Enjin sangkut adalah sesuatu yang sangat bernilai bagi seorang kaki pancing yang rajin kerap memancing menggunakan bot. Bagi yang sukakan enjin, ia bukanlah setakat beli dan tampal sticker nama produk-produk memancing pilihan.
Bagi yang memiliki enjin bot ini, ia boleh disamakan seperti membeli sebuah kereta. Sudah tentu kosmetik enjin menjadi perkara yang perlu dititik beratkan juga. Umpama menjaga sebuah kereta agar ia berkilat dan bersinar apabila terkena matahari serta menarik bila dipandang.
Ads
Tetapi bagi enjin sangkut keadaannya lain pula. Berada lama di kawasan persekitaran air tawar dan air masin mampu merosakkan kosmetik luaran pada enjin selain memberi implikasi kepada cat penutup enjin. Selain itu, rupa paras yang kusam dan pudar menggambarkan usia sesebuah enjin tersebut.
Bagi kaki pancing yang menyewa bot daripada tekong, rupa luaran bot dan juga enjin adalah perkara yang selalu diperhatikan. Rupa paras bot yang kusam dan lusuh juga akan mempengaruhi nilai pasaran enjin sangkut sekiranya ingin dijual sebagai barang secondhand, sekali gus menyebabkan harganya jatuh teruk.
Ads
Kosmetik luaran sebegini rupa juga menggambarkan keadaan dalam enjin yang turut sama lusuh dan berkarat. Bagi sesetengah pemilik enjin sangkut penjagaan luaran sangat dititik beratkan.
Ads
Kita biasa melihat, ada enjin yang dipakaikan baju terpakai bagi membalut cover luar enjin. Ia sebenarnya salah satu cara simple menjaga cover luar enjin miliknya. Tetapi ada juga pemilik enjin dan bot membeli penutup baru daripada pengeluar enjin.
Antara cara lain juga dengan menggunakan stiker sebagai lapis kedua bagi menjaga cat pada kotak enjin selain menutup badan yang tercalar. Apa pun yang penting tepuk dada tanya selera tentang penjagaan bahagian luaran kotak enjin.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Boleh tak Team Umpan berikan sedikit teknik untuk memancing ikan belanak untuk dijadikan umpan memancing dan belanak besar (loban) untuk dibuat umpan perut?
JAWAPAN:
Umumnya, ramai kaki pancing mengenali spesies belanak ini sebagai antara umpan yang efektif untuk memburu spesies predator seperti siakap dan kerapu.
Namun, disebalik keberkesanan dijadikan umpan, mungkin ramai juga yang tidak tahu bahawa ikan belanak ini amat lazat untuk dijadikan hidangan di meja makan (terutama bagi yang bersaiz besar).
Mana taknya, dengan isi yang padat dan berlemak, pastinya ia mampu membuka selera sesiapa sahaja.
Belanak sememangnya boleh dipancing tetapi untuk memburu spesies ini bukanlah mudah, terutama bagi spesies belanak bersaiz besar yang turut dikenali dengan nama tamok, jempul dan loban.
Spesies yang bersaiz besar ini dikatakan boleh mencapai berat sehingga 2 kilogram, malah mungkin ada yang lebih besar dari itu.
Berbalik kepada teknik pancingan ikan belanak atau jempul, tamok dan loban ini, ada beberapa tips yang telah dikongsikan oleh pemancing-pemancing yang sering menduga spesies ini.
Tips Memancing belanak atau tamok
– Gunakan set pancing yang ringan (light set). Untuk keseronokan yang lebih, guna joran sekurang-kurangnya 7 kaki dan kekili siri 1000.
– Main line tidak melebihi 12 lbs (dikatakan tali yang lebih halus lebih berkesan untuk memburu spesies ini)
– Mata kail bersaiz kecil (matakail udang saiz 7 dikatakan paling efektif). Ada pemancing yang menggunakan mata kail yang banyak, sama seperti mata bom atau mata rambai untuk memancing spesies ini.
– Gunakan pelampung bersaiz kecil dan jarak pelampung dengan mata kail hanya sejengkal sahaja. Di kawasan Port Dickson pemancing menggunakan pelampung perahu layar untuk memancing spesies ini.
– Umpan yang paling efektif ialah roti (cangkuk pada mata kail).
– Ada juga yang berpendapat penting untuk merasuah dahulu ikan belanak ini dengan biskut yang telah dihancurkan.
– Apabila melihat kawanan ikan ini, baling umpan betul-betul dikawasan tersebut.
– Selain menggunakan umpan dan mata kail, ada juga yang berjaya memperdaya ikan ini menggunakan bom jaring (bomb net) dan baling pada kawanan belanak tersebut. Pasti ada yang akan tersangkut di jaring itu. Namun dengan cara ini, ianya tidaklah begitu thrill jika dibandingkan memancing menggunakan umpan dan mata kail.
– Ada juga pemancing yang menggunakan mata tiga untuk memancing ikan belanak ini di kelong kerana kebiasaannya spesies ini amat culas untuk memakan umpan roti yang dihulurkan.
Saya menggunakan enjin Mariner 15hp. Enjinnya sudah lama tidak digunakan, namun ia telah pun diservis dan telah digunakan. Sebelum ini air penyejuk enjin keluar tidak lancar dan saya telah menukar propeller penyedut air kepada yang baru kerana yang lama telah keras.
Tetapi masalahnya apabila bot dibawa laju enjin akan menjadi panas dan mati walaupun air penyejuk enjin keluar. Cuma saya perasan yang air penyejuk enjin itu keluar macam ada bubble dah tersekat.
Boleh terangkan apakah punca biasa yang menyebabkan keadaan sedemikian? Mungkinkan ada laluan air dalam blok enjin yang tersumbat?
JAWAPAN:
Dunia enjin bot memang satu perkara yang jarang diambil kisah oleh kaki pancing, kecuali kaki pancing itu sendiri memiliki sebuah enjin dan boat fiber. Selebihnya hanya bergantung pada tekong bot untuk membawa bot apabila keluar memancing.
Apa kata mulai sekarang silalah berjinak-jinak dengan dunia enjin bot terutamanya enjin bersaiz kecil. Saya percaya jika anda sudah tahu membawa dan mengendalikan bot dan kenal dengan enjin berkenaan, hobi memancing anda pasti akan lebih meriah.
Berikut beberapa soalan yang diutarakan kepada saya berkaitan dunia enjin dan bot.
Enjin sangkut yang telah lama tidak digunakan akan menyebabkan terjadinya masalah kepada peralatan pada semua sistem penggerak enjin.
Apatah lagi cara penyimpanan yang tidak betul boleh menyebabkan piston menjadi jammed dan bahagian-bahagian tertentu berkarat.
Enjin yang tersimpan sekian lama dan tidak digunakan akan menyebabkan implikasi kepada beberapa bahagian.
Pertama, sekiranya enjin sangkut 2 lejang lama tersimpan bahagian karburetor perlu diservis dan ‘repairkit’ perlu diganti agar karburetor dapat menyedut minyak dari tangki.
Ini kerana enjin sangkut menggunakan tangki luar dan kebiasaannya kedudukan tangki lebih rendah daripada enjin. Karburetor enjin sangkut mempunyai pump untuk sentiasa menyalurkan minyak kepada bahagian yang diperlukan.
Kedua, pastikan salur sistem penyejuk enjin ditutup dengan kain atau apa jua yang boleh menghalang binatang kecil seperti semut, angkut-angkut dan serangga lain membuat sarang di laluan keluar dan masuk salur tersebut.
Bagi enjin yang telah lama disimpan, rubber impeller perlu ditukar dan salur ini perlu dibersihkan agas bebas daripada halangan kerana walau hanya sekecil pasir sekalipun ia mampu mengganggu keseluruhan sistem enjin.
Ketiga, bahagian elektronik yang lama tidak digunakan boleh menjadi punca pada pergerakan enjin dan ia tidak mampu menyalurkan kuasa kepada plug untuk terus berfungsi. Sebaiknya periksa bahagian ini sebelum turun memancing.
Secara amnya coarse fishing adalah terma yang biasa digunakan di United Kingdom dan Eropah untuk menggambarkan pancingan ikan air tawar dengan menggunakan umpan, sama ada yang semulajadi atau sebaliknya.
Ini termasuklah cara pancingan sama ada di dasar, berpelampung ataupun mengilat. Walau bagaimanapun, pancingan layang (fly fishing) tidak dikategorikan sebagai coarse fishing kerana disenaraikan sebagai game fishing.
Terdapat teknik-teknik yang agak spesifik di dalam arena coarse fishing, khususnya feeder dan float fishing, maka perkakas dan peralatan yang digunakan untuk coarse fishing juga agak unik.
Walaupun pada mulanya kelihatan agak merunsingkan, akan tetapi setiap alat tersebut mempunyai kegunaan yang tersendiri bagi memudahkan pancingan ataupun menjadikan pemancing tersebut lebih efisyen untuk memaksimakan tangkapan ikan.
Tidak salah jikalau dikatakan coarse fishing ini adalah cara pancingan ikan air tawar dengan menggunakan teknik-teknik yang dikembangkan di benua Eropah.
Para pemancing Eropah agak mahir dalam membuat penyelidikan serta ujian lapang bagi mencari teknik-teknik dan taktik-taktik terbaru dalam sukan mereka.
Begitu juga pemancing Eropah ini rajin merekabentuk peralatan memancing yang menggunakan bahan-bahan yang terkini, bersesuaian dengan budaya mereka yang sering mengamalkan pembaikan yang berterusan.
Hasil daripada kemajuan dari segi teknik dan taktik memancing dan teknologi peralatan mereka, maka tidak hairanlah pasukan kebangsaan dari benua Eropah sering kali menjuarai Kejohanan Dunia Untuk Pancingan Air Tawar.
Di Malaysia, saya lebih cenderung untuk mempromosikan coarse fishing melalui teknik feeder fishing dan float fishing sahaja disebabkan dua faktor: yang pertamanya ialah saya merasakan pemancing Eropah sudah agak maju dengan kedua-dua teknik ini, maka sesuai dibuat sebagai penanda aras (benchmarking). Yang keduanya pula, saya merasakan para pemancing tempatan pula lebih maju dan lebih mahir dalam arena mengilat!
Oleh yang demikian, sejak 1990an lagi saya lebih berusaha untuk menengahkan teknik pancingan air tawar berdasarkan acuan coarse fishing di tanah air kita kerana didapati kebanyakkan teknik coarse fishing sangat bersesuaian dengan perairan dan spesis tempatan.
Teknik Feeder
‘Feeder’ merupakan singkatan kepada ‘swimfeeder’, dari segi bahasa mudahnya membawa maksud ‘pemberi makan ke kawasan pancingan’. Swimfeeder adalah satu perkakas atau bekas yang boleh diisi umpan dan dibuat balingan bersama dengan mata kail kita ke kawasan pancingan (swim) yang kita rasakan boleh menghasilkan tangkapan.
Antara tugas-tugas utama feeder ini adalah bagi memudahkan kita membuat balingan di samping menarik perhatian ikan ke kawasan pancingan kita. Feeder fishing ini adalah jenis pancingan di dasar (bottom).
Sejak 6-7 tahun yang lepas, minat terhadap pancingan feeder di Eropah telah meningkat dengan begitu mendadak.
Kejohanan Dunia Feeder Fishing yang bermula pada 2010 serta pelbagai pertandingan berkonsepkan feeder kebelakangan ini umpama memberi nafas baru buat teknik yang dulunya hampir dilupakan ini.
Float Fishing
Umpama namanya, pancingan berpelampung, pernah menduduki tangga teratas bagi teknik pancingan yang paling popular di Eropah. Ini terbukti dengan Kejohanan Dunia Pancingan Berpelampung yang telah berlangsung sejak 1954 lagi.
Di dalam arena coarse fishing, fungsi utama pelampung adalah sebagai pengesan gigitan ikan (bite detection). Teknik float fishing ini berani saya katakan adalah teknik pengesan gigitan ikan visual yang paling sensitif yang pernah saya jumpa.
Kehalusan teknik serta ketelitian teknikal di dalam seni sukan float fishing mendapat kedudukan yang istimewa bagi ramai pemancing tegar di Eropah. Seperti swimfeeder juga, pelampung untuk float fishing mempunyai pelbagai bentuk, saiz dan bahan yang masing-masing mempunyai fungsi dan kegunaan yang tersendiri.
Ikuti keterangan lanjut berkenaan Coarse Fishing melalui FB Malaysian Coarse Fishing Association dan FB Supertackle Malaysia.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...