lagi gerimis yang tadinya halus sudah bertukar kepada rintik kasar.
Ketika inilah, dengan dibantu oleh pancaran kilat yang sesekali datang menerpa, saya perasan di hadapan perahu saya berdiri seorang perempuan tua memakai baju kebaya berbunga-bunga dan berkain batik berwarna kuning.
Rambutnya tidak kelihatan kerana dia memakai selendang. Dia memegang sebatang tongkat yang berlingkar, sebiji seperti akar bonsai yang sering saya kutip di tengah hutan. Rasa gemuruh dan takut menyelubungi diri saya apabila saya perasan mukanya hitam legam tanpa kelihatan mata, hidung atau mulut!
Rasa tergamam dan seram itu membuatkan saya menundukkan pandangan. Niat untuk membaca ayat-ayat suci itu ada tapi bibir saya bagaikan terkunci untuk membacanya. Otak pula bagaikan blur. Saya duduk statik di dalam sampan betul-betul seperti orang yang sudah terkena renjatan elektrik!.
Ketika inilah saya terdengar Abang Matros mengalunkan azan sebanyak tiga kali. Setiap kali azan dilaungkan, saya ternampak perempuan tua itu menutup telinganya bagaikan sakit mendengarnya. Akhirnya jasad perempuan itu berubah menjadi asap hitam yang berkepul-kepul lalu menghilang di tengah sungai.
“Mie!!!” bahu saya ditepuk beberapa kali oleh Abang Matros. Mulut abang Matros terkumat-kamit membaca ayat Qursi lalu dihembuskan ke muka saya.
“Itu syaitan Mie. Jangan takut. Dia makhluk Allah jua” kata Abang Matros lagi. Saya mengangguk lemah. Tubuh saya masih lagi gementar dan tiada berdaya untuk mendayung.
Nasib baik Abang Matros seakan mengerti dengan keadaan saya. Dia mendayung sehingga kami selamat sampai di jeti tepat jam 3.10 pagi. Abang Matros juga yang memunggah semua hasil yang kami dapat masuk ke bonet kereta.
Sampai sahaja di hadapan rumah saya, Abang Matros tidak membenarkan saya masuk terus ke dalam rumah. Dia menghulurkan sebatang rokok kepada saya. Sambil menghisap rokok, saya terdengar Abang Matros seperti berbual-bual dengan ‘seseorang’ dengan suara perlahan.
Katanya, “sampai sini sahaja kau ikut aku. Jangan ikut aku lagi. Aku tak kacau kau dan jangan pulak kau kacau aku,”. Selepas itu, baru abang Matros ‘membenarkan’ saya masuk ke rumah. Saya juga diberi pesanan agar mandi dan terus tidur selepas itu.
Walaupun peristiwa ini sudah tiga bulan berlalu namun ia masih menghantui saya. Sejak kejadian itu, saya tidak berani lagi memancing sang jenggo pada waktu malam.
Saya hanya memancing pada waktu siang itu pun dengan mengajak beberapa orang kawan untuk turut serta. Pengalaman yang saya alami itu saya anggap sebagai satu dugaan kecil dan ia tidak pernah mematahkan semangat saya untuk terus memburu sang jenggo!
Cara Untuk Mengelak Serangan Lebah Di Hutan!!

Sebelum sertai mana trip trekking mencari kelah atau sebarau di hutan sungai pergunungan, serba sedikit ilmu tentang lebah perlu korang pelajari supaya tidak bertembung atau menjadi punca tarikan lebah-lebah tersebut.
Elakkan dari memakai wangi-wangian, seperti bedak talkum, minyak wangi, sabun mandi, shampu rambut dan minyak rambut wangi, ini kerana bau-bauan ini akan menarik minat lebah kerana ia akan menganggap bauan yang anda pakai adalah bauan bunga.
Elakkan daripada menjalani aktiviti perkhemahan anda sekitar bulan Mei hingga Julai, ini kerana pada bulan itu berlaku musim bunga di beberapa kawasan hutan di Malaysia. Lebah amat aktif pada musim bunga, dan mereka boleh bertindak dengan agresif.
Jangan berkhemah dekat dengan sarang lebah. Ini kerana semasa berkhemah, sudah pasti kita akan membuat unggun api dan bimbang lebah akan menganggap kita sebagai ancaman sekiranya kita kerap kali melalui bahagian sarangnya atau mungkin juga kita dianggap beruang madu yang merupakan musuh utama lebah.
Elak membunuh lebah-lebah yang hinggap di kawasan perkhemahan anda, kerana lebah yang dibunuh akan mengeluarkan sejenis sebatian berbau yang akan dijadikan penjejak kepada kawanan lebah. Jika ini berlaku, anda mungkin akan diserang.
Cara Mengesan Kediaman Lebah
Terdapat banyak tumbuhan berbunga. Cara paling selamat, jangan masuk hutan time ni.
Bunyi-bunyi dengungan lebah terbang.
Berbau wangi, bau madu. Kalau ada bau macam ni jangan takut nak menegur supaya rakan lain juga menyedarinya.
Pokok-pokok tinggi yang mempunyai dahan yang besar dan keras. Contoh pokok tualang.
Terdapat kawanan kecil lebah berterbangan.
Kehadiran sarang yang aktif.
Lereng-lereng bukit yang curam dan tinggi.
Puncak bukit.
Apa nak buat jika diserang lebah?
Terjun ke dalam air dan cuba selam seberapa lama yang boleh.
Jangan pukul lebah yang menyengat anda, kerana ia akan menjadikan keadaan bertambah lebih teruk.
Jangan membatukan diri, ini adalah cara yang salah, kerana lebah akan terus menyerang jika anda membatukan diri
Lari seberapa laju yang mungkin dan seberapa jauh yang boleh, kerana lebah hanya akan menyerang jika merasakan diri mereka diancam, dan pastikan anda berlari berlawanan arah dari arah anda diserang.
Jika anda berkhemah di lereng bukit, jangan lari menuruni lereng bukit,kerana ia amat merbahaya, pastikan anda lari mengikut permatang bukit ataupun jalan bukit.
Seandainya anda tidak mampu lari, cuba capai selimut, kain khemah, sleeping bag, fly-sheet, ataupun apa sahaja yang boleh dibuat selimut, selimutkan diri anda dan batukan diri, tapi cara ini amatlah tipis keberkesanannya.
Rebahkan diri ke atas tanah, cuba ambil daun-daun kering, dan litupi badan anda dengan daun-daun kering serta cuba ambil tanah dan timbuskan tubuh anda.
Tutup telinga dan hidung anda seboleh-bolehnya ketika berlari, kerana lebah lebih cenderung untuk menyengat bahagian-bahagian di kepala.