Buah ara atau nama saintifiknya Ficus auriculata lour diklasifikasikan sebagai buah hutan tempatan yang bertaburan di kebanyakan negara kita. Justeru, jenis pokok yang tumbuh dalam iklim khatulistiwa dan tropika biasanya boleh ditemui berhampiran sungai di pedalaman hutan atau pinggir kampung-kampung.
Ciri buah ara berbentuk bawang dan kedudukan buah ini antara dua hingga sepuluh biji serangkai serta berwarna hijau sebelum masak berwarna merah ketika masak. Bahagian dalam buah ini, berongga dan dilapiskan oleh biji-biji kecil yang berwarna merah. Buah ini mempunyai satu lubang kecil pada hujungnya.
Ads
Buah yang juga dalam famili Moraceae ini turut digemari binatang hutan seperti kelawar buah, tupai, monyet dan spesies ikan seperti kelah yang ratanya bersifat omnivor ini. Terdapat kira-kira 800 spesies buah ini di dunia. Buah ara juga turut digunakan dalam perubatan tradisional kerana mengandungi bahan antioksida.
Ads
Dalam arena memancing, buah ara masak biasanya dipilih pemancing tempatan kerana diakui mampu menjinakkan spesies kelah, tengas, jelawat, patin dan banyak lagi spesies ikan sungai air tawar. Menurut pemancing yang biasa menggunakan buah ini, caranya dengan mencangkuk sebiji buah ini pada mata kail saiz nombor 11 dan disertakan perambut tunggal berkekuatan 30 paun.
Ads
Tambah mereka, balingan juga perlu ditumpukan di bawah pokok ara yang terletak berhampiran dengan sungai yang mengandungi ikan ini. Turut dikatakan buah ini hanya berkesan ketika musimnya masak untuk menjerat ikan ini dan logiknya kerana pada musim ini, ia hanya menjadi kegemaran ikan kelah ini saja dalam menu harian mereka.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Sama ada menebing atau pancingan pantai, pasti ada spesies ikan yang menjadi sasaran utama. Berikut merupakan senarai spesies yang sering menjadi sasaran.
Pari
Tidaklah sama ada pari benting, pari daun atau pari lalat… ia merupakan spesies sasaran utama mana-mana pemancing pantai. Ini adalah kerana daya juangnya yang tidak mengenal erti kalah.
Semakin besar saiz ikan pari yang ditawan, semakin seronoklah cabaran yang diberikan. Selain itu, ikan pari turut menjadi sasaran disebabkan faktor keenakan dagingnya. Umpan yang biasa digunakan untuk memancing pari terdiri daripada udang, ikan dan juga sotong.
Gerong Belang
Gerong belang atau golden trevally lebih mudah dipancing dan menjadi sasaran surfcaster di sebelah Pantai Timur Semenanjung. Di Pantai Barat, spesies ini agak sukar untuk ditemui berikutan faktor geografi dasar pantai.
Gerong belang diminati oleh penggemar surfcasting berikutan pecutan dan tenaganya yang jitu. Sebagaimana ikan pari, ia turut diburu untuk sumber protein dan memiliki daging yang enak. Gerong belang biasanya diburu dengan menggunakan umpan hidup, ikan dan juga sotong.
Ebek
Ebek atau diamond trevally lazimnya akan menghuni kawasan perairan berbatu karang yang mempunyai kedalaman sekitar 20 meter hingga 100 meter sebagai habitatnya. Begitu pun, ebek juvenil lebih bersifat pelagik dan sering berlegar mengikut arus.
Kadangkala ebek juvenil mengikut arus laut sehingga ke kawasan muara atau tepian pantai. Ebek-ebek inilah lazimnya yang diburu oleh para pemancing pantai. Selain ebek juvenil, adakalanya ebek dewasa turut sama berjaya ditawan dan ia dianggap bonus.
Ebek biasanya dipancing dengan menggunakan umpan udang hidup, udang lipan dan turut mengambil umpan hirisan sotong.
Yu kemejan
Spesies campuran yu dari pari ini mampu menghabiskan tali utama sepanjang 200 hingga 400 meter di dalam gelendung kekili milik surfcaster dengan sekelip. Justeru yu kemejan menjadi spesies sasaran utama bagi pemancing pantai yang mendambakan pertarungan yang sengit dan penuh mencabar.
Yu kemejan merupakan spesies yang gemar mendiami kawasan berpasir, berlumpur selut dan kawasan rata yang mendatar. Waktu utama pemburuannya ialah pada waktu malam kerana ia lebih aktif memburu mangsa pada tersebut. Umpan bagi memburu spesies ini lebih kurang sama dengan pari iaitu udang, sotong dan ikan.
Talang
Ikan talang atau queenfish biasanya boleh ditemui di lagun pantai, terumbu dan persekitaran pulau-pulau. Mereka mendiami perairan yang jernih dari permukaan hingga kedalaman 100 meter.
Sementara talang juvenil mendiami kawasan air cetek berhampiran pantai dan boleh memasuki muara termasuk kawasan air payau. Walau bagaimana pun ikan dewasa turut menghampiri pesisir pantai dan sering menjadi sasaran kepada pemancing pantai.
Ikan ini digemari oleh surfcaster kerana aksi akrobatiknya selepas tercangkok mata kail. Ia boleh dipancing dengan menggunakan umpan belanak hidup, udang hidup serta hirisan ikan.
Daun baru
Ikan daun baru atau sicklefish boleh ditemui hampir merata pesisiran pantai semenanjung. Ikan daun baru menjadikan pesisiran pantai berkarang, berpasir dan berlumpur sebagai habitat utamanya.
Walaupun tidak tergolong dalam game fish yang memberikan tantangan hebat kepada pemancing, ia turut tersenarai dalam ikan sasaran penggemar pancingan pantai. Ikan daun baru boleh dipancing dengan menggunakan umpan umpun-umpun, hirisan ikan dan udang.
Sembilang
Sembilang atau gemang merupakan spesies sasaran utama khususnya di bahagian sebelah Pantai Barat Semenanjung yang memiliki pesisir pantai berlumpur. Spesies yang terkenal dengan sirip berduri dan berbisa ini juga mampu melenturkan joran panjang jika bersaiz kasar.
Ia menjadi sasaran utama bukanlah kerana keupayaan pertarungan, sebaliknya lebih kepada hidangan di meja makan kerana keenakan dagingnya. Banyak jenis umpan boleh digunakan untuk memancing sembilang seperti udang, sotong, ikan, umpun-umpun dan kerang-kerangan.
Di sesetengah tempat atau perairan mungkin sotong kurita tidak selaris sotong cumit jika dijadikan umpan jenahak. Namun di sesetengah tempat terutamanya di perairan zee zone Pelabuhan Kelang (laluan kapal), sotong kurita merupakan umpan paling killer dan WAJIB dibawa sekiranya ingin memancing jenahak.
Ekoran daripada itulah harga sotong kurita di sini melambung sehingga RM20 seekor. Sotong kurita sangat berkesan digunakan ketika hidup sama ada menggunakan tentakel (tangan) sahaja atau seekor. Jika menggunakan seekor, mata kail perlu disangkut tidak terlalu dalam pada bahagian kepalanya.
Udang lipan
Udang lipan atau ada sesetengahnya memanggil udang mentadak merupakan umpan alternatif sekiranya tidak berjaya mendapatkan sotong cumit atau sotong kurita. Udang lipan sebenarnya merupakan umpan yang killer jika digunakan ketika ia masih hidup. Namun jika sudah mati, ia sudah hilang keberkesan untuk menggoda jenahak atau spesies lain. Justeru ia haruslah disimpan di dalam bekas yang terdapat air masin (laut) dan udara mengalir masuk ke dalamnya. Manakala bekas simpanan udang lipan pula sebaiknya tertutup atau tidak terdedah secara langsung kepada cahaya matahari.
Sebelum menjadikan udang lipan sebagai umpan, terlebih dahulu perlu diketahui cara-cara pengendalian udang tersebut bagi mengelak sebarang kecederaan berikutan keupayaan kuasa jentikan kaki depannya. Udang lipan perlu dipegang dari arah belakang dengan menekan kepala dan ekornya sehingga berlipat.
Kemudian barulah dua mata kail dicangkukkan pada sisi ekor dan sisi badannya bergantung pada saiz udang dan perambut mata kail itu sendiri.
Udang putih (hidup)
Sebagaimana udang lipan, udang putih juga sangat berkesan untuk memikat jenahak ketika ia masih hidup. Apabila sudah mati ia lebih merangsang selera ikan-ikan lain yang merupakan bukan ikan sasaran seperti duri dan seangkatan dengannya. Pada kebiasaannya juga udang hidup lebih sesuai untuk memburu jenahak diperairan cetek sekitar 30 kaki dan ke bawah.
Ia mungkin sesuai dengan habitat udang yang tidak berada di perairan dalam. Namun jika ingin mencari jenahak di muka kuala atau muara sungai, udang hidup sememangnya umpan terbaik.
Ikan hidup & hirisan ikan
Ikan hidup seperti belanak, tamban dan pelata merupakan antara umpan hidup yang bersesuaian untuk menjinakkan jenahak. Namun sebagaimana udang, ia memerlukan penjagaan yang rapi untuk mengekalkan kesegarannya. Namun umpan ikan hidup ini tidak sesuai untuk digunakan agak lama kerana ia mudah mati.
Justeru ia perlu diperiksa kesegarannya untuk tempoh tertentu. Manakala untuk hirisan ikan segar pula, ikan-ikan seperti selar, selayang dan kembung merupakan alternatif terbaik jika kehabisan umpan hidup. Malah ada ketikanya umpan hirisan ikan ini lebih laris berbanding umpan hidup.
Gewang
Tidak dinafikan teknik pancingan jenahak menggunakan umpan tiruan seperti jig merupakan trend terkini. Disebabkan keberkesanan penggunaan jig inilah membuatkan ikan jenahak semakin ramai peminatnya. Berbanding penggunaan umpan hidup, penggunaan umpan tiruan ada kelebihan dan kekurangan.
Umpan tiruan (jig dan lain-lain) berupaya menggoda jenahak datang menerkamnya dan boleh dikatakan spesimen yang didaratkan menggunakan umpan tiruan ini lebih besar namun ia masih kalah jika dibandingkan jumlah atau kuantiti hasil yang diperoleh.
Pada hujung minggu lalu, diberitakan dua penganjur pertandingan memancing terpaksa berhadapan dengan kemarahan peserta atau mungkin diambil tindakan berikutan kegagalan mereka menyediakan wang hadiah secukupnya kepada para pemenang.
Ia berpunca gara-gara pihak penganjur mengamalkan konsep kutipan yuran penyertaan sebagai hadiah kemenangan.
Apabila penyertaan berkurang maka wang hadiah pun tidak cukup untuk dibayar kepada para pemenang sebagaimana yang dijanjikan.
Fenomena pertandingan memancing di Malaysia sudah lama dan ia mulai berkembang sejak awal tahun 2000 lagi.
Di dada akhbar, banner, bunting digantung di tepi jalan hingga ke media sosial facebook dan blog, pasti terlihat iklan pertandingan memancing yang menawarkan pelbagai hadiah untuk pemenang.
Persepsi masyarakat pula bercampur baur mengenai pertandingan memancing. Bagi yang tidak meminatinya, mereka akan beranggapan ia suatu pelaburan yang belum tentu dapat membuahkan hasil.
Sudahlah begitu, modal sebelum menyertai pertandingan pun besar. Mana duit untuk beli peralatan memancing, umpan, yuran penyertaan, makan minum, tol dan minyak petrol kereta dan sebagainya.
Itu belum lagi beli rokok berbungkus-bungkus bagi kaki pancing yang merokok. Adalah lebih baik, duit tersebut digunakan untuk keperluan keluarga.
Namun, bagi ramai kaki pancing tegar lain pula ceritanya. Bagi mereka, mana tahu rezeki akan berpihak kepada mereka.
Kalau menang tempat pertama dah menang puluhan ribu ringgit. Dah tak perlu bersusah payah menabung.
Tambahan pula untuk pertandingan memancing sirkit, berpeluang menang hadiah utama sebuah kereta…uishh bukan kepalang lumayannya.
Melihat kepada situasi tersebut dapat kita lihat percanggahan pendapat mengenai perkara ini.
Adakah benar tohmahan sesetengah pihak mengenai pertandingan memancing ini sekadar membuang masa, wang dan tenaga atau adakah ia mampu memberi impak yang positif bukan sahaja kepada individu malahan kepada negara?
Impak positif
➡ silaturahim
Seperti yang diperkatakan awal tadi, terdapat beberapa elemen positif yang dapat dilahirkan melalui aktiviti pertandingan memancing ini:
Pertamanya mengenai silaturahim yang dapat dibina melalui program sebegini.
Jika dapat kita lihat senario ini, tidak kira di mana sahaja pertandingan memancing dianjurkan pasti akan mendapat sambutan menggalakkan dari kaki pancing yang datangnya dari seluruh pelosok negara.
Jadi medium seperti inilah yang akan membantu para pemancing untuk mendapat lebih ramai rakan pancing yang datangnya dari daerah dan negeri yang berbeza.
Para pemancing pula dapat berkongsi idea dan teknik terbaru bila mereka dapat berkumpul seperti ini.
➡ sumber pendapatan
Pertandingan memancing sebagai satu sumber pendapatan? Mungkin kedengaran agak janggal mengenai perkara ini, namun kita harus memandangnya melalui aspek yang lebih meluas.
Sumber pendapatan di sini bukanlah hanya terhad kepada pemenang sahaja, bahkan ia meliputi keseluruhan industri ini.
Bagi pemancing yang berjaya menjadi juara di dalam sesebuah pertandingan memancing memanglah dianggap sebagai bonus untuk diri sendiri dan keluarga.
Justeru itu, ini sedikit sebanyak dapat membantu pendapatan mereka.
Melalui pertandingan memancing ini jugalah dapat membantu peniaga-peniaga kecil yang ada di Malaysia.
Apa tidaknya, bukan mudah untuk mereka mendapat peluang berniaga di dalam suasana meriah yang dapat mengumpulkan beribu-ribu orang di dalam satu masa.
Jadi aspek sebeginilah yang dapat diperkatakan bahawa pertandingan memancing boleh menjadi salah satu sumber pendapatan.
➡ angling tourism
Pertandingan memancing juga boleh menyumbang sesuatu kepada industri pelancongan Malaysia.
Melalui pakej-pakej memancing tertentu yang lengkap dengan khidmat bot, guide, penginapan, makan minum misalnya, sesebuah spot memancing itu akan menjadi lebih terkenal di mata kaki-kaki pancing.
Tourism Malaysia kini dilihat aktif memajukan potensi angling tourism dengan meminta setiap negeri menonjolkan lokasi-lokasi memancing setiap menerusi pakej-pakej tertentu.
Beberapa spot memancing negara kini telah pun menarik kunjungan kaki-kaki pancing dalam dan luar negara datang untuk turut merasai pengalaman memancing selain penganjuran pertandingan memancing antarabangsa di beberapa lokasi.
Isu negatif
Sebagaimana yang kita tahu, pertandingan memancing juga tidak terlepas daripada dicemari dengan isu-isu atau insiden yang sedikit sebanyak dapat merencatkan industri ini.
➡ Halal ke haram?
Kini timbul perdebatan mengenai isu halal atau haram sesebuah pertandingan memancing itu. Ia telah pun menimbulkan kesan dan persoalan kepada ramai kaki-kaki pancing.
Terdapat beberapa ahli Ulama yang berasa terpanggil untuk memberi komen mengenai perkara ini.
Berikut jawapan daripada Halaqah.net yang dapat menjelaskan mengenai isu halal dan haram pertandingan memancing.
“Dalam hukum mengadakan pertandingan memancing dan menyertainya serta menerima hadiah daripada penganjur, ada beberapa persoalan yang harus diberi perhatian oleh penganjur dan peserta.
Di antara perkara yang harus diberi perhatian ialah hadiah kepada pemenang diambil daripada sumber yang mana?
Adakah ia diambil daripada wang penyertaan atau hadiah itu sumbangan daripada individu atau agensi?
Sekiranya hadiah itu diberi hasil wang kutipan penyertaan maka hukumnya HARAM. Maka sumber haram ini tidak boleh dimanfaatkan untuk makan minum atau pakaian.
Dua, keadaan haram yang wujud dalam pertandingan memancing ini.
Pertamanya kerana menyertai pertaruhan dan yang keduanya menerima hadiah dari pertaruhan tersebut.
Contohnya, setiap peserta dikenakan yuran RM100, kemudian daripada yuran yang terkumpul itu diberikan hadiah kepada peserta yang berjaya menangkap ikan yang paling
berat atau yang paling banyak (ikut peraturan pertandingan yang ditetapkan) menang, maka cara tersebut adalah haram kerana ia termasuk dalam pengertian pertaruhan (al-qimar) yang diharamkan.
Jika hadiah kepada pemenang ditaja oleh pihak luar tanpa membabitkan wang peserta, maka ia diharuskan kerana ia termasuk dalam hibah (hadiah) daripada penganjur atau agensi yang menaja.”
PERSAINGAN PENGANJUR
Selain daripada isu halal dan haram, pertandingan memancing juga tidak terlepas daripada dicemari insiden persaingan yang kurang sihat di kalangan penganjur.
Ada penganjur yang berlumba-lumba untuk menganjurkan pertandingan yang menawarkan hadiah lumayan sehingga sanggup menutup peluang penganjur-penganjur kecil yang lain.
Adalah lebih baik sekiranya penganjur di Malaysia duduk dan berbincang di antara satu sama lain bagi mengelakkan persaingan yang kurang sihat ini.
Selain itu, berilah juga peluang kepada penganjur-penganjur baru untuk bersama-sama memeriahkan industri ini selain tidak mengadakan tarikh yang sama dengan penganjur lain.
Jika kesefahaman antara para penganjur dapat dicapai, nescaya pertandingan memancing Malaysia akan dapat dikembangkan ke peringkat yang lebih tinggi.
HARAPAN
Oleh kerana trend pertandingan memancing ini berkembang pesat, diharapkan ada sebuah badan atau persatuan yang boleh memantau pertandingan memancing di Malaysia.
Ini bagi mengelakkan berlakunya lagi kes-kes yang tidak diingini sekali gus boleh menjatuhkan industri ini.
Persatuan ini juga harus ditubuhkan kerana ia boleh menjadi nadi penggerak untuk pertandingan memancing di Malaysia dan juga menjadi tempat rujukan kepada penganjur untuk menganjurkan pertandingan yang lebih berprestij di masa akan datang.
Melalui persatuan atau badan yang ditubuhkan nanti, penganjur-penganjur pertandingan memancing di Malaysia boleh duduk berbincang untuk menangani masalah pertandingan memancing dan bersatu untuk memajukan industri memancing yang ada di Malaysia.
KESIMPULAN
Pertandingan memancing tidak sepatutnya dilihat hanya sebagai satu aktiviti riadah kepada kaki pancing. Ia boleh dianggap sebagai satu industri yang lahir dari hobi memancing.
Di sini membolehkan cabang perniagaan dapat dijana, membantu sektor pelancongan, membangunkan menaikkan nama sesebuah lokasi atau tempat sebagai destinasi memancing dan sebagainya.
Justeru itu, diharapkan ada lebih banyak agensi-agensi kerajaan mahupun swasta yang menyokong dan memberi suntikan dana kepada pertandingan memancing yang ada di Malaysia ini sekali gus hobi sukan dan pertandingan memancing diangkat lebih tinggi.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...