
Ikatan double davy atau double davy knot merupakan kesinambungan ikatan davy. Atau bolehlah dianggap sebagai ikatan davy yang diperbaiki.
Langkah tidak banyak berbeza kecuali beberapa langkah tambahan dilakukan bagi mengukuhkan lagi ikatan tersebut.
Langkah 1
Masukkan tali utama ke lubang mata kail atau swivel.
Langkah 2
Buatkan lingkaran dengan keadaan hujung tali menindih tali utama.
Langkah 3
Lilitkan hujung tali ke bawah tali utama kemudian tindihkan hujung tali pada lingkaran tadi
Langkah 4
Lilitkan hujung tali ke bawah lingkaran dan tindihkan pula pada tali utama
Langkah 5
Buatkan satu lilitan pada tali utama dan halakan hujung tali ke arah mata kail
Langkah 6
Tarik perlahan-lahan hujung tali dan tali utama
Langkah 7
Ketatkan ikatan dan potong lebihkan tali.
Siapa Yang Beri Nama Ikan Yang Pelik-Pelik Ini?

Pelik dan unik! Begitulah nama-nama ikan yang terdapat di negara kita ni. Memang banyak terdapat nama ikan yang pelik tapi kita bagi 10 contoh dahulu.
TEBAL PIPI
Nama saintifik: Pomadasys kaakan
Nama global: Barred javelin
Nama tempatan: Tebal pipi
Ikan ini yang biasanya mendiami kawasan muara juga mendapat namanya mungkin kerana sifat luarannya. Jika dilihat pada bahagian kepalanya, operkulum atau pipi penutup insangnya jelas lebih menonjol dan lebih tebal, jadi mungkin dari itu munculnya panggilan ikan tebal pipi pada spesies ini.
IKAN BIJI DURIAN
Nama saintifik: Sphaerichthys asphronemoides
Nama global: Chocolate gourami
Nama tempatan: Biji durian
Ikan biji durian agak kabur juga asal namanya yang unik ini. Spesies dari keluarga gouramy dari aspek bentuknya sukar dipadankan dengan namanya. Mungkin juga nama biji durian lekat pada spesies ini kerana saiznya yang kecil dan warna coklatnya yang seakan warna biji durian.
BAUNG ASKAR
Nama saintifik: Bagarius bagarius
Nama global: Dwarf goonch, devil catfish
Nama tempatan: Kenerak, baung askar
Ikan kenerak juga dikenali sebagai ikan baung askar bagi sesetengah tempat. Nama baung askar merujuk kepada warna atau corak pada badannya yang berwarna samaran hijau seakan-akan warna yang sinonim dengan uniform askar.
IKAN PATUNG
Nama saintifik: Pristolepis fasciatus
Nama global: Malaysian leaffish
Nama tempatan: Ikan patung, kepar
Ikan patung atau ikan kepar merupakan spesies seakan-akan puyu. Ikan patung mungkin diberi nama kerana kebolehan ikan ini statik dalam air seakan-akan patung. Selain itu, nama Kampung Sungai Kepar di Perak juga mengikut asal-usulnya mengatakan diambil nama sempena ikan kepar.
IKAN PARANG
Nama saintifik: Macrochirichtys macrochirus
Nama global: Long pectoral-fin minnow
Nama tempatan: Ikan parang, parang-parang, cabuk
Ikan parang mempunyai bentuk badan yang lebih panjang dan berwarna perak. Bentuk badannya ini seolah-olah sebilah parang yang tajam dan berkilat memungkinkan spesies ini digelar ikan parang.
IKAN SETAN
Nama saintifik: Lepidocybium flavobrunneum
Nama global: Escolar
Nama tempatan: Ikan setan, eskolar
Ikan escolar atau juga digelar ikan setan di sesetengah tempat merupakan ikan air masin. Spesies ini digelar ikan setan oleh sesetengah kaki pancing kerana warna badannya kehitaman ditambah matanya yang cukup menggerunkan. Mendiami perairan dalam dan kawasan terumbu karang di Sabah dan Sarawak.
IKAN SEBELAH
Nama saintifik: Pseudorhombus spp
Nama global: Flounders
Nama tempatan: Sisa nabi, ikan sebelah
Spesies ini unik bukan pada namanya sahaja tetapi juga bentuk badannya. Jika dilihat pada bentuk badannya, tidak sukar mengagak kenapa ikan ini digelar ikan sebelah. Ikan yang nipis ini kelihatan seolah-olah mempunyai separuh atau sebelah saja badannya.
IKAN TEBAL SISIK
Nama saintifik: Puntius binotatus
Nama global: Spotted barb
Nama tempatan: Tebal sisik
Nama ikan tebal sisik juga cukup unik jika difikirkan. Ikan dari genus Puntius ini merupakan ikan bersisik dan berwarna perak berkilau. Tidak mustahil nama tebal sisik diambil sempena sifat sisiknya yang tebal.
IKAN KEKEK
Nama saintifik: Leiognathus fasciatus
Nama global: Ponyfish, slipmouth
Nama tempatan: Ikan kekek
Asal datangnya nama ikan kekek ini kurang jelas. Malah maksud kekek itu sendiri pun kurang jelas sama ada loghat atau mempunyai maksud sebenar. Namun, namanya tetap unik dan cukup popular kerana nama ikan kekek ini ada dalam salah satu lirik lagu rakyat.
IKAN UJI RASHID
Nama saintifik: Selar boops
Nama global: Oxeye scad
Nama tempatan: Ikan lolong, ikan Uji Rashid
Nama ikan ini pun begitu unik sehingga mendapat gelaran nama Uji Rashid iaitu penyanyi dan pelakon. Kisahnya ialah kerana Uji Rashid mempunyai mata yang besar ketika zaman popularnya. Dek kerana itu, dia juga digelar ikan lolong yang juga mempunyai mata besar.
Ketahui Khasiat Yang Ada Dalam Siput!!

Siput sudu kaya akan kandungan zat besi. Zat besi amat diperlukan untuk membentuk hemoglobin, iaitu protein khusus yang bertugas untuk membawa oksigen dalam darah ke seluruh tubuh. Tanpa hemoglobin dalam darah, organ-organ tubuh anda tidak akan berfungsi dengan baik kerana kurang oksigen.
Dengan memakan siput sudu, ia membantu meningkatkan hemoglobin dalam darah. Dalam pada itu, sekiranya anda mempunyai penyakit anemia defisiensi, ia membantu membekalkan zat besi yang cukup untuk membentuk hemoglobin.
Anda boleh mendapatkan khasiat asid lemak omega-3 yang tinggi dalam satu portion siput sudu segar. Asid lemak omega-3 sendiri mampu menurunkan kadar trigliserida yang terlalu tinggi. Kadar trigliserida yang tinggi berisiko menyebabkan pelbagai masalah jantung seperti pengerasan pembuluh arteri dan serangan jantung.
Akan tetapi, jangan makan siput sudu secara berlebihan. Ini kerana siput sudu mengandungi kolesterol. Kadar kolesterol yang terlalu tinggi juga berisiko buat kesihatan jantung.
Protein adalah zat gizi yang berperanan penting dalam membentuk massa otot sekaligus merawatnya dari kerosakan jaringan atau sel. Khusus buat Anda yang sering mengalami sakit otot, protein siput sudu juga dapat mempercepatkan proses pemulihan otot-otot yang keras dan sengal.
Seperti makanan laut lainnya, siput sudu juga kaya akan protein. siput sudu bahkan jadi sumber protein yang lebih sihat dari daging lembu atau ayam kerana kandungan lemak dan kalorinya lebih rendah.
Bagi membolehkan menjalankan tugasnya dengan baik, sistem saraf dalam tubuh anda memerlukan vitamin B kompleks. Salah satunya iaitu vitamin B12. Kekurangan vitamin B12 berisiko menyebabkan kerosakan saraf hingga penurunan fungsi otak.
Oleh kerana itu, manfaat siput sudu yang mengandungi vitamin B12 dalam jumlah tinggi sayang sekali kalau diabaikan. Makan siput sudu mampu membantu menjaga fungsi sistem saraf anda, terutama pada bahagian otak.
Apa Perlu Dibuat Jika Disengat Ikan

Sebagai panduan, kalau terkena sengat ketika berada di daratan, segeralah pergi ke klinik atau hospital yang berdekatan untuk rawatan. Tak perlulah cari apa-apa petua untuk mengurangkan bisa sengat tersebut.
Dikatakan juga, sengat ikan yang paling kuat bisanya ialah ketika air gerak pasang. Jika terkena sengat pada waktu ini bisanya seperti berganda kuatnya. Ia mungkin disebabkan ketika air bergerak pasang ini adalah waktu ikan asgresif mencari makanan. Jadi, berhati-hatilah ketika memancing ikan bersengat pada waktu ini.
Ais
Buang atau cabut sengat (sekiranya masih tercucuk pada anggota tubuh). Kemudian picit atau tekan kawasan yang terkena sengat supaya bisanya keluar bersama darah. Selepas itu ambil ais dan tuam pada tempat yang terkena sengat. Tuam sehingga tempat tersebut terasa kebas atau hilang rasa denyutannya. Cara ini bolehlah dikatakan paling mudah untuk dilakukan.
Biji Asam Jawa
Jika bercadang untuk memancing ikan bersengat seperti sembilang atau baung, sebaiknya bawalah biji asam jawab beberapa biji di dalam bekas pancing. Caranya ialah, hancurkan biji asam tersebut tempelkan pada bahagian badan yang terkena sengat.
Daun Jemuju
Penawar ini hanya mujarab sekiranya kita mengenali pokoknya. Rasanya ramai yang tidak mengenali pokok herba ini. Caranya ialah dengan mengunyah pucuk daun jemuju dan tekap atau tempel pada tempat yang terkena sengat (jangan telan air kunyahan daun ini kerana rasanya sangat pahit).
Air Kencing
Petua yang paling mudah untuk dilakukan kerana semua orang memilikinya. Caranya ialah dengan menjiruskan air kencing pada tempat yang terkena sengat. Jika tak mampu untuk mengeluarkan air kencing sendiri, boleh saja guna air kencing rakan. Dikatakan, air kencing seorang kaki kencing amat mujarab merawat bisa.
Dakwat Sotong
Sesetengah bisa seperti sengat ikan kitang dikatakan boleh ditawarkan dengan melumur dakwat sotong dan dibiarkan sampai kering. Dakwat sotong saja tau. Dakwat pen rasanya tak boleh digunakan. Cuma nak dapatkan dakwat sotong ni kenalah memancing sotong dulu.
Cuka Makan
Jirus cuka makan pada tempat yang terkena sengat. Dikatakan asid cuka dapat meneutralkan bisa sengat tersebut. Cara terbaik ialah kita membawa cuka makanan di dalam botol kecil ke mana saja trip memancing yang kita pergi.