Kenali Kerapu Sunuh – Spesies Gred A Keluarga Kerapu!!

Share

 

Ikan kerapu merupakan satu nama yang cukup sinonim di kalangan pemancing air masin. Bila sebut sahaja ikan kerapu terbayang kita seekor ikan laut yang badannya bersisik halus memiliki corak variasi, mulut luas dan warna agak kelam atau berkerapu.

 

Lumrahnya ikan ini amat mudah dikenali biarpun bukan di kalangan kaki pancing. Jadi tidak perlu dihurai lebih lanjut mengenai ciri-ciri fizikal ikan kerapu. Ikan ini salah satu ikan laut yang paling bernilai, diminati serta mendapat permintaan tinggi di kalangan penggemar makanan laut.

 

Ikan unik ini mampu bertahan lama tanpa air, mendiami ekologi laut berstruktur sama ada karang, reba atau tunggul kayu, tukun, bangkai kapal karam, tiang rumah api atau dermaga, jeti, gua batu karang dan lubang-lubang di dasar laut.

 

 

Berlindung di hutan batu karang sebagai habitat utama dan adalah pemangsa dasar yang agak pemalas. Pemalas sekalipun ia biasa sebat gewang dan jig yang melintas berhampirannya.

 

Kerapu sunuh ini adalah salah satu dari 7 subspesies kerapu iaitu Plectropomus, kerapu paling bernilai di pasaran. Keluarga kerapu Plectropomus biasanya dipanggil kerapu conor, pisang, bara.

 

Manakala satu lagi subspesies hampir sama nilai dengan Plectropomus iaitu Variola dikenali dengan panggil kerapu ekor bulan, bara, merah, ekor sabit dan macam-macam nama lagi.

 

 

Menurut laporan saintis sesetengah ikan ini mempunyai kandungan racun ciguatera (sumber dari fishbase – P.Mazellier, J.Bennett,and E. Christian), tetapi ia jarang dipedulikan oleh penggemar makanan laut kerana kelazatan isinya!

 

Kerapu sunuh memiliki bentuk badan memanjang, badan membulat dan tidak gempal badannya seperti kebanyakan kerapu biasa yang kita temui.

 

Bezanya kerapu ini dengan subspesies Variola ialah bentuk ekor. Rata-rata kerapu sunuh mempunyai lebar separa bulat manakala kerapu ekor bulan ekornya berbentuk seperti bulan sabit.

 

 

Sesuai dengan nama Inggeris blue-spotted sea bass / blue spotted coral trout / highfin coral grouper, badannya dipenuhi bintik-bintik biru di serata badannya. Warna asasnya ialah perang atau merah jambu cerah. Hujung sirip pelvik, anal dan ekor lebih gelap sedikit warnanya.

 

Tapi jangan keliru kerana warna ini berubah ketika berada di dalam air mengikut kedalaman dan warna persekitaran. Jenis kerapu ini memiliki sisik halus dan amat lembut badannya. Cuba cucuk jari ke atas badannya seolah-olah tiada sisik keras melindungi kulit.

 

Isinya halus dan amat putih sekali. Bebola mata hitam dikelilingi warna merah luaran. Rekod pembesaran boleh mencapai usia 26 tahun dengan panjang maksimum 120 cm dengan berat dilaporkan 23.6kg!

 

 

Kerapu cukup sinonim dengan karang atau dasar berstruktur. Ia seumpama tinggal di hutan tebal daratan. Semakin banyak hutan diterokai semakin jauh haiwan masuk kedalam. Seperti kerapu sunuh juga.

 

Jenis ini amat sukar dipancing di lubuk yang lumrah dikunjungi nelayan dan pemancing. Peluang lebih besar jika pemancing dapat terokai lubuk ‘dara’ untuk menjerat pemangsa mahal amat digemari oleh golongan yang mampu.

 

Kerapu sunuh merupakan hidupan marin yang unik, mendiami lautan tropika di kedalaman lazim 3 hingga 100 meter. Kerapu sering diistilahkan ikan pemalas suka mendiamkan diri dan berselindung di celahan batu karang.

 

IKLAN