Sebagaimana ikan sebarau yang dipanggil badong berdasarkan saiznya yang besar, ikan patin jugak ada nama dan gelaran tersendiri. Berikut disenaraikan nama-nama panggilan ikan patin yang kebanyakannya dicipta di kolam pancing.
Patin Selipar
Patin selipar bukanlah bermakna ikan patin memakai selipar atau diperbuat daripada getah atau isinya liat seperti selipar. Sebaliknya ia merujuk kepada ikan-ikan patin bersaiz kecil. Lazimnya ikan patin yang bersaiz kurang dari 2 kg di mana saiz-saiz ikan tersebut hampir menyamai saiz selipar. Ia bolehlah dianggap sebagai ikan pengacau kerana sering mendahului ikan-ikan lain bersaiz besar mengambil umpan.
Patin Rempit
Rempit cukup sinonim dengan kelajuan. Begitu juga sifat ikan patin yang mampu memecut laju seperti merempit. Namun tabiat ini tidak berlaku kepada semua patin. Dikatakan ikan-ikan patin dalam lingkungan berat 3 hingga 5 kilogram memiliki daya pecutan yang mengelirukan. Justeru itu ikan-ikan patin dalam saiz begini dilabel sebagai patin rempit.
Ads
Patin Aboh
Patin abah atau lebih banyak banyak disebut sebagai patin aboh bukanlah merujuk kepada status atau pangkat. Bukan juga bermaksud patin yang sudah melepasi zaman kematangan atau sudah menghasilkan baka. Sebaliknya ia lebih merujuk kepada saiz ikan yang besar. Lazimnya ikan patin bersaiz melebihi 7 atau 8 kilogram dipanggil patin aboh.
Ads
Patin Jackpot
Perkataan podium amat sinonim dengan pertandingan. Tetapi bukanlah bermakna patin podium merupakan patin yang pernah menjuarai pertandingan. Sebaliknya patin yang bakal atau mampu menduduki podium utama. Saiznya pula bergantung kepada purata patin terberat di sesuatu kolam. Sekiranya di kolam itu memiliki patin terberat melebihi 10 kg dan anda berjaya mendaratkan patin dalam radius saiz tersebut maka patin tersebut dianggap sebagai patin podium atau jackpot.
Ads
Patin Thai
Dalam sukan memancing juga ada pemain import sebagaimana liga bola sepak. Ia lazimnya merujuk kepada ikan-ikan patin yang dibawa masuk dari Thailand. Terdapat dua jenis patin import yang popular dan menjadi spesies tarikan kebanyakan kolam pancing air tawar iaitu patin Mekong dan patin Chaophraya. Kedua-duanya mampu membesar dan bertenaga mengatasi patin tempatan.
Patin PKP
Spesies terbaharu yang boleh ditemui bukan saja di kolam-kolam pancing komersial tapi jugak di habitat liar seperti lombong terbiar. Akibat tiada aktiviti memancing di kolam pancing dah juga di lombong, ikan-ikan patin kehilangan sumber makanan sekaligus menyebabkan majoriti patin menjadi kurus kering.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download
sekarang!
Petang Jumaat itu aku tidak melakukan apa-apa aktiviti. Kebosanan mula datang melanda. Hendak pergi bermain bola, tidak rakan yang boleh diajak. Hendak pergi melastik burung, seekor burung pipit pun tidak kelihatan dari lepas azan Zuhur tadi. Fikir punya fikir, akhirnya aku mengambil keputusan untuk pergi memancing keseorangan.
Aku sebenarnya suka memancing di sebuah kolam ikan terbiar yang terletak hampir dua kilometer dari jalan besar untuk masuk ke kampung. Dahulu kawasan itu ada enam kolam ikan yang agak luas juga yang di usahakan oleh seorang anak muda penduduk kampung itu juga. Namun entah di mana silapnya, projek menternak ikan itu menjadi lesu dan akhirnya terbengkalai terus.
Lima kolam sudah ditimbus kembali manakala satu lagi sengaja dibiarkan untuk anak-anak muda kampung memancing ikan. Selalunya aku berjaya memancing ikan keli, tilapia dan baung. Ada juga kawan-kawan yang berjaya menangkap rohu seberat dua kilogram.
Pendek kata, walaupun kolam itu seperti terbiar tidak terjaga namun masih ada spesies yang menghuni di dalamnya boleh tahan juga besarnya.
Aku hanya sempat mencari cacing dan cengkerik untuk dijadikan umpan. Cukuplah, bisik hatiku. Aku cuma mahu memancing selama dua jam. Kalau ada ikan yang menjadi mangsa, bolehlah aku jadikan lauk untuk santapan makan malam. Andainya tiada rezeki, tiada apa yang harus aku keluhkan kerana niatku sekadar mahu mengisi masa lapang sahaja.
Biasanya, pada waktu petang Jumaat begitu, kolam terbiar ini memang ‘meriah’ dengan kehadiran kaki pancing. Namun nasibku pada petang itu agak malang. Kawasan itu sunyi sepi. Tidak ada kelibat manusia lain di situ seolah-olah mereka semua sudah berjanji untuk tidak datang.
Aku memandang jam di tangan. Tepat jam lima petang. Cuaca masih terang. Dengan bacaan lafaz Bismillah, aku lontarkan umpan ke tengah kolam.
Umpanku adalah cengkerik. Aku tidak mensasarkan mangsa. Apa saja ikan yang memakan umpanku, itulah rezekiku pada petang itu. Alhamdulillah, menjelang jam 6 petang, aku sudah memperoleh 4 ekor ikan keli yang sederhana besar dan dua ekor baung.
Aku berasa sangat puas hati. Aku bercadang ingin memancing sebelum azan Maghrib berkumandang. Kira-kira 20 minit lagi, aku bercadang akan balik ke rumah.
Ketika asyik melayan henjutan joran, tanda umpanku mengena lagi, secara tiba-tiba aku merasakan seperti ada angin sejuk bertiup menerpa kuat ke muka ku. Secara automatik, bulu romaku mula meremang.
Aku cuba tenangkan hati dengan membaca ayat Kursi dan surah An Nas. Tiba-tiba telingaku seperti menangkap suara perempuan menangis dengan suara yang sungguh sayu dan sangat mendayu-dayu.
Hatiku menjadi tidak keruan. Serentak itu juga bunyi ranting-ranting patah kedengaran di bahagian belakang aku duduk. Sekilas, aku memandang ke belakang. Tidak ada apa yang kelihatan.
Semuanya kosong. Tidak ada sebarang tanda menunjukkan ada pergerakan manusia atau binatang di situ. Hatiku mula risau dan seram. Beberapa kali aku beristifar. Akhirnya aku mengambil keputusan untuk pulang sahaja.
Sebaik sahaja aku mula mengemas, sesuatu yang aneh berlaku. Cuaca persekitaran mulai gelap seperti jam 8 malam. Aku memandang jam tangan. Baru pukul 6.20 petang. Takkan dalam sekelip mata, cuaca boleh bertukar rupa.
Hatiku semakin resah. Bulu roma di tengkuk semakin meremang dan badanku terasa seram sejuk yang teramat sangat. Dalam kegelapan yang mula menerkup kawasan persekitaran, aku mula melangkah keluar dari kawasan itu sambil menjinjing ikan dan peralatan memancing.
Namun aku seperti gagal untuk menjumpai jalan pulang. Setiap kali aku melangkah, aku akan tiba kembali pada kolam ikan itu. Seolah-olah semua jalan keluarku terhalang oleh ‘sesuatu’ yang aku sendiri tidak pasti. Aku tidak tahu berapa lama aku berlegar-legar di situ.
Keletihan mula melanda dan akhirnya aku terduduk di atas ban pasir dengan rasa kecewa yang teramat sangat. Ketika inilah telingaku mula menangkap suara perempuan yang menangis mendayu-dayu yang bertingkah dengan suara bayi yang menangis kuat seolah-olah meminta susu.
Suara-suara ini begitu mengangguku hingga hatiku menjadi semakin tidak keruan. Cuaca semakin gelap dan hanya nampak samar-samar sahaja.
Aku memandang ke dada langit. Segalanya kosong. Tiada awan, bulan atau bintang. Hanya kegelapan yang melanda tanpa awan putih yang berkepul-kepul seperti kebiasaannya.
Tiba-tiba di hadapanku, aku Nampak seperti kelibat seorang wanita berambut panjang dan memakai gaun putih labuh melintas di hadapanku. Semerbak harum wangi bunga tanjung hutan melintasi hidungku. Harumnya sehingga aku seperti terbuai-buai dengan keasyikan untuk menghidunya.
Dalam keadaan badan yang lemah kerana penat, hanya pandangan mata sahaja yang mampu aku lakukan untuk terus memandang kelibat wanita itu. Dia berjalan perlahan tetapi seperti tidak menjejak tanah! Dia seolah-olah berada dalam keadaan di awang-awangan. Aku hanya fokus memandang ke arahnya tanpa dapat memikirkan perkara lain.
Dalam keadaan khayal itulah, telingaku dapat menangkap suara azan yang sungguh mendayu dan menggetarkan jiwa. Serentak itu terasa namaku dipanggil berulang-ulang kali. Aku juga dapat melihat sorotan lampu suluh di kawasan itu. Aku hanya mampu menjerit ALLAH sebelum aku tidak sedarkan diri.
Pandanganku menjadi gelap seketika. Apabila aku membuka mata kembali, rupa-rupanya aku sudah baring di hadapan serambi rumah ibu. Kawasan itu penuh dengan saudara mara dan jiran tetangga. Ibu memelukku dan aku berasa terpinga-pinga dengan apa yang aku nampak. Akhirnya aku mengetahui kisah sebenar.
Aku tidak pulang sehingga jam dua pagi. Kerana teramat risau ibu memberitahu JKKK kampung akan hal ini. Usaha mencariku mula dilakukan oleh penduduk kampung. Jam 5 pagi, aku dijumpai pengsan di tepi kolam ikan terbiar dalam keadaan meracau-racau sambil tanganku menunjuk ke satu arah semak. Aku dipapah balik ke rumah.
Walaupun kejadian ini sudah dua tahun berlalu namun ia tetap kekal dalam ingatanku hingga ke saat ini. Kata orang kampung, aku disakat oleh puntianak namun realitinya sebenarnya aku tidak tahu.
Dalam seminggu sekurang-kurangnya sekali saya dan kawan-kawan lepak kat kedai kopi Pak Karim. Kami lepak di kedai Pak Karim berdekatan simpang kampung. Di sini kami akan berkongsi cerita. Dan menjadi kebiasaan, topik utama yang kami kongsi pastinya tentang ikan dan lubuk-lubuk ikan.
Rata-rata di antara kami semua adalah kaki pancing tegar. Di mana ada lubuk, di situlah kami akan teroka. Pada satu malam minggu, sedang kami asyik berborak tentang lubuk-lubuk yang telah kami teroka, datang seorang pak cik dalam lingkungan umur 50-an menyapa kami.
“Kamu semua ni dah teroka semua lubuk ikan kat Malaysia ni ke?,” Sapa pak cik tersebut sambil tersenyum.
Saya pun menyapa balik pak cik itu, “Takdelah pak cik, kita orang teroka lubuk yang pernah orang pergi sahaja, itu pun kalau ada orang yang cerita tentang lubuk tersebut.” Pakcik itu pun tersenyum sambil menarik kerusi dan duduk di sebelah saya. Selepas itu, kami berborak panjang dengan pakcik itu. Di memperkenalkan namanya Pak Sahak.
Mulai saat itu, Pak Sahak mula menceritakan pengalaman-pengalaman tentang ikan dan lubuk-lubuk yang pernah diterokai. Kami semakin teruja untuk mendengarnya. Pada masa itulah, Pak Sahak menawarkan kepada kami satu lubuk yang jarang-jarang dikunjungi orang.
Cerita Pak Sahak lagi, di situ terdapat pelbagai jenis ikan dan berat ikan tidak kurang dari 1 kg. Dia pernah menaikkan seekor ikan sebarau seberat 3kg di situ dan pelbagai jenis ikan yang puratanya 2-5 kg.
Dan lubuk itu dinamakan lubuk Batu Lumut. Asal usul nama lubuk itu tidak pula diceritakan kepada kami. Ia terletak di hulu Sungai Dungun. Lokasinya tidaklah jauh dari kampung kami. Kami semakin teruja dan berhasrat untuk mengunjungi lubuk tersebut.
Keesokan harinya, Fuzly, Syamil dan Ayem datang ke rumah. Mereka mengajak saya untuk ke lubuk rusa itu. Selepas berbincang, kami sepakat untuk ke sana selepas Zuhur dengan menggunakan 2 buah motosikal.
Kami menuju ke lubuk rusa berpandukan arah yang diberitahu oleh Pak Sahak malam tadi. Walaupun salah seorang daripada kami tidak pernah sampai ke situ, jalan yang diberitahu oleh Pak Sahak tidaklah susah sangat. Jalannya pun tidak lah teruk dan bahaya kerana ia melalui jalan ladang kelapa sawit sahaja.
Selepas 2 jam perjalanan, akhirnya kami selamat tiba di lokasi yang dihajatkan. Masing-masing tersenyum lebar kerana lubuk yang kami dengar dari mulut Pak Sahak sudah berada di depan mata. Air sungai jernih menghijau.
Pokok-pokok rendang tunduk mencecah permukaan air. Di situ terlihat juga anak sungai kecil yang menuruni lereng bukit dan batu besar sebelum memasuki sungai di hadapan kami. Lubuk sebeginilah yang menjadi kegilaan kaki casting.
Belum sempat saya membetulkan joran dan memasang umpan, satu kelibat ikan sebarau menyambar anak ikan sudah kelihatan. Saiznya agak kasar, mungkin 2kg ke atas. Apa lagi, masing-masing menguji kepakaran masing-masing.
Beberapa minit selepas itu, kami mengambil keputusan untuk berpecah. Saya dan Fuzly ke kawasan berbatu. Manakala Ayem dan Syamil menuju ke kawasan berpasir.
Jam menunjukkan pukul 6 petang. Walaupun nampak kelibat ikan sebarau mengejar anak ikan, tetapi seekor ikan pun belum kami perolehi. Tiba-tiba langit yang cerah bertukar menjadi hitam. Angin bertiup kencang sehingga ada pokok tumbang berhampiran kami.
Saya berasa risau dan mengajak Fuzly, Syamil dan Ayem segera pulang. Kami bergegas menuju ke arah motosikal. Belum sempat kami menghidupkan motosikal, tiba-tiba Syamil menyebut kalimah Allah dengan kuat sambil menuding jari ke atas.
Alangkah terkejutnya saya, apabila mendongak ke langit. Kelihatan satu lembaga hitam yang sangat besar berada di hadapan kami. Matanya yang besar, kelihatan merah menyala.
Rambutnya pula panjang menegak hingga mencecah pucuk pokok yang tinggi. Tiada tangan dan kaki, hanya bertubuh besar, tinggi dan berwarna hitam. Makhluk tersebut tidak berkelip sambil menganga menampakkan taring.
Kami terdiam sambil memandang sesama sendiri. Tubuh saya waktu itu menggigil dan terasa sejuk seperti berada di dalam peti ais. Mujurlah rakan saya, Ayem adalah anak kepada seorang ustaz.
Dia melaungkan azan sambil membawa ayat Kursi dengan kuat. Serta-merta lembaga hitam berkenaan hilang dan cuaca berubah cerah. Ayem menyeru kami beristighfar dan beredar dari kawasan itu dengan segera.
Mujurlah kami tidak diapa-apakan oleh lembaga hitam berkenaan. Kami selamat sampai ke kampung lewat maghrib. Sepanjang perjalanan, kami tidak bergurau seperti biasa kerana masih terkejut dengan kejadian tadi.
Malam keesokan harinya, kami duduk bersembang di kedai Pak Karim. Cuma Syamil tidak dapat join kerana demam dan masih terkejut. Waktu itu Pak Sahak datang menghampiri kami. Dia bertanyakan tentang lubuk yang kami pergi dan kami menceritakan apa yang telah kami lalui kepadanya.
Kami hanya memandang sesama sendiri dan saya berkata kepadanya “kenapa tempat tu keras sangat Pak Sahak?” Pak Sahak tersenyum dan memberitahu lubuk rusa itu memang keras dan berpenunggu. Dia terlupa memberitahu kepada kami perkara sebenar dan pantang larang tempat tersebut.
Di situ sebenarnya ada pantang larang. Tidak tahulah ia perkara benar atau tidak. Sesungguhnya peristiwa berkenaan akan saya ingat sampai bila-bila.
Memancing tak selalunya meninggalkan memori yang indah. Kekadang ada juga yang berakhir dengan menyentap perasaan. Berikut dikumpulkan sedikit kisah yang tidak diingini tetapi berlaku kepada para pemancing.
Ladung melantun
“Buat masa ni kemalangan paling teruk pernah kena masa memancing ketika sembat kuat melantun ke belakang batu ladung saiz 6 singgah ke mata member yang duduk kat belakang. Toleh-toleh dah berteriak sakit. Apalagi start motor hantar klinik la. 3 hari bengkak sebelah mata. Hahaha… sorry la tak sengaja beb!”
– Fakhrul Tahir
“Aku sampai hari ni mata kanan kabur. Puncanya kail sangkut kat batu, tarik punya tarik batu ladung singgah dalam mata. Nasib tak kena mata hitam, kalau tak doktor cakap confirm buta. Seminggu kat hospital. Kenangan seumur hidup. Cacat kekal… haha.”
– Wan Shafirool
Sengat sembilang
“Kisah baru lagi masa pergi memancing kat laut. Kes nak buka mata kail kat mulut anak sembilang. Malang tak berbau kena sengat pulak dengan anak sembilang. Sakit dia lagi teruk daripada kena sengat ikan keli. Kena pulak sengat anak sembilang tu patah dalam tangan.
Malam tu terus pergi klinik nak buang sengat ikan tu doktor cakap tak jumpa sengat tu. Sudahnya sengat ikan sembilang tu dah sebati dalam tangan sampai la sekarang ni.”
– Azam Yaakub
Rod hanyut
“Aku pernah kena time casting. Tengah syok casting sekali tercampak rod dalam sungai. Nak selamatkan dah tak sempat. Arus masa tu laju sangat. Hanya mampu melihat rod tenggelam dibawa arus.”
– Muhammad Taqdir
Mata kail tercucuk
“Pernah kena. Masa tu casting haruan. Dah dapat ikan pegang kepala ikan menggelupur pulak. Tengok-tengok mata kail kena jari. Lepas tu tak tau nak buat macam mana. Terus cabut macam tu je… terkeluar isi wooo!”
– Khairul Nizam
Patah kaki
“Kemalangan kereta masa nak pergi pertandingan memancing Cyberjaya. Patah peha, buku lali kiri kanan, lidah hampir putus, tulang sendi tangan beralih. Duduk hospital Putrajaya tiga minggu. Tersadai kat kampung 3 bulan atas wheelchair.”
– Higo Garcia mp
Ladung hentak kepala
“Pernah masa kecil dulu. Pergi memancing dengan ayah dan keluarga. Masa ayah nak baling umpan, adik pergi belakang ayah. Aku terus lari tarik adik aku, tapi aku yang kena. Ladung hentak kepala, kail sangkut kat bibir. Dah la kat kail masih ada perumpun. Huhuhu.”
– Araragi Koyomi
Batu ladung lagi
“Masa memancing kat sungai. Perambut tersangkut, tarik kuat-kuat batu ladung saiz 5 hinggap kat dahi. Masa tu rasa macam nak pitam. Dahi rasa macam ada air mengalir. Rasa dengan tangan…dah berkicap! Bak kata orang tua-tua dah jadi adat memancing… salam perkenalan.”
– Adam Ikwan
Pancing telinga
“Adik ipar teman tengah karau pancing naik,masa nak baling semula tersangkut pulak. balik dia tersangkut. Bukan tersangkut pada pokok tapi pada telinga sendiri daaa. Doktor pun pening fikir macam mana nak keluarkan kail tu daripada telinganya.”
– Rizal Jaka
Terpacak
“Memancing kat kolam. Tarik punya tarik sangkut pulak. Biasa la bila sangkut guna kaedah ambil kain balut kat tangan tarik. Sekali tercabut batu ladung yang panjang terpacak kat dahi member…hospital jawabnya. Hati-hati bila memancing.”
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...