Status ikan alien atau pendatang adalah merujuk kepada spesies ikan yang dibawa masuk atau diperkenalkan ke habitat, sama ada secara sengaja atau tidak sengaja. Kebanyakan kita beranggapan ikan pendatang merbahaya, namun tidak kesemuanya mempunyai kesan negatif.
Perlu diingatkan tujuan diperkenalkan pada peringkat awal semua bertujuan positif. Yang tinggal hanyalah bagaimana pengawalan itu dilakukan terhadap spesies yang dibawa masuk.
Goldfish
Merupakan spesies natif sesetengah negara di Asia, ikan emas asalnya diperkenalkan di Malaysia sebagai salah satu spesies ikan hiasan popular. Akibat dilepaskan ke dalam perairan secara sengaja dan tidak sengaja, ikan emas mampu menjadi populasi liar utama di sesuatu kawasan.
Antara kesan yang boleh diakibatkan oleh spesies ini ialah mempengaruhi komuniti habitat seperti meningkatkan turbiditi air dan bantu meningkatkan penyebaran alga secara berlebihan.
Snakeskin gourami
Snakeskin gourami atau sepat siam ini bukanlah asing di perairan kita. Mula diperkenalkan di kawasan sawah padi tempatan sebagai sumber subsisten lain serta kawalan biologi. Spesies ini juga mempunyai kepentingan dalam sektor ikan hiasan.
Mempunyai kepentingan ekonomi yang tinggi lantas menjadikan spesies ini sangat popular untuk ternakan dan akuakultur. Spesies tempatan dari genus sama yang popular ialah Trichogaster tricopterus (three spot gourami) atau lebih kita kenali dengan nama sepat ronggeng atau sepat Kedah.
Javanese barb
Spesies lampam Jawa kadang-kadang menjadi perdebatan sama ada spesies ini merupakan spesies natif atau pun spesies yang diperkenalkan. Sumber banyak menunjukkan ikan diperkenalkan di perairan kita bagi tujuan akuakultur dan ikan hiasan secara komersial.
Spesies ini juga tidaklah mengancam ekosistem malah merupakan spesies yang gemar dipancing oleh pemancing terutama di tasik-tasik utama di Malaysia. Selain menjadi spesies popular, ikan ini juga mempunyai rasa yang agak enak sebagai makanan.
Tilapia
Tilapia merupakan spesies popular dalam keluarga cichlidae. Spesies ini diperkenalkan bagi pembangunan sektor akuakultur dan sebagai sumber makanan penduduk. Bagaimanapun, spesies dari Afrika ini yang biasanya di kultur secara sangkar akan menurunkan kualiti air kawasan sekitar.
Tilapia yang terlepas ke sesuatu ekosistem pula mampu mengakibatkan pengubahsuaian ekosistem terutama kepada spesies cichlid tempatan serta komuniti bentik sesuatu habitat.
Keli Afrika
Keli Afrika pada mulanya diperkenalkan sekitar tahun 1980-an. Ini bertujuan untuk pembiakan kacukan serta beberapa faktor untuk kegunaan akuakultur. Keli Afrika tidaklah merupakan ancaman yang besar kepada ekosistem dan spesies tempatan.
Biasanya spesies ini memakan apa saja dan hidup secara senyap di tasik, kolam atau lombong. Walaupun dikatakan tidak mempunyai daya melawan yang kuat, keli Afrika masih mempunyai kelebihan kerana saiznya yang mampu mencapai saiz gergasi membuatkannya masih menjadi buruan bagi sesetengah pemancing.
Suckerfish
Spesies yang lebih dikenali sebagai Ikan bandaraya ini merupakan ikan yang dibawa masuk dari Amerika Selatan dan popular di kalangan peminat ikan hiasan. Spesies ini diperkenalkan juga atas dasar kepentingan dalam ikan hiasan di mana kita boleh melihat ikan ini di kebanyakan akuarium.
Ikan bandaraya mempunyai sifat menyedut dan berguna membantu dalam pembersihan dalam kitaran dalam sebuah akuarium.
Risiko utama kepada ekosistem yang tidak terkawal pula ialah kemungkinan terjadinya pengubahsuaian struktur dasar dan sedimen bagi sesebuah sungai atau tasik yang berkemungkinan punca terjadinya kerapuhan ban atau tanah.