Melalui teori evolusi, punda udara ini merupakan evolusi dari paru-paru yang wujud pada ikan-ikan zaman lampau.
Pada dasarnya fungsi asas pundi udara sebagai organ bertindak mengawal keapungan (buoyancy) ikan dalam air bagi membolehkan ia kekal pada sesuatu kedalam tanpa menggunakan tenaga.
Justeru itu kewujudannya jelas pada ikan-ikan yang sering mengekalkan kedudukan pada sesuatu kedalaman khasnya bagi spesies pengendap yang kurang bergerak, termasuk spesies demersal seperti ibu gelama dan jenahak.
Bagi ikan yang sentiasa berenang, kedudukannya dalam air ditentukan oleh aktiviti pergerakan itu sendiri. Pada ikan-ikan tersebut, pundi udaranya lebih kecil atau mungkin tidak wujud sama sekali.
Pundi udara akan mengembang untuk meningkat daya keapungan dan mengecut untuk tujuan sebaliknya.
IKLAN
Semasa proses pengembangan, kelenjar udara pada pundi udara akan melepaskan asid laktik. Keadaan berasid menyebabkan hemoglobin (sel darah merah) melepaskan gas oksigen yang dibawanya.
Gas tersebut seterusnya diserap masuk ke dalam pundi udara melalui jaringan struktur kompleks yang dikenali erete mirabilei.
Sebaliknya untuk mengurangkan keapungan, gas dalam pundi udara akan diserap semula ke aliran darah yang kemudiannya dilepaskan ke dalam air melalui insang.
IKLAN
Bagi beberapa spesies ikan air tawar, pundi udaranya bersambungan dengan bahagian telinga dalaman.
Ini membolehkan mereka mengesan perubahan tekanan (berubah mengikut kedalaman) dengan lebih tepat dan juga dipercayai meningkatkan daya pendengaran.
Bagaimana pun kewujudan pundi udara yang besar mempunyai kelemahannya tersendiri.
IKLAN
Penurunan tekanan secara mendadak akan menyebabkan pundi udara mengembang secara tidak terkawal dan boleh menyebabkan kematian.
Inilah yang sering berlaku apabila kita menaikkan ikan-ikan demersal dengan tergesa-gesa.
Itu fahaman sains tentang pundi udara. Bagi ibu gelama, pundi udaranya bukan sahaja berperanan penting bahkan mempunyai nilai tersendiri.
Pundi udara ibu gelama akan dikeringkan untuk dijadikan makanan ringan dan dipercayai ada nilai tinggi dalam perubatan.
Memancing di perairan berdekatan pelantar minyak (boreng) merupakan satu trip memancing yang agak ekstrem dan memerlukan bukan sahaja tenaga malah perbelanjaan yang besar juga. Justeru perlu ada perancangan rapi sebelum bertarung dengan monster-monster di pelantar minyak.
Sekiranya kewangan kurang mengizinkan untuk membayar kos trip secara langsung, maka perlulah membuat tabungan sekurang-kurangnya setahun awal daripada tarikh bertolak. Lazimnya trip ditempah berbulan-bulan lamanya.
Kos trip dalam anggaran RM1000 (seorang) bagi sewaan bot sahaja. Selain itu perlu sediakan dalam RM500 lagi bagi menampungkan kos pengangkutan, makan minum serta peningkatan kos trip sekiranya ada ahli yang menarik diri.
Wajib ada satu kekili elektrik atau mesin ‘bangla’ yang lengkap dan sempurna. Sekiranya belum ada maka kenalah berusaha mendapatkannya (bukan murah harganya) atau meminjam daripada kawan-kawan. Set kekili elektrik wajib ada sekiranya pancingan dasar merupakan fokus utama trip.
Selain itu set jigging (kekili, joran dan jig) juga perlu dibawa. Jika berhasrat untuk main GT maka set jigging perlulah yang sepadan. Begitu juga kalau berhasrat nak main popping. Yang pasti satu set ringan untuk kegunaan apollo umpan hidup atau mencandat sotong wajib di bawa.
Perlu buat persiapan rapi. Jika pergi dengan peralatan tidak sesuai dan ala kadar, ada baiknya tidak payah pergi kerana mungkin anda akan buang duit, letih badan dan rugi masa.
Stamina dan kesihatan badan juga perlu dijaga. Elakkan demam atau sakit sebelum bertolak. Bagi kaki jigging mereka ada kalanya bersenam di gym untuk membentuk ketahanan otot tangan, kaki dan badan.
Bersedia untuk menukar sistem tidur kerana aktiviti memancing di pelantar minyak lebih aktif pada waktu malam.
Sementara waktu siang bot lebih banyak bergerak untuk bertukar lubuk atau sebagainya. Jadi, alangkah ruginya jika kita tidur ketika pemancing lain bergasak dengan ikan.
Game fish atau ikan sukan sememangnya menjadi antara ikan buruan utama kaki pancing. Ia menjadi lebih menarik lagi bila ikan-ikan game fish ini mampu melakukan lompatan akrobatik ke udara. Pada masa itu, derauan adrenalin pasti memuncak dan mampu memberikan kepuasan yang tidak terhingga buat kaki pancing.
Kurau (King Threadfin / Polydactylus macrochir)
Ikan kurau banyak menjadikan kawasan berlumpur dan berstruktur seperti kelong dan pantai berbatu sebagai habitat utamanya. Selain terkenal sebagai antara ikan gred A di Malaysia, ikan kurau juga tergolong sebagai salah satu game fish kerana kelicikannya melarikan umpan dan juga sekali sekala mampu memberikan lompatan bertenaga untuk memuntahkan mata kail. Rekod IGFA pernah menunjukkan spesimen kurau terberat ialah 27.5 lb yang ditewaskan di Northwestern Australia pada tahun 1966.
** Level Lompatan Akrobatik: 12.2/20
Siakap ( Barramundi / Lates calcarifer)
Terkenal sebagai salah satu spesies buruan yang dikatakan mampu memberikan tentangan sengit ketika bertarung dengan aksi akrobatik yang menarik di udara. Siakap juga dikenali sebagai spesies predator yang gemar menyerang hendap pemangsa yang lalu di hadapannya. Ia biasanya bersembunyi di celah-calah reba dan juga batu untuk menghendap dan memburu mangsa. 96 lb 6 oz merupakan spesimen siakap yang terberat pernah direkodkan. Ia didaratkan di Monduran Lake pada tahun 2010.
** Level Lompatan Akrobatik: 12.4/20
Bandang (Ladyfish / Elops saurus)
Seperti siakap, bandang juga menjadi spesies buruan kaki pancing kerana spesies ini dikatakan mempunyai kelajuan yang luar biasa dan mampu memuntahkan mata kail dengan mudah ketika melakukan lompatan akrobatik di udara.
Ikan bandang biasanya menjadikan kawasan pesisir pantai, kawasan berstruktur seperti jeti, pelantar dan juga muara sungai sebagai habitat utamanya. Menurut fishing-florida.com, ikan bandang turut diangkat sebagai “one of the best fighting inshore fish that swims”.
Kini ramai yang gemar memburu bandang denga set ultralight kerana ‘karen’nya dikatakan lebih hebat dengan menggunakan set ringan. Rekod terbesar bandang yang pernah didaratkan di Florida ialah 4 lb 10 oz.
** Level Lompatan Akrobatik: 13.4/20
Talang (Queenfish / Scomberoides commersonianus)
Talang atau nama biasanya queenfish merupakan spesies yang tergolong dalam keluarga jack / trevally. Spesies ini paling syok kalau dilayan menggunakan set ringan. Di Malaysia, ramai yang gemar memburu talang menggunakan set light jigging kerana ia gemar memburu pemangsa di pertengahan air. Rekod dunia menunjukkan spesimen talang terberat pernah didaratkan ialah pada tahun 2010 iaitu seberat 39 lb di Afrika Selatan.
** Level Lompatan Akrobatik: 13.7/20
Belitong (Mahi-Mahi / Coryphaena hippurus)
Belitung atau turut dikenali sebagai dorado / mahi-mahi sememangnya layak dikategorikan sebagai antara game fish buruan kaki pancing. Dengan corak warna yang cantik pada badannya dan larian serta lompatannya yang bertenaga, ikan Belitung sentiasa dianggap sebagai “perfect game fish” di kawasan laut lepas. Rekod dunia ikan Belitung terberat pernah direkodkan ialah 87 lb yang didaratkan di Papagallo, Costa Rica pada tahun 1976.
** Level Lompatan Akrobatik: 17.5/20
Marlin Hitam (Black Marlin / Istiompax indica)
Ikan marlin hitam yang terkenal dengan daya juangnya yang tinggi memang layak diangkat sebagai “ocean ultimate trophies” di dunia. Bilangannya kini semakin berkurangan. Ikan ini layak dinobatkan sebagai antara ikan dengan lompatan yang mengagumkan di lautan. Rekod dunia menyaksikan ikan marlin hitam terberat pernah ditewaskan oleh pemancing ialah seberat 1560 lb di Cabo Blanco, Peru pada tahun 1953.
Disebut sahaja nama layaran pasti ramai yang membayangkan Rompin, Pahang sebagai lokasi utama buruan spesies ini. Tidak hairanlah nama Rompin turut diangkat sebagai salah satu kawasan pancingan terbaik bagi memburu layaran di dunia. Ikan layaran ini amat terkenal sebagai ikan trofi bagi sesetengah kaki pancing. Dengan kelajuan yang mampu mencecah 68 mph dan juga lompatan yang begitu padu di udara, ikan ini sememangnya menjadi antara salah satu ikan kebanggaan di Malaysia. Rekod dunia mencatatkan spesimen terberat pernah dinaikkan di Ecuador pada tahun 1947 iaitu seberat 221 lb.
** Level Lompatan Akrobatik: 18.5/20
Bulan ( Tarpon / Megalops atlanticus)
Ikan bulan atau tarpon memang terkenal sebagai ikan dengan lompatan yang menakjubkan dan kelicikannya memuntahkan mata kail. Atas faktor rahangnya yang kuat menjadikan mata kail agak mudah terlucut jika ikan bulan melakukan lompatan akrobatik berulang kali. Walaupun di Malaysia spesies ini tidak membesar sama seperti di luar negara, namun ikan bulan atau tarpon memang layak diangkat sebagai ikan ‘game-fish’ dengan aksi lompatan akrobatik yang paling menakjubkan ada di dunia jika dikira melalui aspek keseluruhan. Spesimen seberat 286 lb 9 oz yang didaratkan di Guinea Bissau, Afrika pada tahun 2003 diangkat sebagai rekod dunia ikan tarpon yang pernah didaratkan.
Pernah tak korang terfikir bagaimana ikan dapat menemui umpan yang dipasang pada mata kail dan memakannya? Adakah kerana ikan nampak umpan tersebut atau ada punca lain? Ini dia penjelasan bagaimana ikan menemui umpan korang.
Deria getaran
Garisan lateral ialah satu garisan halus melintang pada badan ikan yang memanjang dari kepala hingga ke ekornya. Garisan lateral ini mempunyai organ sensor yang membolehkan ikan mengesan perubahan suhu dalam air dan mengesan sebarang getaran yang berlaku di dalam air. Walaupun dalam keadaan air yang keruh, garisan lateral akan bertindak seperti sonar untuk mengesan lokasi, kelajuan dan saiz sesuatu objek di sekelilingnya.
Deria bau
Ikan dapat mengesan bau menerusi nostril yang dipanggil ‘nares’ yang seakan lubang hidung terletak di atas mulutnya. Menerusi organ ini, ikan dapat mengesan mangsa, pemangsa dan lokasi asalnya walaupun telah berenang sejauh ribuan batu.
Walaupun ikan mempunyai deria bau yang baik, kebanyakan ikan tidak bergantung kepada deria ini kerana apa yang ikan dapat kesan melalui bauan pada satu masa bergantung kepada kekuatan dan arah arus air.
Deria penglihatan
Ikan mempunyai penglihatan yang baik, namun matanya berbeza dengan manusia. Lensa mata ikan berbentuk bulat bagi membolehkannya melihat di dalam air. Ikan air tawar tidak mempunyai kelopak mata untuk menentukan jumlah cahaya yang memasuki matanya untuk melihat. Jadi ikan ini akan bergerak ke kedalaman yang berbeza untuk mengawal cahaya yang masuk.
Kebanyakan ikan boleh melihat warna, disebabkan itu kita dapat perhatikan banyak gewang tiruan di pasaran dalam pelbagai jenis warna. Kedudukan mata ikan membolehkannya melihat sisi kanan dan kiri dalam satu masa. Posisi ini juga menyebabkan titik buta di hadapan dan belakangnya pada jarak tertentu.
Oleh kerana cahaya akan membias apabila memasuki air, ikan sebenarnya boleh melihat keluar permukaan air tanpa perlu menghala penglihatannya ke atas. Jadi jika anda melihat ikan di dalam air, kemungkinan besar ikan itu juga melihat anda.
Deria rasa
Kebanyakan ikan mampu merasa melalui reseptor rasa di dalam mulut, deria ini selalunya kurang digunakan oleh kebanyakan ikan terutama ikan pancingan sukan. Lain pula halnya bagi kumpulan ikan catfish. Ikan seperti keli dan baung pula menjadikan deria ini sebagai organ utama dalam mencari makanan kerana kumpulan ini mempunyai deria bau dan rasa yang cukup berkesan dengan menggunakan misainya yang dipanggil barbel.