Ikan belanak merupakan ikan air masin dari laut tropika dan subtropika yang bentuknya hampir menyerupai ikan susu.
Ikan dari suku Mugulidae ini di dunia dikenali sebagai ikan mullets seperti blue-spot mullet atau blue-tail mullet.
Mereka biasanya hidup mulai dari muara sungai, pelabuhan, dermaga dan pantai. Jarang berada terlalu jauh dari pantai.
Belanak termasuk ikan bentopelagik (hidup didasar sampai permukaan air) dan berkumpul dalam jumlah banyak.
Ikan belanak secara umum bentuknya memanjang agak langsing dan pipih. Sirip dorsal terdiri dari filamen berduri keras dan 8 filamen duri lembut.
Ads
Sirip anal berwarna putih kotor. Bibir bahagian atas lebih tebal daripada bahagian bawahnya ini berguna untuk mencari makan di dasar atau organisma yang terbenam dalam lumpur.
Ciri lain dari ikan belanak ialah mempunyai gigi yang amat kecil, tetapi kadang-kadang pada beberapa spesies tidak ditemukan sama sekali.
Bahagian belakang badan belanak berwarna kehijau-hijauan atau kelabu kecoklatan, pada bahagian sisi dan perut berwarna keperakan; penghujung belakang sirip ekor berwarna hitam.
Ikan belanak bersisik cycloid atau ctenoid.Hujung rahang atas melengkung ke bawah dan terlihat pada saat mulutnya tertutup.
Ikan belanak merupakan ikan yang senang hidup berkumpulan dekat pantai dan perairan yang cetek, mempunyai kebiasaan melompat-lompat untuk menghindari predator.
Ads
Ikan ini memiliki berat kurang dari 500gm. Habitat ikan belanak di sekitar pantai yang termasuk air payau, ikan ini juga dapat hidup di air tawar.
Penyebaran ikan belanak sangat luas meliputi; Indo-Pacific, Laut Merah, bahagian Utara Jepun, Afrika Selatan, Thailand, Malaysia dan juga Indonesia.
Ads
Ikan ini dapat digolongkan herbivor iaitu jenis ikan yang memakan bahan tumbuhan yang hidup di air atau di dalam lumpur seperti alga dan organisma reput di dasar muara sungai.
Apa pendapat anda? Teruskan klik & share artikel kami ini. Terima kasih!
Jangan lupa LIKE, FOLLOW & SEE FIRST Facebook Majalah Umpan
Sudah subscribe channel Youtube umpan? Klik sekarang Youtube Umpan
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Ikan kerapu merupakan satu nama yang cukup sinonim di kalangan pemancing air masin. Bila sebut sahaja ikan kerapu terbayang kita seekor ikan laut yang badannya bersisik halus memiliki corak variasi, mulut luas dan warna agak kelam atau berkerapu.
Lumrahnya ikan ini amat mudah dikenali biarpun bukan di kalangan kaki pancing. Jadi tidak perlu dihuraikan lebih lanjut mengenai ciri-ciri fizikal ikan kerapu. Ikan ini salah satu ikan laut yang paling bernilai, diminati serta mendapat permintaan tinggi di kalangan penggemar makanan laut.
Kerapu conor ini adalah salah satu dari 7 subspesies kerapu iaitu Plectropomus, kerapu paling bernilai di pasaran. Keluarga kerapu Plectropomus biasanya dipanggil kerapu conor, pisang, bara. Manakala satu lagi subspesies hampir sama nilai dengan Plectropomus iaitu Variola dikenali dengan panggil kerapu ekor bulan, bara, merah, ekor sabit dan macam-macam nama lagi.
Kerapu conor memiliki bentuk badan memanjang, badan membulat dan tidak gempal badannya seperti kebanyakan kerapu biasa yang kita temui. Bezanya kerapu ini dengan subspesies Variola ialah bentuk ekor. Rata-rata kerapu conor mempunyai lebar separa bulat manakala kerapu ekor bulan ekornya berbentuk seperti bulan sabit.
Sesuai dengan nama Inggerisnya blue-spotted sea bass / blue spotted coral trout / highfin coral grouper, badannya dipenuhi bintik-bintik biru di serata badannya. Warna asasnya ialah perang atau merah jambu cerah. Hujung sirip pelvik, anal dan ekor lebih gelap sedikit warnanya.
Tapi jangan keliru kerana warna ini berubah ketika berada di dalam air mengikut kedalaman dan warna persekitaran. Jenis kerapu ini memiliki sisik halus dan amat lembut badannya. Cuba cucuk jari ke atas badannya seolah-olah tiada sisik keras melindungi kulit.
Isinya halus dan amat putih sekali. Bebola mata hitam di kelilingi warna merah luaran. Rekod pembesaran boleh mencapai usia 26 tahun dengan panjang maksima 120cm dengan berat dilaporkan 23.6kg!
Kerapu conor jenis bintik biru ini adalah paling besar dalam subfamili Plectropomus.
Kerapu cukup sinonim dengan karang atau dasar berstruktur. Ia seumpama tinggal di hutan tebal daratan. Semakin banyak hutan diterokai semakin jauh haiwan masuk kedalam. Seperti kerapu conor juga.
Jenis ini amat sukar dipancing di lubuk yang lumrah dikunjungi nelayan dan pemancing. Peluang lebih besar jika pemancing dapat terokai lubuk ‘dara’ untuk menjerat pemangsa mahal amat digemari oleh golongan yang mampu.
Kerapu conor merupakan hidupan marin yang unik, mendiami lautan tropika di kedalaman lazim 3 hingga 100 meter. Kerapu sering diistilahkan ikan pemalas suka mendiamkan diri dan berselindung di celahan batu karang.
Spesies yang dikenali dengan nama umum longtail tuna dan membawa nama binomial Thunnus tonggol. Ikan aya hitam atau juga dipanggil tongkol hitam, merupakan spesies kedua terkecil di dalam genus Thunnus atau keluarga tuna sebenar (true tuna). Merujuk kepada nama saintifiknya ini secara tidak langsung ia memberi satu pencerahan bagaimana nama tongkol itu berasal.
Ikan aya hitam sememangnya ikan yang unik. Di dalam genus agung tuna itu sendiri, ikan aya hitam dianggap unik di kalangan `tuna sebenar’ kerana ia satu-satunya spesies yang tidak mempunyai pundi renang (swim bladder – organ yang dipenuhi udara yang membantu ikan untuk mengekalkan keapungan).
Sebagai mana keluarga tuna yang lain, ikan aya hitam turut memiliki ekor bercabang, badan langsing umpama torpedo berwarna putih keperakan, dengan bintik-bintik lekuk yang melengkung diatur dalam baris mendatar sepanjang panjangnya.
Kedua-dua sirip dorsal di bahagian belakang berwarna hitam, dan sirip dorsal kedua berwarna kuning. Sirip anal adalah keperakan dengan calit warna kuning. Sirip pektoral dan pelvik berwarna hitam, dan sirip ekor berwarna hitam dengan garis-garis kuning-hijau.
Biologi
Longtail tuna juga merupakan pemangsa yang luar biasa. Ia mampu menghadap makanan setara dengan dua peratus berat badannya setiap hari. Ia menjadikan pelbagai jenis ikan, krustasea dan cephalopod sebagai sumber makanannya.
Aya hitam termasuk dalam spesies tuna (Thunnus spp.) yang boleh dibezakan dari ikan bertulang belakang yang lain dengan kadar metabolik yang tinggi, dan unik di kalangan ikan yang dapat mengekalkan suhu tubuh mereka beberapa darjah lebih tinggi daripada air sekitar. Ia merupakan spesies yang sangat kuat, tangkas dan mampu meletupkan kelajuan yang luar biasa.
Walau bagaimanapun, disebalik keaktifan luar biasa ini ia perlu memastikan dan mendapatkan oksigen yang mencukupi diberikan kepada otot.
Atas sebab itu juga ia perlu berenang dengan mantap untuk jarak yang luar biasa untuk memastikan pertukaran gas yang mencukupi di insang (di mana oksigen dari air disalurkan melalui insang dan diserap ke dalam darah).
Ikan aya hitam membiak pada musim panas, dengan tempoh mengawan yang agak panjang selama lima hingga tujuh bulan. Atau dalam erti kata lain, ia membiak hampir sepanjang tahun.
Tongkol atau aya hitam bertaburan di lautan terutamanya di Lautan Pasifik Indo-Barat, termasuk Laut Merah, di sekitar Semenanjung Arab, di luar pantai Afrika Timur merentasi ke pantai New Guinea, utara ke perairan sekitar Jepun, dan selatan ke pantai Australia dan Asia Tenggara.
Ikan aya hitam adalah spesies pesisir pantai, sering dikaitkan dengan perairan kontinental yang sederhana dan tropika, di mana ia sentiasa berlegar dekat dengan permukaan. Spesies yang turut mendapat nama jolokan Indian long-tailed tuna dan oriental bonito ini mampu membesar panjang sehingga 136 cm dengan berat sehingga 36 kg.
Jenahak merupakan salah satu spesies ikan pancingan yang cukup dikenali di negara kita. Spesies ini merupakan antara spesies ikan yang menjadi idaman kepada mana-mana kaki pancing. Kehebatan tentangan di hujung kail spesies jenahak bukanlah merupakan sebab utama spesies air masin ini menjadi buruan, sebaliknya nilai komersial spesies Lutjanus johnii ini melonjak ialah dek kerana rasa isinya yang sedap.
Bagi pemancing yang mempunyai obsesi yang tinggi terhadap spesies ikan jenis snapper ini pastinya pernah mendengar gelaran seperti jenahak bantal atau bantal emas yang merupakan nama timangan khas ikan bersisik emas ini.
Biarpun tidak memiliki abiliti melawan yang luar biasa seperti spesies ikan sukan yang lain, mana-mana pemancing yang berjaya menaikkan si bantal emas ini pastinya merasakan kepuasan yang tersendiri. Ibarat sudah boleh tidur lena dengan ‘bantal emas’ tersebut.
Secara global, spesies jenahak dikenali dengan nama John’s snapper. Nama Golden snapper juga merujuk kepada spesies jenahak namun beberapa spesies snapper lain juga mendapat gelaran yang sama di sesetengah tempat.
Sesetengah kawasan seperti Australia menggelar spesies ini dengan nama Fingermark bream, merujuk kepada tanda tompokan hitam pada badannya. Selalunya, John’s snapper digunakan untuk merujuk spesies L. johnii yang besar atau dewasa sementara Fingermark bream merujuk kepada juvenil spesies ini.
Keadaan ini serupa dengan lapangan pancing kita dalam soal kekeliruan sama ada ikan jenahak dan ikan tetanda merupakan spesies yang sama atau berlainan. Jadi, dalam kekeliruan ini, dapat disimpulkan jenahak dan tetanda merupakan spesies ikan yang sama.
TABURAN SPESIES
Pola taburan spesies jenahak boleh ditemui di kebanyakan kawasan perairan barat Indo-Pasifik. Golden snapper boleh ditemui bermula dari Afrika Timur hingga ke Fiji serta utara Pulau Ryukyu dan selatan Australia.
Di perairan Malaysia, spesies ini boleh ditemui di kebanyakan perairan dari kawasan muara hingga ke laut lepas. Bagi kaki pancing, spot memburu jenahak lebih tertumpu di kawasan Pantai Barat terutama di sepanjang Selat Melaka.
Spot-spot berstruktur seperti kapal karam, kawah, lopak di laluan kapal Selat Melaka, batu karang antara spot pilihan kaki pancing mencari si bantal emas ini.
MORFOLOGI
Daripada segi morfologi luaran, spesies jenahak mempunyai warna badan yang agak memukau. Sisik ikan jenahak biasanya berwarna kuning perak hingga keemasan bergantung kepada persekitaran. Warna badannya akan bertukar kepada warna putih perak apabila dilihat pada bahagian bawah badan dan kepalanya.
Tompokan berwarna hitam pula dapat dilihat pada bahagian antara garisan lateral dan di anterior sirip dorsal lembutnya. Tompokan hitam ini biasanya bersaiz lebih besar daripada diameter matanya dan beransur pudar apabila dewasa. Bahagian dorsal kepalanya berbentuk sedikit curam hingga ke mulut. Duri pada sirip dorsalnya berjumlah 10 manakala jumlah pada dorsal lembut pula antara 13 hingga 14.
Spesies jenahak biasanya mampu membesar sehingga panjang 1 meter biarpun spesimen yang sering ditemui mempunyai panjang sekitar 50 cm. Beratnya pula mampu mencecah sehingga 10 kg dalam persekitaran yang ideal. Terdapat juga kekeliruan antara spesies L. johnii dan Lutjanus ehrenbergii namun pengelasan saintifik oleh Bock pada 1996 mengatakan keduanya merupakan spesies berbeza. L. ehrenbergii hampir menyerupai L. johnii, seperti ikan tetanda yang kita sering lihat. Namun garisan sisik dan warna spesies ini berbeza.
HABITAT DAN EKOLOGI
Habitat bagi spesies ikan tropika ini lebih tertumpu kepada kawasan berkarang dan juga kawasan perairan yang mempunyai struktur bagi jenahak dewasa. Bagi jenahak juvenil pula, lebih mudah ditemui di kawasan muara, paya bakau dan kadangkala boleh ditemui jauh hingga ke kawasan air tawar yang berarus. Jadi, spesies ini boleh dikategorikan kepada spesies ikan marin dan air payau (brackishwater) bergantung kepada tumbesarannya.
Spesies jenahak merupakan spesies ikan yang bersifat oceanodromous di mana spesies ikan begini merupakan ikan yang bermigrasi bergantung kepada kitaran hidupnya. Selalunya, migrasi jenahak berlaku ketika mengawan serta disebabkan kawasan pemakanannya. Oleh itu, terdapat pola taburan yang merata-rata spesies ini di kebanyakan perairan di seluruh dunia.
Dalam memburu mangsanya, spesies snapper ini akan memilih kawasan trofik berkarang lebih-lebih lagi kawasan perairan yang mempunyai turbiditi atau kekeruhan yang tinggi. Spesies ini juga boleh ditemui dalam kedalaman sehingga 80 meter.
Spesies ini yang menghuni ke dalam lebih 10 meter biasanya terdedah kepada kerosakan fizikal pada tisu badan iaitu Barotrauma yang menyebabkan pelampung (air bladder) dalam badannya terkeluar. Hal ini sering berlaku dan dapat dilihat terutama ketika aktiviti memancing.
DIET
Dalam rantaian makanan dalam persekitaran ideal, si bantal emas ini merupakan tertiary consumer, yang bermaksud pemangsa karnivor unggul yang menghuni carta teratas dalam piramid makanan. Ini bermaksud, jenahak dewasa merupakan ikan karnivor yang menjadikan karnivor lain atau pemangsa kedua sebagai mangsanya.
Diet utama bagi spesies ini tertumpu kepada ikan bertulang, ikan pelagik, udang dan ketam. Selain itu, organisma bentik atau zoobenthos seperti mysids dan cephalopod juga menjadi diet bagi spesies ini bergantung kepada kitaran hidupnya.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...