Ikan haruan palas mendiami kawasan-kawasan berpaya dan kawasan-kawasan yang kandungan pH airnya rendah atau senang dikatakan agak berasid. Diet utamanya adalah anak-anak ikan dan juga udang, katak, cengkerik dan cacing.
Ads
Haruan palas atau nama globalnya black snakehead adalah spesies snakehead yang berasal dari Thailand, Indonesia, Malaysia, Filipina, dan Singapura. Spesies yang penting secara komersial ini mencapai panjang 30 cm (12 in). Nama globalnya ini dipercayai merujuk kepada warna pada pola warnanya yang hitam.
Ads
Black Snakehead mendiami sungai-sungai besar hingga sedang yang terdiri dari air paya gambut berasid dan akar yang terendam. Black Snakehead memakan haiwan kecil dan tidak berbahaya bagi manusia.
Ads
Ikan snakehead ini memiliki tubuh yang panjang dan ramping dengan keseimbangan badan yang panjang. Mereka memiliki mulut yang luas dan rahang yang kuat dengan gigi tajam umpama taring.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Species : W. attu, W. hexanema, W. leerii, W. maculatus, W. micropogon
Ikan tapah merupakan spesies ikan bermisai (catfish) air tawar dalam famili besar Siluridae yang terdapat di bahagian selatan Asia dari Pakistan ke Vietnam, Malaysia, dan Indonesia. Ikan ini juga dilaporkan terdapat di Afghanistan. Ikan tapah hidup di sungai yang airnya mengalir perlahan dan bagian bawah sungai berlumpur.
Sehingga kini terdapat 5 spesies tapah di dalam genus Wallago iaitu W. Attu, W. Hexanema, W. Leeri, W. Maculatus dan W. Micropogon. Ikan tapah yang ditemukan di negara kita dipercayai dari spesies W. Leeri dan W. Attu.
Wallago attu (Bloch & Schneider, 1801)
Dengan nama umumnya helicopter catfish, taburan spesies ini tertumpu di Asia, dari Pakistan ke Vietnam, Thailand, Malaysia dan Indonesia. Ia dilaporkan tersenarai dalam spesies yang diancam kepupusan. Spesies yang dikelasifikasi oleh Bloch & Schneider, 1801 ini dikatakan mampu membesar sehingga 240 cm namun spesimen sepanjang 75 cm lebih mudah ditemui.
Sebagaimana tapah lainnya, pergerakan yang agak perlahan atau gemar mendiami tasik dan sungai yang besar. Ia cenderung untuk bersembunyi di kawasan berlumpur dan sering bersembunyi di sekitar tebing sungai. Ia berkembang biak dalam air cetek sebelum musim hujan, sebelum berhijrah ke kawasan yang dibanjiri untuk mencari makanan.
Wallago leerii (Beeker, 1851)
Spesies yang dikenali dengan nama umum striped wallago catfish, helicopter catfish atau tapah catfish ini ikan natif Asia Tenggara. Taburannya meluas dari sistem sungai Thailand, Semenanjung Malaysia, kepulauan Borneo dan Sumatera, Indonesia.
Spesies yang berpopulasi dengan baik ini mampu membesar sehingga melebihi 2 meter dan berat sehingga 95 kg. Berbeza dengan spesies lain dalam genus yang sama, ikan ini memiliki membran berduri hitam.
Wallago maculatus (Inger & Chin, 1959)
Tidak banyak kajian saintifik ke atas spesies yang hanya boleh ditemui di Sabah dan utara Borneo ini. Spesies ini dikatakan mampu membesar sehingga 100 cm namun tiada catatan tentang berat yang direkodkan. Ia boleh ditemui di sistem sungai yang berhubung dengan hutan-hutan kecil.
Wallago micropogon (Ng,2004)
Spesies ini dikatakan hampir menyamai sehingga hampir diklasifikan sebagai W. Leerii dari lembangan Sungai Mekong. Taburan spesies ini juga hanya di Asia melibatkan lembangan Sungai Mekong, Dau Tieng di selatan Vietnam, selatan Laos dan pertengahan sistem sungai Chao Phraya di Thailand.
Spesies yang lebih kehitaman warnanya ini mampu membesar sehingga 154 cm dan berat maksimum yang pernah direkodkan ialah 96 kg.
Wallago hexanema (Kner, 1866)
Sebagaimana spesies dalam genus Wallago lainnya, spesies ini taburannya juga di Asia. Dalam banyak aspek biologi ia hampir sama sahaja dengan ikan tapah lain namun merupakan spesies yang paling kecil kerana hanya mampu membesar sehingga 16 cm sahaja. Ia umpama ikan selat dalam keluarga belida.
Ia juga merupakan spesies yang paling terpinggir dalam kajian saintifik berikut sukar untuk ditemui. Malah foto spesies ini juga tiada.
Ikan baung merupakan spesies ikan bermisai yang cukup popular di kalangan pemancing tempatan. Keasyikan melayan tarikan demi tarikan spesies ini terutama waktu malam atau selepas hari hujan (air keruh) cukup mengasyikkan hingga tidak sedar masa berlalu dengan pantas.
Biarpun tarikannya tidak seganas pemangsa lain, namun baung tetap mempunyai tarikan tersendiri lebih-lebih lagi kepada penggemar menu masak lemak cili padi.
Spesies Hemibagrus nemurus atau lebih kita kenali sebagai ikan baung kuning merupakan satu spesies ikan air tawar yang datang dalam keluarga ikan bermisai (catfish).
Bagi kebanyakan kaki pancing di Malaysia, spesies baung kuning bukanlah pilihan ikan target utama jika dinilai dari segi kekuatan tentangan di hujung mata pancing, namun jika dijadikan lauk dan dihidangkan di antara ikan air tawar yang lain, pasti ikan baung kuning antara target utama lauk yang mahu dicapai.
Biarpun tentangan spesies baung kuning tidak seganas ikan pemangsa lain, namun memancing ikan baung kuning juga mempunyai daya penariknya tersendiri. Rata-rata pemancing jika menyertai trip trekking ke sungai pegunungan sering kali menyediakan set dan umpan khas untuk melayan baung sepanjang malam.
Jika di tasik besar menaiki boathouse pula seperti Tasik Kenyir atau Tasik Banding, tidak sah jika waktu malam tak dihabiskan dengan melayan si pemakan dasar ini sambil meneguk kopi panas dan bersantai bersama rakan-rakan.
Ternyata, biarpun bukan di kalangan spesies ikan trofi, spesies baung kuning masih tetap merupakan antara spesies ikan kegemaran kaki pancing. Jadi tidak hairanlah jika dikatakan spesies baung ini antara ikan air tawar yang cukup dikenali dalam arena pancing tempatan.
Bagi pola taburan spesies bermisai ini, kebanyakannya boleh ditemui di kebanyakan kawasan sungai. Kebanyakan spesies ini boleh ditemui di kawasan air tawar di Kepulauan Jawa, Semenanjung Malaysia, Sumatera dan juga kepulauan Borneo. Selain itu, spesies ini juga banyak ditemui kebanyakan sungai utama di Asia Tenggara seperti Sungai Mekong dan Sungai Chao Phraya.
Habitat bagi spesies ini pula ialah kawasan sungai atau tasik air tawar. Spesies ini juga mampu hidup dalam keadaan badan air yang kurang berkualiti atau tercemar. Ini menunjukkan spesies baung mempunyai kadar toleran kepada kualiti air yang rendah.
Baung kuning juga mendiami kawasan sungai yang berarus perlahan atau kawasan badan air tetap di mana hampir ketiadaan arus. Ini termasuk kawasan seperti sungai dan tasik yang mengalami perubahan kedalaman air dengan populasi spesies lain yang akan bermigrasi ketika musim banjir sebelum kembali kepada sungai utama sekitar bukan November hingga Disember.
Di Malaysia, spesies baung kuning cukup popular terutama di kebanyakan sungai pegunungan, bahagian pertengahan sistem sungai (kecuali berhampiran muara) dan juga kawasan tasik air tawar utama di Malaysia.
Pemancing tempatan juga tahu bahawa keadaan air yang keruh selepas hujan merupakan waktu sesuai untuk memancing spesies ini. Selain itu, waktu malam juga menjadi waktu yang paling terbaik untuk memancing baung.
Spesies daripada genus Hemibagrus ini merupakan ikan bermisai (barbel) yang mempunyai kepanjangan sekitar 8 cm. Spesimen sering ditemui di sepanjang subcontinent perairan India, Asia Tenggara dan Asia Timur. Spesies ini merupakan ikan yang tidak bersisik dan mempunyai badan yang agak licin.
Bahagian kepalanya agak mendatar ke bawah hingga ke bahagian mulutnya. Bahagian kepalanya juga mempunyai rangka tengkorak yang agak keras untuk melindungi kepalanya. Badannya mempunyai bentuk agak memanjang. Bahagian badannya mempunyai warna yang agak kekuningan bergantung kepada persekitaran kawasan air.
Spesies ini mempunyai barbell atau misai yang digunakan untuk memburu. Mereka mengesan mangsa atau makanan melalui filament barbel ini dan tidak menggunakan mata terutama dalam keadaan air yang keruh.
Spesies ini juga mempunyai kesemua sirip utama pada seekor ikan malah mempunyai sirip adipos iaitu sirip berdaging yang hadir di bahagian atas berhampiran kaudal pedunkel yang agak panjang.
Bagi diet spesies baung, ikan ini menjadikan ikan kecil, serangga air, udang dan cacing sebagai diet utamanya. Baung juga bersifat kewilayahan dan mempunyai naluri untuk menyerang hendap mangsanya.
Terdapat pelbagai nama tempatan bagi spesies ini iaitu selat, belida selat, potok mahupun tongkos. Walau bagaimana pun ia lebih popular sebagai ikan selat dengan nama Inggerisnya Asiatic knifefish atau common knifefish. Namun tidak banyak yang diperkatakan tentang ikan ini dalam media cetak mahupun media elektronik.
Secara fisiologi, ikan selat tidak banyak beza dengan saudara rapatnya dalam keluarga Notopteridae. Kesimpulannya, perbezaan antara ketiga-tiga spesies iaitu belida sungai, belida bintik dan selat hanya boleh dilihat pada corak badan serta saiz maksimum ikan ini.
Ikan selat mempunyai warna badan sekata seperti belida namun ia tidak mampu membesar sehingga besar maksimum ikan belida lainnya. Ada yang mengatakan ikan selat tidak memiliki badan yang bongkok seperti belida.
Namun ia agak sukar untuk dibuat perbandingan ini pada pandangan mata kasar kecuali dapat meletakkan dua spesies yang sama saiz bersebelahan. Ikan selat dengan belida waktu tampak serupa. Nak beza senang saja… tengok pada bahagian bibir mulutnya. Kalau mulut panjang melepasi mata itu belida, bukan selat.
Satu perbezaan seterusnya, kedua-dua selat dan belida ketika juvenil memiliki belang. Beza pada kedudukan mata lain sedikit dan anak selat biasanya berwarna putih kemerahan sedikit.
Spesies belida terkecil dalam famil Notopteridae ini mudah ditemui dalam kepelbagaian habitat dan perairan negara. Ia bukanlah spesies buruan pemancing sukan sebagaimana ikan belida sungai dan belida bintik.
Tentu saja ikan selat tidak menjadi spesies sasaran dalam memancing berikutan saiz yang kecil. Ia biasanya terpancing dengan tidak sengaja, lazimnya ketika memancing ikan-ikan kecil lainnya seperti sepat atau puyu.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...