Alhamdulillah… trip pembuka tirai 2023 berlangsung dengan penuh kegemilangan. Ikan pertama saya landkan siakap monster bersaiz 12.9 kg. Ia terjadi pada balingan kedua saya seawal 9.40 am. Balingan pertama saya strike siakap bersaiz anggaran 2 kg tapi lucut tepi bot. Amlie tak sempat sauk. Tekong Joko pulak baru nak ikat leader. Ikan pertama Amlie landkan siakap monster bersaiz 7.9 kg pada 9.50am.
Ads
Hasil trip pembuka tirai 4 ekor siakap, 2 ekor kerapu, 1 ekor Jenahak dan 1 ekor barracuda. Alhamdulillah… rezeki anak-anak kami.
Penantian saya selama menjadi penunggu muara setahun 4 bulan. Alhamdulillah Allah makbulkan untuk saya fight dan landkan siakap 12.9 kg dengan setup; rod Sawa-D Mantap, 8-17 lb, 6 kaki 2 pcs. Reel Sawa-D Signature150 Max Drag 8kg, mainline 50lb Boytep Submerged System X8+1. Leader Sawa-D Mantap Plus 100% Fluoro 60 lb dengan teknik casting.
Ads
Amlie pula menggunakan setup; rod Sawa-D Prototype PE3 6kaki 1pc, reel Sawa-D Signature150 Max Drag 8kg, mainline 30lb Boytep Submerged System X8+lb, leader Sawa-D Mantap Plus 100% Fluoro 50 lb, juga dengan teknik casting
Setup saya gunakan agak kasar kerana di muara kami bukan fight dengan ikan semata-mata. Kami fight dengan reba dan teritip. Drag Reel Sawa-D Signature150 yang berkekuatan 8kg saya full max LOCKED sebab kawasan high pressure yang penuh dengan reba.
Ads
Kekuatan set hook saya dibantu dengan drag yang dikunci 100%. Reason saya gunakan rod medium Sawa-D Mantap 8-17lb adalah kerana saya akan cast 2 hari berturut-turut. Penggunaan rod medium yang ringan dan liat dari Sawa-D membantu saya untuk tidak cepat letih untuk casting blind cast 2 hari berturut-turut di muara. Handling untuk rod medium juga berlainan. Apa-apa jenis rod yang kita gunakan, kita kena tahu keupayaan dan cara handling yang betul.
Perkongsian saya di TikTok mendapat pelbagai reaksi dan ada yang tidak percaya kami menggunakan teknik casting. Ada yang tidak percaya perempuan mampu fight siakap liar bersaiz 12.9 kg. Ada yang tak percaya Rod Sawa-D Mantap 8-17lb 6 kaki 2pcs mampu fight dengan siakap monster dan pelbagai lagi. Alhamdulillah semua ini dengan izin Allah jua.
Oleh: Azura & Amlie Fishing Adventures
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Sepanjang jajaran sungai menghala ke laut Pelabuhan Klang ini, sebenarnya bukan sedikit rumah rakit yang dapat dilihat di kawasan Teluk Gong ini. Terdapat kira-kira 30 buah rumah rakit yang tersergam bertebaran dan setia menerima kunjungan kaki pancing saban hari.
Rumah rakit di sini biasanya dimiliki oleh orang perseorangan dan seorang pemilik biasanya memiliki lebih daripada satu rumah rakit. Keadaan di rumah rakit juga rata-rata cukup selesa kerana prasarana atau kemudahan yang disediakan seakan sebuah chalet terapung.
Setiap rumah rakit di Teluk Gong rata-rata dilengkapi dengan tilam, ruang dapur untuk memasak, bilik air dan juga televisyen. Jadi anda yang mahukan suasana pancingan santai bersama keluarga atau rakan-rakan, mungkin boleh berkunjung ke sini nanti.
Saya berkesempatan berkunjung ke salah satu rumah rakit di Teluk Gong yang dimiliki oleh Zainudin. Hanya memakan masa kira-kira setengah jam perjalanan dari Shah Alam, saya dan rakan tiba di Jeti Telok Gong. Tidak menunggu lama, kami dijemput oleh boatman iaitu Abang Jais dan terus dibawa ke rumah rakit yang mengambil masa lima minit dari jeti.
Seperti dijelaskan pada awal tadi, rumah rakit Zainudin ini turut lengkap dengan kemudahan dan sangat selesa. Keadaan kebersihan di bilik air dan ruang dapur juga agak memuaskan. Menurut Abang Jais, memang menjadi rutin baginya bagi mengekalkan kebersihan rumah rakit untuk keselesaan pengunjung.
Sewaktu kunjungan kami, keadaan arus agak laju kerana air pasang besar. Berbekalkan umpan udang dan perumpun, beberapa spesies agak galak menjamah umpan ialah ikan duri, gelama dan gelama pisang. Spesies lain tidak ada yang sudi mungkin kerana keadaan air yang besar. Walaupun begitu, kami tidak menang tangan melayan spesies tersebut terutama sekitar jam 8-10 malam.
Menurut Abang Jais, rumah rakit Zainudin yang beroperasi sejak tahun 1997 ini telah menyaksikan banyak spesies ikan pernah dinaikkan. Antaranya spesies pari, senangin, gemang dan siakap. Namun menurut pemerhatian peribadi Abang Jais, waktu yang sesuai ialah ketika air kecil dengan arus sedikit perlahan. Apa pun, kami tetap menikmati keseronokan melayan gelama pisang ketika ke sini.
Mungkin sebahagian dari kita sudah tahu sensasi tarikan ikan jenis ini. Jika tidak mahu kecewa kita harus memilih jenis line atau tali yang kuat untuk bertarung dengannya. Tentu kita tidak mahu berputih mata apabila tewas dalam pertarungan dan menjadi rezeki mata saja.
Line yang biasa saya gunakan ialah jenis braied atau tali sulam 20lbs kerana line jenis ini tidak mudah putus jika bergeser atau berbeli pada bangkar pokok yang menjadi rumah kegemaran baung.
Umpan saya biasa guna ialah anak ikan kap ukuran sebesar jari telunjuk atau usus ayam yang dibusukkan yang tidak lebih dari 2 hari.
Namun yang paling sering saya pakai adalah umpan usus ayam yang dibusukkan kerana dengan bau yang menyengat akan menarik perhatian ikan baung itu sendiri, sebab ikan baung akan mencari sumber yang mengeluarkan bau busuk untuk dijadikan makanan yang merupakan makanan kegemarannya.
Tak seperti menggunakan umpan anak ikan kerana jika kita menggunakan anak ikan, kita hanya menunggu ikan baung melintas untuk memakan umpan kita. Namun, gabungan umpan busuk dan umpan anak ikan boleh membuahkan hasil yang lebih baik.
Beberapa pemancing mengabaikan hal ini, mereka lebih beranggapan yang penting umpan sudah dibaling dan memancing pada malam hari. Tak mustahil jika begini, anda hanya akan dapat gigitan nyamuk saja tanpa sebarang hasil.
Ada beberapa hal yang perlu diketahui pemancing, jika kita memancing pada malam hari mulai lewat sampai pukul 03.00 pagi, pada tempoh waktu tersebut ikan baung aktif mencari makan di pinggiran sungai dan jenis umpan yang paling sesuai ialah anak ikan.
Setelah bersarapan di jeti, kami terpaksa menunggu salah seorang ahli trip yang agak kelewatan. Sementara menunggu boathouse bergerak, ada juga yang cuba-cuba menghulurkan pancing di tepi-tepi bot. Hasilnya, seekor haruan kecil yang menyambar umpan cengkerik berjaya didaratkan oleh salah seorang ahli trip. Kira-kira jam 10.30 pagi barulah boathouse dapat bergerak keluar dari jeti.
HARI PERTAMA
Keadaan air agak surut dalam kunjungan ini. Situasinya sama seperti trip yang saya sertai tahun lepas. Ini merisaukan saya kerana pada pengalaman lalu, memang sukar untuk mengilat sang sebarau di kala keadaan air begini. Toman juga acuh tidak acuh walaupun banyak timbul di permukaan.
Boathouse berhenti bergerak lebih kurang jam 1.00 tengah hari. Sewaktu itu, makanan tengah hari sedang dihidangkan. Setelah boathouse ditambat, kami menjamu selera kemudian bersiap untuk turun casting. Kami berpecah menjadi tiga kumpulan dan menaiki bot masing-masing. Saya memilih menaiki bot di mana terdapat pasangan bapa dan anak. Melihat mereka berdua membuatkan pemancing lain termasuk saya teringat bapa masing-masing. Kesefahaman antara mereka sering mencuri perhatian kami.
Tekong membawa kami ke suak pertama berhampiran boathouse tetapi tiada sambutan. Di spot kedua tidak jauh dari suak pertama, saya mendapat satu sambaran apabila spoon yang dijatuhkan hingga ke dasar sebelum dikarau laju. Seekor sebarau remaja ditundukkan dengan mudah disebabkan set up yang agak kiasu iaitu rod berkekuatan 8-20 paun, tali 20 paun dan perambut 30 paun.
Port ketiga dan empat pula agak mengecewakan. Gewang yang dilontar beberapa kali ternyata hambar tidak bersahut. Kami pun beralih arah ke kawasan yang lain. Tiba di port kelima, terdapat akar pokok yang berselirat terendam di gigi air. Agak sukar untuk mengarau gewang yang dilontarkan di situ termasuk spoon walaupun telah ditukar ke single hook. Akim terus menukar spoon yang beliau pakai dengan jig berwarna biru.
Tidak sia-sia, seekor sebarau berjaya dipujuk keluar dari siratan akar tersebut walaupun saiznya tidak begitu memberangsangkan. Misi petang itu diteruskan hingga ke Kenarong. Airnya agak cetek dan berselut. Memang terdapat banyak boiling tetapi agak sukar untuk membuat telahan sama ada sebarau, toman mahupun haruan yang sedang bermain di situ. Top water lebih efektif di kawasan tersebut. Banyak sambaran dibuat apabila gewang jenis pensel dengan aksi walk the dog dan jump frog dibaling tetapi mata kail tidak tertancap kemas menyebabkan berlaku terlepas cangkuk.
Hanya seekor haruan kecil berjaya dinaikkan oleh Akim. Keadaan menjadi agak tertekan kerana masih terdapat ahli trip di dalam bot itu yang masih belum strike. Masa sudah agak lewat petang.
Apabila keluar dari Kenarong, kami terserempak dengan boiling sebarau di luar tanjung. Tekong terus memainkan peranan dengan mematikan enjin bot. Balingan pertama di spot berkenaan terus membuahkan hasil apabila Wan berjaya mendapat satu strike.
Hari beransur gelap. Keadaan boiling semakin rancak dari pintu tanjung sehinggalah ke perairan tasik yang lebih terbuka. Saya melihat Iman terlepas satu peluang apabila popper yang digayakan disambar tetapi tidak mengena. Apa lagi, kami pun masing-masing mengeluarkan popper. Seketika kemudian, gewang Iman sekali lagi disambar. Kali ini ikan tersangkut kemas tetapi beliau tetap melayan dengan penuh berhati-hati kerana dikhuatiri terlucut.
Dalam perjalanan pulang, kepala saya ligat memikirkan apalah cerita rakan dari rakan bot lain. Adakah hasil seperti kami atau lebih meriah. Tiba di boathouse, Apit menunjukkan gambar toman bujang dalam anggaran 3 kilogram hasil lontaran gewang Rapala Risto Rap dari Aiman.
Apit menaiki bot yang agak kecil, jadi beliau hanya bertiga termasuk Aiman dan tekong. Manakala Apit sendiri berjaya memperoleh seekor toman. Sedikit kecewa katanya kerana toman Royal Belum agak sombong walaupun pelbagai jenis gewang dilalukan di depannya. Langsung tidak mahu layan.
MISI DITERUSKAN
Hari kedua kebanyakan daripada kami bangun seawal jam 6 pagi untuk menunggu giliran mandi dan bersiap. Usai sarapan, kami berangkat menaiki bot mengikut kumpulan masing-masing pada pukul 7 pagi. Saya mengambil keputusan untuk bertukar tempat dengan rakan dari bot lain. Ini kerana saya ingin merasai pengalaman dengan tekong dan rakan yang lain.
Tekong membawa kumpulan kami menuju ke satu suak. Setiba kami di spot pertama, kami di arah membaling ke satu kawasan di mana ada sebatang balak yang tenggelam di dasarnya. Selain itu, balingan perlu berpandukan kepada buih yang timbul dari dasar air.
Jenuh juga membaling gewang tetapi tiada sambaran. Tekong berkeras untuk tidak menukar port kerana di situ terdapat sejarahnya tersendiri kerana pernah menaikkan sebarau seberat 2.9 kg dan ada pemancing yang patah joran. Saya masih tidak putus asa, apa yang dicadangkan tekong sebentar tadi terus diaplikasikan.
Sedang sesudu dikarau di pertengahan air, satu sentapan kuat berlaku sehingga saya tidak sempat untuk mengepam joran. Apabila keadaan kembali terkawal, spoon seakan tersangkut di dasar dan saya tidak dapat menggulung tali.
Tekong menyuruh saya bertahan dan jangan memaksa. Beliau menuju ke arah punca tali menggunakan thruster dan menarik-narik tali utama saya yang berkekuatan 14 paun. “Ada ni… ada… tunggu dia keluar,” kata tekong.
Tali dihenjut-henjut menggunakan tangan oleh tekong bot. Bila tali mula bergerak, satu perlawanan drastik berlaku. Dua tiga kali drag keluar dari Shimano Calcutta Conquest DC 51 yang saya gunakan. Sememangnya drag diketatkan dalam anggaran 80 peratus untuk mengelak mata kail rabut dari mulut ikan apabila ditarik. Tidak lama kemudian, seekor sebarau yang agak besar saiznya muncul di permukaan. Tekong terus mencapai tali perambut yang berkekuatan 20 lb dan menarik ikan ke atas bot. Bagi sesetengah kaki pancing, mungkin perlawanan sebegini hanyalah satu rutin memancing di air tawar tetapi bagi saya, ini pun sudah dikira satu kepuasan.
Apabila ditimbang, berat ikan ialah 1.3 kg. Walaupun bukan bersaiz badong tetapi menurut tekong, susah untuk mendapatkan saiz begini sekarang. Apabila berbual dengan tekong, beliau berulang kali mengatakan sekarang bukanlah musim terbaik casting sebarau kerana paras air tasik tidak naik sepenuhnya. Keadaan air tidak menentu kadang-kadang naik dan kadang-kadang turun mengejut. Pada awalnya kami memang ingin datang pada penghujung tahun tetapi semua tarikh telah penuh ditempah pemancing lain. Terpaksalah datang lebih awal. Jika tidak, trip terpaksa dibatalkan berikutan tiada tarikh yang sesuai.
SESI PETANG HARI KEDUA
Sebelah petang, Zaini pula menunjukkan belangnya. Sebanyak tiga ekor sebarau kesemuanya dinaikkan oleh beliau. Lebih menarik lagi apabila bukan sesudu yang digunakan tetapi gewang Rapala Risto Rap saiz 8 berwarna parrot. Menjadi sungguh gewang beliau kali ini. Malah ada juga yang lucut dan meninggalkan sisik sahaja di mata kail. Dari segi saiz pula, ikan berskala antara 300 hingga ke 500 gram. Sementara itu, satu lagi kumpulan berjaya mendaratkan beberapa ekor sebarau dan seekor mama toman.
Sebelah malamnya pula, selesai makan malam, kebanyakan daripada kami semuanya tidur awal ekoran kepenatan casting, walaupun ada juga yang cuba-cuba untuk membottom baung. Pukul 3 pagi, kami tersedar apabila seorang staff boathouse datang ke bilik untuk memeriksa tingkap berikutan hujan lebat.
HARI TERAKHIR TRIP
Hari terakhir, kami keluar lebih awal berbanding semalam. Selesai sarapan tekong membawa kami ke satu tanjung di pintu masuk salah satu suak di situ. Dari jauh kami telah nampak boiling. Saya tidak pasti sama ada toman atau sebarau tetapi tekong meyakinkan kami bahawa itu ialah sebarau.
Zaini memperolehi strike pertama tetapi rabut. Hanya sisik sebarau yang agak besar terlekat pada gewang Rapala Risto Rap yang digunakan. Padahal beliau menggunakan mata tiga tetapi masih rabut. Ketika itu tekong bising dan menyatakan jika rabut, peluang untuk mendapat strike di tempat sama agak tipis.
Sekian kali mencuba, Zaini akhirnya berjaya juga menaikkan sebarau menggunakan Risto Rap bersaiz 8 tetapi warna neutral dan sekali lagi mendapat strike di kawasan yang sama tetapi kali ini agak kecil saiznya. Memang bertuah betul dia.
Hanya toman juvenil sahaja yang sudi menyambar spoon saya dan menjadi ikan penutup pada trip kali ini walaupun saya menjangkakan sebarau kerana lontaran spoon dan karauan laju dibuat. Aiman, pula tersenyum puas apabila berjaya menaikkan toman bersaiz mama.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...