Pada 13 Jun lalu, penduduk dekat Sungai Linggi di sini, bimbang dengan fenomena ‘udang galah mabuk’ yang dipercayai berpunca daripada pencemaran air sungai.
Penduduk mendakwa kejadian itu dipercayai disebabkan pencemaran racun tuba yang digunakan oleh pencari udang galah selain kesan pencemaran kilang dari hulu Sungai Linggi.
Wakil penduduk, Md Isa Adam, 56, berkata, kejadian itu merisaukan penduduk rata-ratanya nelayan yang menjadikan udang galah di sungai itu sebagai sumber pendapatan harian.
“Sejak kebelakangan ini, memang air sungai keruh. Saya tidak pasti apa punca sebenarnya, tetapi saya difahamkan disebabkan aktiviti perkilangan yang melepaskan bahan kimia ke dalam sungai.
Ads
“Malah, sikap tamak nelayan sendiri yang menggunakan racun tuba untuk mendapatkan hasil yang banyak menyebabkan air sungai tercemar dan mempunyai kesan toksik.
“Saya pernah mengambil udang galah dari sungai dan meletakkannya ke dalam kolam. Saya terkejut apabila melihat air kolam bertukar menjadi hitam dan terpaksa menukar air beberapa kali sebelum ia betul-betul jernih,” katanya.
Menurutnya, dia sudah membuat aduan kepada pihak berkaitan dan bertemu pemimpin tempatan untuk mencari penyelesaian bagi mengelak berlaku kejadian tidak diingini namun tiada tindakan diambil.
“Saya harap pihak berkenaan tolong periksa dan pantau jika betul ada aktiviti seperti didakwa kerana membabitkan sumber pendapatan dan bekalan air penduduk.
Ads
“Saya tidak mahu kejadian yang berlaku kepada Orang Asli di Kuala Koh, Gua Musang terjadi di sini.
“Saya juga bimbang udang galah yang dijual itu tercemar dan memberi kesan sampingan kepada kesihatan pengguna.
“Kesannya mungkin tidak nampak sekarang ini tetapi pada jangka panjang siapa akan tahu,” katanya.
Ads
Sementara itu, Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan, Norhazni Mat Sari mengesahkan menerima aduan terbabit dan menjalankan siasatan.
Beliau berkata, data pengawasan Sungai Linggi kelmarin menunjukkan sungai itu mengalami pencemaran kelas tiga.
“Berkaitan pencemaran sungai dari kawasan industri, setakat ini ia dalam kawalan JAS dan tiada pengeluaran (bahan kimia dari kilang) secara langsung kepada kes kematian ikan atau udang,” katanya.
(Sumber: Berita Harian & Harian Metro)
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Hadiah wang tunai paling lumayan bakal menanti peserta dalam cabaran memancing Gigasurf Pantai Puteri, di Pantai Puteri, Melaka Ahad ini.
Hadiah keseluruhan bernilai hampir RM150,000.00 menanti pemenang pertandingan anjuran Wakjali Event Management itu. Juara bakal membawa pulang wang tunai RM100,000.00, naib juara RM13,000.00 dan ketiga RM5,000.00, keempat RM1,500.00 dan elima RM1,000.00.
Penganjur turut menawarkan hadiah wang tunai hingga tempat ke-80 serta hadiah bagi kategori 12 spesies iaitu ikan lembu, sirat-sirat, buntal, gelama, duri, belukang, kerisi, ikan ayam, serkut, tapak kasut, daun baru dan malong. Tiga pemancing yang menaikkan 12 spesies terawal layak menang hadiah RM50.00 setiap satu.
Pengarah Urusan Wakjali Event, Md Zali Kasran, berkata paling menarik ialah pertandingan kali ini menyaksikan ikan pari diletakkan di dalam kategori khas yang tidak layak untuk bersaing bagi hadiah utama.
“Ini kali pertama ikan pari diletakkan sebagai spesis khas. Langkah ini bagi memberi peluang kepada semua pemancing bertarung dari wisel permulaan hingga akhir.
“Juara spesies pari akan membawa pulang RM2,000.00, kedua RM1,000.00, ketiga RM500.00, keempat RM400 dan kelima RM300.00,’’ katanya.
Berikutan spesies pari diletakkan dalam kategori khas, penganjur menjangkakan spesies seperti semilang, senangin, kerapu, daun baru, gelama papan, malong dan lain-lain spesies mampu bersaing untuk hadiah kejuaraan RM100,000.00 itu.
Kaunter pendaftaran akan dibuka di lokasi pertandingan bermula jam 12.00 tengahari Sabtu ini. Kaunter dibuka 24 jam sehingga hari pertandingan.
Pertanyaan hubungi 0122141401, 0133838655 dan 0126823479.
Gabungan idea dan konsep melancong sambil memancing amat menarik minat kumpulan saya berdasarkan cerita-cerita daripada rakan pemancing yang sudah berpengalaman memancing di Pulau Aur.
Lokasi memancing di sini yang terkenal dengan keindahan pantai dan taman laut menguatkan semangat kami untuk mengalami pengalaman memancing sedemikian.
Maka bot Tuna Biru menjadi pilihan kami untuk merealisasikan hajat kami ke sana. Selepas mendapatkan nombor yang perlu dihubungi, kami pun mengatur jadual dan membuat
tempahan 3-4 bulan awal kerana terlalu banyak permintaan tempahan dengan jadual yang padat dari pemilik bot.
Jika ada pemancing yang ingin menikmati pengalaman memancing sambil bersantai saya berpendapat memancing di Pulau Aur, Mersing adalah pilihan yang paling tepat.
Ini merujuk kepada pengalaman saya memancing di sana baru-baru ini.
Kami seramai 8 orang dari KL tiba pada hari yang dijanjikan. Tanpa membuang masa, kami terus berjumpa dengan tekong Sham yang kelihatan masih muda tetapi kaya dengan pengalaman.
Selepas memunggah barang ke dalam bot, kami terus menuju ke Pulau Aur yang mengambil masa kira-kira 5 jam perjalanan.
Bot Tuna Biru
Sebelum kami mula memancing. Bot Tuna Biru singgah di unjam berhampiran untuk sesi appollo ikan umpan. Memang mudah untuk memancing appollo di sini.
Appollo kami sering full house di unjam yang singgah. Dengan pantas ia memenuhkan stok umpan hidup kami.
Selepas kami tamat sesi appollo, kami mula melakukan teknik trolling.
Dengan menggunakan gewang tundaan Rapala magnum red head, kami trolling berhampiran unjam.
Diketahui di kawasan unjam memang menjadi tempat menghendap bagi ikan-ikan pelagik seperti ikan tenggiri dan alu-alu.
Selepas bot berpusing-pusing beberapa kali di kawasan unjam, kami menerima satu strike yang padu.
Dengan penuh cermat kami melayan tarikan ikan, akhirnya seekor ikan tenggiri berjaya didaratkan.
Kami menyambung lagi sesi trolling di kawasan tersebut dan hasilnya beberapa ekor ikan tenggiri lagi dan belitong berjaya didaratkan.
Selepas puas melayan tarikan ikan di unjam, kami berpindah berhampiran perairan Pulau Aur untuk memancing dasar.
Tekong akan mensasarkan kawasan lubang dan karang yang kaya dengan ikan. Selepas 45 minit perjalanan, bot berlabuh di kawasan karang.
Maka bermulalah sesi memancing dasar pula. Memandangkan kedalaman air sedalam 60-70 meter, tekong mencadangkan kami menggunakan perambut dua mata berkekuatan 60lb dan batu ladung bersaiz 14.
Dengan berumpankan isi sotong dan ikan kembung hasil apollo sebelum ini, dengan mudah kami berpesta ikan kerapu. Saiznya juga amat memuaskan sekitar 1kg-2.5kg.
Sekali sekala ada juga rakan kami yang berjaya memperoleh kerapu seberat anggaran 4-5kg.
Kami memancing sepuas hati pada hari pertama trip ini berlangsung dan apabila hampir pukul 5 petang kami bergerak menuju ke Pulau Aur.
Santai Pulau Aur
Apa yang menarik tentang trip ini ialah, jumlah kos memancing yang telah dibayar oleh kumpulan kami merangkumi kos penginapan chalet dan makan minum.
Setibanya di pulau ini, kami dibawa bersiar-siar terlebih dahulu menaiki speed boat di sekitar Pulau Aur.
Kemudian barulah kami berlabuh di Pulau Dayang yang terletak bertentangan dengan Pulau Aur.
Chalet yang disediakan amat selesa dengan kemudahan yang sangat memuaskan. Selepas kami check-in di chalet, kami menikmati keindahan pantai pulau tersebut.
Ada juga beberapa orang rakan kami yang tidak menahan keinginan untuk bermandi manda serta bersnorkeling di tepi pantai. Memang mengujakan!.
Ada juga lebih bersantai-santai di pantai sambil merehatkan badan dan menikmati air kelapa muda di tempat rehat yang disediakan.
Selepas kami membersihkan diri, kami dijemput oleh tekong dan awak-awak untuk menikmati makan malam bersama mereka.
Lubuk Merah dan Kerapu
Hari kedua, seawal 6.00 pagi kami terus keluar dan menuju ke lubuk yang berikutnya. Dengan teknik perambut 2 mata seperti semalam, kami mula menurunkan umpan secara perlahan-lahan.
Apabila umpan sampai ke dasar dengan pantas rod kami menunjukkan ada tanda getuan ikan memakan umpan yang diturunkan.
Rakan-rakan yang lain juga mengalami situasi yang sama. Nampak gayanya ikan-ikan di sini amat pelahap.
Ikan merah, ibu kerisi dan ikan kerapu berjaya didaratkan di lubuk ini. Selepas puas melayan ikan di sini, kami bergerak ke lokasi yang lain.
Pelbagai ikan yang menghuni karang berjaya kami naikkan tanpa perlu menunggu lama.
Kami meneruskan rutin memancing sehingga petang dan pulang ke chalet seperti semalam. Tanpa disedari kami hampir memenuhkan tong-tong kami.
Hari ketiga kami menyambung rutin kami seperti hari-hari sebelum ini. Memandangkan ini hari terakhir kami memancing bersama Tuna Biru, kami akan memancing sambil menuju pulang ke jeti.
Pelbagai ikan lagi berjaya kami daratkan pada hari ke terakhir. Tepat pukul 3 petang kami tiba di jeti di Bandar Mersing.
Ikan kami bahagikan sama rata kepada semua ahli trip dan sempat singgah membeli keropok lekor yang terkenal di Mersing.
Selepas selesai urusan kami di sini, kami bergerak pulang menuju ke Kuala Lumpur.
Next Trip
Selepas mengalami pengalaman yang begitu mengujakan, ia telah menjelaskan kepada diri saya kenapa Mersing dan Pulau Aur menjadi pilihan terbaik untuk memancing.
Memancing sambil bersantai di Pulau Aur yang indah selama 3 hari 2 malam merupakan pengalaman terbaik sepanjang menceburi dunia memancing ini.
Walaupun tidak dapat merasai pengalaman memancing pada waktu malam di Pulau Aur seperti trip-trip lain sebelum ini, ia tidak memberi kesan kepada kumpulan kami kerana stok ikan yang kami perolehi sudah lebih daripada mencukupi.
Sikap tekong Sham dan ayahnya yang peramah juga menjadi salah satu faktor kenapa ramai kaki pancing gemar menggunakan khidmat mereka.
Pada saya, trip sebegini amat sesuai untuk mereka yang baru berjinak-jinak hendak memancing lama di laut.
Atas faktor-faktor tersebut jugalah, kumpulan kami tidak ketinggalan untuk membuat tempahan awal untuk trip akan datang sebelum pulang ke Kuala Lumpur.
Walaupun banyak urusan lain pada hari itu, namun semuanya saya ketepikan dulu demi untuk melampiaskan nafsu dan menghanyirkan rod yang sudah agak lama bersawang di rumah. Biarpun tidak membawa peralatan yang secukupnya, namun kami tetap komited untuk melayan komplot santai ini.
Difahamkan di kawasan Seri Iskandar ini memang kaya dengan lombong-lombong tinggal yang dihuni pelbagai spesies ikan. Biarpun begitu, penulis memang tidak meletakkan sebarang harapan untuk misi ini berjaya mendapatkan hasil yang memuaskan. Cukuplah sekadar merasai ‘karen’ ikan-ikan kecil yang mungkin sudi menjamah umpan nanti.
Dengan berumpankan campuran dedak pandan dan dedak ayam kami terus melabuhkan umpan. Tidak perlu menunggu lama untuk memujuk ikan di lombong ini untuk buka mulut. Adik saya menjadi yang pertama mendaratkan spesies pendatang yang dikatakan semakin memonopoli lombong ini.
Tidak lama selepas itu bersilih ganti kami melayan pelbagai jenis ikan yang saiznya tidaklah begitu membanggakan. Biarpun saiz hanya sebesar tapak tangan namun bila melayani tarikannya dengan set ringan dapat memberi satu rasa yang hanya difahami oleh kaki pancing sahaja.
Sebelum senja, kami mengambil keputusan untuk menamatkan sesi pancingan di sini memandangkan penulis perlu berkemas untuk pulang semula ke Melaka keesokan harinya.
Biarpun tidak mendapat hasil dengan saiz membanggakan, namun penulis tetap berpuas hati kerana sempat juga melepaskan gian di kampung yang hanya dapat penulis kunjungi dua tahun sekali, itu pun pada musim perayaan!
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...