Pernah tak seseorang bertanya kepada anda kenapa anda memancing? Apa yang anda jawab? Sekiranya anda masih keliru nak jawab apa, berikut disediakan untuk menyatakan kenapa anda memilih hobi mahal ini.
MENGURANGKAN STRESS / TEKANAN KERJA
Iyelah… hanya dengan memancing sahaja kita dapat menikmati keindahan alam semula jadi. Dapat tengok air pun hati dah sejuk, belum lagi cerita bila dapat tarik ikan. Perghh, indahnya dunia. Boleh lupa segala masalah di tempat kerja dan sebagainya.
TAMBAH KAWAN
Ya, memancing juga menjadi satu sumber untuk menambah kenalan selain melayari laman sosial di Internet. Dengan memancing, kita bukan saja boleh menambah kenalan tetapi juga boleh bertukar-tukar teknik memancing dan sewaktu dengannya.
CARI LAUK
Ads
Selain menghilangkan tekanan dan cari kawan, pada masa yang sama gak kita boleh tambah stok lauk kat rumah. Sekurang-kurangnya jimat sikit duit belanja isi rumah. Percayalah, tiada isteri yang akan mengamuk jika anda membawa pulang ikan-ikan segar apatah lagi ikan kegemarannya.
REKREASI
Memancing juga boleh menjadi antara rekreasi yang baik buat diri anda dan keluarga. Selain bawa anak-anak pergi bercuti kat taman tema, apa salahnya bawa pulak diorang pergi memancing. Mesti teruja dibuatnya.
Ads
FAEDAH KESIHATAN
Haa, ramai yang tak tahu aktiviti memancing ni pun baik untuk kesihatan. Dengan keluar memancing dan melakukan perkara aktif di luar boleh menggalakkan gaya hidup yang sihat sebenarnya. Jadi, rajin-rajin la keluar memancing.
KEPUASAN DIRI
Memancing sebagai satu kepuasan diri. Itu memang tak boleh dinafikan lagi. Hanya mereka yang betul-betul menghayati hobi ini saja dapat mengetahui kepuasan apa yang dimaksudkan itu.
Ads
SUMBER PENDAPATAN / SAMPINGAN
Dengan memancing juga boleh menambah sumber pendapatan. Iyelah, bila dah dapat ikan banyak-banyak tu boleh la jual kat peraih. Tak pun masuk je pertandingan memancing. Untung-untung boleh jadi juara. Tu pun kalau untunglah.
ASAH SKIL
Untuk mengasah teknik memancing, kita haruslah selalu keluar memancing. Jadi ini juga boleh dijadikan alasan jika ada yang mempersoalkan kenapa anda kerap keluar memancing.
GERAM TENGOK IKAN
Selama ini, anda mungkin beli sahaja ikan di pasar untuk dijadikan lauk. Tiba-tiba terdetik di hati anda untuk memancing sendiri, bawa pulang dan dijadikan hidangan. Atau sebenarnya anda geram melihat ikan di pasar yang besar-besar, lantas anda membulatkan tekad untuk cuba memancing.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Ikan sembilang terkenal bagi kebanyakan kaki pancing yang gemar memancing pesisir pantai. Bentuknya badannya tidak bersisik dan licin. Selain itu, ikan sembilang juga mempunyai rasa yang agak sedap.
Ketika mengendalikan spesies ini, kita perlu berhati-hati dengan sengat atau duri pada bahagian dorsal dan juga sepasang duri pektoralnya. Sengatan sembilang agak berbisa dan mampu mendatangkan rasa berdenyut dan sakit berterusan jika tidak dirawat segera.
Usat atau ikan sembilang karang juga mendiami kawasan yang mempunyai karang. Warna badannya berbeza berbanding sembilang biasa. Ikan sembilang karang mempunyai warna yang lebih cerah dan mempunyai jalur pada badannya. Seperti ikan sembilang, ikan sembilang karang juga mempunyai duri yang berbisa dan mendatangkan kesan buruk jika disengat.
Spesies daripada genus Arius ini merupakan antara spesies yang sering dinaikkan. Ikan duri mempunyai tiga duri yang tajam dan keras. Duri yang digunakan untuk mempertahankan dirinya ini terletak pada sepasang sirip pektoralnya serta sebatang duri yang mampu menegak pada bahagian sirip dorsal di atas badannya.
Ikan pari merupakan ikan yang berbentuk leper dan sering berada pada dasar badan air. Ketika mengendalikan ikan pari, perhatian harus diberikan kepada bahagian ekornya. Duri sengatan ikan pari yang terletak di sebalik ekornya sangat berbisa dan mampu memberikan kecederaan teruk. Sesetengah kes sengatan pari mampu membawa kepada kematian.
Biasanya ikan ini akan menghuni kawasan dasar berhampiran pesisir pantai yang berlumpur dan berpasir. Depu singa ini mempunyai duri-duri kecil terutama pada sebahagian besar kawasan operkulumnya. Duri-duri kecil ini berbisa jika tertusuk dan mampu mendatangkan kesakitan jika tidak mendapat rawatan segera.
Aruan tasik mempunyai daya larian yang begitu kuat. Spesies ini juga mampu membesar mencapai saiz gergasi. Dalam mengendalikan ikan ini terutama di atas bot yang bergerak, perlu lebih berhati-hati terhadap sebarang risiko terkena sengatan durinya. Sebaris duri keras dan tajam aruan tasik yang terletak pada bahagian sirip dorsalnya boleh menyebabkan kecederaan yang serius.
Ikan pedukang hampir menyerupai ikan duri. Ikan ini selalunya menjadi pengacau umpan dan sering dinaikkan ketika memancing di kawasan berair payau. Begitu pun, seperti ikan duri, ikan pedukang juga mempunyai duri sengat yang berbisa. Duri ini terletak di bahagian sirip dorsalnya serta pada sirip pektoralnya.
Ikan dengkis hampir menyamai rupa ikan kitang namun dari segi nilai, ikan dengkis sememangnya jauh lebih bernilai dari kitang. Begitu juga dengan bisa dari sengat berduri ikan kitang. Ia mampu menyebabkan bahagian yang terkena sengat terasa kejang untuk beberapa jam lamanya.
Ikan kitang berbentuk pipih dan biasanya mempunyai corak berbintik hitam di badannya. Ikan ini mempunyai duri yang berbisa di sepanjang barisan sirip dorsal serta sirip pelviknya. Duri yang berbisa pada ikan ini mampu mendatangkan kecederaan teruk yang menyebabkan rasa kebas dan kesakitan berlarutan jika tidak dirawat.
Ikan mayong mempunyai bentuk seperti ikan duri namun saiznya lebih besar dan mampu mencapai panjang sehingga 1.8 meter. Ikan mayong juga mempunyai duri dan sengat yang berbisa serta mampu mendatangkan kecederaan. Duri utama pada sirip dorsalnya sangat tajam dan keras ditambah dengan sepasang duri pada bahagian pektoralnya.
Ikan ketuka mempunyai bentuk badan yang hampir sama dengan ikan pari. Namun saiz ikan ketuka lebih kecil dan ikan ketuka lebih mendiami kawasan berair payau. Ikan ketuka juga mempunyai sengatnya di sebalik ekornya seperti pari. Sengat ikan ini mampu mendatangkan kecederaan yang teruk jika tidak dirawat.
Debam jalur merupakan ikan yang bersifat kewilayahan dan menghuni kawasan berbatu karang. Spesies ini biasanya berassa dalam kumpulan yang banyak. Debam jalur juga merupakan spesies yang sentiasa berenang dan sering dijadikan sebagai ikan hiasan. Pada bahagian kaudal atau ekornya, terdapat duri yang agak berbisa dan mampu mendatangkan kecederaan jika terkena pada anggota badan.
Ikan talang lampai dewasa biasanya berlegar di permukaan air dalam kawanan kecil. Ikan ini akan memburu ikan kecil sebagai makanannya. Terdapat duri pada sirip dorsal dan sirip analnya yang sesetengahnya mempunyai toksin yang berbisa.
Nama saintifik: Scomberoides tol
Nama umum: Queenfish
Bila jadi seorang tekong dan pembantu tekong (awakl-awak)… ingatlah punca rezeki kita bergantung pada customer. Baik buruk customer pun itulah rezeki kita.
Berbuat baiklah pada customer kita, jagalah tutur kata dengan mereka, sentiasa ajar dan bantu mereka dan anggaplah mereka tidak tahu ilmu lautan. Ringankanlah tangan kita kerana mereka membayar kita bukan untuk melihat kita memancing tetapi mengharapkan bantuan dan layanan baik semasa kita bawa mereka ke lokasi memancing.
Bila pancing mereka tersangkut, jangan tunggu disuruh untuk tolong… dah memang itu kerja kita lagi-lagi pembantu tekong. Tolong la pergi tarik, pergi lepaskan… kita kan dah pro bab tu.
Sentiasa pastikan susun atur peralatan atas bot dalam keadaan selamat dan bersih terutama bila ikan didaratkan, terus bersihkan lantai bot kerana ia sangat licin dan bahaya. Bukan nak cakap bot kita baru atau cantik. tu faktor risiko… takut gedebuk atas lantai.
Setiap kali ikan ingin didaratkan, bersedia di tepi pelanggan kita, sebab yang akan angkat ikan naik ke atas bot adalah kerja kita, yang buang mata kail adalah kerja kita, yang simpan ikan tu kerja kita, dalam bahasa mudah pelanggan kita tak perlu kotor tangan.
Bagi yang suka trip membottom pula, kita perlu sediakan khidmat ikat perambut, jika mereka dah ready tu tak apalah sebab kena anggap mereka tahu tahu. Umpan bagi mereka kita tolong sediakan, kita tolong potongkan, kalau boleh kita tolong pasang pada pancing. Takde alasan kita TAK ADA MASA sebab bila berada di lautan kita adalah pekerja, bukan PEMANCING. Jika customer suruh kita memancing untuk carikan hasil pada mereka, barulah kita mancing.
Layan yang baik kepada pelanggan ni bukan kepada yang tak pernah jumpa, yang pertama kali sewa bot kita saja… kita perlu layan semua sama tak kira mereka tu rakan baik kita sekali pun sebab mereka semua akan bayar kita… ni yang karau sauh tu customer!
Insyaallah kalau kita boleh buat macam ni, kita akan ada regular customer. Tapi kalau sebaliknya… Insyallah bot yang kita ada tu akan bawak kita sorang jela. Jaga adab, jaga tutur kata, jaga tingkah laku, sebab kita menjadi contoh atas bot.
Customer datang nak mancing, nak release tension kat pejabat… kalau makin tension atas bot baik tak yah keluar mancing. Ni kadang-kadang komplen dari customer yang biasa kita terima bila mereka tak puas hati dengan servis yang kita bagi.
Kalau nak diikutkan hasil yang dapat, tak semua customer akan merungut pasal hasil asalkan kita dan buat yang terbaik… sebab rezeki semua tu kita perlu usaha, dapat tak dapat tu bukan kerja kita… kalau rasa hasil teruk sangat, kita kurangkan sikit sewa atas dasar persahabatan.
Saya membetulkan kedudukan dua joran yang sudah siap landing di pinggir air. Di dada langit, bulan mengambang penuh. Awan pada malam itu tidak sepekat mana. Angin pula bertiup sepoi-sepoi bahasa, cukup untuk menjadikan badan dan mata saya segar sepanjang malam.
Dalam kelam malam itu, jangkaan saya baru memasuki sebelas malam, air di lombong nampak berkilau disimbah cahaya bulan. Kelibat deburan ikan bermain-main di dalam air kelihatan, membuatkan hati saya agak gembira melihatnya.
Saya melabuhkan punggung di satu kawasan lapang yang sedikit berpasir. Tidak jauh daripada saya, dalam jarak 50 meter, Nasrul dan kawan baiknya Bahtiar juga sedang tenang menunggu umpan diragut oleh sang mangsa.
Sejak petang tadi, kami bertiga memang sudah berjanji untuk memancing di lombong terbiar berdekatan dengan kawasan Sidam Kiri ini.
Dikatakan sekarang adalah musim ikan kaloi dan haruan. Setakat dua, tiga kilo beratnya sudah menjadi perkara biasa penduduk sekitar mendapatnya. Itu yang menyebabkan saya, Nasrul dan Bahtiar geram mendengar cerita-cerita begitu. Akhirnya kami mengambil keputusan untuk memancing di sebelah malam.
Dengan berbekalkan umpan anak ikan, katak, cengkerik dan cacing, kami bertiga mencuba nasib di lombong seluas dua ekar ini. Tidak jauh dari saya duduk, ada sebatang pokok sena yang berdiri gagah. Daripada cerita orang-orang tua, pokok sena itu sudah tumbuh sejak beratus tahun lamanya.
Umur sebenar pokok itu tidak diketahui, cuma apa saja cubaan untuk menumbangkan pokok itu pasti tidak berhasil. Pasti ada rintangannya. Jentolak rosak, pemandu jentolak jatuh sakit, hujan ribut dan sebagainya. akhirnya pokok sena yang mempunyai banyak akar berjuntaian itu dibiarkan begitu saja kerana dikatakan berpuaka.
Sesekali mata saya pasti melirik ke situ. Sebagai pemuda yang dilahirkan dalam zaman merdeka dengan usia baru mencecah usia 25 tahun, saya kurang percaya dengan cerita-cerita misteri begini. Dalam zaman yang serba moden ini mana ada hantu atau jembalang.
Semuanya mainan perasaan manusia itu semata-mata apatah lagi saya merupakan graduan dalam tahun akhir bidang kejuruteraan awam di sebuah universiti awam di Kuala Lumpur. Joran saya bergerak. Sekali sentap, mangsa sudah kelihatan.
Seekor ikan kalui sederhana besar mungkin dalam 300 gram menggelepar lemah di permukaan air. Saya mengucapkan syukur, Alhamdulillah ini rezeki pertama setelah lima belas minit menunggu.
Dari jauh, saya lihat Bahtiar dan Nasrul juga sedang sibuk menaikkan joran masing-masing. Ini bermakna rezeki kami agak murah pada malam itu.
Setelah memasang umpan anak katak pada mata kail (dengan harapan kali ini haruan pula yang akan menyambarnya) tiba-tiba mata saya melihat dua ekor ikan kecil sebesar ikan puyu berwarna putih bermain-main di gigi air dengan jinak sekali.
Seperti dua orang budak kecil yang bermain kejar-kejar sambil mengacah sesama sendiri. Saya jadi terpesona dan khayal melihat gelagat dua ekor ikan kecil berwarna putih itu. Di dada langit, bulan semakin mengambang penuh. Cahayanya jatuh berkilauan di atas permukaan lombong yang luas.
Kalau tadi, terdengar suara cengkerik bersahutan dari hutan kecil di sebelah kini suasana sudah bertukar menjadi senyap sepi. Hanya deru angin yang semakin sejuk terasa. Saya pula seolah-olah ditarik perasaan untuk cuba menangkap dua ekor ikan kecil berwarna putih itu.
Gelagat Bahtiar Dan Nasrul tidak saya pedulikan lagi. Begitu juga dengan dua joran yang saya letakkan tadi (sebenarnya umpan saya sedang dimakan ikan). Apa yang bermain di dalam fikiran saya hanyalah untuk menangkap dua ekor ikan kecil berwarna putih yang saya rasa sungguh aneh dan istimewa sekali.
Ketika itulah, tanpa saya sedar, kaki saya sudah mula melangkah ke gigi air lombong tempat dua ekor ikan putih bermain-main tadi. Semakin saya dekat, semakin ikan itu bermain dengan riang seolah-olah mencabar saya untuk menangkap mereka.
Perasaan saya menjadi semakin geram dan tidak sabar. Dalam otak hanya satu yang saya fikirkan, saya mesti berjaya menangkap kedua-dua ikan putih ini untuk ditunjukkan pada kawan-kawan dan sanak saudara.
Setiap kali saya cuba menangguk dua ekor ikan putih itu (dengan tangguk yang saya bawa) pasti terlepas. Ikan-ikan itu pula tidaklah berenang terlalu jauh daripada saya tetapi entah mengapa saya masih gagal untuk menangkapnya.
Pada masa yang sama, saya tidak sedar bahawa saya bukan lagi berada di gigi air, tetapi saya sudah berjalan jauh ke depan dengan air kini separas dada saya!
“Iqbal…Iqbal….” Sayup-sayup saya terdengar suara memanggil tetapi keasyikan saya pada kedua-dua ekor ikan putih itu menyebabkan saya sudah tidak peduli dengan apa yang berlaku di sekeliling saya.
Tiba-tiba saya terdengar laungan azan. Agak sayup dan sayu pada pendengaran saya. Bukan sekali malah tujuh kali. Ketika itulah ikan putih tadi ghaib dan saya seolah-olah baru tersedar akan kedudukan saya yang berdiri di tengah lombong terbiar itu!
Nasrul datang berenang mendapatkan saya dengan mulutnya terkumat-kamit membaca ayat Qursi. Saya seperti dipukau hanya membiarkan tangan saya ditarik ke tepi tebing. Dengan dibantu oleh Bahtiar, saya didudukkan dan diberi minum air kosong. Selepas itu barulah fikiran saya menjadi waras dan boleh berfikir.
Kejadian ini berlaku beberapa tahun lepas. Walaupun diuji begitu, saya tidak serik untuk ke lombong itu lagi. Setiap kali turun ke Teluk Intan, saya pasti akan memancing di situ. Cuma kali ini saya memancing pada sebelah siang sahaja. Sebelum waktu Maghrib tiba, saya pasti akan angkat kaki dari situ.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...