Ada juga golongan pemancing yang menjual hasil tangkapan. Selain memancing sebagai hobi, mereka juga dapat menjana pendapatan sampingan. Jika mereka memancing di kolam berbayar, sekurang-kurangnya hasil jualan dapat menampung kos bayaran di kolam.
Duit lebih, jika ada, dapat digunakan untuk menampung perbelanjaan lain. Jika bernasib baik, ikan yang didaratkan mampu memberi pulangan lumayan kepada pemancing, sekiranya ikan tersebut merupakan spesies mahal, sebagai contoh ikan ketutu. Mereka masih tergolong dalam kategori pemancing rekreasi, sekiranya tujuan utama mereka adalah ‘mencari rekreasi’ dan bukan untuk mendapat keuntungan kewangan semata-mata.
Terdapat di kalangan pemancing yang menukar ikan yang ditangkap dengan barangan lain. Mereka akan memberi ikan yang ditangkap kepada jiran atau rakan, bagi mendapatkan barangan lain seperti sayuran atau buah-buahan. Dengarnya seperti sistem ‘barter’ yang wujud pada zaman dahulu. Realitinya, golongan pemancing begini masih wujud, walaupun di negara maju. Menukar dengan barangan lain merupakan salah satu kepuasan bagi pemancing kategori ini. Selain itu, mereka juga dapat membina jaringan sosial atau hubungan baik sesama jiran dan rakan.
Mereka yang terdiri dalam kategori ini mempunyai ciri utama seorang pemancing sejati. Memberi ikan yang ditangkap kepada orang lain bukan sahaja dapat memberikan ‘kepuasan’ kepada pemancing, malah dapat membina hubungan silaturahim atau jaringan sosial dengan masyarakat.
Pemancing juga dapat membantu golongan yang memerlukan, selari dengan idea memberi zakat dalam agama. Kebiasaannya pemancing ikhlas dan tidak mahu menerima sebarang balasan. Sikap pemurah, berkongsi dan suka memberi memang sinonim dengan hampir kesemua pemancing di Malaysia.
Kategori pemancing ini telah lama wujud di negara kita. Mereka biasanya terdiri dari golongan pemancing veteran dan boleh diistilah sebagai ‘otai’ memancing. Ada juga dikalangan mereka orang baharu yang dikatakan mempunyai kesedaran tinggi tentang alam sekitar.
Mereka melepaskan semula ikan yang ditangkap setelah bergambar dengannya. Tidak kira spesies atau saiz, pemancing kategori ini sedar akan kepentingan melepaskan semula ikan ke perairan, terutama bagi spesies ikan yang jarang-jumpa, terancam atau hampir pupus.
Bagi pemancing kategori ini, ikan merupakan ‘tarikan’ sahaja dalam memancing. Apa yang penting adalah ‘kepuasan’ mendaratkan ikan, selain memegang dan melepaskan semula ikan ke dalam air. Melepaskan ikan juga mempunyai elemen ketenangan dan kepuasan bagi pemancing kategori ini.