Hampir 1 jam meredah denai, akhirnya mereka berlima sampai ke lubuk yang dituju. Sebatang anak sungai mengalir jernih, tenang dan deras di bahagian hilirnya menyambut kedatangan mereka. Tetapi tumpuan lebih terarah ke kawasan air yang mengalir tenang dan gelap airnya di bawah pokok besar.

 

“Geng, kita pasang khemah dululah. Lepas ni kita cari kayu api dan pasang joran. Mana tahu ada ikan yang menjadi mangsa santapan tengah hari kita nanti” arah Azam. Semua mengikut arahan Azam tanpa banyak soal.

 

Dua buah khemah didirikan tidak jauh dari gigi air. Zainal kemudiannya mencari kayu api untuk dijadikan bahan bakar. Mizan dan Jimie pula sudah memasang empat batang joran dengan berumpankan perut ayam yang diadun dengan tepung gandum dan juga umpan kelapa sawit peram.

 

Padah Mulut Lancang Di Lubuk Misteri

 

Jam dua petang, mereka sudah berjaya menaikkan tiga ekor ikan sebarau, dua ekor tengas dan lima ekor ikan lampam sungai. Ikan-ikan itu dibersihkan lalu dipanggang begitu saja untuk dijadikan santapan tengah hari. Aduh, enak tak terkata apabila menikmati ikan segar yang ditangkap sendiri dan dimakan panas-panas begitu.

 

Menjelang waktu Maghrib, Azam sudah mula menghidupkan unggun api di tepi sungai. Selain untuk menerangkan kawasan perkhemahan, unggun api juga bertujuan menghalau nyamuk, agas serta menakutkan binatang liar kalau ada.

 

Namun sesuatu yang ganjil berlaku apabila senja semakin melabuhkan tirainya. Ketika asyik melayan joran yang galak dimakan ikan, satu suara asing menegur dari belakang. Tiba-tiba muncul seorang lelaki berusia awal 50-an, bertubuh kurus, tetapi kelihatan pucat dari semak-samun berhampiran.

 

IKLAN

Padah Mulut Lancang Di Lubuk Misteri

 

“Boleh pak cik tumpang berteduh sebentar di sini” jawab lelaki itu dengan ramah. Azam hanya memandang saja. Zainal dan Mizan pula bagaikan terkunci mulut. Jimie leka melayan jorannya yang galak dimakan ikan.

 

“Duduklah encik. Kami pun baru saja sampai petang tadi. Kalau encik nak makan, ada lagi nasi petang tadi. Ikan panggang tu pun ada lagi. Tapi kena cicah dengan air kicap je la” kata Hairi menjawab bagi pihak rakan-rakannya.

 

“Tak takut ke memancing di tengah-tengah hutan ni?” lelaki misteri tadi terus menyoal.

 

“Nak takut bendanya. Bukan ada hantu atau bunian kat sini” lancang Hairi menjawab. Azam menjeling tajam ke arah Hairi! Tiba-tiba guruh berdentum. Daun-daun mula menari di tiup angin.

IKLAN

 

Padah Mulut Lancang Di Lubuk Misteri

 

“Nak hujanlah pulak. Leceh…” rungut Hairi. Dia memandang ke tempat lelaki tadi duduk. Berderau darahnya. Lelaki tadi telah ghaib entah ke mana! Malam itu mereka berlima tidak dapat memancing. Semuanya berkurung di dalam khemah.

 

Hujan turun mencurah-curah diikuti dengan petir dan kilat sabung menyabung. Selain itu, mereka dapat mendengar pelbagai bunyi aneh kedengaran di sekeliling kawasan khemah. Seperti ada pesta keramaian.

 

Suara kanak-kanak dan orang dewasa berbual jelas kelihatan. Ini menyebabkan mereka gelisah dan tidak dapat tidur. Masing-masing enggan membuka mulut, bertanyakan hal yang berlaku, apatah lagi cuba untuk menjenguk apa yang berlaku di luar khemah.

IKLAN

 

Padah Mulut Lancang Di Lubuk Misteri

 

Keesokan harinya, mood memancing seperti sudah hilang. Tepat jam 9 pagi, mereka berlima sudah siap mengemas untuk pulang. Namun, sampai sahaja ke tempat kereta diletakkan, mereka terperanjat apabila melihat kawasan itu sudah dipenuhi oleh polis dan orang awam.

 

“Ada apa ni bang?” Tanya Jimie kepada seorang lelaki.

 

“Ada orang jumpa mayat dalam gaung. Kata polis, mungkin dah 2,3 hari mati kot. Kena bunuh. Ngerilah!” jawab lelaki itu bersahaja.

 

Sewaktu pihak polis mengusung mayat itu, secara tidak sengaja mereka terpandang ke arah muka mayat yang tidak ditutup rapat. Berderau darah mereka berlima apabila melihat muka lelaki itu saling tak tumpah dengan lelaki asing yang datang berteduh di khemah mereka malam tadi.

 

Padah Mulut Lancang Di Lubuk Misteri

 

Siapa lelaki berkenaan dan bagaimana dia ghaib dengan tiba-tiba serta bunyi aneh di sekeliling khemah mereka terus menjadi persoalan. Sejak kejadian itu, mereka tidak berani untuk berkunjung ke Jeram Lesung. Pengalaman yang dilalui tersebut menyebabkan mereka menjadi serik terutama kepada Hairi!

Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI