Perikanan rekreasi bermaksud semua aktiviti menangkap ikan atau haiwan akuatik yang dilakukan bukan untuk tujuan komersil. (Commision of the European Communities (CEC))
Ahli perikanan rekreasi
Semua aktiviti menangkap ikan? Adakah mereka yang bukan pemancing juga adalah ahli dalam perikanan rekreasi?
Ya… asal sahaja mereka menangkap ikan bukan untuk komersial, mereka adalah ahli dalam perikanan rekreasi. Mereka mungkin memukat, menjala, memasang bubu, menimba, menyuluh, mengutip siput/kerang-kerangan, dan sebagainya lagi.
Namun mereka tergolong dalam kumpulan `Nelayan Rekreasi’ yang majoritinya (hampir semua) adalah ‘Household Fishermen’.
Ads
Bagaimana pula dengan aktiviti menangkap ikan yang terlarang?
Perikanan rekreasi adalah tertakluk sepenuhnya di bawah undang-undang perikanan sesebuah negara. Mereka yang menangkap ikan menggunakan kaedah yang dilarang atau diharamkan walaupun bukan untuk tujuan komersil adalah bukan ahli perikanan rekreasi. Mereka adalah ‘PENJENAYAH’.
Ads
Apakah pula Pancing Rekreasi?
Menangkap ikan menggunakan tali dan mata kail (sama ada menggunakan joran atau hand-held line) yang bukan untuk tujuan komersil.
Tangkapan mungkin dilepaskan semula atau disimpan untuk kegunaan serta merta sendiri atau lingkungan sosial tetapi tidak dijual atau ditukar kepada barangan lain.
Didorong oleh faktor-faktor seperti cabaran, pencapaian, sukan, riadah, hiburan, aktiviti sosial melibatkan air, dan sebagainya.
Ads
Melibatkan pemancing, kedai perkakasan, pengilang perkakasan, pembekal umpan, pemilik bot sewa, pembuat bot, pembekal tali, operator marin, media pancing, agen pelancongan dan pelbagai bentuk perniagaan dan organisasi yang terlibat secara langsung atau tidak dengan pancing rekreasi.
Apakah perbezaan antara pancing rekreasi (recretional angling) dengan sukan memancing (sport fishing)?
Sukan memancing adalah satu bentuk pancing rekreasi yang lebih mengutamakan cabaran untuk mendapat dan menangkap ikan berbanding keenakkan isi dan harga ikan di pasaran – mensasarkan game fish.
Secara mutlak menggunakan joran dan kekili – untuk cabaran maksimum. Lebih bersifat kesukanan, berorentasikan pertandingan dan melibatkan aspek teknikal yang kompleks.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Bersama sepupu rapat iaitu Jimi dan Faiz, kami merancang untuk menjerat burung punai dan menjala ikan di hutan kecil belakang rumah Wan Senah. Hutan Kecil ini masih belum diteroka sepenuhnya oleh pembangunan moden.
Pagi tersebut kami sudah berkumpul di dapur rumah pusaka Wan sambil menghadap nasi lemak panas yang siap Wan Bungkus dan air kopi pekat yang padu rasanya. Inilah yang menyebabkan aku suka berlama-lama di rumah Wan. Walaupun usia Wan sudah menjangkau 80-an namun Wan masih gagah untuk memasak bagi anak cucu cicitnya yang ada di kampung.
Selesai makan dan matahari sudah segalah di atas kepala, kami bertiga sudah mengatur langkah dengan membawa semua peralatan yang diperlukan. Kami bercadang untuk menaiki kereta hingga sampai di tepi kebun kelapa sawit ladang Felcra sebelum berjalan kaki merentas denai sejauh setengah jam untuk sampai ke tempat yang dituju.
Jam 11.00 pagi kami sudah sampai ke destinasi yang dituju. Sebatang sungai yang airnya masih jernih menyambut ketibaan kami. Kicauan burung yang galah berbunyi cukup menyakinkan aku bahawa rezeki kami akan pada hari itu.
Paiz mendirikan sebuah khemah manakala Jimi pula sibuk memeriksa jala dan perangkap burung yang dibawa. Aku pula mencari ranting-ranting kayu untuk dikumpulkan bagi dibuat unggun api untuk membakar ikan yang akan kami jala.
Siap semuanya Jimi memberi isyarat dia akan masuk ke belukar berhampiran untuk memasang jerat burung. Jimi memang pakal dalam hal ini. Aku dan Paiz pula mula meranduk anak sungai untuk menjala. Kami memilih bahagian hulu sungai, tempat yang selalu Pak Cu Jai mendapat ikan putih dan baung sebesar lengan minggu lepas.
“Aku hairanlah Jay,” Paiz bersuara sambil memandang mukaku. Ketika itu kami sedang meranduk air separas pinggang sambil membawa jala menuju ke tempat yang dituju.
“Kenapa pula?” tanyaku kembali. Kesejukan air sungai membuatkan aku sedikit terketar.
“Hutan ni sunyi semacam… macam rasa seram pulak,” jawapan Faiz membuatkan aku ketawa kecil.
“Memang sunyi. Sekarang kan musim raya. Siapa yang nak pergi memancing dan menjala time begini?” mahu kena leter dengan isteri atau mak bapak. Kita ni kira bernasib baik kerana masih bujang lagi,” jawabku cuba meredakan kerisauan di hati Faiz. Aku nampak Faiz tersenyum dan mengangguk. Mungkin jawapanku agak bernas di fikirannya.
Memang rezeki kami murah hari itu. Setakat ikan putih, baung dan lampam, semuanya bagaikan menyerah diri setiap kali kami menebar jala. Kami sudah bercadang utuk menyedekahkan ikan-ikan yang ada pada saudara mara yang datang berkunjung ke rumah Wan atau dijadikan lauk pauk utnuk hidangan setiap kali ada tetamu datang. Sekurang-kurangnya dapat juga membantu Wan mengurangkan perbelanjaan dapurnya sehari dua.
Keasyikan kami menjala membuatkan kami terlupa tentang Jimi yang pergi memasang jerat burung di tepi belukar. Aku hanya teringat akan Jimi apabila terlihat seolah-olah kelibatnya sedang laludi tepi sungai sambil melambai tangannya seolah-olah meminta pertolongan. Ketika itulah aku melihat jam tangan dan terasa terkejut apabila melihat jam sudah menunjukkan angka empat petang. Zuhur hampir habis dan Asar akan menjelma. Ya Allah, betapa pantasnya masa berlalu tanpa kami sedari.
Terkecoh-kecoh kami seketika. Kami bergerak pantas menuju ke khemah dengan harapan semoga Jimi sudah ada di situ. Mungkin sudah menanak nasi dan menunggu ikan kami untuk dibakar. Namun harapan itu hampa. Khemah kami kosong. Jimi tiada.
Hatiku mula dilanda kerisauan. Takkan Jimi mengambil masa yang lama untuk memasang jerat burung. Biasanya hanya sekitar satu jam sahaja dan selepas itu dia akan mula menyertai kami untuk menjala ikan. Itulah kebiasaannya yang biasa kami lakukan.
Aku dan Faiz mula merayau di dalam kawasan belukar berhampiran sambil melaungkan nama Jimi. Hanya jeritan ungka dan kicauan unggas yang terdengar bersahutan. Akhirnya Faiz mendapat satu idea. Kami mendail nombor telefon Jimi dengan harapan akan terdengar bunyi deringan kelak. Usaha itu membuahkan hasil setelah beberapa kali mencuba.
Sayup-sayup terdengar lagu dari siaran radio di dalam kawasan belukar yang mulai redup itu. Kami berdua berlari mencari punca lagu itu dan akhirnya kami terjumpa Jimi yang sedang terbaring dalam keadaan telangkup di bawah pokok duri di tepi belukar. Di tangannya tergenggam telefon yang masih lagi berbunyi ketika kami sampai.
Mulut Jimi berbuih ketika kami menelentangkan badannya. Matanya terbuka terbelalak. Badannya menggigil-gigil seolah-olah dalam keadaan kesejukan.
“Jimi… bangun!” aku cuba menggerakkan Jimi
Keadaan Jimi masih tidak berubah. Akhirnya kami berdua sepakat untuk memapah Jimi balik ke kereta. Hanya ikan yang dijala tadi yag kami bawa pulang bersama. Khemah dan peralatan jala kami tinggalkan saja. Nyawa Jimi lebih penting daripada itu semua. Keadaan rumah Wan kecoh dengan apa yang berlaku.
Imam Asrol dipanggil untuk membantu memulihkan Jimi. Setelah membaca ayat Qursi dan ayat-ayat Ruqyah, barulah Jimi sedar setelah bercakap merepek-repek sebelum itu. Setelah pulih, Jimi bercerita tentang pengalamannya berjumpa dengan sebuah istana besar yang dikelilingi air. Ikan besar-besar melompat-lompat jinak di dalam sungai itu. Begitu juga dengan burung punai, merbah, merbuk, dan burung ayam-ayam.
Di istana besar itulah, Jimi berjumpa dengan seorang lelaki hodoh yang mempunyai dua tanduk di atas dahinya. Lelaki tua hodoh itu memarahi Jimi kerana memasuki kawasannya tanpa kebenaran dan mencuri binatang ternakannya. Sebagai hukuman, Jimi dipukul dengan akar rotan hingga belakangnya berbirat-birat merah. Anehnya kesan itu memang jelas kelihatan di bahagian belakangnya!
Sejak kejadian itu, kami sudah tidak masuk lagi di kawasan hutan simpan itu. Kejadian yang menimpa Jimi menguatkan lagi dakwaan orang-orang kampung yang mengatakan kawasan itu memang keras kerana berpenunggu. Namun hobi menjala dan menjerat burung ini tetap juga kami teruskan tetapi kali ini kami cari tempat yang lebih terbuka dan selamat.
Kita mungkin pernah mendengar pelbagai jenis fobia ataupun rasa takut terhadap sesuatu. Walaupun jarang kedengaran wujudnya kes takut terhadap ikan, kewujudan fobia ini tetap ada. Terma khusus bagi fobia ini dikenali sebagai ichthyophobia.
Ichthyophobia merujuk kepada beberapa fenomena fobia terhadap ikan seperti perasaan takut memakan ikan ataupun takut terhadap ikan yang telah mati. Galeophobia pula merupakan terma khusus yang merujuk kepada perasaan takut terhadap jerung.
FOBIA TERHADAP IKAN
Kes ichthyopobia merupakan kes fobia luar biasa yang jarang berlaku seperti yang dihuraikan di dalam naskah Psychology: An International Perspective. Menurut John B. Watson, seorang pakar psikologi, terdapat kes luar biasa di mana seseorang individu mempunyai rasa takut atau fobia terhadap ikan emas.
Kes fobia terhadap ikan ini telah mampu diatasi dengan terapi yang dikenali sebagai graduated exposure theraphy di mana pesakit didedahkan kepada interaksi dengan ikan secara perlahan-lahan.
FOBIA MEMAKAN IKAN
Menurut Journal of the American Medical Assosiation, terhadap kajian dikeluarkan berkaitan rasa takut memakan ikan. Rasa takut memakan ikan ini boleh berlaku akibat daripada pernah memakan ikan yang telah tercemar. Contohnya akibat daripada kandungan merkuri yang terkumpul dalam ikan.
KES ICHTHYOPHOBIA
Antara kes popular bagi fobia terhadap ikan ialah yang pernah diceritakan oleh pemain bola sepak terkenal Itali iaitu Paolo Di Canio. Di dalam autobiografinya, Paolo Di Canio ada menyebut tentang rakan sepasukannya iaitu Peter Grant yang mengalami kes fobia terhadap ikan.
Pertikaian antara tali mono (tangsi) dan tali braided (sulam / benang) yang mana satu lebih efisien, belum menemui titik noktah. Sehingga ke hari ini masih ada sesetengah pihak mendakwa tali braided lebih bagus dan sesetengah pihak lain tetap berpegang dengan kelebihan tali mono.
Oleh yang demikian, kami membuka satu topik untuk diperdebatkan dan berikut merupakan petikan yang telah kami tapis untuk disiarkan supaya korang dapat menilai sendiri, tali manakah yang lebih bagus.
“Pendapat saya kedua-dua perlu ada. Sesuai pada tempat dan teknik pancingan. Saya suka teknik casting menggunakan softbait. Kalau guna jighead dan open hook, saya suka guna tali mono. Biasanya setup light, kalau kawasan heavy cover baru saya gunakan braided. Bagi setup medium atau heavy, kalau untuk hardlure dan popper/flutter… saya suka guna mono. Dan yang lain-lain saya guna braided. Kalau kira undian, saya lebih suka mono kerana murah dan effective.”
“Saya lebih suka guna braided line sebab ianya sesuai untuk kebanyakan kaedah memancing. Seperti popping, jigging kedua pancingan ini memerlukan medium heavy atau heavy setup. Begitu juga dengan bottom dan light casting.
Kalau di tempat terbuka boleh gunakan mono tetapi untuk di tempat yang penuh reba kayu memerlukan tali yang lebih kuat seperti braided line.
Braided line juga mempunyai kelebihan dan kekurangan. Kelebihannya ialah diameter tali yang halus tetapi kuat dan juga ringan untuk membuat balingan yang lebih jauh. Kekurangannya pula adalah menangkap angin. Kita boleh lihat di mana-mana pertandingan memancing di pantai.
Kita boleh buat perhatian jika angin kuat kita baling tali kita akan membentuk seperti melengkung sedikit.”
“Ikut kesesuaian ikan yang kita nak tangkap. Kalau main ikan kuku, mesti nak kena pakai mainline mono. Kalau main casting sedap pakai braided tapi di Jepun ramai pakai mono untuk casting largemouth bass. Kesimpulannya, tali mono lebih baguslah maknanya.”
“Teori mengatakan braided lebih seganda kekuatan dia daripada mono. Malah ia telah dibuktikan di lapangan. Teori bukan sekadar teori malah ianya benar. Jadi, korang boleh nilai sendiri tali mana yang lebih bagus.”
“Tali tangsi ni kita buat main patin kat kolam… benang buat main kat laut dan kolam air masin. Haa… senang kerja. Tak perlu nak bertekak mana yang lebih bagus.”
“Braided takde spring, tapi proven sebab kukuh. Mono ada spring, maksud spring tu dia boleh memeri. Kira kalau drag mati pun ikan dalam air still boleh tarik tali dan mengurangkan impak tarikan, lagi best. Mono kekadang invisible dalam air. Jadi, peluang untuk strike ikan lebih tinggi.”
“Mono… lebih sensitif, senyap dan ada regangan. Ia adalah nikmat pancingan maksimum. Braided…. diameter halus, kuat, kasar. Tapi strike memang tak ingat. Dua-dua ada kelebihan. Jadi, pakai je dua-dua.”
“Saya pilih braided sebab dah serik guna mono. Mono ni jenis spring kalau sangkut kat reba atas air lepas tu kita tarik kuat-kuat gewang akan terbang laju ke arah kita. Dah kena sekali terus serik nyaris kena muka sempat tepis melekat kat tangan. Memang tak guna mono lagi dah.”
“Kalau nak cast atau surfcast sesuai guna braided. Kalau pancing kat tebing jer saya guna tali mono jer… ikut atas kesesuaian semasa. Pandai-pandailah buat keputusan dengan bijak.”
“Tali mono jadi pilihan saya. Tali mono lebih sensitif bila ikan yang menyentuh umpan. Tak kisah apa jua tali, apa yang penting tentangan semasa beraksi. Keasyikannya tak dapat dibandingkan jika menggunakan braided.”
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...