5 tahun lepas, saya mengimpikan sebuah komuniti wanita memancing. Masa itu, saya memancing berdua dengan Shima Shariff ke mana-mana. Susah nak jumpa pemancing wanita.
Ketika memancing waktu itu, ada saja pandangan serong serta lekehan yang kami terima sebab kami wanita. Mulai saat itu, saya membuat keputusan untuk membuat kelab khas untuk pemancing wanita!
Kelab Pemancing Wanita 5 tahun lalu, cuma ada saya dan Shima. Kami berdua, agak fefeeling juga la berdua tapi nak kata ianya kelab. Tapi sambutan dari wanita menakjubkan.
Semakin lama semakin ramai pemancing wanita berani keluar dan menonjolkan diri. Dahulu mungkin mereka mengalami masalah yang sama seperti yang saya hadapi dulu.
Trip WAC ke Tasik Kenyir pada 2014
Tahun ketiga saya buat kelab, saya mengambil keputusan nak buat secara rasmi dan mula mendaftarkan kelab kami dengan ROS (registration of society). Masa ni saya fefeeling lagi pilih beberapa pemancing wanita jadi exco serta AJK saya.
Tahun ini tahun kelima secara tidak rasmi dan tahun ketiga selepas saya daftarkan kelab ini. Banyak trip, pertandingan, kelas, bengkel, charity, yang telah kami lakukan. Tapi saya ada satu lagi impian.
Aktiviti WAC pada awal 2018
Saya nak KELAB yang selayaknya KELAB… berfungsi sebagai kelab mengumpul ahli, mendidik ahli, melindungi ahli dan membela ahli.
Ramai orang buat kelab tapi sekadar kelab dan akhirnya menjadi satu komuniti pemancing yang SALING MELAWAN kehebatan memancing, popular memancing, dan akhirnya bergaduh dan berpecah.
Ads
Tapi saya mahukan kelab yang bukan berpuak, bersatu hati, berkebajikan, melindungi dan saling mengingati selain berilmu serta beretika semasa memancing… dan akhirnya dimartabatkan pada mata masyarakat.
Aktiviti terakhir pada Mei lalu
5 tahun bukan masa singkat. Macam-macam saya lalui dan hadapi. Disukai, dibenci.. tapi matlamat saya tepat dan kuat. Habis keringat dan duit puluh ribuan ringgit. Pernah juga rasa nak give up tapi sebab dah minat, saya teruskan perjuangan.
SEDIKIT SAHAJA MASA LAGI
Dalam masa yang tinggal sedikit ini saya persiapkan kelab ini sebaik mungkin, Alhamdulillah mengikut rancangan.
Ads
MENJADI AHLI KELAB SECARA RASMI ?
Jemputlah join kelab kami kepada wanita-wanita yang berminat memancing. Sama ada sudah pandai memancing atau baru mahu cuba memancing. Tiada diskriminasi kaum, negara, kulit, usia dalam kelab ini.
SETIAP AHLI AKAN DIBERI
Kad keahlian rasmi
2. Kad insurance
3. Sticker kelab
4. Kupon voucher istimewa khas untuk ahli berdaftar dengan kerjasama kelab WAC dan company-company luar yang sama prihatin dengan kelab saya ini.
Ads
KENYATAAN RASMI
Seperti yang sedia maklum, Pengasas Kelab Pemancing Wanita Malaysia, Cik Normala Abd Rahman dan Cik Nurhasima Mohd Shariff telah meletak jawatannya sebagai Presiden dan Timbalan Presiden Kelab Pemancing Wanita Malaysia pada 2 Jun 2018 yang lepas, jam 6.30 petang.
Keputusan mesyuarat telah membincangkan dan undian telah dibuat bagi mengisi kekosongan jawatan berkenaan, juga telah sebulat suara bersetuju Cik Normala Abd Rahman dilantik sebagai Penaung merangkap Pengasas dan Pemilik Asal kelab ini bagi memastikan sumbangan berterusan beliau agar kelab terus berkembang dan beliau akan terus terlibat secara lansung dalam membuat keputusan bagi kelab.
Perlantikan AJK tertinggi Kelab Pemancing Wanita Malaysia yang baru adalah seperti berikut.
Penaung – CIK NORMALA ABD RAHMAN
Pengerusi – CIK AGATHA DAVID
Tim. Pengerusi – PUAN INTAN MAZLINA ZAHARIN
Setiausaha – CIK AZIMAH MOHD ARSHAD
Bendahari – CIK NURUL AZLIANA
AJK/ Exco Tertinggi – CIK HANIA SHERITA & CIK ZAHRAH ISA
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Setelah bersarapan di jeti, kami terpaksa menunggu salah seorang ahli trip yang agak kelewatan. Sementara menunggu boathouse bergerak, ada juga yang cuba-cuba menghulurkan pancing di tepi-tepi bot. Hasilnya, seekor haruan kecil yang menyambar umpan cengkerik berjaya didaratkan oleh salah seorang ahli trip. Kira-kira jam 10.30 pagi barulah boathouse dapat bergerak keluar dari jeti.
HARI PERTAMA
Keadaan air agak surut dalam kunjungan ini. Situasinya sama seperti trip yang saya sertai tahun lepas. Ini merisaukan saya kerana pada pengalaman lalu, memang sukar untuk mengilat sang sebarau di kala keadaan air begini. Toman juga acuh tidak acuh walaupun banyak timbul di permukaan.
Boathouse berhenti bergerak lebih kurang jam 1.00 tengah hari. Sewaktu itu, makanan tengah hari sedang dihidangkan. Setelah boathouse ditambat, kami menjamu selera kemudian bersiap untuk turun casting. Kami berpecah menjadi tiga kumpulan dan menaiki bot masing-masing. Saya memilih menaiki bot di mana terdapat pasangan bapa dan anak. Melihat mereka berdua membuatkan pemancing lain termasuk saya teringat bapa masing-masing. Kesefahaman antara mereka sering mencuri perhatian kami.
Tekong membawa kami ke suak pertama berhampiran boathouse tetapi tiada sambutan. Di spot kedua tidak jauh dari suak pertama, saya mendapat satu sambaran apabila spoon yang dijatuhkan hingga ke dasar sebelum dikarau laju. Seekor sebarau remaja ditundukkan dengan mudah disebabkan set up yang agak kiasu iaitu rod berkekuatan 8-20 paun, tali 20 paun dan perambut 30 paun.
Port ketiga dan empat pula agak mengecewakan. Gewang yang dilontar beberapa kali ternyata hambar tidak bersahut. Kami pun beralih arah ke kawasan yang lain. Tiba di port kelima, terdapat akar pokok yang berselirat terendam di gigi air. Agak sukar untuk mengarau gewang yang dilontarkan di situ termasuk spoon walaupun telah ditukar ke single hook. Akim terus menukar spoon yang beliau pakai dengan jig berwarna biru.
Tidak sia-sia, seekor sebarau berjaya dipujuk keluar dari siratan akar tersebut walaupun saiznya tidak begitu memberangsangkan. Misi petang itu diteruskan hingga ke Kenarong. Airnya agak cetek dan berselut. Memang terdapat banyak boiling tetapi agak sukar untuk membuat telahan sama ada sebarau, toman mahupun haruan yang sedang bermain di situ. Top water lebih efektif di kawasan tersebut. Banyak sambaran dibuat apabila gewang jenis pensel dengan aksi walk the dog dan jump frog dibaling tetapi mata kail tidak tertancap kemas menyebabkan berlaku terlepas cangkuk.
Hanya seekor haruan kecil berjaya dinaikkan oleh Akim. Keadaan menjadi agak tertekan kerana masih terdapat ahli trip di dalam bot itu yang masih belum strike. Masa sudah agak lewat petang.
Apabila keluar dari Kenarong, kami terserempak dengan boiling sebarau di luar tanjung. Tekong terus memainkan peranan dengan mematikan enjin bot. Balingan pertama di spot berkenaan terus membuahkan hasil apabila Wan berjaya mendapat satu strike.
Hari beransur gelap. Keadaan boiling semakin rancak dari pintu tanjung sehinggalah ke perairan tasik yang lebih terbuka. Saya melihat Iman terlepas satu peluang apabila popper yang digayakan disambar tetapi tidak mengena. Apa lagi, kami pun masing-masing mengeluarkan popper. Seketika kemudian, gewang Iman sekali lagi disambar. Kali ini ikan tersangkut kemas tetapi beliau tetap melayan dengan penuh berhati-hati kerana dikhuatiri terlucut.
Dalam perjalanan pulang, kepala saya ligat memikirkan apalah cerita rakan dari rakan bot lain. Adakah hasil seperti kami atau lebih meriah. Tiba di boathouse, Apit menunjukkan gambar toman bujang dalam anggaran 3 kilogram hasil lontaran gewang Rapala Risto Rap dari Aiman.
Apit menaiki bot yang agak kecil, jadi beliau hanya bertiga termasuk Aiman dan tekong. Manakala Apit sendiri berjaya memperoleh seekor toman. Sedikit kecewa katanya kerana toman Royal Belum agak sombong walaupun pelbagai jenis gewang dilalukan di depannya. Langsung tidak mahu layan.
MISI DITERUSKAN
Hari kedua kebanyakan daripada kami bangun seawal jam 6 pagi untuk menunggu giliran mandi dan bersiap. Usai sarapan, kami berangkat menaiki bot mengikut kumpulan masing-masing pada pukul 7 pagi. Saya mengambil keputusan untuk bertukar tempat dengan rakan dari bot lain. Ini kerana saya ingin merasai pengalaman dengan tekong dan rakan yang lain.
Tekong membawa kumpulan kami menuju ke satu suak. Setiba kami di spot pertama, kami di arah membaling ke satu kawasan di mana ada sebatang balak yang tenggelam di dasarnya. Selain itu, balingan perlu berpandukan kepada buih yang timbul dari dasar air.
Jenuh juga membaling gewang tetapi tiada sambaran. Tekong berkeras untuk tidak menukar port kerana di situ terdapat sejarahnya tersendiri kerana pernah menaikkan sebarau seberat 2.9 kg dan ada pemancing yang patah joran. Saya masih tidak putus asa, apa yang dicadangkan tekong sebentar tadi terus diaplikasikan.
Sedang sesudu dikarau di pertengahan air, satu sentapan kuat berlaku sehingga saya tidak sempat untuk mengepam joran. Apabila keadaan kembali terkawal, spoon seakan tersangkut di dasar dan saya tidak dapat menggulung tali.
Tekong menyuruh saya bertahan dan jangan memaksa. Beliau menuju ke arah punca tali menggunakan thruster dan menarik-narik tali utama saya yang berkekuatan 14 paun. “Ada ni… ada… tunggu dia keluar,” kata tekong.
Tali dihenjut-henjut menggunakan tangan oleh tekong bot. Bila tali mula bergerak, satu perlawanan drastik berlaku. Dua tiga kali drag keluar dari Shimano Calcutta Conquest DC 51 yang saya gunakan. Sememangnya drag diketatkan dalam anggaran 80 peratus untuk mengelak mata kail rabut dari mulut ikan apabila ditarik. Tidak lama kemudian, seekor sebarau yang agak besar saiznya muncul di permukaan. Tekong terus mencapai tali perambut yang berkekuatan 20 lb dan menarik ikan ke atas bot. Bagi sesetengah kaki pancing, mungkin perlawanan sebegini hanyalah satu rutin memancing di air tawar tetapi bagi saya, ini pun sudah dikira satu kepuasan.
Apabila ditimbang, berat ikan ialah 1.3 kg. Walaupun bukan bersaiz badong tetapi menurut tekong, susah untuk mendapatkan saiz begini sekarang. Apabila berbual dengan tekong, beliau berulang kali mengatakan sekarang bukanlah musim terbaik casting sebarau kerana paras air tasik tidak naik sepenuhnya. Keadaan air tidak menentu kadang-kadang naik dan kadang-kadang turun mengejut. Pada awalnya kami memang ingin datang pada penghujung tahun tetapi semua tarikh telah penuh ditempah pemancing lain. Terpaksalah datang lebih awal. Jika tidak, trip terpaksa dibatalkan berikutan tiada tarikh yang sesuai.
SESI PETANG HARI KEDUA
Sebelah petang, Zaini pula menunjukkan belangnya. Sebanyak tiga ekor sebarau kesemuanya dinaikkan oleh beliau. Lebih menarik lagi apabila bukan sesudu yang digunakan tetapi gewang Rapala Risto Rap saiz 8 berwarna parrot. Menjadi sungguh gewang beliau kali ini. Malah ada juga yang lucut dan meninggalkan sisik sahaja di mata kail. Dari segi saiz pula, ikan berskala antara 300 hingga ke 500 gram. Sementara itu, satu lagi kumpulan berjaya mendaratkan beberapa ekor sebarau dan seekor mama toman.
Sebelah malamnya pula, selesai makan malam, kebanyakan daripada kami semuanya tidur awal ekoran kepenatan casting, walaupun ada juga yang cuba-cuba untuk membottom baung. Pukul 3 pagi, kami tersedar apabila seorang staff boathouse datang ke bilik untuk memeriksa tingkap berikutan hujan lebat.
HARI TERAKHIR TRIP
Hari terakhir, kami keluar lebih awal berbanding semalam. Selesai sarapan tekong membawa kami ke satu tanjung di pintu masuk salah satu suak di situ. Dari jauh kami telah nampak boiling. Saya tidak pasti sama ada toman atau sebarau tetapi tekong meyakinkan kami bahawa itu ialah sebarau.
Zaini memperolehi strike pertama tetapi rabut. Hanya sisik sebarau yang agak besar terlekat pada gewang Rapala Risto Rap yang digunakan. Padahal beliau menggunakan mata tiga tetapi masih rabut. Ketika itu tekong bising dan menyatakan jika rabut, peluang untuk mendapat strike di tempat sama agak tipis.
Sekian kali mencuba, Zaini akhirnya berjaya juga menaikkan sebarau menggunakan Risto Rap bersaiz 8 tetapi warna neutral dan sekali lagi mendapat strike di kawasan yang sama tetapi kali ini agak kecil saiznya. Memang bertuah betul dia.
Hanya toman juvenil sahaja yang sudi menyambar spoon saya dan menjadi ikan penutup pada trip kali ini walaupun saya menjangkakan sebarau kerana lontaran spoon dan karauan laju dibuat. Aiman, pula tersenyum puas apabila berjaya menaikkan toman bersaiz mama.
Tanjung Buai yang berada di dalam daerah Kota Tinggi, Johor merupakan kawasan muara yang cukup strategik untuk dilawati kaki pancing seluruh Malaysia Muara Tanjung Buai boleh dilihat dengan jelas dari Jambatan Lebuh raya Senai-Desaru, yang pastinya menggamit pemancing untuk datang bertandang.
Muaranya yang bersambung dengan Teluk Sengat dan Kong Kong menjadi habitat pelbagai spesies hidupan akuatik, khususnya ikan muara. Bagi pemancing, spesies ikan gred A seperti siakap, tanda, siakap merah, merah, kerapu dan tebal pipi merupakan buruan utama, dek kerana harganya yang tinggi dan rasanya yang enak.
Selain popular diterjah melalui kaedah pancingan bot, Tanjung Buai juga popular dengan gugusan rumah rakit milik pengusaha tempatan yang menawarkan harga yang berpatutan untuk sesi pancingan selama satu hari atau lebih.
Salah seorang pengusaha rakit yang popular di Tanjung Buai adalah saudara Rosul. Beliau memiliki beberapa buah rumah rakit di kawasan berpotensi tinggi sebagai habitat ikan.
Setiap hujung minggu rakitnya pasti laris ditempah. Saya bersama Team Redah tidak mahu ketinggalan untuk mencubanya. Trip disertai oleh Amir, Paklang Rahimi, Pakteh Miren, dan saya, berikutan kekangan masa ahli-ahli yang lain.
Kami tiba pada saat air baru bergerak pasang, yang mana menjadi masa terbaik untuk melabuhkan umpan kerana kebiasaannya ikan siakap, jenahak dan tebal pipi sangat aktif pada ketika itu.
Udang hidup, ruat, udang pasar dan ikan tamban menjadi umpan taruhan kami. Udang hidup dan ruat merupakan diet utama kebanyakan spesies gred A. Ikan tamban dan selayang pula sangat sesuai digunakan sekiranya anda menyasarkan spesies kerapu dan pari.
Lebih elok sekiranya pemancing menggunakan umpan seekor ikan kerana lebih besar umpan, lebih besarlah saiz pemangsanya. Udang pasar pula lebih sesuai untuk mencari duri dan gelama sementara menantikan ketibaan spesies gred A yang dicari.
Tidak perlu menunggu lama, joran saya yang berumpankan ikan tamban direntap kasar. Namun kelewatan saya menyentap menyebabkan ikan terlucut. Kejadian yang sama juga berlaku kepada ahli- ahli yang lain. Sehingga ke petang, hanya beberapa ekor ikan gelama yang kami perolehi.
Senja, merupakan waktu efektif untuk mengintai spesies siakap. Umpan udang hidup dihanyutkan menggunakan kaedah pelampung. Selang berapa lama, pelampung yang digunakan Paklang Rahimi tenggelam timbul dilarikan mangsa.
Sentapan yang padu mengukuhkan cangkukan mata pancing, namun keadaan yang kosong ketika proses karauan menimbulkan tanda tanya. Rupanya seekor ikan pecah periuk atau siakap sampah menjadi habuan Paklang Rahimi. Melihat hasil yang memberangsangkan, Amir dan Pakteh Miren menukar kepada teknik yang sama.
Hasilnya, Pakteh Miren pula berjaya menaikkan spesies yang sama namun saiznya lebih besar. Alhamdulillah, rezeki. Ketika air mula bergerak surut, joran Paklang Rahimi pula dihenjut ganas. Sistem tegangan kekili yang diletak ke tahap maksimum tidak mampu menahan asakan, dan akhirnya perambut 80lb yang digunakan putus begitu sahaja.
Melihat kepada corak pemakanan, kami jangkakan suspek seekor kertang, yang saiznya kami agak sebesar pintu kereta kancil. Biasalah, bila ikan terlepas pastinya yang bersaiz besar. Selepas itu suasana kembali sunyi dari ragutan kasar, hanya gelama dan duri yang sudi muncul.
Sesekali ada ahli yang menaikkan belut dan sirat dan pemancing itu mendapat malang berganda apabila terpaksa menahan telinga pula daripada kutukan rakan-rakan.
Subuh keesokannya, jeritan kami memecah keheningan pagi apabila Amir pula menaikkan seekor tebal pipi. Hajat isterinya untuk merasa keenakan ikan tebal pipi sebelum trip bermula termakbul akhirnya. Saya hanya mampu memandang dengan iri hati, kerana hanya saya seorang yang masih belum menaikkan sebarang spesies gred A.
Kalaulah saya cepat sedikit, sudah pasti ikan yang terlucut sebelumnya dapat dinaikkan. Kalaulah… dan kalaulah itu berterusan sehingga matahari memunculkan diri.
Kami bersepakat menamatkan trip pada jam 9 pagi. Beberapa minit sebelum bot tiba, joran Lemax Slimmax milik saya tiba-tiba melentur. Peluang yang muncul diambil sebaik mungkin. Selepas beberapa minit bermain tarik tali dengan debaran yang kencang di dada, akhirnya seekor senangin anggaran 1kg dapat juga saya naikkan.
Kini lengkaplah koleksi 4 ekor ikan gred A untuk 4 orang pemancing. Kami pulang dengan senyuman. Sudah ada lauk untuk dibawa pulang dan sudah semestinya, tidak akan ada halangan dari isteri sekiranya ingin turun memancing lagi.
INFO RAKIT ROSUL
Sebarang tempahan atau pertanyaan, bolehlah hubungi saudara Rosul di talian 019-7822775.
Pancingan dasar secara berhanyut adalah teknik pancingan paling efektif di perairan Zeezone kerana kebanyakan lubuk adalah di celahan laluan kapal dagang yang mundar mandir sepanjang Selat Melaka.
Istilah menotok (pancingan dasar secara berhanyut) lebih banyak diguna pakai oleh pemancing otai di perairan ini kerana ia lebih menjurus kepada situasi dasar berbanding berhanyut yang berkisar di permukaan.
Kini bertambah ramai yang sanggup meredah gelombang dan alun kapal semata-mata ingin merasai keperitan menarik jenahak, merah, kerapu dan ibu gelama dari dasar manakala talang, haruan tasik, gerepoh, tenggiri pula pasti turut mendapat habuan jika umpan dilepaskan tanpa ladung.
Dalam trip ke sekian kalinya, cuaca begitu menyebelahi kami kerana beberapa trip sebelumnya terpaksa menempuh alun menggila di pintu keluar kawasan merah yang dikenali Pintu Air Pulau Pintu Gedung. Laut yang sedikit beralun membolehkan proses mencari umpan hidup. Umpan hidup dari hasil apollo lebih mudah diperoleh namun ia sekadar umpan pilihan kedua.
Pilihan pertama sotong kurita menjadi pertaruhan terbaik namun permintaan tinggi dan bekalan sering tidak mencukupi memaksa ramai pemancing mencari umpan alternatif.
Penjimatan masa ke lubuk amat ketara ketika bergerak dalam kelajuan hampir penuh di kala laut mendatar. 15 hingga 30 minit diperlukan setiap kali berpindah lubuk. Ikan tidak mendiami lubuk yang sama dan jumlahnya agak menurun.
Kalau disebut kawanan ikan tentu ratusan dan puluhan ekor, tapi di kawasan Zee Selat Melaka ini kawanan ikan biasanya kurang dari 10 ekor mengikut pemerhatian hasil yang dibawa pulang oleh kumpulan pemancing.
Kami bergerak ke lokasi dengan penuh semangat kerana kedua-dua jenis umpan iaitu sotong kurita dan ikan selar hidup serta tamban yang nyawa-nyawa ikan sudah tersedia untuk digunakan.
Lubuk pertama menjadi persinggahan kira-kira 11 batu nautika dari Pintu Gedung atau lebih dikenali Lubuk 190 darjah berpandukan bacaan kompas dari kuala Pintu Gedung. Kalau 230 darjah akan melepasi Rumah Api Permatang Sedepa.
Kedudukan lubuk hampir melepasi Paloh 3 di mana kawasan laluan kapal melintasi Pelabuhan Klang menuju ke arah Selatan. Memandangkan umpan selar dan tamban masih lagi segar hidup, kami mengunjungi lubuk biasa yang banyak menerima strike oleh talang.
Umpan selar amat mudah menjerat talang manakala tamban pula menjadi taruhan untuk ikan dasar. Dalam keadaan laut agak selesa, muka baru yang pertama kali turun nampaknya masih tetap tidak tahan.
Mabuk membawa sehingga seharian di dalam sampan dengan baring sambil melihat rakan-rakan memancing. Lama-lama nanti pasti akan biasa dengan alun dan akhirnya boleh mengikuti trip di kemudian hari.
Zon penantian bermula beberapa minit selepas semua peralatan pancing ditugaskan melabuhkan umpan selesai. Pertaruhan umpan selar hidup, sotong kurita dan tamban yang nyawa-nyawa ikan pasti dinilai keberkesanannya merujuk kepada umpan mana yang disambar terlebih dahulu.
Bunyi hon kapal kedengaran apabila dari kejauhan menandakan ada sampan lain yang ketika itu terlalu hampir dengan laluan mereka. Perkara yang dah biasa buat kami kerana tumpuan utama ke arah hujung joran, menanti lenturan dengan penuh harapan.
Umpan tamban segar menjadi korban pertama untuk sang jenahak remaja. Strike kedua di kawasan yang sama turut mengorbankan umpan tamban apabila seekor lagi jenahak tewas dengan joran buatan tangan dengan pasangannya kekili elektrik Shimano Beastmaster 9000.
Larian ikan bermasalah – sang cobia, itulah gelaran yang diberi kepada aruan tasik. Apabila ia kena sahaja, pasti ia akan mengelilingi sampan apabila muncul di permukaan. Kekuatan yang dimiliki spesies ini walaupun di permukaan air tidak terdaya lagi ditangani apabila larian kedua begitu kuat sehingga perambut 80 lb putus.
Suasana menyepi selepas kehilangan aruan tasik. Beberapa kali lubuk pertama diulangi namun tiada sentuhan kasar. Hanya tengkerong dan ikan mengkerong pasir yang mencuri umpan yang semakin mahal harganya.
Waktu puncak pertama sudah lepas terpaksa menunggu waktu puncak berikutnya dalam masa 5 jam lagi. Sesi berhanyut sambil merehatkan badan seketika.
Memasuki waktu puncak kedua kami berpindah ke lokasi lain yang terletak kira-kira 6 batu nautika. Dengan pecutan 24 knot, dalam masa 15 minit akan sampai kerana alun selat semakin mendatar menjelang waktu petang. Percaturan yang sama seperti sesi sebelah pagi.
Cuma tinggal beberapa ekor selar dan kurita sahaja. Umpan tamban semuanya mati kerana spesies ini perlukan kitaran air yang baik untuk kekal hidup.
Apabila arus semakin melemah, sambutan ikan dasar semakin kerap jika berada di kawasan lubuknya. Petang itu agak menceriakan kami apabila ikan lebih galak. Semakin lewat petang semakin menjadi pula jenahak menyambar. Walapun tidak kesemua strike berhasil sekurang-kurangnya ada juga kepuasan yang diperoleh.
Lewat petang itu kami pulang dalam keceriaan sambil menyusun perancangan untuk kembali lagi. Jadi pemancing mana pernah puas tidak kira menggasak atau digasak. Kumpau itu sesuatu yang indah dikenang walaupun pahit untuk ditelan.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...