
Ikan patin memiliki bentuk tubuh memanjang, berwarna putih perak dengan atas badan berwarna hitam kebiruan. Ikan patin tidak memiliki sisik, kepala ikan patin relatif kecil dengan mulut terletak di hujung kepala agak ke bawah. Hal ini merupakan ciri utama keluarga catfish.
Panjang tubuhnya dapat mencapai 120cm. Sudut mulutnya terdapat dua pasang kumis pendek (barbel) yang berguna sebagai deria pengesan.
Sirip dorsal memiliki duri keras yang berubah menjadi patil yang besar serta bergerigi di tepiannya, sedangkan duri-duri lembut pada sirip dorsal terdapat 6 – 7 unit.
Pada permukaan belakang badannya ada sirip dorsal kedua (adipose fin) yang ukurannya sangat kecil dan sirip kaudalnya membentuk cagak dengan bentuk simetris.
Sirip analnya agak panjang dan mempunyai 30 – 33 duri-duri lembut lunak, sirip pelviknya terdapat 6 duri-duri lembut.
Sedangkan sirip pektoral terdapat satu duri keras yang berubah menjadi senjata yang dikenal sebagai patil (sengat) dan memiliki 12-13 duri lembut.
Habitat ikan patin ialah di tepi sungai–sungai besar dan di muara-muara sungai dan tasik. Jika dilihat dari bentuk mulut ikan patin yang letaknya sedikit agak ke bawah, maka ikan patin termasuk ikan yang hidup di dasar perairan.
Ikan patin begitu terkenal dan digemari oleh masyarakat kerana daging yang enak dikonsumsi. Patin dikenali sebagai haiwan yang bersifat nokturnal, iaitu melakukan aktiviti atau aktif pada malam hari. Ikan ini suka bersembunyi di liang-liang tepi sungai.
Larva ikan patin di alam semulajadi biasanya bergerombolan dan sesekali muncul di permukaan air untuk menghirup oksigen dari udara pada menjelang awal pagi.
Untuk ternakan ikan patin, medium atau lingkungan yang diperlukan tidaklah rumit, kerana patin termasuk golongan ikan yang mampu bertahan pada lingkungan perairan yang berkualiti rendah.
Walaupun patin dikenal ikan yang mampu hidup pada lingkungan perairan yang rendah kualiti, namun ikan ini lebih menyukai perairan dengan kondisi perairan bersih.
Mengenali Sifat & Tabiat Family Pari

Apabila melihat pergerakan haiwan ini yang berenang didalam air ianya amat menarik dan mempersonakan. Walaupun warna badannya tidak seindah ikan batu karang yang berwarna warni, seni dan sifat yang dimiliki membuatkan ia mempunyai daya penarik tersendiri.
Gerakan reformasi bahagian sayap yang dibarisi tulang yang lembut membuatkan saya asyik perhatikan haiwan ini berenang dan lupa saya adalah kaki pancing. Berenang dengan alunan yang perlahan tanpa keupayaan memandang kebawah atau rasa takut pada manusia dan setengahnya tak kisah kehadiran makhluk asing di sisinya.
Didalam air ianya nampak berenang secara perlahan-lahan, tapi apabila tersangkut pada mata kail pemancing, huuh… berdesup perginya macam lipas kudung malah lengguk badan yang leper itu ketika cubaan untuk meloloskan diri dari pemancing.
Nama pari begitu menyerlah dalam pertandingan memancing pantai. Sama ada ia lebih banyak dari spesies ikan, saya tak pasti tetapi kewujudannya memang tak dinafikan. Saiz yang biasa diperolehi oleh pemancing sekitar 1 kg hingga 40 kg.
Ada juga pemancing pernah mendaratkan pari melebihi 100 kg dengan menggunakan joran. Inilah yang paling best bila melihat joran melenduk menyembah permukaan air apabila bertarung spesies yang berat.
Tangkapan yang lebih dari itu kebanyakan ditangkap dengan penggunaan rawai mata pari (sejenis rawai tanpa umpan) atau jaring. Pari boleh membesar sehingga 3 meter lebar (pari Helang) dan berat sukar dipastikan bergantung jenis keluarga pari tersebut.
Ada yang menyatakan boleh mencapai 300 kg terutama pari paus atau kalok (manta ray) iaitu sejenis pari yang hanya memakan plathon di permukaan air. Jarang ditangkap oleh pemancing kecuali tersangkut secara tidak sengaja.
Keluarga pari yang kecil lebih dikenali sebagai tetuka yang memang paling banyak terdapat di negara kita. Jenis jagoan yang biasa digantung di depan meja hakim adalah dari jenis pari tanjung, rimau, benting, pasir, reben, dan kadangkala sikecil tetuka pun ada kena gantung bersama-sama untuk beradu nasib bagi pihak pemancing.
Begitu juga dengan Yu pari atau nama popular yu kemenjan (shovelnose ray). Namun sukar untuk memastikan samada spesies ini adalah pari atau yu, tapi apa yang pasti setengah pari dan setengah ikan yu.
Pari yang rata-rata berbadan leper, berbentuk bulat, muncung yang lembut, mulut dibahagian bawah, berekor panjang dan mempunyai sengat di tengah ekor sama ada satu atau dua duri yang bisa, dan ada juga berbentuk seperti ikan dan burung helang.
Kepala pari dan badan ikan digelar Yu kemenjan, manakala spesies yang mempunyai dua ruas badan dikenali sebagai pari serban atau pari karas (electrik ray). Pari jenis ini dikatakan dapat menghasilkan tenaga elektrik sehingga 100 volt yang digunakan untuk melemahkan mangsa sebelum memakannya.
Untuk spesies ini yang bersaiz maksima sehingga 60cm ia dikatakan dapat menjana kejutan elektrik sehingga 200 volt. Jadi hati-hati dengan spesies yang mempunyai bahagian ekor yang agak besar berbanding dengan jenis pari yang lain.
Saya tak pernah kena sengat pari dan tak ingin mencuba sengatan tersebut. Kalau ingin kepastian tanyalah pada mereka yang dah merasa kehangatan tusukan duri tajam spesies ini.
Sekarang ini ramai yang gemar bergambar dengan hasil tangkapan, lebih baik keluarkan atau potong dahulu sengat dan barulah boleh bergambar sakan. Jangan cuba bergurau dengan pari terutama yang masih bersengat.
Kenali Raja Muara!!

Ikan siakap atau barramundi merupakan spesies ikan yang cukup terkenal di kalangan kaki pancing termasuk di Malaysia.
Siakap atau kakap putih mempunyai kekuatan yang mampu melenturkan rod menjadi bentuk U saat melarikan kail di hujung tali pancing.
Lates calcarifer merupakan nama saintifik atau nama Latin bagi spesies ini. Selain di Malaysia dan kawasan Asia Tenggara, ikan siakap juga sangat terkenal di Australia.
Malahan perkataan barramundi merupakan kata pinjaman dari sejenis bahasa di kawasan Queensland yang bermaksud ‘ikan sungai sisik besar’.
Barramundi juga sebenarnya merujuk kepada ikan saratoga dalam bahasanya.
Barramundi menjadi semakin terkenal sejak 1980-an. Selain daripada ikan sukan, ikan ini juga mula dikenali sebagai ikan yang mendapat permintaan tinggi di pasaran.
Sejak itu, profil spesies L. calcarifer ini semakin meningkat naik sehingga ke hari ini.
TABURAN SPESIES
Spesies ini merupakan ikan catadromous dalam keluarga Latidae. Taburan spesies ini agak meluas terutamanya di kawasan perairan Indo-West Pacific.
Taburan ikan siakap boleh ditemui di pinggir timur Teluk Gulf sehingga ke China, Taiwan, selatan Jepun, selatan Papua New Guinea dan selatan Australia.
Selain itu, kawasan perairan Asia Tenggara juga merupakan kawasan taburan spesies ini.
Di Malaysia, tidak sukar untuk menemui spesies ini kerana Malaysia dikelilingi oleh perairan yang panjang.
Tidak hairanlah, kaki pancing di Malaysia cukup sinonim dengan spesies ikan ini. Antara
kawasan yang sering menjadi tumpuan peminat siakap tertumpu pada bahagian muara dan tempat pertemuan laut dan sungai.
HABITAT DAN SIFAT SIAKAP
Ikan siakap merupakan spesies ikan yang mempunyai toleransi salitini yang sangat tinggi. Toleransi saliniti ini membawa maksud kepada daya toleran spesies ini terhadap sifat saliniti air atau kemasinan air.
Jadi, ikan siakap mampu hidup dalam keadaan air masin atau air tawar. Toleransi saliniti yang tinggi memberikan kelebihan kepada spesies siakap dalam memilih habitatnya.
Habitat ikan siakap biasanya tertumpu kepada kawasan muara sungai. Oleh kerana siakap mempunyai daya toleransi saliniti yang tinggi, maka spesies ini boleh ditemui dalam keadaan air masin, air tawar dan air payau.
Selain itu, kawasan berstruktur besar seperti batu dan kayu besar juga menjadi habitat pilihan bagi siakap.
Hari ini, beberapa buah tasik dan empangan di Malaysia, telah pun didiami siakap. Antara yang paling popular ialah siakap air tawar di Tasik Kenyir.
Kemunculan siakap dalam tasik atau empangan merupakan hasil daripada pelepasan oleh manusia dan menjadi kegilaan kepada kaki pancing.
Selain di Tasik Kenyir, siakap bersaiz mega juga kini telah didapati di Tasik Beris dan Empangan Muda di Kedah.
MORFOLOGI DAN BIOLOGI
Ikan siakap mempunyai bentuk badan yang memanjang dengan mulut condong yang besar. Bahagian rahang atas spesies ini memanjang sehingga ke bahagian belakang mata.
Bahagian pipi atau operkulumnya mempunyai duri kecil yang mampu melukakan. Sementara itu, sisiknya pula dalam kategori ctenoid. Kepalanya pula melengkung ke bawah.
Selain itu, ikan siakap mempunyai sisik yang agak besar. Sisik pada badannya berwarna perak di mana mungkin boleh menjadi semakin cerah atau semakin gelap mengikut keadaan persekitaran habitatnya.
Barramundi merupakan spesies ikan demersal yang biasanya tertumpu di kawasan muara, lagun dan sungai.
Spesies ini boleh hidup dalam keadaan air yang jernih sehingga kepada keruh dalam lingkungan suhu air 26°C-30°C. Siakap juga merupakan spesies ikan catadromous iaitu bersifat migrasi dari kawasan air tawar ke air masin untuk melepaskan telurnya.
DIET DAN KITARAN HIDUP
Barramundi atau siakap menjadikan moluska, krustasia dan ikan kecil termasuk spesiesnya sendiri sebagai diet makanannya.
Jadi ikan siakap boleh dikategorikan sebagai pemangsa yang bersifat karnivor.
Ketika bermula musim monsun, siakap jantan akan masuk ke muara untuk mencari pasangannya untuk pembiakan.
Ketika ini ikan siakap betina mampu menghasilkan sehingga beberapa juta telur untuk dilepaskan.
Siakap juga merupakan spesies ikan yang bersifat hermaphroditic di mana mampu untuk bertukar jantina ketika musim mengawan.
Kebanyakan spesimen siakap dewasa yang ditemui merupakan spesimen betina. Selepas melepaskan telurnya, induk siakap tidak akan menjaga telur atau anak yang akan menetas.
Taksonomi
Kingdom : Animalia
Filum : Chordata
Kelas : Actinopterygii
Order : Perciformes
Famili : Latidae
Genus : Lates
Spesies : L. calcarifer (Bloch, 1790)
Common name : Asia seabass, barra, barramundi, siakap, kakap putih
baca juga Petua & Pantang Larang Otai Siakap
Apa pendapat anda? Teruskan klik & share artikel kami ini. Terima kasih!
Jangan lupa LIKE, FOLLOW & SEE FIRST Facebook Majalah Umpan
Sudah subscribe channel Youtube umpan? Klik sekarang Youtube Umpan
Ketahui Saudara Mara Keluarga Ikan Tapah!!

Ikan tapah merupakan spesies ikan bermisai (catfish) air tawar dalam famili besar Siluridae yang terdapat di bahagian selatan Asia dari Pakistan ke Vietnam, Malaysia, dan Indonesia. Ikan ini juga dilaporkan terdapat di Afghanistan. Ikan tapah hidup di sungai yang airnya mengalir perlahan dan bagian bawah sungai berlumpur.
Sehingga kini terdapat 5 spesies tapah di dalam genus Wallago iaitu W. attu, W. hexanema, W. leeri, W. maculatus dan W. micropogon. Ikan tapah yang ditemukan di negara kita dipercayai dari spesies W. leeri dan W. attu.
Dengan nama umumnya helicopter catfish, taburan spesies ini tertumpu di Asia, dari Pakistan ke Vietnam, Thailand, Malaysia dan Indonesia. Ia dilaporkan tersenarai dalam spesies yang diancam kepupusan. Spesies yang dikelasifikasi oleh Bloch & Schneider, 1801 ini dikatakan mampu membesar sehingga 240 cm namun spesimen sepanjang 75 cm lebih mudah ditemui.
Sebagaimana tapah lainnya, pergerakan yang agak perlahan atau gemar mendiami tasik dan sungai yang besar. Ia cenderung untuk bersembunyi di kawasan berlumpur dan sering bersembunyi di sekitar tebing sungai. Ia berkembang biak dalam air cetek sebelum musim hujan, sebelum berhijrah ke kawasan yang dibanjiri untuk mencari makanan.
Spesies yang dikenali dengan nama umum striped wallago catfish, helicopter catfish atau tapah catfish ini ikan natif Asia Tenggara. Taburannya meluas dari sistem sungai Thailand, Semenanjung Malaysia, kepulauan Borneo dan Sumatera, Indonesia.
Spesies yang berpopulasi dengan baik ini mampu membesar sehingga melebihi 2 meter dan berat sehingga 95 kg. Berbeza dengan spesies lain dalam genus yang sama, ikan ini memiliki membran berduri hitam.
Tidak banyak kajian saintifik ke atas spesies yang hanya boleh ditemui di Sabah dan utara Borneo ini. Spesies ini dikatakan mampu membesar sehingga 100 cm namun tiada catatan tentang berat yang direkodkan. Ia boleh ditemui di sistem sungai yang berhubung dengan hutan-hutan kecil.
Spesies ini dikatakan hampir menyamai sehingga hampir diklasifikan sebagai W. leerii dari lembangan Sungai Mekong. Taburan spesies ini juga hanya di Asia melibatkan lembangan Sungai Mekong, Dau Tieng di selatan Vietnam, selatan Laos dan pertengahan sistem sungai Chao Phraya di Thailand.
Spesies yang lebih kehitaman warnanya ini mampu membesar sehingga 154 cm dan berat maksimum yang pernah direkodkan ialah 96 kg.
Sebagaimana spesies dalam genus Wallago lainnya, spesies ini taburannya juga di Asia. Dalam banyak aspek biologi ia hampir sama sahaja dengan ikan tapah lain namun merupakan spesies yang paling kecil kerana hanya mampu membesar sehingga 16 cm sahaja. Ia umpama ikan selat dalam keluarga belida.
Ia juga merupakan spesies yang paling terpinggir dalam kajian saintifik berikut sukar untuk ditemui. Malah foto spesies ini juga tiada.