IKLAN

 

Tiba hari yang dirancang, saya, Amin bersama tiga orang lagi rakan yang lain Fithry, Burn dan Ayoi bertolak dari Shah Alam ke Kemaman. Bertolak awal selepas solat Jumaat memberi rehat secukupnya dengan sebuah homestay serba selesa yang terletak di Chendor yang telah ditempah awal menjadi lokasi penginapan kami berlima.

 

Deruan angin dan warna gelap awan menanti ketika bot dipacu keluar di muka Kuala Kemaman oleh Tekong Samad. Gusar melihat kami, tekong dan pembantunya berkata, angin masih kuat lagi…. Insyallah kita tak tempuh hujan tu nanti.

 

Masa perjalanan dari muka Kuala Kemaman ke lokasi pertama iaitu spot ebek, tidaklah jauh. Kawasan daratan masih lagi kelihatan. Setibanya kami di sini, telah ada beberapa buah bot sedang mencuba nasib mencari ebek yang dikatakan dah masuk, termasuklah bot milik CKJ lagi, yang turut disewa oleh kaki pancing lain.

 

Jelajah Lubuk Kerapu Kemaman

 

Dalam trip ini, kami menggunakan 100 peratus jig. Tidak ada penggunaan umpan hidup terutama udang hidup atau mati yang dianggap cukup killer seperti mana mencari ebek di perairan Pekan dan juga Rompin.

 

Hairan juga, bila tekong kata ebek di kawasan ini pilih bulu. Kalau nak main umpan hidup, mesti semua main umpan hidup, tidak boleh bercampur. Katanya lagi, kalau ada yang main jig dan umpan hidup dalam mencari ebek dalam satu bot, mesti umpan hidup tidak akan digetu ebek. Betul ke? Dalam mendengar kata tekong, dalam hati saya berkata. Takpe next trip akan saya cuba buat uji kaji.

 

Jelajah Lubuk Kerapu Kemaman

IKLAN

 

Faktor arus yang lemah dan keadaan air yang jernih mengikut kata tekong menyebabkan ebek culas membuka mulut. Tidak seperti minggu sebelumnya, di mana puas mereka menggasaknya.

 

Berita yang diperolehi menggunakan radio amatur dari bot-bot lain juga memberitahu tiada strike dari ebek, kecuali sebuah bot nelayan yang telah pun lebih awal ada di spot berkenaan menggunakan umpan hidup memperoleh dua strike.

 

Walaupun berpindah beberapa kali di spot ebek, hasilnya tetap sama. Bermula dari mengikat bot pada boya unjam sehinggalah kepada berhanyut, tetap ‘zero’ hasilnya. Lantas kami menyarankan agar terus ke spot kerapu bara yang jauhnya lebih sejam perjalanan.

 

Jelajah Lubuk Kerapu Kemaman

 

IKLAN

Menurut Tekong Samad, kawasan yang terletak di bahagian Kijal ini disifatkan sebagai ladang kerapu. Ini kerana, di dasarnya ia dipenuhi kawasan karangnya cukup luas. Di sini terdapat banyak bubu nelayan diletakkan di bawahnya dan ujarnya lagi, kawasan lantai laut di sini landai dan rata, tanpa ada karang tinggi.

 

Jig-jig yang beratnya 30, 40 dan 60 gram menjadi taruhan kami semua. Tentang warna, kami cuba pelbagaikan dengan warna-warna favourite menjadi pilihan. Oleh sebab, kerapu merupakan spesies yang menghuni kawasan dasar dengan batuan karang menjadi rumahnya, saya mempraktikkan teknik slow jigging.

 

Jelajah Lubuk Kerapu Kemaman

 

Oleh sebab tidak mahu jig hanyut jauh, saya menggunakan jig Ima Gun 60 gram sebelum ketukan di dasar, disergap tanda satu strike saya perolehi. Bila karauan naik ke atas… Alhamdulilah, lesen pertama saya, seekor kerapu sunuh.

 

Melihatkan, seekor kerapu sunuh berjaya dinaikkan, semua masing-masing bersemangat. Burn yang gigih jigging di buritan bot, akhirnya memperoleh strike, padanan rod PE 1 miliknya terus melentur dan bila sahaja kelihatan di atas, nah seekor lagi kerapu sunuh. Juga ikan lesen bagi Burn yang kali pertama memancing di perairan Terengganu.

 

Jelajah Lubuk Kerapu Kemaman

 

Suasana senyap selepas itu, memaksa tekong bertukar lokasi. Dengan harapan ebek tinggal harapan, kami menyasarkan kerapu sunuh sebagai sasaran. Tidak lama kemudian, Ayoi yang berada di kanan belakang bot berjaya menaikkan seekor kerapu. Begitu juga dengan Fitry yang berjaya memperoleh beberapa ekor tambak dan juga kerapu.

 

Jelajah Lubuk Kerapu Kemaman

 

Amin yang sekejap jigging, sekejap berbaring kerana pening akibat laut beralun kuat, akhirnya berjaya juga memperoleh strike seekor kerapu. Selepas itu, terus sahaja beliau bertahan. Katanya inilah ‘racun’ jigging.

 

Menjelang lewat petang, keadaan angin bertambah kuat. rupa. Alun juga agak tinggi, menyebabkan kami beransur-ansur pulang. Sebelum pulang, tekong sempat singgah di beberapa buah unjam untuk unjunan apollo atas permintaan beberapa orang rakan.

 

Jelajah Lubuk Kerapu Kemaman