
Tahukah anda terdapat spesies ikan yang mampu menyebabkan anda khayal dan berhalusinasi setelah memakannya?
Malah spesies ikan ini terkenal sebagai recreational drug utama ketika zaman memerintahan Empayar Rom.
Recreational drug bermaksud bahan ambilan untuk tujuan keseronokan dan bukan untuk tujuan perubatan, contohnya rokok atau alkohol seperti pada hari ini.
Spesies Salema porgy atau nama saintifiknya Sarpa salpa (S. salpa) ialah sejenis ikan bream.
Ikan ini boleh ditemui di perairan Atlantik Timur serta Laut Mediterranean dari Cyprus hingga ke Afrika Selatan.
Jalur berwarna emas pada badan ikan cow bream ini merupakan antara tanda pengenalan utama ikan ini. Spesies ini dilaporkan mampu menyebabkan simptom halusinasi.
Simptom halusinasi ini pernah dilaporkan dalam tahun 2006 apabila 2 orang lelaki memakan menu ikan ini di sebuah restoran di Mediterranean.
Beberapa minit setelah memakan spesies S. salpa ini, mereka mulai tidak sedarkan diri dan berhalusinasi.
Simptom tersebut berlarutan selama 36 jam sebelum mereka kembali normal. Menurut mangsa, pengalaman ketika simptom halusinogen begitu menakutkan bagi mereka.
Mereka menjelaskan melihat visual-visual dan suara-suara yang sukar dijelaskan setelah memakan ikan tersebut.
Begitu pun, menurut kajian saintifik, dalam kes sebegini, penyebab halusinogen bukanlah akibat daripada ikan S. salpa secara langsung.
Simptom halusinogen setelah memakan ikan ini sebenarnya berpunca daripada alga dan phytoplankton tertentu yang menjadi diet utama bagi S. salpa ini.
Rahsia Kehebatan Ikan Belitong!!

Belitong memiliki badan leper memanjang, lebar di bahagian kepala dan menirus hingga ke ekor. Sirip dorsal memanjang hampir ke sirip kaudal. Manakala sirip pelvik bersambung dengan sirip anal. Ekor tirus memanjang dan bercabang.
Spesies jantan dan betina berlainan serta kombinasi warna badan mengikut usia spesies ini. Spesies jantan lebih mudah dikenali dengan kehadiran bonggol di kepalanya. Ia menjadikan ikan pelagik seperti kembung, tamban, selar, bilis sebagai diet dan sotong atau udang.
Lazimnya ia boleh ditemui di laut lepas, kawasan pesisir pantai yang jernih terutama berdekatan dengan unjam. Taburannya boleh ditemui hampir kebanyakan negara terutama kawasan tropika.
Belitong jantan mempunyai kepala yang agak membonjol sedikit jika dibandingkan dengan spesies betina. Sirip Dorsal belitong jantan agak rapat di bahagian kepala spesies betina.
Spesies ini adalah salah satu spesies yang mempunyai kombinasi warna badan yang cantik terutama apabila dilihat di bawah air. Warnanya akan pudar dengan cepat apabila berada di lantai bot.
Warna biru metalik untuk tompokan bintiknya dengan warna hijau menawan di badan menukar kekuningan dari tengah badan sehingga bahagian perut. Warna sirip dorsal pula gelap seperti kehitaman.
Semakin besar spesies semakin cantik kombinasi warna. Sekalipun badan kelihatan leper, belitong berkeupayaan membuka luas mulutnya kira-kira 3/4 dari lebar bahagian kepala. Barisan gigi tajam dan halus mampu mencengkam mangsa dengan mudah dan tidak boleh terlepas lagi.
Ia dilaporkan mampu membesar panjang sehingga 126cm bagi spesimen jantan dan 112cm untuk betina dengan lingkungan berat sehingga 40kg.
Di negara kita saiz purata belitong yang dipancing sekitar 50 cm hingga 100 cm dengan purata berat diantara 2 kg hingga 15 kg.
Sesuai dengan sifat yang suka memburu kawanan ikan-ikan pelagik, ia mudah ditemui di kawasan unjam di mana ada kawanan anak ikan bermain. Jika kawasan perairan negara dipenuhi dengan unjam buatan, nescaya jumlah spesies yang cantik ini akan bertambah.
Ikan ini aktif pada waktu dinihari dan jarang dipancing pada masa gelap. Di pantai Timur terutama gugusan pulau-pulau Terengganu, Pahang dan Johor, musim yang paling banyak belitong ditemui ialah antara Mac hingga Julai.
Paling baik sebaik saja musim tengkujuh berakhir di mana kawanan ikan ini akan lebih rapat ke pantai.
Belitong mempunyai isi yang agak liat berbanding pemburu ikan pelagik yang lain. Rasanya agak tawar sedikit. Oleh kerana lapisan kulit luar yang tebal dan liat, kebanyakan penggemar belitong mengambil isinya sebagai hidangan.
Di Hawaii spesies ini menjadi pilihan pengusaha hotel sebagai hidangan istimewa. Ia dimasak secara grill atau goreng dengan mentega, lada hitam dan sedikit garam. Masyarakat Cina suka stim dan goreng isi yang dipotong nipis-nipis dan dicelup dengan telur.
Cara Mudah Membezakan Dua Spesies Ikan Lampam

Di Malaysia terdapat dua jenis spesies ikan lampam yang popular. Selain lampam ekor merah (ikan asal), satu spesies lampam yang popular ialah lampam jawa (spesies import). Kedua-dua spesies ini datang daripada genus yang sama iaitu Barbonymus.
Perbezaan paling ketara bagi spesies ini terdapat pada nama umumnya. Sebagaimana namanya lampam jawa, spesies ini merupakan ikan pendatang dari Indonesia yang dibawa masuk ke Malaysia atas tujuan akuakultur. Sementara lampam ekor merah pula merupakan ikan natif atau ikan tempatan.

Jika spesies bagi lampam ekor merah Barbonymus schwanenfeldii, nama saintifik bagi lampam jawa ialah Barbonymus gonianotus. Jika lampam ekor merah dikenali sebagai tinfoil barb, lampam jawa pula dikenali dengan nama silver barb.
Taksonomi Lampam Jawa
Kingdom: Animalia
Phylum: Chordata
Class: Actinopterygii
Order: Cypriniformes
Family: Cyprinidae
Genus: Barbonymus
Species: Barbonymus gonianotus
Nama lain: Lampam, Lampam jawa, silver barb

Nama silver barb sepadan dengan morfologi luaran bagi lampam jawa yang mempunyai warna perak hampir keseluruhan badannya. Lampam jawa mempunyai bentuk badan yang lebih mampat berbanding lampam ekor merah yang kelihatan lebih lebar.
Selain itu lampam jawa mampu membesar sehingga 45 cm panjang. Dalam kebanyakan kes, ikan lampam jawa bersaiz kasar (melebehi 1 kg) lebih mudah ditemui berbanding lampam ekor merah.
Barbel pada bahagian mulut lampam jawa lebih pendek berbanding lampam ekor merah. Selain itu, bentuk kepala lampam jawa lebih kecil dan runcing berbanding lampam ekor merah.
Sirip lampam jawa pula berwarna perak atau kelabu dengan terdapat kehadiran warna merah pada hujung siripnya. Ini berbeza dengan lampam ekor merah yang mempunyai warna sirip merah dengan kehadiran margin hitam yang jelas.
TAKSONOMI LAMPAM EKOR MERAH
Kingdom: Animalia
Phylum: Chordata
Class: Actinopterygii
Order: Cypriniformes
Family: Cyprinidae
Genus: Barbonymus
Species: Barbonymus schwanenfeldii
Nama lain: Lampam, Lampam sungai, Tinfoil barb
2 Spesies Gelama Dada Kuning!!

Gelama ini mudah dikenali walaupun terdapat 15 jenis yang terdapat di perairan negara kita dengan berpandukan kepada bentuk dan warna sisik yang halus terdapat pada badannya. Dipercayai dua dari 15 spesies gelama ialah gelama dada kuning berpandukan bentuk badan sama kecuali warna berlainan sedikit.
Jenis yang dibezakan untuk spesies ini berpandukan kepada bentuk pada bahagian mulut, gigi serta saiz badan. Gelama dada kuning berwarna perak dikenali nama saintifik Panna microdon dan kuning keemasan dan cantik dikenali dengan nama Chrysochir aureus.
Jika dibandingkan kedua-dua spesies ini hanya jelas berbeza dari segi warna sahaja, yang lain hampir sama kelibatnya. Purata saiz kurang dari 25cm. Nama umumnya sebagai ‘croaker’ kerana bunyi yang dikeluarkan seperti “krook” berulang kali sebaik sahaja dikeluarkan dari air.
Namun tidak semua spesies gelama mengeluarkan bunyi yang kuat di dalam air. Bunyi ini bukan saja dapat didengar dari atas malah di dalam air ia mengeluarkan bunyi yang mudah dikesan oleh juru selam berpengalaman untuk nelayan tradisional bagi menjalankan aktiviti menjaring.
Gelama dada kuning adalah salah seekor gelama yang kuat bunyinya walaupun bersaiz kecil. Paling kuat adalah ibu gelama yang boleh kita dengar walaupun berada di atas air sedalam 40 kaki. Bunyi juga boleh menentukan saiz, jenis dan besar kumpulan ikan ini di bawah air.
Ikan ini dikatakan adalah jenis hidupan marin tapi kebanyakan boleh ditemui di kawasan muara sungai. Hampir keseluruhan spesies gelama tertumpu kepada kawasan dasar berpasir, lumpur, berselut di bahagian dasar untuk mencari makanan. Ia mudah diperolehi di kawasan muara dan jarang berada di kawasan batu karang.
Ia juga didapati berkongsi laluan dan habitat bersama ikan tirusan, selampai, gelama papan, pari tanjung, tetuka, kurau dan duri malim. Ini berdasarkan andaian berikutan spesies yang turut sama dinaikkan di lubuk yang sama ketika memburu gelama dada kuning.
Begitupun kebanyakan pencarian untuk gelama dada kuning tertumpu kepada lubuk 40 kaki ke atas dan asas berpasir di Pelabuhan Klang. Warna sisik gelama dada kuning yang dipancing jelas menunjukkan ia sentiasa berada di lingkungan air jernih.
Gelama dada kuning secara keseluruhan adalah spesies yang berkelompok dan bergerak secara berkumpulan sederhana. Ini berdasarkan pengamatan kerana jarang sesekali ia menyerang umpan secara berterusan.
Aktif ketika hujung surut sehingga pertengahan air pasang. Cara ia melawan pancing amat seronok dinikmati bersesuaian dengan kelas peralatan yang digunakan.