Biografi Ringkas:

Nama : Jakub Vagner

Tarikh lahir : 24 Disember 1981

Warganegara : Republic Chech

Kerjaya : Pemuzik, pengacara TV dan pemancing ekstrem

 

Dalam dunia pancingan moden hari ini, nama Jakub vagner sememangnya cukup dikenali.

Beliau merupakan seorang pemancing ekstrem dan pengembara yang diakui kehebatannya dalam memburu ikan gergasi di serata dunia termasuk di lokasi yang sangat terpencil.

 

Siri televisyen Fish Warrior menjadikannya ikon ‘pahlawan ikan’ bagi rata-rata pemancing seluruh dunia.

Pengembaraannya di serata pelosok dunia memerlukan kekuatan psikologi, fizikal, skil dan teknik memancing serta keupayaan untuk menyesuaikan diri dengan budaya dan masyarakat setempat.

 

Jakub pada awalnya bekerja sebagai guide memancing di banyak negara. Ketika di Australia dan bekerja dengan Big Game Fishing sebagai guide mendaratkan swordfish, tuna

dan jerung, dia telah bertemu dengan Rex Hunt yang digelar sebagai ‘Australian fishing guru’ atau sifu memancing Australia.

Jakub kemudiannya menjadikan Rex Hunt sebagai mentor memancing dan spiritualnya.

IKLAN

 

Jakub Vagner – Masta Idola Pemancing Moden

 

Sepanjang berkelana ke serata dunia memburu pelbagai spesies ikan, Jakub telah banyak mencipta rekod tangkapan rasmi dan tidak rasmi, termasuk rekod rasmi International Game Fishing Association (IGFA).

Antara rekod tangkapan Jakub yang unik ialah pada Februari 2008 di mana dia memecahkan rekod spesies goliath catfish sebanyak 3 kali berturut-turut di Lembah Amazon.

 

Ketika ekspedisi 3 minggu di Amazon, Jakub mendaratkan spesies tersebut seberat 190 kg yang merupakan rekod terbaru.

Kemudiannya, dia berjaya mendaratkan 2 ekor lagi yang beratnya 196 kg dan 215 kg dan memecahkan rekodnya sendiri.

 

Dalam ekspedisi yang sama juga, Jakub berjaya memecahkan apa yang digelar ‘tembok 3 meter bagi spesies air tawar’ apabila menaikkan arapaima sepanjang 307 cm dengan berat 154 kg.

IKLAN

Tangkapan ini bukan sahaja merupakan rekod bagi Jakub Vagner, malah merupakan rekod bagi Arapaima gigas.

 

Jakub Vagner – Masta Idola Pemancing Moden

 

Dalam lapangan memancing, Jakub menjadi antara pemain atau kunci utama yang menyokong konsep tangkap dan lepas.

Dia juga berjaya membuktikan kehadiran besar ikan catfish bersaiz trofi di perairan negaranya iaitu Republik Czech selepas mendaratkan 147 ekor ikan tersebut dalam masa 40 jam yang juga menjadi salah satu rekod menarik bersama 7 orang pemancing lain.

 

Pada 2010, pihak IGFA telah memberi penghormatan kepada Jakub dengan jemputan untuk menerbitkan artikelnya tentang pancingan di Congo, Afrika.

Artikel tersebut telah diterbitkan dalam buku tahunan IGFA tahun 2010 dan mendapat respon yang sangat positif.

 

IKLAN

Selain sering dijemput untuk wawancara, Jakub menulis artikel untuk beberapa majalah antarabangsa berkaitan pengalamannya.

Pada tahun 2010, Jakub menerbitkan buku tulisan pertamanya. Buku dengan judul “My Friend the Catfish” ini mengambil masa 13 tahun sebelum berjaya siap sepenuhnya.

 

Bagi Jakub, impian terhebatnya ialah mahu memetakan lokasi spesies terbesar ikan air tawar gergasi dan jarang ditemui di bumi.

Beliau telah menyenaraikan 24 spesies ikan air tawar gergasi, mewakili pemangsa tertinggi bagi setiap sungai dan tasik terbesar di bumi.

Setiap daripadanya mencapai 100 kg berat dan 2 meter panjang.

 

Oleh kerana lebih separuh daripada 24 spesies itu sukar ditemui dan dijangka pupus dalam beberapa puluh tahun lagi, projek besar ini tiada had masanya.

 

Jakub Vagner – Masta Idola Pemancing Moden

 

Setakat ini, selepas 8 tahun projek ini bermula, pahlawan ikan ini telah mengembara ke semua benua kecuali Antartika bagi mencari spesies dalam senarai 24 spesies ini.

Setakat ini dikatakan 16 daripada 24 spesies itu telah berjaya dipetakan setelah mengharungi kepayahan bertualang ke serata ceruk lubuk yang sangat terpencil di dunia.

 

 

Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI