Tiada syarikat produk memancing atau badan-badan tertentu menganugerahkan titel SIFU atau MASTA kepada mana-mana pemancing. Titel yang ada cuma gelaran atau tanda hormat semata-mata. Namun, korang boleh diangkat sebagai sifu atau masta sekiranya mengamalkan sikap berikut:
Kita tidak lagi atau berhenti terus dari menilai dan menghukum pemancing lain. Sebaliknya mengambil sikap untuk fokus bagi merubah diri sendiri.
Kita boleh menerima minat pemancing lain seadanya. Kita faham makna perbezaan pendapat. Tidak perlu taksub kepada sesuatu teknik atau segmen memancing yang sealiran dengan minat sendiri.
Ads
Kita berani melepaskan kenangan lama yang pahit (kena kencing atau sebagainya). Tidak berdendam dan simpan dalam hati buat selama-lamanya.
Kita berhenti mengharap dan meminta dari pemancing lain, tetapi mula memberi. Biar sedikit kita memberi, tetapi jangan pernah meminta.
Ads
Kita melakukan sesuatu, hanya untuk mendapat ikhlas. Melakukan sesuatu bukan untuk mendapat pujian dan pengiktirafan netizen. Tidak tersinggung bila dikeji, dikutuk dan dihina netizen.
Kita berhenti menunjuk kepandaian, kehebatan dan mula mengakui kepandaian, kebaikan dan kehebatan pemancing.
Ads
Kita berhenti membandingkan hasil kita dengan hasil orang lain. Kita berdamai dengan diri sendiri. Tidak iri, dengki dan sakit hati melihat hasil pemancing lain.
Kita boleh bezakan antara dan keperluan memancing, lalu mengutamakan keperluan dari kehendak .
Kita berhenti meletakkan nilai kebahagian pada kebendaan. Kita lebih menikmati “strike” dari menikmati “mahalnya set pancing”.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Setiap kali melalui tol Kota Kemuning di lebuh raya Kesas, saya pasti akan menghentikan motosikal di bahagian belakang pejabat pentadbiran tol itu. Ada sesuatu yang amat menarik perhatian saya iaitu dua tiga buah motosikal yang diletakkan di bawah sepohon pokok yang teduh. Bukannya motosikal itu yang menjadi tarikan tetapi aktiviti yang dilakukan di situ.
Satu hari, saya menghentikan motosikal. Tujuan saya adalah untuk melihat aktiviti yang berlaku di situ. Tepat tekaan saya, di tengah-tengah semak setinggi pinggang itu, terdapat sebatang anak sungai yang agak dalam tetapi jernih airnya. Terdapat empat orang lelaki berusia pertengahan 30-an sedang asyik memancing tanpa mempedulikan kehadiran saya.
“Banyak dapat ikan bang?” tegur saya ramah. Pemuda yang berbaju merah belang-belang putih itu mengangguk sambil tersenyum. Di hadapannya terpacak dua batang joran yang talinya terlunjur masuk ke dalam air sungai yang mengalir dengan tenang itu.
“Ikan apa bang?” sekali lagi mulut gatal saya bertanya.
‘’Kat sini banyak ikan haruan, puyu dan keli,” jawab pemuda itu sambil mengambil satu bekas putih yang berisi ikan yang ditangkapnya. Saya menjenguk. Terlihat dua ekor haruan sebesar tangan budak dan tiga ekor puyu yang memang enak dimasak lemak!
Malam itu juga saya menelefon Haziq dan Syed untuk keluar minum di kedai Warung Rindu. Selepas pekena dua bungkus nasi lemak panas dan segelas teh tarik, saya mula menceritakan pengalaman saya tadi. Apa lagi, mereka berdua sungguh teruja mendengarnya dan kami bertiga mula merancang untuk pergi menjaring di kawasan itu pada malam Sabtu, yakni pada hari Jumaat pada sebelah siangnya.
Saya, Haziq dan Syed sebenarnya agak malas memancing ikan. Kami lebih suka memasang jaring terutama pada masa hujan lebat dan air sungai menjadi keruh. Pada waktu yang telah dijanjikan, kami bertiga pergi ke kawasan tersebut dengan menunggang motosikal. Tiba di kawasan belakang pejabat tol, kami meletakkan motosikal di bawah sebatang pokok yang agak rendang.
Malam itu cuaca agak baik cuma berangin. Kawasan itu lengang dan permukaan air sungai berkilau kerana dipanah cahaya bulan penuh. Setelah menghabiskan sebatang rokok, saya dan Syed mula mengambil jaring manakala Haziq pula sedang bersedia untuk turun ke dalam sungai bagi membantu memasang jaring.
Kami melakukan pekerjaan itu dengan senyap. Mood untuk berborak seakan-akan hilang. Sesekali saya memandang ke dada langit. Awan hitam yang pekat dan tebal ditambah dengan keadaan angin yang semakin kuat bertiup menyebabkan saya boleh membuat satu anggapan yang mudah iaitu hujan lebat akan turun pada bila-bila masa sahaja.
Sebaik sahaja jaring siap dipasang, rintik-rintik hujan mulai turun. Haziq mengajak kami berdua berteduh di bawah pondok sesikat yang ada di situ. Timbul pertanyaan di hati saya, bila pula pondok sesikat ini ada di kawasan ini tetapi soalan itu hanya bermain di fikiran sahaja.
Hujan makin kasar berserta guruh yang berdentum. Tiba-tiba saya dapat melihat sesusuk tubuh berlari anak menuju ke pondok tempat kami menumpang berteduh itu.
“Lebat hujan malam ni” katanya sambil tersenyum. Saya mengangguk kepala. Lelaki tadi bertopi keledar dan memakai baju hujan berwarna hitam. Mukanya tidak kelihatan sangat kerana dilindungi oleh cermin penutup pada topi keledar yang dipakai.
“Pakcik dari mana?” Tanya Syed.
“Saya dari Jalan Kebun. Ingat nak ke rumah anak di Seksyen 24 Shah Alam. Sampai sini tiba-tiba hujan lebat” jawabnya sambil kepala ditundukkan seolah-olah orang sedang bertakafur.
Entah kenapa mulut saya hanya membisu. Tidak ada niat langsung untuk menyampuk perbualan antara kawan saya dan pakcik itu. Pada masa yang sama hidung saya bagaikan terhidu bau darah yang amat meloyakan tekak. Semakin lama bau hamis itu semakin kuat menusuk ke hidung hingga menjadikan saya agak gelisah.
Tiba-tiba petir memancar. Cahayanya yang terang itu tepat menyuluh ke kawasan pondok kami sedang berteduh. Hampir menjerit saya kerana terkejut dan pada masa yang sama takut apabila melihat pakcik yang berdiri di hadapan saya itu ‘berubah’ menjadi manusia yang berlumuran darah.
Darah yang mengalir dari atas kepalanya terlalu banyak hinggakan membentuk satu aliran yang bercampur dengan air hujan yang mula berlopak di hadapan pondok kami. Pakcik itu hanya memandang kami dengan sayu dan bertukar bentuk menjadi seolah-olah kabus putih yang kemudiannya hilang begitu saja.
Saya lihat muka Haziq dan Syed pucat. Sempat juga saya melihat jam tangan. Tepat jam 1 pagi. Kami bertiga kemudiannya berlari anak menuju ke surau kecil yang ada di dalam kawasan tol itu untuk berteduh dan berbaring. Keesokan harinya barulah kami berani untuk melihat jaring yang dipasang.
Saya sempat berbual dengan seorang pekerja yang sedang bertugas menyapu di situ. Saya menceritakan pengalaman seram yang dialami. Kata pekerja itu, sudah ramai pemancing yang terkena. Kononnya pakcik itu merupakan seorang mangsa kemalangan ngeri yang pernah berlaku di situ. Dia menunggang motosikal tanpa mengikut di jalan motor yang dikhaskan. Akibatnya, motosikalnya bergesel dengan sebuah treler 16 tayar. Dia meninggal dunia di situ juga.
Walaupun seram kerana diusik, saya dan kawan-kawan berasa gembira kerana habuan yang kami dapat pada malam itu agak berbaloi juga. Lepaslah juga hajat saya untuk menyuruh orang rumah memasak gulai lemak puyu kesukaan saya!
Kegilaan atau gila yang dimaksudkan di sini lebih kurang macam keadaan `tamak’. Bila dah terlalu tamak akhirnya akan jadi `gila’. Dalam memancing pun macam-macam jenis gila yang ada.
Gila Jig
Gila jenis ini hanya dialami oleh jigger pada dua situasi. Situasi pertama ialah ketika memilih jig untuk dibawa ke trip jigging. Terlalu banyak sangat jig nak dipilih sampai tak tau nak bawa yang mana. Situasi kedua adalah ketika untuk menggunakannya. Jadi `mabuk’ secara tiba-tiba yang menyebabkan seperti hilang kewarasan untuk memilih dan menggunakannya.
Gila Trip
Gila jenis pulak bukannya berlaku ketika dalam trip memancing. Sebaliknya berlaku dalam minda yang mengakibatkan kepala seperti nak kebabom. Ia berlaku apabila banyak tawaran untuk join trip muncul secara serentak. Semua trip best belaka sama ada pada tarikh serentak atau terlalu rapat satu trip dengan trip yang lain.
Gila Hasil
Gila jenis hanya dapat dikesan setelah berakhirnya sesuatu trip memancing terutamanya trip memancing laut dalam. Pemancing yang diserang gila ini dapat dikesan ketika proses pembahagian hasil pancingan. Para pegila ini tanpa segan silu berusaha untuk mendapatkan hasil pancingan yang berkualiti walaupun hasil pancingan tersebut bukannya beliau yang perolehi.
Gila Spot
Gila jenis ini biasanya dialami oleh tekong atau juru pandu pancing ketika membawa pemancing menguji lubuk-lubuk berpotensi. Berpotensi menurut fahaman tekong dan juru pandu pancing itulah. Oleh kerana terlalu banyak lubuk atau spot yang hendak diuji, ia berkesudahan dengan satu spot pun tidak memberikan sebarang hasil kepada pemancing.
Gila Kerusi
Kerusi yang dimaksudkan dalam gila jenis ini ialah seat atau posisi kedudukan tempat memancing. Lazimnya ia berlaku dalam trip memancing memancing di laut dalam sama ada trip jigging ataupun trip bottom. Kerusi yang sering direbutkan tentulah spot di bahagian belakang bot. Pemancing yang terkena gila jenis ini tidak akan mengalah kepada pemancing untuk terus memiliki kerusi tersebut setiap kali trip.
Gila Kuasa
Gila jenis ini biasanya dialami oleh pemancing yang bersifat ketua dalam sesuatu trip berkumpulan. Atau seseorang yang paling banyak mengeluarkan belanja untuk sesuatu trip. Gila kuasa yang dimaksudkan ialah bersikap bossy yang gemar memerintah itu ini kepada ahli trip yang lain, seolah-olah pemancing lain itu seperti budak suruhannya.
Gila Gewang
Gila gila jenis hampir sama dengan gila jig juga. Bezanya, ia bukan berlaku di laut atau sungai sebaliknya di atas darat. Pegila gewang ini sebenarnya adalah pengumpul gewang. Apa saja gewang yang viral atau berstatus gewang keramat akan dimilikinya dengan apa cara sekali pun. Namun gewang tersebut langsung tidak digunakan ketika memancing. Malah, ada juga yang memancing atau casting pun tersangat jarang.
Pernah memancing di Putrajaya, kat sungai tu… saje jer nak try kat situ. Baru dapat sekor, terus kena kacau. Ingat pukul 12.30 tengah hari nak packing dan balik, tapi belum sempat. Tetiba suami cakap, kemas la, jom balik. Dan jangan pandang arah palong air.
Tak tunggu lagi, kukemas barang dan cabuuuuttt…! Nasib baik kereta tak meragam dan senang idup. Kalau x, huishhh… Otw balik tu, kete berat semacam je. Lepas pasang MP3 surah AlQuran, baru ringan.
Ini sungai yang dekat dengan kolam pancing di Presint 20. Sampai umah, baru suami bgtau, dia nampak ada budak kat bawah palong tu.
AlDee Garcia:
Pernah, pancing di Kuala Binsulok, Kuala Penyu, Sabah. Kira-kira jam 9.00 malam. Tempat tu memang keras, tapi time tu ikan dia ganas gila, sekali pancing jatuh jak terus kena sambar.
Tiba-tiba di tengah-tengah muara ada timbul pasir… macam pulau la cuma tak ada pokok kelapa. Lepas tu macam ada bom atom jatuh kat tengah-tengah air bising sangat! Masa tu juak pulau tu hilang, tapi masih buat tak tau, (tapi dalam hati rasa nak cabut jak).
Tetiba kat tengah air ada mccam kepala orang… cuma ada 2 tanduk. Macam devil la… terus packing barang sambil mulut baca ayat-ayat yang masih ingat belajar dulu. Sekarang tak berani dah pancing malam kat tempat tu.
Bulan & Teleskop:
Aku pernah memancing haruan kat ladang sawit dengan 2 member lain dan kami sumer berpecah. Baru 10 minit mancing, tiba-tiba ada 1 keluarga… ayah, anak, ibu berjalan dekat dengan saya dengan berpakaian cantik tanpa menoleh sedikit pun kat saya.
Terus cabut lari, sebabnya lepas toleh semula diorang dah hilang. Pelik bila fikirkan saper diorang dan pakai cantik-cantik kat tengah ladang.
Zulk Yusof:
Sebelum mancing, bacalah Bismillah & ucapkan salam. Selalu la baca ayat Kursi. Elak dari memancing sorang lebih-lebih lagi bila hari hampir senja dan juga sewaktu hujan panas turun.
Ameng Syh:
Mancing kat Empangan Sembrong hanya berdua saja. Jam waktu tu 2.00 pagi dan terbau wangian yang sangat wangi berhampiran pokok buluh. Selang 2 minit kemudian terdengar suara mengilai dengan diikuti hujan renyai-renyai secara tiba-tiba.
Pakat dengan member apa lagi… angkat kaki la. Esoknya demam 2 hari. Kejadian ini berlaku tahun 1997. Lepas tu serik tak nak mancing malam lagi.
Tilan Hunter:
Ambik gambar, tapi tak nampak pun. Kes berlaku kat Johor, mancing waktu Maghrib. Member nampak ada perempuan rambut panjang kat belakang teman, tapi teman sendiri tak nampak… hihihihi.
Pisau Parang:
Mancing tak dapat ikan… tapi mata kail sangkut pada mayat! Sampai pancing pun saya buang. Sampai sekarang saya tak pernah mancing dah… trauma!
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...