Kita sudah menghurai watak dan karakter pemancing dari jenis darah O, sekarang kita tengok pula pewatakan dan karakter pemancing berdarah A. Korang darah jenis apa?
Tegas
Pemancing dari jenis darah A adalah seorang pemancing yang tegas pada pendirian dan tindakan. Dalam erti kata lain, kalau dia dah minat jigging, takde gunanya korang racun atau bakar untuk main bottom.
Konservatif
Pemancing dari jenis darah A adalah seorang konservatif. Iaitu seseorang yang berpegang pada ideologi lama.
Senang cakap, kalau dah dia percaya ikan tenggiri hanya boleh dipancing dengan teknik menggunakan umpan ikan hidup, dia takkan memancing tenggiri dengan kaedah lain seperti casting atau jigging menggunakan umpan tiruan.
Ads
Tanggungjawab
Pemancing dari jenis darah A juga adalah seorang yang bertanggungjawab. Satu sifat yang baik bagi seorang pemancing. Senang cakap, pemancing dari jenis darah ini memang sesuai untuk dilantik sebagai ketua atau organizer.
Tepati masa
Pemancing dari jenis darah A adalah seorang yang menepati masa. Satu lagi sifat yang wajib ada sebenarnya pada seorang pemancing.
Tapi perlu diingat juga bahawa mereka ini seorang yang tegas. Jadi, kalau korang dah berjanji nak sampai ke lubuk jam 7.00 pagi, maka korang kenalah tepati masa.
Ads
Idola
Pemancing dari jenis darah A adalah seorang yang memiliki karakter idola. Senang cakap, mereka ini mudah menonjol di kalangan komuniti pemancing.
Walaupun seorang idola, tak bermakna mereka ini takkan kumpau kerana kumpau tetap tidak memilih jenis darah korang.
Siap pada waktu
Ads
Sebagaimana seorang yang menepati masa, pemancing dari jenis darah A juga adalah seorang yang siap pada waktu.
Kalau mereka ini menyediakan apa-apa servis, jarang sangat mereka melanggar deadline yang ditetapkan. Senang cakap, mereka kuat berpegang pada janji.
Suka bergaul dengan darah AB dan O
Salah satu sifat aneh pemancing dari jenis darah A ini mereka lebih senang bergaul dengan pemancing jenis darah AB dan O.
Jadi, korang jangan ingat mereka kalau tak berkawan dengan pemancing lain bukanlah sebab berlainan konsep memancing, tetapi pengaruh dari jenis darah.
Hargai kepimpinan
Pemancing dari jenis darah A juga adalah seorang yang sangat menghargai kepimpinan. Kalau korang seorang ketua kelab pemancing atau sebagainya, mereka ini tidak akan cuba menjatuhkan korang.
Malah mereka tetap menghormati korang walaupun sudah tidak lagi bergelar seorang ketua.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Kamera amat sensitif dengan air terutamanya air laut mahupun air tawar. Jika terkena, segera lap dengan kain bersih dan kering. Kamera yang terdedah dengan kelembapan tinggi akan menyebabkan fungus dan kulat membiak terutamanya lens yang boleh menjejaskan kualiti gambar.
Gel silika digunakan untuk menyerap kelembapan kamera. Gel silika ni mudah didapati di pasaran. Harganya pun bukan mahal.
Lilitkan strap kamera anda di tangan berbanding gantung di leher. Ini kerana jika anda gantung di leher, ia akan menarik perhatian ramai untuk meragut. Jangan sesekali abaikan keselamatan kamera ini kerana sekali jatuh, memang menangis jawabnya.
Filter digunakan untuk melindungi lens anda dari sebarang calar. Sekiranya anda mempunyai 5 lens, seeloknya beli UV filter untuk melindungi lens tersebut.
Kalau turun ke laut, sila pastikan anda membawa beg plastik atau kain batik atau tuala khas untuk kamera sahaja. Bukan tuala tersebut bercampur dengan peluh-peluh anda. Ini adalah kerana tuala atau kain tadi dapat mengelakkan pasir masuk ke celah-celah lens. Balut kamera tersebut bila naik bot.
Cuci tangan bersih-bersih selepas anda memakai losyen, sunblock, minyak rambut atau sebarang produk penjagaan diri. Ini adalah kerana kamera amat sensitif dengan bahan-bahan ini.
Ketika hujan renyai turun, enam buah bot berpecah mencari spot masing-masing. Penulis bersama Fitri menaiki bot yang dikemudikan oleh Yares. Bermula di kawasan tidak jauh dari ladang anggur, kami kemudiannya meneroka kawasan tuas (ceracak pokok buluh mati yang tenggelam).
Di spot ini, hanya seekor sebarau bersaiz juvenil berjaya diperolehi. Pencarian di kawasan ini sedikit terbatas kerana kawasan permukaan tasik hampir dipenuhi samai dan amat sukar untuk kami menggayakan gewang lain selain gewang jenis permukaan.
Menurut Yares, inilah cabarannya jika casting di Tasik Beris, sebaraunya sukar dijejaki terutama bersaiz besar kerana ia berselindung di bawah samai. Jadi dek kerana kesukaran inilah, amat bertuah buat mereka yang berjaya menaikkan sebarau bersaiz 1 kg ke atas. Atas sebab ini juga, kata Yares mengapa trip ini dinamakan ‘Cabaran Sebarau dan Toman Tasik Beris’.
Tambahnya lagi, dek kerana samai-samai inilah, punca mengapa enjin ekor biawak menjadi pilihan kebanyakan pemilik bot di sini. Walaupun ia bukan enjin yang praktikal untuk tujuan casting (kerana bunyi bising), tetapi ia menjalankan tugas yang baik kerana mampu melalui permukaan tasik yang dipenuhi dengan rumput tebal dan samai.
Menginjak tengah hari, kami mencuba di kawasan yang lebih terbuka untuk menjejaki sang toman. Namun disebabkan rintik hujan dan mendung yang berterusan membantutkan usaha mencari sang toman sebelum kami berangkat pulang semula ke jeti Pak Su Razak untuk berehat dan makan tengahhari.
Semasa berehat, masing-masing menceritakan kesukaran mendaratkan spesies sasaran. Faktor air yang dalam, samai memang menyukarkan. Tetapi ia sedikit pun tidak mematahkan semangat geng NKA yang rata-ratanya baru berjinak dengan teknik casting.
Beberapa orang berjaya memperoleh sebarau dan toman bujang. Tiada lagi kelibat badong mahupun mama toman pada sebelah pagi.
Sesi petang diteruskan kembali dengan masing-masing mencuba spot yang berlainan. Sebelah petang, cabaran untuk mencari spesies sasaran lebih mencabar, kerana faktor angin yang mulai bertiup kuat.
Di satu hujung tanjung, ketika baru sahaja Yares memberhentikan bot, terlihat kelibat toman timbul mengambil udara tidak jauh di belakang bot. Terus sahaja kami melontarkan gewang yang ada dan berapa kali karauan, sang toman terus menyambar rakus gewang permukaan milik Yares.
“Yes! Fish On,” katanya.
Lewat petang, hari kelihatan semakin mendung. Angin juga mulai semakin kuat bertiup. Nun di puncak bukit bukau yang melatari pemandangan indah Tasik Beris, kelihatan awan hitam sedang berarah menuju ke arah kami.
Harapan untuk menduga spot ‘Raja Sakti’ akhirnya tidak kesampaian apabila rintik hujan mulai semakin kasar dan seterusnya hujan beserta angin ribut diiringi kilat dan petir menimpa kami. Mujur bot yang dinaiki saya sempat berlindung di wakaf tidak jauh dari hentian R&R Tasik Beris.
Sambil bertanyakan kepada rakan bot lain, akhirnya kami diberitahu sebuah bot mengalami kerosakan enjin dan berlindung agak jauh daripada bot kami. Selesai hujan reda, kami menjejaki mereka. Mujur juga di Tasik Beris ini, liputan talian telefon amat baik.
Kalau kejadian ini berlaku di Tasik Kenyir atau di Royal Belum, macam mana agaknya untuk mendapatkan bantuan. Sekitar jam 9 malam, bot yang dinaiki saya selamat sampai ke jeti Pak Su Razak Beris bersama bot yang ditunda.
Sesi sebelah malamnya, kami berkumpul sambil mendengar cerita bot yang lain. Masing-masing menunjukkan hasil yang tidak seberapa.
Melihat kepada beberapa faktor seperti cuaca yang tidak menentu, samai yang tebal, ramainya penduduk kampung memasang jaring dan rawai serta air tasik yang tinggi, memang harapan untuk menduga dua spesies ini sememangnya sukar ketika ini.
Ramai bersetuju bahawa aktiviti memancing merupakan aktiviti membuang masa, tenaga dan wang ringgit.
Mana tidaknya, kebanyakan pemancing akan pergi memancing dari awal pagi hingga lewat petang.
Ada pula yang pergi memancing beberapa hari, dari awal minggu hingga hujung minggu. Mereka juga terpaksa meninggalkan anak dan isteri di rumah.
Semasa keluar mereka bertenaga, apabila pulang badan dah penat. Habis tenaga berjemur di tengah panas dan kadang-kadang dilanda hujan, ribut dan petir.
Bukan itu sahaja, duit juga banyak dilabur untuk membeli barang-barang dan alatan memancing.
Beli umpan, duit minyak, tambang bot, chalet, makan, minum, rokok, dan bermacam lagi barangan yang difikirkan perlu oleh pemancing.
Ada juga yang habis ribuan ringgit semata-mata hanya untuk keluar memancing!
Jadi, memang benarlah aktiviti memancing ini membuang masa, tenaga, dan wang ringgit, terutama pada mereka yang tidak melakukannya.
Tetapi, apa kesan aktiviti memancing ini kepada pemancing itu sendiri? Apa kesannya kepada pembangunan ekonomi dan negara?
Apa akan terjadi sekiranya pemancing ini dihalang dari keluar memancing?
Kajian mendapati bahawa pemancing keluar memancing atas sebab tertentu. Menurut bapa ‘motivasi pemancing’ Dr. Fedler dan Dr. Ditton (1994), tujuan pemancing keluar
memancing bukanlah semata-mata untuk mendapatkan ikan, tetapi untuk mendapatkan ‘rekreasi’.
Betul ikan adalah benda yang mereka buru, tetapi tujuan utama mereka adalah untuk mendapatkan rekreasi. Kebanyakan pemancing sendiri tidak sedar tentang hal ini!
Rekreasi yang dimaksudkan termasuklah ‘ketenangan’, ‘menikmati alam sekitar’, ‘untuk bersama rakan’ selain ‘keseronokan mendaratkan ikan’.
Oleh itu ‘ikan’ hanyalah tarikan untuk pemancing mendapatkan ‘rekreasi’.
Kesan aktiviti memancing kepada masyarakat telah banyak dibincangkan di negara maju.
Pemancing akan cuba mendapatkan ‘ketenangan’ semasa memancing dengan merehatkan badan dan minda, iaitu fizikal dan mental.
Mereka juga dapat lari dari rutin kehidupan harian. Di negara maju seperti di Amerika Syarikat dan Australia, telah menjadi kebiasaan bagi rakyatnya untuk keluar memancing pada hujung minggu bersama rakan atau ahli keluarga.
Cari sahaja di capaian internet, anda akan dapati setiap lapisan masyarakat, pelbagai peringkat umur dan jantina, keluar memancing bersama rakan atau keluarga.
Bagaimana pula kesan dari sudut ekonomi? Sudah tentu ianya berkaitan dengan wang yang dibelanjakan oleh pemancing.
Secara tidak sedar, kawasan yang dikunjungi oleh pemancing akan pesat membangun.
Di situ ada orang membuka kedai alatan memancing, kedai umpan, kedai runcit, menjual makanan, kuih-muih, ada juga yang mengusahakan chalet atau homestay untuk pemancing, dan bermacam-macam lagi aktiviti ekonomi terjana.
Bayangkan seperti di Tasik Kenyir, pemancing sanggup berbelanja ribuan ringgit hanya untuk menginap di ‘houseboat’.
Malah, sejak keluar dari rumah untuk sampai ke Tasik Kenyir, mereka telah pun berbelanja ratusan ringgit untuk minyak kereta, makan dan minum.
Keadaan ini menggalakkan perkembangan ekonomi setempat dan negara.
Ada juga pendapat menyatakan bahawa aktiviti memancing dapat mengurangkan kos perbelanjaan negara, iaitu kos rawatan pesakit di klinik dan hospital awam.
Mana tidaknya, mereka yang terlibat dengan aktiviti memancing adalah orang yang sihat dari segi mental dan fizikal.
Mereka kebiasaannya adalah orang yang lasak dan tinggi daya tahan penyakit. Sekaligus mereka kurang ke klinik dan hospital awam untuk mendapatkan rawatan.
Perkara ini ada dinyatakan dalam kajian rekreasi oleh California State Park pada tahun 2005, semasa pelakon Hollywood Arnold Schwarzenegger menjadi gabenor di negeri tersebut.
Kajian mendapati aktiviti rekreasi dapat mengurangkan stres atau depresi, mengurangkan obesiti dan penyakit kritikal lain seperti; serangan jantung, tekanan darah tinggi, diabetis, dan osteoporosis.
Negara juga akan mengalami pertambahan ‘keluaran dalam negara kasar’ secara tidak langsung, apabila negara mempunyai masyarakat yang sihat dari segi mental dan fizikal.
Selepas keluar memancing, pada keesokannya, produktiviti kerja pemancing di pejabat akan meningkat.
Mereka dapat melakukan kerja dengan lebih produktif dan efektif dari sebelumnya.
Oleh itu, apa yang boleh dilakukan dalam menjawab soalan ‘kenapa membuang masa, tenaga dan wang ringgit untuk memancing?’
Di sini ada dua idea, untuk pemancing dan masyarakat umum.
Bagi pemancing, mereka seharusnya bijak dalam menentukan keutamaan aktiviti harian.
Boleh pergi memancing, tetapi pastikan kebajikan dan kepentingan ahli keluarga diutamakan terlebih dahulu.
Pemancing harus meletakkan tanggungjawab yang tinggi pada keperluan anak dan isteri, serta ahli keluarga yang lain.
Jika semuanya telah selesai, maka bolehlah pergi memancing – selama mana tempoh yang dirasakan berpatutan, tidak terlalu singkat dan tidak terlalu lama.
Pemancing juga harus bijak dalam membelanjakan wang. Bahagikan wang untuk keluarga dan keperluan utama terlebih dahulu.
Selebihnya berbelanjalah untuk aktiviti memancing anda, dengan berhemah. Dari segi produktiviti kerja pula, buktikan pada majikan dan masyarakat sekeliling bahawa
pemancing adalah seorang yang produktif dan efektif dalam melakukan tugasan, terutamanya selepas keluar memancing.
Manakala bagi masyarakat umum, termasuklah ahli keluarga, rakan dan masyarakat di luar sana, ‘menghormati’ dan ‘memahami’ adalah dua perkara yang perlu dititik-beratkan.
Menghormati hak pemancing adalah sangat penting. Kita tahu, masa, tenaga dan wang yang dibelanjakan oleh pemancing adalah untuk mendapatkan ‘rekreasi’, bagi kelangsungan hidup pemancing sebagai warganegara yang bertanggungjawab.
Fahamilah pemancing, kerana mereka memang terlalu cintakan aktiviti ini. Berilah galakan dan sokongan kepada mereka untuk memancing secara positif.
Ingatlah bahawa aktiviti memancing adalah jauh lebih baik dari aktiviti lain yang tidak bermoral di luar sana.
Dengan harapan, selepas ini, aktiviti memancing tidak lagi dianggap sebagai membuang masa, tenaga dan wang ringgit, malah dianggap sebagai penyumbang kepada kesan positif bagi individu pemancing, pembangunan ekonomi dan negara.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...