Perkara ini sebenarnya bukanlah satu perkara yang pelik dan kemungkinan anda sendiri pernah hadapi. Begitu juga kejadian ikan rabut ketika sedang bertarung. Semuanya berlaku disebabkan mata kail tidak solid hook up. Di sini kami sediakan beberapa faktor yang menjadi punca.
Saiz mata kail yang kurang sesuai. Kes di sini mata kail adalah kecil berbanding mulut ikan. Untuk spesies bermulut besar, saiz dicadangkan adalah 3/0 atau 4/0.
Ads
Mata kail kurang tajam. Mata kail tidak akan kekal tajam buat selama-lamanya. Kesan cucukan kepada umpan dan sebagainya boleh menyebabkan mata kail tumpul. Pastikan mata kail tajam setiap kali memancing.
Ads
Terlalu cepat merembat umpan kerana ikan mungkin hanya menggonggong ketika melarikan umpan. Bagi masa lama sedikit supaya umpan betul-betul berada sepenuhnya dalam mulut ikan. Kecuali anda memancing dengan teknik casting menggunakan umpan tiruan maka tidak perlulah menunggu untuk strike.
Ads
Teknik pasang umpan juga menjadi punca mata kail tidak tercangkup kemas. Jika cangkuk pada bahagian ekor kurang menjadi, cuba pula pasang mata dekat bahagian kepala udang. Dan pastikan juga mata kail tidak tenggelam di dalam badan umpan.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Sebagaimana manusia, ikan turut memiliki deria rasa tersendiri. Tanpa deria rasa, pastinya ikan akan makan semua benda termasuklah pokok kayu yang ada di dalam air.
Justeru itu untuk memancing sesuatu spesies ikan, kita haruslah tahu apa yang disukai oleh ikan tersebut.
Bahan-bahan keperluan:
Sos Pandan A1
Sos Sawit A1
Sos Raya A1
Roti Sandwic
Cara penyediaan Umpan:
1. Potong dadu sebungkus roti sandwic dan simpan ia di dalam bekas bancuhan bertutup.
2. Tuang kira-kira 9 penutup botol sos pandan A1 ke atas roti dadu dan goncang bekas bancuhan. Kemudian masukkan pula 5 penutup botol sos sawit A1, goncang lagi.
Dan akhir sekali masukkan kira-kira 5 penutup sos raya A1 (kuning). Goncang bekas bancuhan agar kesemua roti dadu mengenai sos yang telah dimasukkan.
Cara menggunakan umpan:
1. Gunakan perambut Y dua mata kail tali sulam atau tangsi sepanjang 30 cm.
2. Cucuk kedua-dua mata kail dengan beberapa roti dadu yang bersalut sos campuran seperti sate.
Gabungkan kedua-dua mata kail tersebut (atau salah satu daripadanya) dan kepal dengan roti dadu (kepal) sehingga menjadi seperti bebola.
Sebaiknya biarlah kepalan itu tidak terlalu longgar atau terlalu padat.
Sebesar manakah hasil tangkapan yang pernah korang daratkan? Cuba tengok hasil tangkapan dan lokasi ia didaratkan di bawah ini… setandang tak dengan hasil korang?
Lautan Pasifik – Ketam (King Crab)
Ketam juga merupakan salah satu hidupan akuatik yang mempunyai ciri-ciri yang unik serta mempunyai rasa yang lazat sebagai hidangan. Namun begitu, tahukah anda ketam terbesar yang pernah dinaikkan mempunyai berat sehingga 15kg? Itulah seekor ketam Varanger (Varanger king crab) dengan jarak hujung ke hujung hampir 2 meter yang pernah dinaikkan di Lautan Pasifik. Ketam Varanger ini juga sering digelar sebagai “red king crab”.
Amazonia, Brazil – Pirarucu (Arapaima gigas)
Arapaima gigas boleh dikatakan spesies legenda yang masyhur di kalangan pemancing. Jadi tidak hairanlah Lembah Amazon di Brazil ini mampu berbangga dengan spesies ikan naga sebagai rekod terberat pernah dinaikkan menggunakan rod dan kekili. Spesies yang dijinakkan oleh pemancing profesional tersohor, Jakub Vagner pada 2010 ini telah merekodkan angka 339 paun (154 kg) dan ianya juga diperakui oleh IGFA sebagai rekod rasmi.
Rio Negro, Brazil – Peacock Bass (spesies Cichla temensis)
Berhampiran dengan Lembah Amazon, Rio Negro memang terkenal sebagai lokasi pancingan peacock bass ditambah dengan sokongan daripada pihak negeri untuk menjadikan lokasi tangkap dan lepas. Pada tahun 2010, seorang pemancing warga Brazil iaitu Andrea Zaccherini, telah berjaya menaikkan seekor spesimen spesies C. temensis seberat 29.1 paun ketika trip memancing yang disertainya. Ini seterusnya memadam rekod lama seberat 28 paun yang direkodkan hanya kira-kira 10 bulan sebelum itu.
Texas, Amerika Syarikat – Alligator Gar
Spesies yang menyerupai haiwan pra-sejarah ini berjaya dijinakkan oleh seorang pemancing dari Texas iaitu Brent Crawford. Beratnya melebihi 300 paun dengan panjang berukuran 8 kaki 2 inci. Tangkapan Crawford dikatakan menjadi rekod terbesar alligator gar yang didaratkan dengan teknik pancingan busur (bow-fishing) mengatasi rekod lama iaitu 279 paun. Bagi rekod tangkapan alligator gar menggunakan rod dan kekili, rekod terberat ialah 365 paun.
Kona, Hawaii – Marlin
Marlin ini digelar marlin biru legenda Pasifik setelah ia berjaya didaratkan pada tahun 1984 di perairan Kona, Hawaii. Panjang marlin ini mencecah sehingga 17 kaki dan beratnya pula direkodkan seberat 1656 paun. Ia mengambil masa lebih daripada 2 jam bagi pemancing menaikkan gergasi ini. Begitu pun, ia dikatakan marlin kedua terberat yang pernah dinaikkan menggunakan rod pancing.
California, Amerika Syarikat – Salmon
Seorang pegawai hidupan liar telah menangkap seekor salmon yang dikatakan terberat di selatan California. Spesies salmon Chinook ini direkodkan seberat 85 paun dengan panjang mencecah 4 kaki. Ikan ini dikatakan berenang sejauh hampir 100 batu menuju ke hulu sungai untuk menghempaskan telur sebelum mati kemudiannya.
Lautan Artik – Sotong Gergasi
Sotong gergasi ini telah ditangkap di Lautan Artik dan direkodkan seberat 1089 paun. Ia telah mengatasi rekod berat sotong sebelum itu yang direkodkan di New Zealand iaitu 992 paun. Panjang sotong gergasi dari Lautan Artik ini mencecah sehingga 6 meter panjang. Bayangkan betapa besarnya gergasi ini!
Thailand – Pari Air Tawar
Pari air tawar yang terbesar pernah ditangkap telah direkodkan di Thailand. Dengan berat mencecah 770 paun ianya ditangkap oleh seorang warga British yang memancing di Thailand ketika membantu program tagging spesies berkenaan. Ukuran spesimen sekitar 7 kaki panjang dan 7 kaki lebar ini mengambil masa hampir 2 jam sebelum berjaya didaratkan.
Thailand – Patin Mekong
Pada Mei 2005, seekor patin Mekong (Pangasionodon gigas) telah berjaya didaratkan yang mana saintis percaya ia merupakan yang terbesar pernah dinaikkan. Saiznya sepanjang 9 kaki dan beratnya mencecah 646 paun hampir sebesar seekor beruang. Oleh kerana ia dikategorikan sebagai spesies terancam, nelayan di sana cuba untuk melepaskan kembali, namun sayangnya Mekong tersebut mati.
Maine, Amerika Syarikat – Lobster
Lobster yang terbesar pernah ditangkap direkodkan di perairan Maine, New England di Amerika Syarikat. Lobster ini seberat 27 paun dan besarnya kira-kira saiz kanak-kanak berusia 3 tahun. Ianya diberi nama ‘Rocky’ dan sepitnya sahaja mampu mencederakan lengan seorang lelaki dewasa. Beratnya tertumpu pada sepitnya dan ia dikatakan mampu mematahkan lengan jika disepit. Rocky telah dilepaskan kembali ke lautan beberapa hari selepas itu.
Batang bertam adalah kelengkapan memancing bagi pemancing di desa sejak sekian lama. Joran bertam memberikan penjimatan kepada pemancing desa kerana tidak perlu mengeluarkan wang untuk membeli pelampung.
Daya lenturan joran bertam akan bertambah seiring pengeringan teras lembut dan kulitnya. Teras lembutnya boleh dijadikan sebagai pelampung.
Bertam yang ingin dijadikan pelampung pula perlulah dibuang selaput luarnya. Apa yang perlu bagi pelampung hanyalah teras lembutnya. Teras bertam sangat sesuai dijadikan pelampung kerana memiliki warna putih ke perang-perangan yang sangat cerah. Daya apungannya juga sangat tinggi.
Sesuatu yang istimewa seandainya anda menggunakan terasnya sebagai pelampung, ia tidak perlu diikat sebaliknya anda hanya perlu menebuknya hingga ke tengah pelampung. Rekahan teras akan memegang tali pancing anda.
Uniknya pelampung tersebut boleh dilaras kepanjangan jarak apungan umpan, mengikut kesesuaian padang pancing anda.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...