
Pelbagai jenis perisa umpan terjual di kedai-kedai pancing masa kini. Baik dalam bentuk pes mahupun esen. Terpulang kepada anda untuk memilih dan mengadunnya menjadi umpan terbaik untuk memikat ikan patin di kolam pancing.
Sekiranya anda tidak mahu pening-pening kepala, apa kata anda cuba adun umpan yang kami pilih ini. Penyediaan umpan juga tidaklah sesukar mana. Namun ia amat berkesan untuk memancing ikan patin.
Bahan-bahan:
Pelet 920
Strawberi Killer A1
Sos Raya A1
Esen Badam
Esen Pisang
Esen Nenas
Kelapa Parut
Cara-Cara Penyediaan:
Tutorial 1
Masukkan pelet 920 sebanyak 2 kg ke dalam bekas bancuhan. Masukkan air sehingga tenggelam pelet kesemuanya, biarkan seminit, kemudian toskan kesemua air tersebut.
Tutorial 2
Masukkan Sos Raya A1 sebanyak 6 penutup botol.
Tutorial 3
Masukkan pula Strawberi Killer sebanyak 6 penutup botol.
Tutorial 4
Tuangkan esen pisang sebanyak dua penutup botol.
Tutorial 5
Tuangkan pula esen nenas sebanyak 3 penutup botol.
Tutorial 6
Seterusnya masukkan pula esen badam sebanyak 2 penutup botol.
Tutorial 7
Gaul pelet bagi rata dan perap sekurang-kurangnya satu jam sebelum digunakan. Apabila ia agak kering, masukkan kelapa parut secukup rasa (segenggam dua). Umpan ini boleh dimainkan dengan teknik perambut 2 mata kail atau juga atau penggunaan spring.
Panduan penting memancing udang galah!!

Beberapa hal yang perlu diperhatikan untuk menentukan lokasi terbaik udang galah antaranya, kenali struktur dasar sungai tempat di mana kita memancing. Selalunya dasar sungai berbentuk liku-liku dan beralun-alun.
Kedua, lihat pada keadaan arus sungai lazimnya aliran air agak perlahan atau alirannya tidak terlalu deras. Jika arus deras menandakan kawasan tersebut lebih dalam, manakala aliran perlahan pula adalah sebaliknya.
Cara memakan umpan
Apabila udang galah beratnya lebih 300gram, maka umpan akan langsung dilarikan dan hujung joran akan langsung melentik atau melengkung.
Bagi udang ukuran biasa dan kecil, biasanya sewaktu umpan dimakan, umpan akan dipegang dan ditarik-tarik menggunakan sepitnya sehingga hujung joran akan melentik beberapa kali seperti ikan kecil yang makan.
Memancing udang galah haruslah sabar dan toleransi. Pada saat umpan dimakan oleh udang, joran akan melentik atau melengkung, yang perlu kita lakukan tahan saja jangan
disentap kerana ia akan menjadikan mulut udang koyak dan pastinya udang galah akan terlepas.
Jika udang sudah mengena, angkat joran perlahan-perlahan sambil mengarau kekili dengan posisi hujung joran mendongak ke atas sehingga line tegak lurus dengan permukaan air.
Udang biasanya jika terkena pancing akan mundur ke belakang dan membengkokan tubuhnya, jika disentap atau ditarik terlalu kuat akan membuat mulutnya koyak terkena kail.
Jadi pancinglah dengan atau situasi yang tenang dan santai. Kadang-kadang juga udang galah makan tanpa ada gerakan, jadi untuk 10-15 minit sekali perhatikan keadaan umpan dengan karau perlahan lebih kurang 1 kaki karauan.
Isyarat udang memakan umpan adalah tidak sama mengikut keadaan. Ada pula yang menyambar dengan kasar seperti ikan. Sambaran yang kecil dan perlahan tidak semestinya udang kecil dan sambaran yang kasar dan kuat tidak semestinya udang besar.
Cara memancing di atas sampan
Untuk memancing di atas sampan, paling sesuai dan selesa ialah 2 orang untuk sebuah sampan sepanjang 12-17 kaki. Lima atau tiga batang joran seorang adalah bertepatan.
Tidak menghairankan jika ada yang menggunakan lebih dari itu jika ia mampu mengawal kesemuanya.
Susunan joran di atas sampan semasa memancing juga penting mengikut aturan yang betul seperti joran 1 dilontar jauh, diikuti joran 2 dekat sedikit dan begitulah seterusnya
hingga joran terakhir dihulur saja bawah sampan. Ini semua dapat mengelakkan dari berbelit sesama sendiri.
Melontar umpan sehingga batu ladung menjejaki dasar sungai, kemudian karau tali dikekili sehingga tegang.
Seterusnya diletakkan joran di tepi sampan tanpa dipegang dengan tangan dan tunggu.
Jika sudah pasti udang telah menelan umpan lakukan sentapan yang lembut atau terus mengarau tali.
Memancing udang galah di tebing (menebing)
Pilih kawasan tebing yang lapang dan tidak terlalu bersemak untuk mengelakan gangguan haiwan atau binatang seperti ular dan sebagainya.
Ia juga untuk memudahkan untuk membuat lontaran dan karauan pancing. Lima atau tiga batang joran seorang adalah bertepatan dan mencukupi.
Susunan joran di tepi tebing juga penting semasa memancing mengikut aturan yang betul seperti joran 1 dilontar jauh, diikuti joran 2 dekat sedikit dan begitulah seterusnya.
Ini semua dapat mengelakkan dari berbelit sesama sendiri. Pastikan juga menggunakan pancang atau rod holder bagi mengelakkan joran terjun ke dalam sungai.
Tangkapan Terbesar & Lokasinya Yang Pernah Direkodkan *

Sebesar manakah hasil tangkapan yang pernah korang daratkan? Cuba tengok hasil tangkapan dan lokasi ia didaratkan di bawah ini… setandang tak dengan hasil korang?
Lautan Pasifik – Ketam (King Crab)
Ketam juga merupakan salah satu hidupan akuatik yang mempunyai ciri-ciri yang unik serta mempunyai rasa yang lazat sebagai hidangan. Namun begitu, tahukah anda ketam terbesar yang pernah dinaikkan mempunyai berat sehingga 15kg? Itulah seekor ketam Varanger (Varanger king crab) dengan jarak hujung ke hujung hampir 2 meter yang pernah dinaikkan di Lautan Pasifik. Ketam Varanger ini juga sering digelar sebagai “red king crab”.
Amazonia, Brazil – Pirarucu (Arapaima gigas)
Arapaima gigas boleh dikatakan spesies legenda yang masyhur di kalangan pemancing. Jadi tidak hairanlah Lembah Amazon di Brazil ini mampu berbangga dengan spesies ikan naga sebagai rekod terberat pernah dinaikkan menggunakan rod dan kekili. Spesies yang dijinakkan oleh pemancing profesional tersohor, Jakub Vagner pada 2010 ini telah merekodkan angka 339 paun (154 kg) dan ianya juga diperakui oleh IGFA sebagai rekod rasmi.
Rio Negro, Brazil – Peacock Bass (spesies Cichla temensis)
Berhampiran dengan Lembah Amazon, Rio Negro memang terkenal sebagai lokasi pancingan peacock bass ditambah dengan sokongan daripada pihak negeri untuk menjadikan lokasi tangkap dan lepas. Pada tahun 2010, seorang pemancing warga Brazil iaitu Andrea Zaccherini, telah berjaya menaikkan seekor spesimen spesies C. temensis seberat 29.1 paun ketika trip memancing yang disertainya. Ini seterusnya memadam rekod lama seberat 28 paun yang direkodkan hanya kira-kira 10 bulan sebelum itu.
Texas, Amerika Syarikat – Alligator Gar
Spesies yang menyerupai haiwan pra-sejarah ini berjaya dijinakkan oleh seorang pemancing dari Texas iaitu Brent Crawford. Beratnya melebihi 300 paun dengan panjang berukuran 8 kaki 2 inci. Tangkapan Crawford dikatakan menjadi rekod terbesar alligator gar yang didaratkan dengan teknik pancingan busur (bow-fishing) mengatasi rekod lama iaitu 279 paun. Bagi rekod tangkapan alligator gar menggunakan rod dan kekili, rekod terberat ialah 365 paun.
Kona, Hawaii – Marlin
Marlin ini digelar marlin biru legenda Pasifik setelah ia berjaya didaratkan pada tahun 1984 di perairan Kona, Hawaii. Panjang marlin ini mencecah sehingga 17 kaki dan beratnya pula direkodkan seberat 1656 paun. Ia mengambil masa lebih daripada 2 jam bagi pemancing menaikkan gergasi ini. Begitu pun, ia dikatakan marlin kedua terberat yang pernah dinaikkan menggunakan rod pancing.
California, Amerika Syarikat – Salmon
Seorang pegawai hidupan liar telah menangkap seekor salmon yang dikatakan terberat di selatan California. Spesies salmon Chinook ini direkodkan seberat 85 paun dengan panjang mencecah 4 kaki. Ikan ini dikatakan berenang sejauh hampir 100 batu menuju ke hulu sungai untuk menghempaskan telur sebelum mati kemudiannya.
Lautan Artik – Sotong Gergasi
Sotong gergasi ini telah ditangkap di Lautan Artik dan direkodkan seberat 1089 paun. Ia telah mengatasi rekod berat sotong sebelum itu yang direkodkan di New Zealand iaitu 992 paun. Panjang sotong gergasi dari Lautan Artik ini mencecah sehingga 6 meter panjang. Bayangkan betapa besarnya gergasi ini!
Thailand – Pari Air Tawar
Pari air tawar yang terbesar pernah ditangkap telah direkodkan di Thailand. Dengan berat mencecah 770 paun ianya ditangkap oleh seorang warga British yang memancing di Thailand ketika membantu program tagging spesies berkenaan. Ukuran spesimen sekitar 7 kaki panjang dan 7 kaki lebar ini mengambil masa hampir 2 jam sebelum berjaya didaratkan.
Thailand – Patin Mekong
Pada Mei 2005, seekor patin Mekong (Pangasionodon gigas) telah berjaya didaratkan yang mana saintis percaya ia merupakan yang terbesar pernah dinaikkan. Saiznya sepanjang 9 kaki dan beratnya mencecah 646 paun hampir sebesar seekor beruang. Oleh kerana ia dikategorikan sebagai spesies terancam, nelayan di sana cuba untuk melepaskan kembali, namun sayangnya Mekong tersebut mati.
Maine, Amerika Syarikat – Lobster
Lobster yang terbesar pernah ditangkap direkodkan di perairan Maine, New England di Amerika Syarikat. Lobster ini seberat 27 paun dan besarnya kira-kira saiz kanak-kanak berusia 3 tahun. Ianya diberi nama ‘Rocky’ dan sepitnya sahaja mampu mencederakan lengan seorang lelaki dewasa. Beratnya tertumpu pada sepitnya dan ia dikatakan mampu mematahkan lengan jika disepit. Rocky telah dilepaskan kembali ke lautan beberapa hari selepas itu.
Trip Retro – Beraya dengan lemang rendang belut!!

Disebabkan ayam dan daging sudah terlalu mainstream untuk dijadikan rendang pada musim perayaan ini, teringin pula mengubah cita rasa merasai rendang belut untuk dimakan bersama-sama lemang panas.
Oleh sebab itu, satu komplot memancing belut dibuat selepas mendapat perkhabaran ada port baik untuk mencari belut di sekitar Bukit Rambai, Melaka.
Sejujurnya, saya sendiri tidak pernah tahu kewujudan tempat memancing belut di kawasan perumahan yang didiami keluarga saya sekarang.
Semuanya hasil cerita daripada adik saya yang sering memancing belut bersama rakan-rakannya pada bulan puasa lalu.
Tiba hari yang dijanjikan bersama adik saya dan dua lagi rakannya terus menuju ke lubuk pertama memancing belut di sebuah kawasan sawah.
Sebelum tiba ke lokasi yang ditetapkan, kami terlebih dahulu menangguk ikan seluang di kawasan tali air untuk dijadikan umpan belut. Selepas itu, pemburuan dari lubang ke lubang pun bermula.
Tidak banyak perkakas yang perlu untuk memancing belut di kawasan ini. Penggunaan tali pintal dipadankan bersama mata kail bersaiz kecil sudah cukup untuk menipu makhluk lubang ini.
Tapi cabarannya sudah tentulah untuk memujuk sang belut untuk buka mulut. Harus tahu, tidak semestinya setiap lubang yang kita singgah akan berpotensi mendapatkan hasil.
Jadi, kerajinan dan kesungguhan sangat penting untuk memperoleh hasil yang lumayan. Jika puas memujuk tanpa sambaran, segeralah berpindah ke lubang lain.
Perkara yang paling menyeronokkan sepanjang pertama kali memancing belut ialah ketika mendapat sambaran ‘goal-keeper’.
Apa yang dimaksudkan ialah pada saat umpan ikan seluang baru sahaja masuk ke lubang, belut terus menangkap kemas umpan itu dan melarikannya jauh ke dalam lubang.
Saat ini membuatkan adrenalina mengalir deras dan membuatkan peluh di dahi menitik untuk menahan lariannya daripada terus melarikan diri jauh ke dalam lubang.
Satu lagi perkara menarik yang saya pelajari ialah belut sentiasa lapar! Ada ketikanya sewaktu cuba menaikkan belut, ia boleh lucut di pertengahan jalan.
Tapi jangan risau, belut tidak akan serik untuk memakan umpan. Cepat-cepatlah jatuhkan kembali umpan ke lubang yang sama dan dalam beberapa ketika ia sudah pasti akan menjamah kembali umpan tersebut.
Dalam tempoh sejam memancing hingga menghampiri senja, kami sudah berjaya mendapatkan hasil yang dikira agak mewah.
Hasil 10 ekor belut yang dipancing ini sudah cukup untuk dikorbankan ke dalam kuali dan dimasak rendang cili api.
Apa yang boleh saya katakan, rasanya memang betul-betul terangkat!