IKLAN

 

Di Malaysia, singkatan GT lebih menjurus kepada singkatan giant trevally atau gerepoh. Tetapi ada lagi satu spesies GT yang tak kurang hebatnya iaitu golden trevally. Golden trevally lebih dikenali dengan nama ikan gerong atau gerong belang. Dengan nama binomial Gnathanodon speciosus, spesies ini memang merupakan antara spesies yang menjadi target utama kaki pancing.

 

Secara relatifnya, GT merupakan ikan yang agak besar dan secara tipikalnya seperti kebanyakan ikan jenis jack dan trevally. Walaupun kebiasaan saiz spesimen sekitar 5-8 kg, namun terdapat juga spesimen yang mampu membesar sehingga saiz 15 kg.

 

 

Bagi spesies G. speciosus, bentuk badannya juga seperti kebiasaan ikan trevally, iaitu bentuk rata namun solid dengan isi padat yang pejal. Bahagian bibirnya pula jelas lebih tebal namun tidak mempunyai gigi menggigit.

 

Profil warna spesies ini agak unik dan boleh dibuat identifikasi spesies ini kerana berbeza dengan spesies trevally yang lain. Juvenil gerong mempunyai warna kuning keemasan (golden) pada sisi badannya. Warna badan ikan ini disulam dengan garisan atau bar melintang berwarna hitam yang jelas kelihatan seolah-olah belang tarung.

 

Garisan atau bar melintang hitam ini cenderung untuk beransur pudar ketika ikan ini membesar selari dengan usianya dan selalunya akan menjadi tompok atau blotches kehitaman pada badannya.

 

 

IKLAN

Selalunya kecenderungan perubahan belang tarung ini berlaku pada spesimen dewasa yang mencapai saiz kematangan, selalunya sekitar 20 inci panjang badan, dari mulut hingga ke hujung sirip kaudal.

 

Selain itu, sirip ikan ini juga mempunyai warna yang agak kekuningan dan jika dilihat pada hujung cuping sirip kaudal gerong pula jelas kehadiran warna hitam.

 

Gerong belang mempunyai taburan spesies yang meluas merangkumi perairan tropika dan subtropika dari Lautan Hindi dan Pasifik. Spesies marin ini boleh ditemui bertebaran merata di sepanjang perairan termasuk Laut Merah dan Teluk Parsi di Lautan Hindi.

 

Spesies ini turut direkodkan gemar berenang di kawasan berkepulauan. Paten ini jelas ditunjukkan di Lautan Pasifik di mana spesies ini banyak direkodkan di kawasan Asia Tenggara dari Indonesia, Malaysia dan Borneo sehingga ke timur New Zealand dan Australia.

 

IKLAN

 

Spesies gerong belang gemar habitat yang agak cetek berpasir dan mempunyai terumbu karang tetapi masih mempunyai akses untuk ke kawasan yang lebih dalam. Habitat sebegini digemari oleh spesies gerong kerana kawasan ini kaya dengan organisma lain yang menjadi sumber makanannya.

 

Begitu pun, spesies ini juga boleh ditemui di kawasan air yang lebih dalam sekitar 30 meter dan biasanya untuk tujuan persenyawaan. Gerong belang merupakan spesies yang gemar air yang lebih jernih. Oleh sebab itu, agak sukar untuk melihat spesies ini jika persekitaran badan air mempunyai kadar turbiditi yang tinggi.

 

Jika tiada kehadiran gerong belang di sesuatu kawasan kebiasaannya, maka kemungkinan lokasi tersebut mempunyai kadar turbiditi yang tinggi.

 

 

Taksonomi

Kingdom: Animalia

Phylum: Chordata

Class: Actinopterygii

Order: Perciformes

Suborder: Percoidei

Superfamily: Percoidea

Family: Carangidae

Genus: Gnathanodon

Species: Gnathanodon speciosus (Forsskal, 1775)

Nama lain: Gerong, Gerong belang, Golden trevally, Goldie, Yellow ulua, Goldens, Banded trevally