Selain ikan kayu (aya kurik / tongkol putih), aya hitam, aya selasih, aya mata besar, aya sirip kuning, aya sirip biru dan aya tenggiri adalah rangkaian ikan yang lebih dikenali panggilan tuna di kalangan masyarakat luar.
Badan aya kurik berbentuk peluru ‘turpedo’ yang padu dan mantap. Mulutnya mampu membuka luas mudah menelan seekor kembong, dan dibarisi gigi-gigi tajam berlapis atas dan bawah.
Ia mempunyai jalur hitam putih yang tidak sekata di atas badan selepas garis lintang dan bermula dari hujung sirip pektoral.
Bentuk dan corak jalur hitam putih inilah yang membezakan aya kurik, aya selasih dan aya hitam. Warna putih mendominasi bahagian bawah badan aya kurik ini dan berbadan gempal dan sedikit gemuk berbanding aya selasih.
Sirip dorsal pertama dan kedua terpisah antara satu sama lain. Sirip-sirip kecil (finlets) hadir selepas sirip dolsal kedua membawa ke pangkal ekor (atas dan bawah).
Pangkal ekor pula terdapat sisik yang keras di tengah pangkal ekor (median keel) yang mampu melukakan tangan jika dikendalikan secara tidak betul.
Ikan aya adalah jenis spesies yang mempunyai darah yang banyak, hanyir sedikit kesan dari bau darah yang berlebihan, cepat mati apabila berada di luar air dan kurang menggelepar seperti mana ikan karang.
Biasanya tongkol ini meronda di lautan yang mempunyai suhu air di antara 18 °C hingga 29°C. Gemar meronda dalam kumpulan yang besar dengan saiz purata 2 hingga 4 kilogram setiap ekor. Rekod terbesar untuk aya kurik ialah 6kg atau 68cm panjang.
Biasanya mengekori kumpulan ikan bilis yang menjadi sumber diet utama. Membiak dari bulan Ogos hingga Oktober di sebelah pantai Timur membawa ke arah perairan Sabah.
Profil Ringkas
Nama Lain: Tongkol, Kayu, Bakulan
Ciri Fizikal: Bentuk badan seperti selinder (peluru), mulut besar dilengkapi gigi-gigi halus. Ekor tirus bercabang dan spesies ini mempunyai lima sirip dorsal dan anal kecil dekat bahagian ekor.
Diet: Gemar makan ikan bilis dan anak-anak ikan pelagik lain.
Habitat: Permukaan air dan persisiran pantai melebihi 20km.
Taburan: Bergerak dari Laut Jepun Ke Australia, Terusan Suez dan seluruh Asia Tenggara.
Tempatan: Pantai Timur, Sabah dan Sarawak, Pantai Barat taburannya lebih ketara dari Pulau Jarak ke arah Tukun Perak.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Dahulunya ikan ini tiada harga sama sekali, kini semua sudah berubah. debam tidak lagi segan untuk berada di atas lantai simen pasar ikan. Ada peminat yang gemarkan ikan debam dan tahu cara terbaik menikmatinya.
Pemancing pula perlu tahu cara terbaik menjinakkannya. Ikan ini juga dibela oleh segelintir penternak ikan sangkar sebagai `pencuci jaring sangkar’ manakala ikan jurvenil pula dijadikan ikan hiasan akuarium.
Badan leper melebar berwarna hijau kekuningan yang lazimnya lebih terserlah ketika kecil. Badan bertompok-tompok hitam bulat hampir serata badan. Juvernil berwarna hijau kekuningan dan berubah kepada hijau gelap apabila meningkat pembesaran.
Bahagian kepala membongkok sedikit. Bermulut kecil dan bergigi halus. Ekornya melebar tegap. Boleh membesar sehingga 38cm. Saiz ini melebihi berat sekilo dan selebar dulang!
Saiz purata yang dijumpai di kawasan perairan negara ialah 15 hingga 20 cm atau lebih mudah selebar tapak tangan dewasa.
Ikan ini tidak bersisik tetapi memiliki kulit yang kesat serta keras. Sirip dorsal dan sirip pelvik adalah keras dan tajam.
Duri-duri yang terdapat di atas dan bawah badan mempunyai bisa seperti ikan duri. Mangsa akan merasa panas apabila tercucuk duri atau sengat ikan ini.
Ramai pemancing yang tidak tahu dimana sengat debam dan sering terkena ketika cuba memegang seperti mana ikan-ikan lain yang tidak berbisa. Kesannya mungkin akan berpanjangan lebih dari 20 minit atau lebih mengikut daya tahan seseorang itu.
Gemar bermain di kawasan permukaan air. Mudah dijumpai di kawasan muara dan sungai terutama di tepian sangkar ikan, kelong, tiang jambatan dan objek-objek terapung lama termasuklah bot atau tongkang yang berlumut di bawahnya di mana kawasan ini semuanya menyediakan sumber makanan iaitu algae, lumut, rumpai serta krutesia kecil.
Selain itu debam yang hidup di sepanjang sungai adalah penunggu tidak setia tandas awam. Najis manusia juga adalah sebahagian dari diet ikan debam ini.
Walaupun ia dikatakan ikan muara debam juga dijumpai di Samoa, Tonga, Fiji, Selatan Jepun, India dan Bangladesh tentu sekali banyak sesuai dengan kawasan tumpuan utama ikan muara kulit liat ini. Di negara kita debam boleh ditemui dihampir serata sungai dan muara.
Sebut saja pasal alu-alu ramai pemancing terbayangkan barisan gigi yang kerap memotong perambut pancing.
Kebiasaannya ia mempunyai dua taring yang lebih panjang di hadapan dan diikuti lapisan gigi condong di antara satu sama lain hingga ke hujung bahagian mulutnya.
Setengahnya mempunyai belang yang pudar di badan dan hampir tidak kelihatan apabila ia mati.
Kebanyakannya memiliki warna badan keperakan dan tirus dibahagian hadapan, membulat di tengah dan leper hingga ke belakang.
Ekor lebar bercabang menilai kelajuan ikan ini berenang. Sirip dorsal pertama dan sirip dorsal kedua kecil dan tidak bersambung dan berjauhan. Sama seperti sirip anal dan pelvik.
Habitat Dan Sifat
Sebagai predator, ia biasanya bergerak secara berkumpulan. Satu kumpulan spesies bergigi tajam ini berjumlah sehingga beribu ekor.
Ikan yang bersaiz besar dalam kumpulan yang banyak tidak gentar kepada mangsa yang lebih besar darinya.
Ia mampu menyerang ikan mersuji atau jerung dalam satu serangan berkumpulan. Tenuk umpamanya menyerang manusia dan kebanyakan serangan ke atas manusia yang terjadi biasanya jerung dipersalahkan.
Sesetengah alu-alu bergerak dalam kumpulan yang kecil dan pernah didapati merayau sehinga berbatu dari kuala sungai air masin.
Alu-Alu amat aktif pada waktu lewat petang membawa kepada dinihari dan paling aktif di waktu malam memburu mangsa yang lebih terdiri dari anak-anak ikan.
Pada siang hari ia gemar mendiami satu-satu kawasan setempat dan berdekatan. Ia akan menyerang mangsa yang lalu di kawasannya sahaja.
Seperti contoh ia menyambar gewang di permukaan air siang hari. Sebab itu jika nampak ia satu kawasan di siang hari, malam ia pasti lesap keluar mencari makanan.
Sesetengah kajian juga menyebut ikan bergigi yang tak perlu diasah ini menyerang mangsa tidak kira besar atau tidak hanya untuk keseronokan dan hiburan sesama mereka.
Ini juga sebagai latihan untuk menguji kecekapan dan kepantasan memburu mangsa di waktu lapar serta untuk mengesahkan gigi yang dah tajam agar senang memotong mangsa termasuklah perambut tangsi pemancing.
Di pantai timur hampir kebanyakan tekong atau nelayan dan pemancing tradisional mengelaskan spesies ini mengikut saiz yang di dapati.
Terdapat 5 jenis spesimen jenis Sphyraena yang mendominasi keluarga ikan Sphyraedinae iaitu Barracuda, Forsteri, Obtusata, Putnamiae dan Jello.
Perbezaan ketara di antara jenis alu-alu di atas ialah rupa bentuk muncung di mulut serta sisik. Jenis yang besar mempunyai mulut lurus ke bawah manakala yang kecil kelihatan mendongak ke atas.
Tenuk dan alu-alu ekor hitam dan kuning mempunyai sisik kasar dan sebaliknya untuk dua jenis kacang dan anak seer yang bersisik halus dan lembut.
Tenuk juga dilaporkan membesar hingga menjangkau 4meter dan saiz sebegini jarang terdapat di perairan negara kita.
Keluarga: Sphyraedinae
Nama Lain: Kekacang, Kacang-Kacang, titil, pengaluan, Tenuk
Ciri Fizikal: Badan berbentuk selinder bulat memanjang dan leper di bahagian ekor. Mulut tirus dan di barisi gigi tajam yang kuat.
Diet: Ikan, sotong, udang.
Habitat: Kawasan persisiran pantai dan luar pantai berkarang, kuala sungai dan pulau.
Taburan: Semenanjung, Sabah dan Serawak. Laut China Selatan hingga selatan laut Pasifik.
Gerepoh atau atau nama saintifiknya Caranx ignobilis merupakan salah satu spesies ikan marin yang besar dan tergolong dalam famili ikan jack, Carangidae.
Lebih popular dengan nama GT, iaitu singkatan bagi giant trevally, ikan yang mempunyai bentuk kepala curam yang kelihatan gagah dan sirip kaudal yang kuat sering menjadi obsesi kegilaan kaki pancing.
GT merupakan spesies terbesar di kalangan ikan jack dan sering kali spesies ini menjadi raja di singgahsana sesebuah habitat atau kawasan terumbu karang.
Dengan bentuk fizikal badan yang solid serta kekuatan ototnya, GT menjadi musuh yang sukar, malah sangat sukar ditangani oleh pemancing walau dengan set ‘heavy’ sekalipun.
Sesetengahnya pula cukup licik, apa lagi jika di kawasan karang. Ibarat serangan gerila, GT akan bersembunyi di kawasan karang dan secara tiba-tiba akan melakukan serangan
hendap terhadap gewang anda terutama popper dengan kuasa pecutannya ekornya dan kembali memecut ke karang sebelum memutuskan tali utama pada batu atau karang.
Kuat dan licik, tidak hairan raja terumbu karang ini menjadi musuh yang didambakan kaki pancing.
MORFOLOGI
Secara morfologi luaran ikan GT, penampilan utama spesies ini dapat dikenal pasti melalui profil bentuk kepalanya yang besar dan curam selain fizikal badannya yang kelihatan solid dan tegap.
Ikan ini juga mempunyai kuasa pecutan dan larian yang luar biasa kerana sirip pektoral yang besar di bahagian pertengahan serta sirip kaudal besar dan solid ibarat pendayung.
Warna badannya pula secara umumnya boleh dikelaskan dalam pola warna putih-perak hingga ke hitam.
Sesetengah GT juga mampu mempamerkan rona keemasan gelap pada badannya terutama pada bahagian sirip.
Selain warna umum pada badannya, tanda berpaten atau bercorak yang jelas boleh hadir terutama pada bahagian belakang badan GT.
Ini sering terjadi jika ikan ini mempunyai warna belakang badan yang lebih gelap berbanding bahagian lain, kontra warna akan mewujudkan garisan perak cerah dan akan kelihatan corak bintik kehitaman pada badannya.
Selain itu, pada bahagian kaudal pedunkel, kehadiran scutes (plat kecil yang tajam) jelas kelihatan pada kedudukan selari dengan garisan lateral.
Scutes ini mampu mengakibatkan kecederaan jika ikan GT tidak ditangani dengan baik sewaktu pendaratan.
TABURAN DAN HABITAT
Taburan bagi spesies Caranx ignobilis ini meluas, hadir dalam kebanyakan perairan iklim tropika panas Lautan Pasifik dan Lautan Hindi.
Kehadiran ikan ini dikenal pasti hingga ke selatan Australia, timur Kepulauan Hawaii,barat di pulaupulau timur Afrika dan di utara Jepun.
GT juga mempunyai toleransi saliniti yang tinggi lantas membolehkannya memilih habitat antara kawasan muara sehingga ke jauh ke lautan di kawasan sistem berterumbu karang.
Juvenil GT pula lebih cenderung untuk berada di kawasan muara, pulau berbatu atau sistem sungai.
Spesimen yang dewasa akan berpindah ke kawasan lebih dalam di lautan di mana terdapatnya struktur seperti terumbu karang atau tukun.
Selalunya habitat berstruktur pilihannya ialah kawasan yang mempunyai arus.
GT dewasa juga sering berlegar di kawasan tanjung atau pesisir berair cetek ketika memburu makanannya.
Kawasan berair cetek namun berarus di mana terdapat struktur karang atau batuan mewujudkan persekitaran makanan yang ideal bagi spesies ini.
Di Malaysia, GT bersaiz besar boleh diperolehi di kawasan persekitaran pelantar minyak.
Bagi kaki popping, waktu senja menjelang malam tatkala lampu pelantar minyak menyala, ia masa yang cukup mendebarkan melontarkan popper sehampir mungkin tiang pelantar dan bawah nyalaan lampu.
SAIZ DAN KITARAN HIDUP
GT merupakan spesies yang mempunyai kadar pembesaran yang cepat. Pada ukuran kepanjangan badannya 60cm, GT umumnya sudah mencapai peringkat matang dan tempoh masa yang diambil untuk mencapai peringkat ini adalah sekitar 3-4 tahun.
Apabila dewasa atau matang, GT mampu mencapai berat 200lb dengan panjang 1.7 meter dan pada peringkat ini selalunya spesimen akan bersendirian.
Apabila dewasa, biasanya GT akan mencari kawasan terumbu karang sebagai habitat dan menjadikan kawasan tersebut sebagai wilayah jajahannya.
DIET PEMAKANAN
Ketika memburu, GT menggunakan abiliti renangan yang unggul dan kuasa hentamannya terhadap ikan buruannya.
Selalunya mangsanya akan ditelan terus pada serangan pertamanya, jika terlepas sekalipun biasanya mangsa cedera atau mati akibat kuasa serangannya.
Jika memburu berkumpulan, mangsa akan ditelan dengan cepat bagi mengelakkan persaingan yang lebih ganas.
Diet utama GT ialah ikan kecil di sekitarnya. Namun jika terdesak, GT mampu bertukar lebih bengis dan licik.
Tuna, penyu dan ikan lumba-lumba antara mangsa yang pernah dilaporkan ada ditemui di dalam perut GT.
Selain itu, kelicikan GT juga terserlah apabila hadir di sebalik jerung karang yang besar dan menjadikan ikan jerung ini sebagai alat untuk serangan hendap mangsanya. GT bersaiz besar juga ada kalanya menjadikan juvenil sebagai makanannya.
Taksonomi
Kingdom: Animal
Phylum: Chordata
Class: Actinopterygii
Order: Perciformes
Suborder: Percoidei
Superfamily : Percoidea
Family: Carangidae
Genus: Caranx
Species: Caranx ignobilis (Forsskål, 1775)
Nama lain: Gerepoh, Giant Trevally, GT, Ulua, Mamulan, Ronin-aji
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...