Pertamanya, gewang sesudu ini murah harganya dan boleh didapati di mana-mana kedai yang menjual peralatan memancing. Harganya semurah RM2.10 hinggalah yang mahal melebihi RM50 atau lebih, bergantung kepada kemampuan anda.
Kerana harganya yang berpatutan, jika sangkut dan putus tidak terasa ralat sangat. Ia juga selalu digunakan sebagai gewang penduga kawasan baru untuk memantau keadaan struktur di dalam air. Tak kurang juga kejadian strike berlaku dalam proses mencuba ini.
Bentuk sesudu menyerupai ikan perimpin atau anak-anak ikan lain yang menghuni perairan lombong menyebabkan ia realistik pada pandangan ikan. Kilatan pada sesudu juga sangat menyerupai kilatan yang terdapat pada sisik ikan-ikan kecil.
Ads
Fluttering atau gelekan sesudu menghasilkan sinaran berkilat lebih-lebih lagi apabila dipanah cahaya matahari yang terik. Sinaran kilatan ini secara tidak langsung akan menarik perhatian ikan untuk melihat atau mengejar sesudu.
Ads
Malah kilatan ini menyerupai ikan-ikan kecil yang sedang sakit atau panik ketakutan, ini lebih cepat menarik perhatian pemangsa walau sebagaimana degil sekalipun.
Perimeter permainan sesudu adalah pelbagai. Ia boleh dimainkan di permukaan air, kolum pertengah dan heretan dasar. Dalam erti kata lain, seketul sesudu dapat memainkan tugas 3 jenis gewang lain.
Ads
Sesudu biasanya berat dan ia mudah dilemparkan jika anda menggunakan baitcaster. Ia adalah gewang mesra pemancing. Khususnya pemancing yang baru berjinak-jinak dengan teknik mengilat menggunakan baitcasting reel.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Ramai yang mengetahui air kelapa sememangnya terkenal sebagai minuman yang menyegarkan.
Namun tidak ramai pemancing yang mengetahui bahawa air kelapa itu turut merupakan bahan yang mustajab untuk dijadikan umpan memancing terutamanya ikan patin di kolam pancing.
Bahan-Bahan:
Sebiji kelapa muda (air manis)
Pes pandan
Kelapa parut
Roti sandwic dadu
Cara-Cara penyediaan:
Langkah 1
Titiskan air kelapa ke atas roti sandwic yang telah dipotong dadu sehingga agak basah (memek) dan sekata.
Langkah 2
Tuangkan pes pandan 2-3 penutup bergantung kepada jumlah roti dadu yang digunakan. Goncang hingga sekata.
Langkah 3
Masukkan pula sedikit kelapa parut dan goncang lagi sehingga adunan sekata.
Langkah 4
Umpan memek air kelapa yang sedia untuk digunakan.
Langkah 5
Gunakan perambut 2 mata kail dan kepala roti pada mata kail tersebut.
Hari beransur gelap… dua orang kawan aku tengah pasang unggun api. Aku plak duduk kat pancing sambil bersembang dengan kawan aku yg duduk kat sebelah, aku terdengar satu bunyi yang mencurigakan.
“Uuuiii… uuuiii…uuuuiiii……”
Kawan aku kat sebelah tak perasan bunyi tu kot, asyik membebel pasal ikan yang tak makan umpan. Aku cuba mengamati bunyi tu betul2, dan bunyi tu masih lagi berlanjutan. Hati aku dah start rasa tak sedap dah nih, tapi cuba berlagak cool dan rilek dulu.
Aku dah tak pandang pancing dah time tu, dalam dok dengar bunyi tu tetiba dah ada tambahan bunyi, aku dengar bunyi budak menangis. Aduh… ini dah lebih… dalam hati dah start baca ayat Kursi dan 3 Qul. Bunyi tu masih lagi berlanjutan.
Tiba-tiba kawan aku yang lagi seorang datang ke tempat aku dan duduk sebelah aku. Dia kata dia terperasan ada orang lain memancing seberang kolam, tapi bila tgk balik dah takde. Masa kawan aku cerita pasal apa yg dia nampak, bunyi uuuiii.. uuuiii… uuuiiiiiii berselang seli dengan tangis budak makin kuat… kompom Cik Ponti punya…!
Tak boleh jadi ni, aku terus bangun dan ajak kengkawan aku balik… 2 orang kawan aku yang tengah pasang unggun api tak nak balik pasal dorang kata baru sampai. Gila ke apa?! Hampeh betul… aku cakap kat dorang, jom la balik, nanti lagi susah. Barulah semua start packing barang nak balik.
Bila dah siap packing nak bergerak ke kereta, aduh… baru perasan bunyi tu datang dari pokok yang paling dekat dengan kereta aku. Kiranya, kalau nak pegi ke kereta, kena lalu bawah pokok tu dulu. Adeh… siot betul.
Tapi apa nak buat, kenalah lalu jugak kan. Takkan nak tunggu situ lagi. Kita orang pun berjalan pergi ke kereta berlampukan torchlight yang time tu jugak la nak meragam. Masa lalu bawah pokok tu, Tuhan je la yang tau… bulu roma ni dah meremang sakan dah oi!
Masa nak sampai ke kereta, tetiba dah dengar bunyi orang ketawa mengilai…. apa lagi? Kita orang semua lompat masuk dalam kereta la. Aku try start kereta, Alhamdulillah… boleh start. Terus masuk gear satu dan jalan… tak tengok belakang dah… takut siot!
Tapi…. ingatkan gangguan dah habis, masa turun dari kawasan tu ada dua kejadian aneh. Pertama, masa turun dari bukit tu memang dah gelap. Semuanya hanya berpandukan lampu kereta. Tapi ada sebiji motor yang entah datang dari mana potong kereta aku. Yang paling best motor tu tak pasang pun lampu.
Kedua, masa turun kami bertembung dengan dengan teksi. Teksi tu menuju ke puncak bukit. Kawan aku terus tanya aku pasal teksi tu. Syyyyhhhh! Jangan tegur… biarkan je dia. Adui… masa berselisih dengan teksi tu, aku menjeling tengok apa yang ada dalam teksi tu, hijau beb Hijau…! Orang yang bawak teksi tu warna hijau!
Alhamdulillah, akhirnya kami sampai jugak ke jalan besar, terus menuju ke rumah kawan aku. Kawan aku duduk berjiran dengan Cina. Rumah Cina ni ada anjing.. masa aku parking kereta, anjing tu tak duduk diam, asyik menyalak je. Menyalak ke arah kereta. Adoyai… mengikut balik la pulak. Kami semua masuk dalam rumah. Semua mandi dan solat. Mengaji lebih kurang barulah anjing kat luar diam… Alhamdulillah.
Dahulu sewaktu mula-mula berjinak dengan pancingan muara, hampir serata jambatan sama ada yang dibenarkan ataupun larangan, jeti tinggal, kuala sungai dan pinggir hutan
bakau diterjah pada setiap hujung minggu. Asalkan ada getuan dan aksi tarikan tanpa mengira apa jenis ikan sudah memadai.
Dari memancing secara berseorangan memancing, lama kelamaan dapat berkenalan dengan kaki pancing yang lain maka bertambah geng yang sealiran.
Lubuk dan kawasan pancing dapat diperluaskan. Sebut sahaja pesisir pantai sepanjang Selangor hampir semuanya dijelajahi.
Ketika itu perumpun sarang menjadi umpan paling mujarab, beli hari ini boleh bertahan 4 hari jika simpan tempat yang sesuai.
Kadangkala cuba juga menggunakan udang hidup yang dibeli di tepi jalan namun banyak kes ia ‘kojol’ dan kemerahan sebelum sampai di kawasan memancing.
Dengan akal yang ada maka umpan yang berada di kawasan berhampiran seperti sesiput, kupang dan anak ikan yang dipancing turut boleh dijadikan umpan sekiranya kehabisan perumpun.
Atas pengalaman itu hanya perumpun sahaja yang terbaik untuk bergerak ke serata di kawasan muara sungai menggunakan kenderaan darat.
Masa itu agas atau nyamuk bukan halangan asalkan dapat menghilangkan stress tekanan kerja pada hujung minggu.
Lama kelamaan apabila asyik gelama, gegerut, bebolos, duri dan sesirat, tetuka dan anak tetanda yang berjaya didaratkan, hati mula berteriak mencari spesimen yang lebih besar, lebih nilai, lebih gred sesuai dengan pengalaman memancing sudah mengembang.
Namun bila setiap kali terpandang sampan pemancing mundar mandir di kawasan kita memancing, hati tertanyatanya bila pula masanya untuk merasai memancing bersampan.
Dah sampai waktunya, takkan selamanya asyik nak menebing?
Bersampan dan tekong
Dari situ mula beranikan diri menyewa sampan kecil berserta tekong untuk memancing di sekitar Pelabuhan Klang.
Barulah puas dapat melabuhkan umpan di tempat yang selama ini kena lontar sekuat tenaga. Dari atas sampan cuma hulur sahaja ke bawah.
Menggunakan khidmat tekong kadang kala masa memancing terasa terlalu singkat, tekong kenalah banyak kerja lain yang dilakukannya.
Almaklum beliau bukan tekong sepenuh masa. Mana cukup nak menyara keluarga kalau hanya bawa orang memancing dengan kadar sewa RM200.
Sampan berukuran 19 kaki menggunakan enjin sangkut 30Hp dengan kapasiti muatan 3 orang pemancing dan seorang tekong.
4 orang berada dalam sampan kecil tidak banyak pergerakan yang boleh dilakukan.
Duduk setempat seharian hingga kematu punggung. Belum masuk ke anak sungai bila tekong terpaksa menjala mencari bekalan umpan udang hidup.
Keluar dari anak sungai muka merah-merah dipenuhi dengan tompokan lumpur sungai dan kesan lebam dek sang agas.
Bila bersampan sesekali dapat merasa tarikan sembilang, ikan pari, tebal pipi dan senangin.
Spesies ikan yang gemar udang hidup atas sebab itu kami tiada pilihan lain kecuali mengikut tekong menjala di anak sungai bila air dah surut.
Banyak juga kes terpaksa menunggu tekong yang tidak muncul-muncul. Masa memancing terbuang begitu sahaja.
Panas hati membara apabila sering kena tipu dan kansel trip pada saat akhir.
Sendirian
Hati pemancing jarang sekali merasa puas. Bila tak tahan penangan agas, suruh tekong pergi menjala dahulu dengan kos tambahan umpan dan minyak dipersetujui.
Dapat lama lagi memancing tanpa membuang masa mencari umpan. Apabila kita ada waktu terluang, tekong pula ada hal lain.
Kemudian hati mula memberontak lagi, sewa sampan bawak sendiri lagi senang.
Lebih mudah, ada waktu terluang, beli umpan, isi minyak, bayar duit sewa sampan, start enjin terus ke lubuk.
Bebas ke sana ke mari berpindah apabila hasil tidak menepati sasaran. Setiap kali air bah, setiap kali pantai berubah, pepatah yang hakiki kenyataannya.
Mana tidaknya, kalau memancing di tebing senang nak cam kawasan, ada jalan, ada pokok dan kesan lama kita memancing, tapi kalau di tengah sungai nak cam pokok tiba-tiba dah hilang ditebang dan ada yang tumbang ke air.
Kemudian apabila membuat penilaian dan rumusan trip keputusan hasil amat tidak berpadanan dengan kos yang dileburkan untuk memancing.
Melihat orang lain membawa hasil yang lebih baik maka hati sekali lagi tersentak. Kawasan sama, argggh… Mungkin nasib mereka lebih baik.
Atau mereka kena lubuk, tapi kita kena serbuk!
Apabila sukar nak cam lubuk kerana keadaan tebing yang berubah dek pembangunan, maka tiada jalan pintas lain kecuali menggunakan alatan yang sesuai.
Selepas itu dunia pancing mula mengenal GPS dan carta pasang surut.
Mana boleh kalah sepanjang waktu. Memancing perlu ada pembaharuan, perlu ada revolusi seperti pesisir pantai dataran muara Klang, dari hanya Pelabuhan Selatan, kemudian Pelabuhan Utara dan seterusnya Pelabuhan Barat.
Ketika pembinaan Pelabuhan Barat, banyak lubuk dan lokasi kapal karam tempat tumpuan memancing dimusnahkan, laluan diperdalami untuk memudahkan kapal dagang masuk ke pelabuhan.
Pesisir pantai dan hutan bakau digondol dan diganti dengan jeti dan dermaga siap sekali dengan papan tanda ‘KAWASAN LARANGAN MEMANCING’. Itu juga satu revolusi…!!!
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...