Admin, boleh tak jelaskan maksud bearing yang biasanya tertulis pada reel atau kekili? Ada yang 3 bearing, ada yang 6 sampai 10 pun ada.
JAWAPAN:
Boleh dikatakan ramai pemancing yang tidak mengendahkan jumlah bearing atau ball bearing yang digunakan dalam sistem kekili yang mereka beli. Kebanyakannya lebih memikirkan soal drag atau ratio sahaja.
Admin sendiri, semenjak menggunakan kekili yang sekadar ada 1 bearing hinggalah berbelas-belas bearing sekarang ini sendiri tidak kisah sangat soal bearing ni. Walau bagaimana pun tidaklah bermakna spesifikasi bearing itu tidak penting. Untuk menjadi pemancing yang berilmu, soal bearing ini eloklah kita faham juga.
Bearing yang dimaksudkan ialah jumlah alas bebola yang digunakan dalam sesebuah reel atau kekili. Contohnya jika pada reel itu tertera 5 ball bearing ia membawa maksud terdapat 5 alas bebola yang digunakan dalam kekili.
Bearing tu untuk apa? Bearing atau alas bebola adalah bertujuan untuk melancarkan pergerakan objek yang berpusing dengan mengurangkan rintangan di antara dua objek. Semakin banyak alas bebola yang digunakan maka semakin ringanlah rintangan tersebut sekaligus menyebabkan kayuhan terasa lebih lancar dan ringan.
Terdapat kekili yang dipasang dengan belasan alas bebola keluli tahan karat. Semakin banyak terdapat alas bebola semakin mahal kekili terbabit. Namun terdapat masalah lain pula di sebalik terlalu banyak alas bebola, jika tidak dijaga akan menyebabkan pergerakan kekili tersangkut-sangkut dan mengeluarkan bunyi yang tidak disenangi. Begitu pun, bearing atau alas bebola ini boleh diganti apabila sudah rosak atau pecah.
“Udang galah ni tak bermusim. Ia boleh ditangkap sepanjang tahun. Cuma ia perlu dicari.
Jika di bahagian atas (hulu sungai) kurang kita kenalah cari di bahagian bawah (hilir sungai) pulak.
Ada tu tetap ada cuma jumlahnya saja yang berbeza bergantung pada cuaca dan rezeki.”
Begitulah penjelasan Noor Siroon Ishak (47) atau lebih mesra dengan panggilan Yeop.
Atas keyakinan itulah beliau menjadikan hobi memancing udang galah bagi sesetengah pemancing ini sebagai kerjaya tetapnya.
Bermula dengan minat, akhirnya ia menjadi satu kerjaya. Atau dalam erti kata lainnya Yeop tidak melakukan pekerjaan lain atau menjadikan kerjaya sebagai pemancing udang galah sebagai pendapatan sampingan sebaliknya merupakan sumber pendapatan utama beliau menyara keluarga.
Meskipun terpaksa bersaing dengan nelayan sungai lain yang kebanyakannya menangkap udang galah dengan kaedah berbeza seperti penggunaan bubu, jaring atau belat, Yeop tetap cekal dengan kerjaya yang telah sebati dengan darah daging lebih 15 tahun yang lalu.
Dengan pengalaman lebih 15 tahun sebagai pemancing udang sepenuh masa maka tidak hairanlah Noor Siroon atau Yeop mendapat gelaran Raja Jenggo (jenggo merujuk kepada udang galah sepit biru yang besar saiznya).
Dari pengalaman yang sama jugalah Yeop sudah beberapa kali muncul juara dalam pertandingan memancing udang galah yang beliau sertai.
Namun pendapatan dari jualan udang galah yang dipancingnya tidak tetap samalah seperti laut atau sungai yang ada pasang surutnya.
“Kalau udang mudah diperoleh berdekatan dengan jeti, jimatlah sikit penggunaan petrol tapi kalau terpaksa pergi jauh maka banyaklah guna petrol.
Lebih parah jika semakin jauh pergi hasilnya pulak berkurang,” ujar Yeop yang memiliki rekod tangkapan peribadi sebanyak 101 ekor udang galah sehari.
Sementara jumlah berat udang yang pernah diperoleh pula sebanyak tujuh kilogram sehari.
“Saya tidak jual udang setiap hari atau udang yang telah mati. Saya lebih suka kumpul dahulu udang dan bila jumlahnya agak lumayan barulah saya hubungi tauke kolam pancing udang dan jual secara lamsam.
Kalau jual kepada pemborong atau pekedai agak leceh sedikit kerana harganya mengikut gred udang. Jadi saya jual kepada tauke-tauke kolam dengan harga RM 60 sekilo tanpa mengira saiz.”
Menurut Yeop juga beliau turut menerima tempahan pemancing yang memerlukan khidmat beliau sebagai tekong.
Dengan pakej memancing udang RM 150 sehari untuk dua pemancing, beliau akan turut sama memancing dan kesemua udang yang diperoleh akan diserahkan kepada pemancing.
Saya baru nak berjinak-jinak dengan dunia memancing ni. Saya dah pernah memancing tetapi belum pernah beli lagi barang-barang pancing. Boleh tak admin beri sedikit tip untuk membeli set pancing kolam air tawar?
JAWAPAN:
Pertama sekali kami nak ucapkan selamat datang ke dunia memancing, hobi berbau hanyir yang paling popular di Malaysia. Untuk membuat satu posting tentang tatacara membeli set memancing ini sebenarnya terlalu subjektif dan panjang untuk dihurai. Namun kami bagi sedikit tip asas untuk anda bagaimana untuk membeli peralatan memancing.
Pertama sekali anda kena pastikan lokasi padang pancing dan spesies apa yang hendak dipancing. Sebagai permulaan kami sarankan lokasi padang pancing ialah kolam komersial air tawar dan spesies yang ingin dipancing adalah ikan patin bersaiz sederhana (2-7 kg).
Terdapat 3 peralatan asas utama yang perlu anda miliki terlebih dahulu ialah…
Kekili
Terpulang kepada jenama kekili yang korang minat dah bergantung kepada bajet. Saiz kekili atau mesin memadai siri 2000 hingga 5000. Anda boleh pilih kekili untuk air tawar atau air masin namun lazimnya kekili khusus untuk air masin lebih mahal. Jika berkemampuan, elok beli kekili khusus untuk air masin kerana ia juga boleh digunakan untuk pancingan air tawar.
Joran
Sebaiknya dapatkan joran berkekuatan 10-20 lb. Lagi tinggi kekuatannya pun tak mengapa. Lazimnya joran untuk air tawar masih menggunakan sukatan pound (lb) dan joran untuk air masin khususnya jigging menggunakan ukuran PE. Panjang joran pula bergantung kepada selera anda. Namun disarankan saiz yang praktikal ialah 5-7 kaki
Tali
Anda boleh menggunakan tali sulam atau tangsi namun bagi pancingan kolam air tawar penggunaan tali tangsi adalah lebih praktikal. Jika menggunakan tangsi pastikan ia bersesuai dengan joran. Jika menggunakan joran 10-20lb maka tangsi yang digunakan sebaiknya jangan lebih daripada 20lb.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...